Thursday, March 1, 2012

Kerajaan Siarkan Surat Mahathir Kepada Tiga Perdana Menteri Israel

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Kerajaan Rabu menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata surat berkenaan ialah;

i) Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel, bertarikh 21 Disember 1993;

ii) Surat daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, bertarikh 14 Mac 1997; dan

iii) Surat daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel, bertarikh 8 Jun 1999.


Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak ketika melawat Melaka pada 24 Februari dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari telah menyatakan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Mahathir kepada Perdana Menteri Israel.

"Saya ingin menyatakan bahawa sebagai satu dasar, Malaysia selama ini telah secara konsisten memberi sokongan sepenuhnya terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan komprehensif terhadap konflik Palestin-Israel dan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

"Kandungan surat-surat tersebut jelas menunjukkan pendirian yang berprinsip dan ketegasan Malaysia terhadap tindakan haram dan kekejaman Israel yang telah menggugat pelaksanaan proses damai, dan gesaan beliau kepada Israel untuk memenuhi obligasinya dan melaksanakan semua perjanjian yang telah dimeterai di antara Palestin dan Israel," kata Anifah.

Beliau berkata ini termasuk Perjanjian Oslo yang ditandatangani oleh Allahyarham Yasser Arafat bagi pihak Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Shimon Peres dari Israel pada 13 September 1993 berhubung Principles and Mutual Recognition (Prinsip dan Pengiktirafan Bersama) antara Israel dan PLO.

Anifah berkata sebagai Perdana Menteri pada masa itu, Dr Mahathir tidak pernah menyatakan sokongan beliau kepada Israel, mahupun terhadap keselamatan negara tersebut, dan surat-surat beliau, sama ada secara tersurat atau tersirat, tidak sesekali menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

"Kesediaan Malaysia untuk mengadakan hubungan dengan Israel adalah tertakluk kepada pelaksanaan sepenuhnya oleh Israel (terhadap) semua resolusi-resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, termasuk permohonan Palestin untuk menjadi ahli penuh PBB berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Al-Quds Al-Sharif sebagai ibu negara Palestin. Ini merupakan pendirian Malaysia selama ini," katanya.

Anifah berkata surat-surat tersebut mencerminkan peranan dan usaha Mahathir dan Malaysia, sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan dihormati oleh masyarakat antarabangsa dalam membantu mencari penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap konflik tersebut dalam mengembalikan martabat rakyat Palestin yang telah sekian lama ditindas.

-- BERNAMA

SURAT DR. MAHATHIR KEPADA 3 PEMIMPIN ISRAEL


YITZHAK RABIN 1993

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Yitzhak Rabin pada 1993, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar di sini, Rabu.

PERDANA MENTERI MALAYSIA 21 Disember 1993

Tuan Yang Terutama

Tuan Yitzhak Rabin

Perdana Menteri Israel

JERUSALEM

Saya ingin mengucapkan terima kasih atas surat tuan bertarikh 17 Oktober memaklumkan saya mengenai Perjanjian Prinsip dan Pengiktirafan Bersama antara Israel dan PLO.

Kerajaan saya menyokong perkembangan positif ini dan menganggapnya sebagai satu langkah awal ke arah merealisasikan satu penyelesaian yang komprehensif kepada masalah Timur Tengah. Sebagai tanda sokongan Malaysia terhadap perkembangan ini, negara saya telah diwakili pada Persidangan Penderma bagi menyokong proses damai Timur Tengah yang diadakan di Washington dan seterusnya berjanji untuk memberi sumbangan kewangan yang sederhana kepada rakyat Palestin bagi membantu dalam tugas-tugas baru mereka. Kerajaan saya juga menawarkan bantuan teknikal kepada rakyat Palestin di bawah Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

Demi prinsip umum, Malaysia bersedia untuk membina hubungan dengan Israel pada masa yang sesuai. Sementara itu, saya ingin melihat kemajuan ketara dalam pelaksanaan perjanjian damai.

Masalah Timur Tengah terutamanya isu Palestin telah menjadi punca ketidakstabilan di rantau itu dan saya berharap perjanjian baru-baru ini antara Israel dan PLO akan menyumbang kepada keamanan yang berpanjangan di kawasan itu.

Saya berharap kepada hubungan yang biasa dengan Israel (ayat yang terakhir ini bertulis tangan)

DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD

-- BERNAMA

BENJAMIN NETANYAHU 1997

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Berikut adalah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada 1997, seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar di sini.

PERDANA MENTERI

MALAYSIA

14 Mac 1997

Tuan Yang Terutama

Tuan Benjamin Netanyahu

Perdana Menteri Israel

Jerusalem

Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam. Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya situasi di Palestin dan rantau berkenaan. Malangnya sebahagian besar daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu pantas.

Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara negara berjiran menerusi rundingan. Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk memutuskannya. Pertikaian antara Malaysia dan Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan persetujuan untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.

Di dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan menerusi tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang. Setiap orang menikmati pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak porak-peranda.

Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan. Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga.

Tuan mengutuk Syria kerana membuat ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan sendiri. Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk bertindak menentang tuan. Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun. Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan semangat dan surat proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu tuan. Bagaimanakah kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan Israel. Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk membina penempatan baru Yahudi di tanah Arab.

Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan. Kami berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam dan Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta penganut setiap agama. Tiada agama yang seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini. Kami berharap kalangan belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan mahu berbaik-baik dengan mereka. Untuk mengecap keamanan tuan perlu melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak penyingkiran Israel. Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan.

Kita harus ingat apabila Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam. Kami tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air mereka dirampas daripada mereka sekarang. Ia mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia. Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita.

Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah. Kami ingin memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan hubungan yang menjadi tetap.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

-- BERNAMA

EHUD BARAK 1999

KUALA LUMPUR, 29 Feb (Bernama) -- Berikut ialah surat yang ditulis bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perdana Menteri Israel Ehud Barak yang baru dipilih pada 1999, seperti yang dikeluarkan Kementerian Luar di sini.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

8 Jun 1999

Tuan Yang Terutama

Encik Ehud Barak

Perdana Menteri Israel

TEL AVIV

Tuan Yang Terutama,

Saya ingin menyampaikan ucapan tahniah atas kemenangan tuan dalam pilihan raya baru-baru ini. Dengan mandat yang cukup meyakinkan, saya berharap tuan dan rakan gabungan tuan akan dapat memimpin masa depan rakyat Israel di ambang Abad baru.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengulangi pendirian Malaysia yang sentiasa memperjuangkan keamanan dan penyelesaian masalah antara jiran menerusi rundingan. Oleh itu menjadi harapan kami untuk melihat pelaksanaan bersama perjanjian yang ditandatangani antara PLO dan Israel. Kami juga percaya jika proses perdamaian hendak diselamatkan, langkah-langkah berkesan mesti diambil untuk memenuhi komitmen.

Sebagai rakan penting dalam proses damai adalah mustahak bagi Israel lebih bersedia bertolak ansor. Rakyat Palestin telah membuat pengorbanan besar. Mereka tidak lagi menuntut penghapusan negara Israel. Mereka malah sedia berkongsi Baitulmaqdis dengan anda. Oleh itu kini masanya bagi Israel memberi respons positif demi mempertahankan harapan rakyat di Palestin dan Israel. Komitmen mulia yang dibuat oleh Kerajaan sebelumnyua mesti dihormati. Jika tidak saya bimbang, akan wujud suasana konflik dan ketidakstabilan serantau yang berkekalan menjangkau ke Abad akan datang. Ini adalah prospek yang mesti dielakkan.

Pokok masalah ialah bahawa tiada pihak yang harus kembali kepada cara lama merundingkan apa yang dimiliki pihak lain, di satu nada dan menghasut kebencian dan keganasan, pada nada lain. Malaysia tidak dapat membiarkan keganasan oleh mana-mana pihak, sama ada rakan atau musuh. Mana-mana negara yang merampas tanah dan harta orang lain, atau menghapus tempat tinggal orang lain untuk mendirikan penempatan mereka sendiri tidak boleh dianggap bersikap jujur mahukan perdamaian.

Malaysia yakin penuh bahawa keselamatan semua negara di Asia Barat dapat dijamin dengan kewujudan perdamaian yang adil, berkekalan, dan komprehensif di rantau berkenaan. Ini mestilah berdasarkan pada prinsip "pertukaran tanah untuk perdamaian" dan penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

Dunia berharap Israel di bawah kepimpinan tuan, mengetengahkan proses damai dengan iltizam yang tulen. Saya sesungguhnya berharap pencapaian penyelesaian komprehensif di rantau tersebut akan membolehkan Malaysia melihat dengan realistik langkah positif ke arah penubuhan hubungan biasa dengan Israel.

Yang Ikhlas

Dr Mahathir Bin Mohamad

-- BERNAMA

Surat ini menjadi saksi tentang pendirian pemimpin dari kerajaan Barisan Nasional dari tahun 1993-1999 (Dr. Mahathir Mohammad) dalam menegakkan prinsip keamanan sejagat di mata dunia. Inilah yang dituntut oleh Agama, Bangsa dan Negara. Masihkah kita leka........Fikir-fikirkanlah....

APA KATA ANWAR IBRAHIM DI MATA DUNIA!!!


SEDARLAH SAUDARA-SAUDARI SEKALIAN. FIKIR-FIKIRKANLAH......

Thursday, February 23, 2012

Beranikah Menteri Besar Berkata Benar Selesai Isu Selangor?

KUALA LUMPUR, 23 Feb. ? Penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek membidas pentadbiran kerajaan Negeri Selangor yang perlu lebih bertanggungjawab bukan saja kepada rakyat tempatan tetapi juga dalam mengurus tadbir harta yang diamanahkan dalam pengurusannya.

Katanya, pemerintah negeri adalah pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan keseluruhan aset negeri sama ada yayasan negeri dan juga PKNS yang menjadi isu kontroversi sejak pentadbiran negeri beralih tangan.

?Harta benda ini beralih tangan ekoran peralihan kuasa tetapi walaupun mereka menang dalam pilihan raya dan menjadi teraju kepada negeri Selangor bukan bermakna mereka bebas melakukan apa saja mengikut kehendak mereka sebaliknya pentadbiran adalah berasaskan perundangan yang ada,? katanya kepada UMNO-Online.

Sejak mentadbir Selangor, kerajaan negeri yang diketuai anggota PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim gagal memberi penjelasan berkaitan pelbagai persoalan dan isu yang timbul termasuklah berhubung isu penyelewengan pasir, PKNS, dan juga isu Yayasan Selangor dengan yang terbaru perancangan untuk merobohkan asramanya di Kampung Pandan.

?Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab maka semua persoalan yang membabitkan rakyat dan harta benda kerajaan perlu dilakukan dengan sempurna dan sekiranya ada sebarang kesulitan maka pemimpin berkenaan perlu memberi penjelasan,? katanya.

Ujarnya, jika tidak salah maka tentunya Khalid tidak akan mengelak daripada memaklumkan perkara yang berlaku apatah lagi tentunya semua urusan yang dibuat mempunyai prosidur yang telah ditetapkan.

?Semua orang boleh buat laporan akan kepincangan yang berlaku, dan dengan laporan tersebut siasatan boleh dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan apa sebenarnya yang berlaku.?

?Sekiranya kerajaan Negeri terus ambil sikap berdiam diri mengenai isu yang timbul maka tentunya ia akan menimbulkan lebih banyak spekulasi dan ini bukanlah kerja orang politik sebagaimana alasan mudah mereka apabila mahu lari daripada topik perbincangan,? katanya.

Tegas beliau, kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besarnya sendiri perlulah bertanggungjawab sepenuhnya dan jangan mudah menuding jari kononnya ia adalah angkara UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mahu menjatuhkan mereka.

?Jika benar maka berkatalah benar dan lakukanlah penyiasatan secara terperinci kerana ia secara tidak langsung bukan sahaja mampu membersihkan nama mereka sebagaimana yang dilaporkan tetapi juga inilah nilai kredibiliti sebagai pemimpin. Namun begitu, apabila tidak ada tindakan dibuat maka jangan salahkan sesiapa kerana rakyat sendiri bijak membuat penilaian,? ujarnya. – MediaUMNO

PEMBOHONGAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Rakyat tidak peduli jika kerajaan negeri terpaksa membayar bil air yang tinggi kepada pihak pembekal air bersih di Selangor. Apa yang rakyat tahu, janji mesti ditunaikan kepada seluruh rakyat negeri Selangor untuk menikmati AIR PERCUMA tanpa mengira meter jenis apa yang digunakan.

Kepada Rakyat Selangor selama ini yang tidak pernah merasa air percuma seperti mana yang dirasai oleh pengguna meter indvidu sekarang ini, disaran supaya bangkit menuntut hak untuk mendapat air percuma seperti yang telah dijanjikan oleh kerajaan negeri Pakatan.

Septatunya rakyat Selangor berhak mendapat air percuma tersebut tanpa mengira meter pukal atau meter individu yang digunakan. Rebet tunai perlu dipulang semula kepada rakyat Selangor yang mana tidak pernah merasai air percuma sepanjang Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kerajaan negeri.

Hampir empat tahun Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor. Jika dihitung jumlah air percuma yang sepatutnya rakyat Selangor dapat di dalam bentuk wang ringgit, sudah tentu ia dapat meringankan beban yang ditanggung oleh mereka yang tinggal di kawasan perumahan pangsapuri kos sederhana dan rendah.

Oleh yang dimekian, digesa sekali lagi kepada rakyat Selangor yang merasakan diri ditindas oleh kerajaan negeri Pakatan Rakyat kerana tidak berlaku adil dalam pemberian air percuma ini, agar bangkit beramai-ramai mendesak supaya hak yang sepatutnya rakyat dapat dipulangkan kembali sebelum janji menifesto Pakatan untuk PRU13 diperbaharui semula.

SHAH ALAM: Dewan Undangan Negeri (Adun)Batang Kali Datuk Mohd Isa Abu Kassim hari ini mendakwa kerajaan negeri Selangor gagal menunaikan janjinya kepada rakyat apabila ia berhutang subsidi air percuma kepada penghuni-penghuni unit pangsapuri dan kondominium di seluruh negeri ini.

Beliau mendakwa terdapat 765 blok kondominium dan 643 blok pangsapuri di seluruh Selangor yang belum menikmati subsidi air percuma kerana mereka masih menggunakan meter air pukal dan bukannya meter individu.

Adun Barisan Nasional (BN) itu, yang dipertanggungjawabkan memantau isu air di negeri ini, berkata jika semua penghuni kondominium dan pangsapuri menukar kepada meter individu, akan berlaku pertambahan sebanyak 350,000 akaun baru bagi meter individu di negeri ini.

Walaupun kerajaan negeri mengeluarkan kupon kepada penghuni pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal, hanya 35,000 orang sahaja yang mendapat kupon bagi subsidi air percuma setakat ini, dakwanya pada sidang media di sini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Iskandar Abdul Samad berkata skim kupon itu, yang dianggarkan RM24.4 juta, dilaksanakan mulai Jun tahun lepas dan melibatkan 620 pangsapuri kos rendah membabitkan 168,479 unit kediaman yang masih menggunakan meter pukal. BACA SETERUSNYA DI SINI

-SOURCE

Thursday, February 9, 2012

Kerajaan selangor masih berhutang subsidi air

SHAH ALAM 9 Feb. — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Datuk Mohd Isa Abu Kassim hari ini mendakwa kerajaan negeri Selangor gagal menunaikan janjinya kepada rakyat apabila ia berhutang subsidi air percuma kepada penghuni-penghuni unit pangsapuri dan kondominium di seluruh negeri ini.

Beliau mendakwa, terdapat 765 blok kondominium dan 643 blok pangsapuri di seluruh Selangor yang belum menikmati subsidi air percuma kerana mereka masih menggunakan meter air pukal dan bukannya meter individu.

ADUN (BN) itu, yang dipertanggungjawabkan memantau isu air di negeri ini, berkata jika semua penghuni kondominium dan pangsapuri menukar kepada meter individu, akan berlaku pertambahan sebanyak 350,000 akaun baru bagi meter individu di negeri ini.

Walaupun kerajaan negeri mengeluarkan kupon kepada penghuni pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal, hanya 35,000 orang sahaja yang mendapat kupon bagi subsidi air percuma setakat ini, dakwanya pada sidang media di sini. — BERNAMA

Saturday, January 28, 2012

Lebih 200 ahli Pas Teloi Timur mohon sertai UMNO

SIK 27 Jan. - Rasa tertipu dengan slogan yang gagal dilaksanakan oleh Pas, dua pemimpin parti itu di Teloi Timur di sini bertindak meninggalkan Pas dan hari ini memohon menjadi ahli UMNO.

Bagi mereka perjuangan Pas kini sudah terpesong daripada matlamat asal parti itu yang diasaskan untuk menegakkan perjuangan Islam tetapi parti itu kini menjadi kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Shahril Yahya, 45, bekas Ketua Penerangan, dan Roshdi Sobri, 35; bekas Setiausaha PAS Teloi Timur dan Majlis Ketua Kampung (MKK), bertindak meninggalkan perjuangan Pas bersama lebih 200 bekas ahli Pas dan penyokong parti itu yang mereka dakwa sudah terpesong.

Shahril berkata, dia kecewa dan kesal kerana Pas tidak melakukan sesuatu seperti yang mereka nyatakan dalam manifesto Pas dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

"Hingga kini Pas terutama di Kedah gagal melunaskan janji mereka kepada rakyat dan gagal sama sekali mengotakan kata-kata dan melaksanakan perjuangan Pas yang dilabelkan sebagai parti Islam,” katanya. - BERNAMA

Sunday, January 22, 2012

Satu lagi inisiatif kerajaan Barisan Nasional bela nasib nelayan

KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5,000 ke RM10,000 untuk membaik pulih rumah masyarakat nelayan dalam usaha membela nasib golongan itu di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, borang permohonan untuk inisiatif yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi itu sedang diedarkan melalui persatuan-persatuan nelayan di setiap negeri.

"Saya faham nelayan perlukan bantuan, sebab itu kita lakukan sesuatu untuk mereka dan pada pembentangan Bajet 2012 saya ada umumkan Tabung Khas Perumahan Nelayan bernilai RM300 juta," katanya.

Menurut laporan, terdapat kira-kira 100,000 penduduk di negara ini menjadi nelayan dengan 84,254 orang daripadanya menjadi ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

"Saya umum tabung ini kerana tergambar dalam kepala saya rumah nelayan yang daif, robek dan perlu kepada penambahbaikan. Tetapi, nak buat rumah baru boleh, tapi saya dengar khabar, nelayan ni tak boleh tidur kalau tak dengar bunyi ombak, mesti tepi laut, nak pindahkan ke kawasan lain susah.

"Jadi, sebahagian daripada RM300 juta itu kita akan guna untuk menambah baik rumah-rumah nelayan di seluruh negara dengan peruntukan untuk setiap rumah yang akan dibaik pulih dalam RM5,000 ke RM10,000," katanya ketika melancarkan Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur dan Pengarah Program Ihsan Samudera, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.

Program Ihsan Samudera dianjurkan oleh Yayasan 1MDB dan Yayasan Felda dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri.

Perdana Menteri dalam pada itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM63 juta untuk membaik pulih projek perumahan nelayan Kampung Bunut Rendang di sini yang sudah 15 tahun tergendala.

"Insya-Allah kita akan baik pulih segera projek perumahan yang tergendala ini. Ini adalah atas usaha kerajaan negeri Pahang, di bawah pimpinan Menteri Besar," katanya.

-Utusan