Monday, June 3, 2013

UMNO tak perlu perhalusi syor jadikan BN parti tunggal

Kuala Lumpur: UMNO tidak perlu memperhalusi cadangan beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya gabungan itu menjadi parti tunggal. 

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia di Universiti Malaysia Perlis, Prof Datin Paduka Dr Ramlah Adam, berkata cadangan itu boleh melunturkan kuasa politik Melayu. Jika UMNO hilang identiti Melayu, tiada lagi parti yang mampu membela Islam dan kepentingan Melayu. 

Parti GERAKAN yang membawa cadangan itu sepatutnya bertanya mengapa dia tidak diterima orang Cina? Bukannya mengheret UMNO sekali kerana parti itu menerima sokongan kuat orang Melayu. 

Hilang identiti Melayu 

Semua parti di negara kita selesa bergaul dengan kaumnya sendiri. Kalau UMNO hilang identiti Melayu, hilanglah Melayu dalam pentadbiran kerajaan, katanya kepada BH, semalam. 

Beliau mengulas pendirian beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dikatakan tidak setuju dengan cadangan pemangku Presiden GERAKAN, Datuk Chang Ko Youn supaya BN menjadi parti tunggal. 

Bagaimanapun, mesyuarat MT UMNO, Jumaat lalu, bersetuju mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan itu dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli di seluruh negara. 

Pembangkang tak mampu gabung 


Ramlah berkata, pembangkang juga selesa dengan parti berasaskan kaum walaupun PKR mendakwa ia parti pelbagai kaum, sedangkan hakikatnya PKR tidak mampu bergabung dengan DAP dan PAS bagi menjadikannya parti pembangkang tunggal. 

Orang Melayu tidak boleh terlalu bersifat rendah diri dan asyik menjaga hati orang lain. Adakah dengan menyatukan semua parti komponen BN menjadi parti tunggal, masyarakat pelbagai kaum tidak lagi bersifat perkauman, tanyanya. 

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin UMNO supaya tidak melayan cadangan berkenaan kerana dibimbangi ia bakal menjerumuskan orang Melayu ke dalam kancah kehancuran akibat hilang kuasa politik. 

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata makmal dicadangkan boleh membantu memantapkan usaha meningkatkan keahlian BN melalui empat kaedah, iaitu menjadi ahli BN melalui parti komponen BN, secara bersekutu, menjadi ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung dengan BN dan menjadi ahli BN secara terus. 

Bagaimanapun, ia tidak bermaksud makmal itu tidak boleh diwujudkan. Jika ia diwujudkan, ia boleh membincangkan apakah cara untuk memantapkan keahlian BN, katanya.

source http://www.bharian.com.my/bharian/articles/UMNOtakperluperhalusisyorjadikanBNpartitunggal/Article/

Friday, May 10, 2013

SELAMAT ULANGTAHUN UMNO KE 67


KUALA LUMPUR, 10 Mei – Sambutan ulang tahun UMNO ke-67 akan diadakan dengan penuh kesyukuran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dimulakan dengan solat Maghrib di Surau Ar-Rahman diikuti oleh bacaan surah Yassin, tahlil dan doa kesyukuran serta solat Isyak pada esok (11 Mei).

Majlis yang bertemakan ‘67 Tahun Menepati Janji’ tersebut akan dihadiri oleh para pemimpin tertinggi UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan ahli-ahli UMNO. Berlangsung seterusnya ialah upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ yang akan diiringi oleh lagu ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ di Dewan Merdeka sebelum amanat daripada Presiden parti. 

Dalam masa yang sama, setiap UMNO Bahagian juga diminta untuk mengadakan Majlis Doa Selamat dan Tahlil sempenan Hari UMNO ke 67 selain mengibarkan bendera parti. Berikut adalah atur cara Hari UMNO yang akan diadakan di PWTC: 

6.45 ptg: Ketibaan jemputan 
6.50 ptg: Ketibaan Ahli Majlis Tertinggi 
7.10 ptg: Ketibaan Timbalan Presiden Parti 
7.15 ptg: Ketibaan Presiden Parti SOLAT DI SURAU AR-RAHMAN, ARAS 3 
7.20 mlm: Solat Maghrib, bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Kesyukuran 
8.32 mlm: Solat Isyak DEWAN MERDEKA, ARAS 4 
8.40 mlm: Ketibaan Jemputan dari Parti-parti Kompenan BN 
8.50 mlm: Upacara menaikkan bendera UMNO diiringi Nyanyian Lagu UMNO 
9.00 mlm: Ucapan Presiden UMNO Jamuan Bersurai

source : www.umno-online.com

Monday, May 6, 2013

PRU13: Najib menghadap Agong sembah warkah pelantikan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak pagi tadi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembah warkah bagi melantik beliau sebagai Perdana Menteri berikutan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umun Ke-13 (PRU-13) semalam. 

Perdana Menteri dalam satu kenyataannya am berkata perkara itu selari dengan Fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri. 

"Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpah Rahsia sebagai Perdana Menteri akan diadakan pada jam 4 petang ini di Istana Negara Kuala Lumpur. 

"Saya akan menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah warkah memohon perkenan baginda selaras dengan Fasal (2)(b) Perkara 43 dan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan terhadap Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini.

-berita harian

PRU13: BN berjaya kekalkan penguasaan di negeri-negeri, tawan semula Kedah

KUALA LUMPUR: Prestasi Barisan Nasional (BN) pada keseluruhannya baik dengan berjaya mengekalkan penguasaan di negeri-negeri selain menawan semula Kedah dan menambah kerusi di Kelantan. 

BN dapat membentuk kerajaan di negeri jelapang padi selepas menang 21 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. 

BN berjaya menambah sebanyak tujuh kerusi daripada hanya 14 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008. 

Di Kelantan, BN menangi 12 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, peningkatan sekali ganda daripada enam kerusi yang dimenangi pada 2008. 

Enam kerusi yang ditambah adalah Galas, Air Lanas, Selising, Semerak, Gual Ipoh dan Dabong selain mempertahankan kerusi Nenggiri, Paloh, Kuala Balah, Bukit Bunga, Kok Lanas dan Pengkalan Kubor. 

Selain itu, prestasi baik BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengekalkan kemenangan majoriti dua pertiga di Melaka, Pahang, Perlis dan Sabah. 

BN juga berjaya mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang didakwa kononnya akan dimenangi pakatan pembangkang iaitu Negeri Sembilan, Johor, dan Perak. 
Parti gabungan turut kekal memerintah Terengganu setelah memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 17 kerusi daripada 32 kerusi yang ditandingi. 

Bagaimanpun BN masih gagal menebus kekalahan di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang terlepas ke tangan pakatan pembangkang pada pilihan raya tahun 2008. - BERNAMA

PRU13: PAS hilang Kedah, merosot di Kelantan


KUALA LUMPUR: Selain hilang Kedah, PAS hanya peroleh 21 kerusi Parlimen serta hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, iaitu daripada 37 kerusi kepada 32 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). 

Bagaimanapun PAS berjaya meningkat penguasaannya di peringkat DUN dengan peroleh 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada pilihan raya umum 2008 iaitu di Terengganu, Johor, Melaka dan Selangor. 

Beberapa pemimpin tertinggi PAS juga tewas kepada BN pada PRU13 termasuk Timbalan Presidennya Mohamed Sabu di Kedah, Naib Presiden Salahuddin Ayub di Johor dan seorang lagi Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya. 

PRU-13 menyaksikan PAS kalah 52 kerusi daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya dengan hanya peroleh 21 kerusi Parlimen.

Ia sekali gus memperlihatkan kemerosotannya berbanding pada 2008 apabila parti itu kalah di 43 kerusi daripada 66 kerusi Parlimen ditandinginya dan memperoleh 23 kerusi.

Genggaman 21 kerusi DUN Kedah oleh pakatan pembangkang pada 2008, kini terlepas apabila BN menguasai 22 daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRU13 yang menyaksikan kerajaan negeri PAS hanya memerintah sepenggal negeri Jelapang Padi itu.

Bagaimanapun, Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategi Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata biarpun merosot di peringkat Parlimen namun PAS berjaya mengukuhkan kedudukannya di peringkat DUN. 
"PAS telah meningkatkan kedudukan di peringkat DUN dengan peroleh 85 kerusi pada PRU13 berbanding 83 kerusi pada 2008," katanya kepada Bernama.

Prof Mohamad berkata PAS bersama PKR berjaya mengekalkan Kelantan dengan peroleh dua pertiga daripada 45 kerusi DUN, iaitu 32 PAS dan satu kerusi PKR.
Berbanding 2008, PAS memiliki 37 kerusi DUN, PKR (satu) dan BN (tujuh) di Kelantan manakala parti itu memperoleh 12 kerusi Parlimen dan BN hanya dua kerusi.

Bagaimanapun PAS hanya menguasai sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan dengan lima kerusi itu berjaya direbut BN dalam PRU-13.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan PAS hanya menguasai satu daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah diikuti sekutunya PKR empat kerusi manakala BN 10 kerusi.

Pada 2008, masing-masing mengekalkan lima kerusi Parlimen di Kedah bagi PAS, PKR dan BN.

PRU-13 juga menyaksikan PAS merupakan parti pakatan pembangkang yang peroleh jumlah yang kecil untuk Parlimen berbanding DAP 38 kerusi dan PKR 30 kerusi. - BERNAMA

Barisan Nasional menang 133 Kerusi Parlimen pada PRU13

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila menguasai 133 kerusi Parlimen bagi membolehkannya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. 

Pakatan pembangkang pula mendapat 87 kerusi dengan DAP memperoleh 38 kerusi, PKR (28 kerusi) dan PAS (21 kerusi). 

"Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional” Najib Razak, Perdana Menteri

Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen pada jam 12.50 tengah malam.

BN juga berjaya merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang, tetapi Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang kekal dikuasai pembangkang.

Pembangkang di Selangor berjaya mendapat 44 daripada 56 kerusi bagi membentuk kerajaan berbanding hanya 12 kerusi dimenangi oleh BN.

Pembangkang juga berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga di Kelantan dengan mendapat 33 kerusi, berbanding BN hanya 12 kerusi. 

BN tambah kerusi

Di Pulau Pinang; pembangkang turut menang majoriti dua pertiga apabila memperoleh 30 kerusi dan BN menang 10 kerusi dengan DAP menyapu bersih semua 19 kerusi yang ditandingi, PKR mendapat 10 kerusi dan PAS hanya satu kerusi.

Bagaimanapun, BN menang tipis di Kedah, Terengganu dan Perak. Di Kedah BN mendapat 21 kerusi berbanding 15 untuk pembangkang, manakala di Terengganu BN memperoleh 17 kerusi dan pembangkang 15 kerusi.

Di Perak; BN berjaya melepasi jumlah majoriti mudah apabila mendapat 31 daripada 59 kerusi, berbanding 28 untuk pembangkang. Pada pilihan raya umum 2008, BN tewas tetapi berjaya membentuk kerajaan pada 2009 selepas tiga ADUN pembangkang menyokong BN.

Sementara itu, di Wilayah Persekutuan, BN menambah kerusi Parlimen apabila berjaya merampas Titiwangsa daripada PAS dan mengekalkan Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. 

Kerusi lain yang dimenangi pembangkang ialah Kepong, Wangsa Maju, Segambut, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Batu.

BN buat analisis

Datuk Seri Najib Razak, dalam persidangan media selepas kejayaan itu berkata, keputusan yang kurang memberangsangkan kepada BN, berpunca daripada ‘tsunami kaum Cina’ yang tidak memberikan sokongan kepada BN sehingga MCA dan 
GERAKAN yang mewakili kaum itu tewas di kebanyakan kerusi kepada DAP.

Katanya, BN akan membuat analisis terhadap keputusan pengundi Cina, selain kajian mengenai kegagalan mencatat kemenangan dua pertiga di Terengganu.

Beliau berkata, ‘tsunami kaum Cina’ berlaku kerana pihak pembangkang memainkan sentimen perkauman tidak sihat untuk negara ini kerana Malaysia mahu menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Amalan demokrasi lancar

Najib juga berkata, keputusan itu membuktikan amalan demokrasi di negara ini berjalan lancar dan teratur.

“Keputusan rakyat ini turut menunjukkan aliran polarisasi pengundi dan ini membimbangkan. Jika tidak ditangani, ia boleh menimbulkan perbalahan dan ketegangan di negara ini. 

“Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional,” katanya.

Kepada pembangkang Najib berkata, demi kepentingan negara beliau berharap pembangkang menerima keputusan dengan hati terbuka dan biarkan proses demokrasi berjalan lancar.

Najib juga memberi jaminan semua aku janji akan dilaksanakan dan ditunaikan oleh kerajaan BN. 

“BN akan menubuhkan mekanisme khusus bagi memantau pelaksanaan aku janji supaya rakyat sedar apabila kita membuat komitmen, kita akan tepati,” katanya.

-berita harian

Wednesday, April 17, 2013

Tuesday, April 9, 2013

Projek Libatkan Teresa Kok Bernilai RM 1 Bilion Selesai Dalam Masa Lapan Hari

 
Apa yang berlaku yang kami akan dedahkan dibawah ini sungguh mengejutkan. Kerajaan pimpinan Khalid Ibrahim menghalang pusat daripada membina Loji Langat 2, tetapi dalam masa yang sama meluluskan sebuah projek solar yang dinamakan SOLAR PHOTOVALTAIC  POWER PLANT yang kosnya mencecah RM 1 bilion.
 
Umum mengetahui di Selangor hari ini rakyat menghadapi masalah air yang lebih serius berbanding dengan masalah bekalan eletrik. Tetapi kenapa pula beliau menghalang kerajaan pusat menyelesaikan masalah air , tetapi beliau pula meluluskan projek solar ?
 
Projek ‘direct nego’ yang bernilai RM 1 bilion yang kami akan dedahkan ini melibatkan DAP, dimana Teresa Kok menerusi proksinya seorang ahli DAP,Kok Chee Keong mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.
 
Yayasan Selangor memiliki dua keping tanah di Dengkil dan Kuala Kubu Baru. Tanah yang bernombor PT 39693 di Dengkil telah disewakan kepada kroni Dr Halimah Ali (Adun Pas Selat Klang) untuk dijadikan sekolah persendirian dengan sewa yang cukup murah.
 
Tanah kedua bernombor PT 521 di Kuala Kubu Baru yang menempatkan Dua Kem Bina Semangat yang disewakan kepada PLKN. Keluasan kedua-dua kawasan tanah berkenaan dianggarkan 40-50 ekar.
 
Pada 14 Disember 2011 , Yayasan Selangor telah menerima sepucuk surat buat kali pertama dari GOLDSINO INVESTMENT DEVELOPMENT LIMITED yang berpangkalan di Zhuhai, China, untuk menjalankan projek SOLAR PHOTOVALTAIC  POWER PLANT di atas kedua-dua keping tanah tersebut untuk tempoh pajakan 25 tahun.
 
Apa yang mengejutkan surat yang dihantar itu adalah surat pertama , tetapi dalam surat berkenaan syarikat itu telah menyatakan ayat seperti berikut, “we would to express our sincere appreciation to Yayasan Selangor for inviting us to participating for the above project”.
 
ys-1
 
ys-2
 
Syarikat berkenaan menggunakan ayat begitu kerana dalam perbincangan awal antara mereka dengan Teresa Kok mereka telah diajar supaya menulis begitu kerana Teresa akan terselamat jika apa-apa yang boleh menyangkutkannya.
 
Dalam masa lapan hari sahaja , iaitu pada 22 Disembar 2011 Yayasan selangor telah mengeluarkan ‘letter of intent’ (LOI) kepada syarikat berkenaan  yang ditandatangani oleh Raja Amir Shah. Apa yang mengejutkan, bagaimana projek yang mencecah RM 1 bilion dalam masa 8 hari sahaja boleh dikeluarkan LOI ?
 
Pada 27 Disember 2011 satu mesyuarat telah diadakan melibatkan Yayasan Selangor dengan Goldsino Investment Development Limited, yang mana dalam mesyuarat itu Yayasan Selangor diwakili lapan orang , manakala syarikat berkenaan hanya diwakili oleh, Kok Chee Keong selaku proksi Teresa Kok.
 
Pada 28 Disember 2011 satu majlis telah diadakan untuk menyerahkan LOI secara rasmi kepada syarikat berkenaan.
 
Persoalan yang besar di sini ialah bagaimana sebuah projek yang bernilai RM 1 bilion boleh dikeluarkan surat niat dalam masa 14 hari ? Semuanya kerana campur tangan menteri besar dan Teresa Kok. Mereka semua telah mengeluarkan arahan secara verbal kepada kepada Yayasan Selangor supaya LOI dipercepatkan.
 
Jelas di sini kita boleh melihat bagaimana Yayasan Selangor yang ditubuhkan untuk membantu anak-anak Selangor dalam pendidikan telah dijadikan ‘vihicle’ oleh DAP untuk mereka mengaut keuntungan. Lima tahun mereka memerintah Selangor kita dapat melihat bagaimana rakusnya DAP dalam menjahanamkan negeri Selangor. Dalam masa 14 hari dua keping tanah Yayasan Selangor melayang kerana kelicikan DAP yang dibantu oleh seorang MB puppet.
 
ys-3

ys-4

source : www.sel13.com

Sunday, April 7, 2013

Akujanji Barisan Nasional 2013


MANIFESTO PENUH BARISAN NASIONAL 2013

Manifesto Barisan Nasional PRU 13 PDF

Wednesday, April 3, 2013

UCAPAN YAB PERDANA MENTERI BUBAR DEWAN RAKYAT HARI INI.

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Msia bahawa pada pagi ini telah mengadap Yang d-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu 3 April 2013. 

Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk mengadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara. Rakyat Malaysia yang dikasihi. Hari ini empat tahun lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai PM negara Malaysia yang tercinta. 

Dalam tempoh tersebut saya bersama-sama TPM, anggota jemaah menteri dan anggota pentadbiran yang lain telah pun dengan segala ikhtiar dan upaya, mencetuskan dan melaksanakan pembaharuan serta perubahan berpaksikan kepada falsafah 1 Malaysia, rakyat di dahulukan, pencapaian diutamakan serta dipandu oleh Dasar Transformasi Nasional. Dalam tempoh 4 tahun yang lepas, rakyat Malaysia telah dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana program, perancangan serta dasar transformasi nasional yang melibatkan program transformasi kerajaan, ekonomi, politik dan sosial telah dilaksanakan dan seterusnya membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan memakmurkan negara. 

Kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan ini ialah yang meletakkan kepentingan tuan-tuan dan puan-puan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, menepati janji, kami sebuah kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan melaksanakannya, bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Semuanya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan track rekod kami sepanjang 4 tahun yang lalu. Rakyat Malaysia yang dikasihi, pembubaran ini akan membuka laluan kepada bermulanya proses pilihan raya umum bagi kali yang ke-13 untuk negara semenjak tahun 1959. Iaitu apabila kita mula mengadakan pilihan raya umum yang pertama selepas merdeka. Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan sebagai asas pemerintahan. Kuasa mutlak untuk memilih kerajaan berada di tangan rakyat. 

Sejarah telah menunjukkan bahawa kebunggaran demokrasi telah berjaya menyediakan asas-asas yang subur untuk kestabilan dan keamanan nasional yang telah dinikmati warga negara ini selama lebih 5 dekad. Amalan demokrasi di Malaysia kekal dan berjaya kerana walaupun bersifat sengit dan amat berdaya saing namun pada akhirnya ia berjaya kerana semua pihak menghormati proses dan keputusannya. Saya ingin menyeru agar tradisi ini diteruskan demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan nasional. Semua parti politik yang memilih untuk terlibat dalam pilihan raya umum kali ini perlulah bertanggungjawab. Janganlah kerana tidak yakin dengan sokongan rakyat terhadap parti masing-masing maka ada pihak yang cuba menyemai racun syak wasangka dan seterusnya merosakkan kepercayaan kepada integriti proses pilihan raya yang bakal diadakan. 

Insaflah dan ambillah iktibar daripada apa yang berlaku di negara-negara lain di mana taktik ini telah cuba diguna pakai. Kesan dan akhirnya keputusan pilihan raya di negara-negara tersebut tidak lagi diyakini dan mana-mana kerajaan yang dipilih termasuk dari parti yang mengamalkan taktik-taktik tersebut telah ditolak rakyat. Negara akhirnya menjadi tidak stabil, pelabur hilang keyakinan, kemakmuran nasional merudum dan akhirnya rakyat menderita. Sejarah selama ini telah membuktikan bahawa di malaysia sejak merdeka lagi, proses pilihan raya yang diadakan bersifat berwibawa, adil dan telus. Kerajaan yang telah dipilih hasil pilihan raya umum sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat Negeri ialah kerajaan yang mendapat sokongan serta keyakinan majoriti rakyat sesuai dengan amalan demokrasi. Amalan demokrasi sebagai teras pemerintahan merupakan mekanisme terbaik yang pernah dicipta manusia. 

Hakikatnya perbezaan pendapat, idea dan pandangan bukannya penyebab malapetaka atau punca perpecahan. Malah jika ditangani dan diuruskan secara baik sejarah telah menunjukkan ia mampu mendatangkan rahmat, yang akan membahagiakan rakyat dan memajukan negara. Marilah kita sama-sama sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang memberikan komitmen untuk memelihara keutuhan proses demokrasi dan menghormati keputusan yang akan dibaut oleh rakyat. Marilah kita bersama-sama berdoa agar pilihan raya ini akan berjalan dengan lancar aman, lancar dan selamat. Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya inign beri jaminan bahawa kerajaan yang ada akan meneruskan tugas dan tanggungjawabnya sesuai dengan prinsip keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang sehingga selesai proses pilihan raya. 

Saya juga ingin menyeru di samping memberi jaminan kepada semua rakyat Malaysia serta parti politik yang terlibat bahawa jika berlaku sebarang peralihan kuasa sama ada di peringkat Persekutuan mahu pun di peringkat negeri ia akan dan perlu berlangsung secara aman dan tertib. Inilah iltizam kita dalam menjunjung prinsip demokrasi. Inilah tekad kita dalam menggerakkan transformasi politik. Inilah komitmen kita dalam menghormati suara dan mendahulukan kepentingan rakyat. Kepada semua rakyat Malaysia terutama yang tinggal di pantai timur Sabah janganlah bimbang dan takut. Laksana dan tunaikanlah tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan sebagai warganegara Malaysia. Pihak keselamatan negara akan menjalankan tugas mereka untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk tuan-tuan dan puan-puan sekalian. 

Setiap undi tuan-tuan dan puan-puan adalah penting. Jangan bazirkan ia. Jangan pertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan. Ini kerana undi saudara saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua. Dalam pilihan raya ini tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja bertanggungjawab memilih wakil saudara dan saudari bagi setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi juga memilih kerajaan yang akan mendokong aspirasi tuan-tuan dan puan-puan. Rakyat Malaysia yang dikasihi, saya berdiri di sini dengan penuh rasa tawaduk dan terhormat kerana diberi kepercayaan untuk memimpin tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan akan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya. 

Di sini saya selaku ketua kerajaan Barisan (BN) ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah memberi kepercayaan kepada rakyat Malaysia kepada kami kerajaan Barisan nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negara semenjak lima tahun yang lepas. Mulai hari ini saya dan rakan-rakan kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan turun dan bertemu dengan rakyat seluruh pelosok negara bagi meyakinkan rakyat Malaysia kenapa kami Barisana Nasional (BN) perlu diberi peluang kembali untuk membentuk kerajaan dengan majoriti yang kukuh. Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi insya Allah untuk melipat gandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua. 

Ayuh, teruskan perjalanan kebangsaan untuk mencapai wawasan nasional ke arah Malaysia yang maju dan berpendapatan tinggi. Ingatlah pencapaiannya bukan secara automatik. Ia memerlukan kita melipatgandakan usaha dan meneruskan kesinambungan kejayaan yang wujud. Marilah kita bersama-sama berganding bahu, berpimpin untuk menjadikan impian ini sebuah realiti. Malaysia yang maju, makmur dan selamat penuh dengan peluang serta sarat harapan bagi semua. 

Demi Malaysia usaha bakti kita curahkan, kepada Tuhan kita berserah.-UTUSAN  

NAJIB UMUM BUBAR DEWAN RAKYAT 

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat ke-12 bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 diadakan. Pengumuman khas itu dilakukan di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya dan disiarkan secara langsung di semua saluran televisyen dan radio utama pada pukul 11.30 pagi ini. Najib mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada hari genap empat tahun beliau memegang jawatan perdana menteri. 

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota kabinet yang lain turut hadir dengan berpakaian sut gelap dan bertali leher merah semasa pengumuman itu. Pengumuman itu amat dinanti-nantikan rakyat Malaysia di seluruh negara terutama apabila makluman awal dibuat bahawa perdana menteri akan membuat pengumuman khas melalui televisyen dan radio pagi ini. Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'adzam Shah memberi perkenan pembubaran Dewan Rakyat berkuatkuasa hari ini. 

Terdahulu, Najib menghadap Seri Paduka di Istana Negara. Kenderaan rasmi perdana menteri kelihatan memasuki perkarangan Istana pada 8.10 pagi dan keluar kira-kira sejam kemudian. Sejurus selepas itu, beliau mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di Putrajaya. Dalam pengumumannya selama 13 minit itu, perdana menteri merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menerajui kepimpinan negara sejak lima tahun yang lepas. 

"Saya dan rakan-rakan amat menghargai dan menjunjung tinggi kepercayaan yang telah diberikan rakyat, kami telah dan memberikan yang terbaik demi untuk Malaysia dan warganya," katanya. Najib berkata dalam tempoh empat tahun lepas, sepanjang kepimpinan beliau sebagai perdana menteri, rakyat Malaysia dapat mengalami dan menyaksikan sendiri bagaimana fasa perancangan Prakarsa Transformasi Nasional membuahkan hasil dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka dan kemakmuran negara. Prakarsa Transformasi Nasional itu melibatkan Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Sosial. Najib berkata kerajaan yang ada pada hari ini ialah kerajaan yang bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan rakyat Malaysia di atas segala-galanya. 

 "Kami merupakan kerajaan yang apabila berjanji, kami menepati janji, kami merupakan kerajaan yang apabila diberi amanah akan menjunjung dan memeliharanya. "Bukan sikap kami menanam tebu di bibir. Sesungguhnya bukti komitmen kami mampu dinilai serta diukur daripada prestasi dan jejak rekod kami sepanjang empat tahun yang lalu," katanya. Perdana menteri berkata, beliau dan rakan-rakan kepimpinan BN akan mula turun dan bertemu rakyat d seluruh pelusuk negara bagi meyakinkan warga Malaysia mengapa BN perlu diberi peluang untuk kembali membentuk kerajaan dengan majoriti kukuh. 

 "Kami akan menggunakan mandat kukuh yang diberi, Insyaallah untuk melipatgandakan lagi usaha bagi melakar masa depan yang lebih baik, yang lebih bermakna, yang lebih sejahtera untuk saudara dan saudari serta anak cucu kita semua," katanya. Dalam pada itu, Najib mengingatkan rakyat Malaysia supaya menunaikan hak mereka sebagai pengundi dan tidak membazirkan peluang yang diberikan untuk memilih kerajaan yang akan mendukung aspirasi rakyat. 

 "Setiap undi anda adalah penting, jangan bazirkan ia, janganlah dipertaruhkan masa depan anak-anak dan negara Malaysia. "Fikir dan renungkanlah dengan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan, ini kerana undi saudara dan saudari akan menentukan bukan sahaja hala tuju negara dan negeri, tetapi juga untung nasib anak cucu kita semua," katanya. Perdana menteri menasihatkan ketua-ketua kerajaan negeri untuk menghadap ketua negeri masing-masing bagi mendapat perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). 

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac. Katanya ini bagi membolehkan pilihan raya umum diselaraskan secara serentak di seluruh negara. Hanya Sarawak terkecuali bagi pilihan raya negeri diadakan kerana telah mengadakannya pada 16 April 2011. -- BERNAMA

Tuesday, March 26, 2013

Monday, March 25, 2013

DUN Negeri Sembilan matang Rabu, terbubar Khamis ini


SEREMBAN 25 Mac - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menjelaskan tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan ialah pada Rabu ini.

Berikutan itu, sehari selepas terbubarnya sendiri DUN itu, sebuah kerajaan sementara diwujudkan.

Menurut Mohamad, ini kerana, perkara berkenaan telah dikenal pasti berpandukan Akta Interpretasi 1948 dan 1967 iaitu tempoh bermulanya DUN dikira selepas majlis angkat sumpah.

"Dalam hal ini, tempoh lima tahun yang sebenarnya dikira bermula pada 28 Mac 2008. Jika tiada pembubaran sebelum 27 Mac (Rabu ini), maka ia akan terbubar dengan sendiriya pada hari Khamis dengan kerajaan sementara akan diwujudkan," katanya pada sidang akhbar khas di kediaman rasminya di sini hari ini.
Sebelum ini, Mohamad berkata, tempoh matang lima tahun DUN ialah pada 26 Mac dan kerajaan sementara akan terwujud sehari selepas itu.

Mohamad pada sidang akhbar itu juga memberitahu, sekiranya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tidak membubarkan DUN sebelum 12 tengah malam pada hari Rabu ini, maka bermula detik 12.01 tengah malam hari Khamis, DUN terbubar dengan sendirinya dan kerajaan sementara sudah pun terwujud.

Beliau turut menjelaskan, pembubaran itu dilakukan berpandukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan di bawah artikel 56(3) yang menyatakan jangka hayat DUN selama lima tahun.

Tambahnya, selepas pembubaran itu, kerajaan sedia ada akan meneruskan pemerintahan sebagai kerajaan negeri sementara bagi mengurus dan mentadbir negeri ini.

"Selepas hari Rabu ini, tidak ada lagi wakil rakyat sama ada dari BN, mahupun pembangkang. Yang ada ialah Menteri Besar bersama 10 orang exco yang akan menjalankan urusan pentadbiran sebuah kerajaan sementara sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan dan kerajaan baru dipilih," katanya.

Jelas beliau, segala urusan pentadbiran negeri akan berjalan seperti biasa, namun tiada penetapan dasar baharu akan dibuat oleh kerajaan negeri sementara ini.

"Jadi apabila DUN terbubar hanya kuasa Perundangan sahaja yang terbubar, sementara kuasa Kehakiman dan Eksekutif atau Pentadbiran masih ada dan dilaksanakan," katanya lagi.

DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi pada masa ini diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu dengan majoriti mudah apabila memperoleh 21 kerusi.

Kerusi-kerusi selebihnya dimenangi oleh DAP (10), Parti Keadilan Rakyat (4) dan Pas (1). - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130325/px_16/DUN-Negeri-Sembilan-matang-Rabu-terbubar-Khamis-ini#ixzz2OZ9iRtb0 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pembangkang pembohong

Sunday, February 24, 2013

Kalimah Allah : Salah Presiden PAS, Anwar


AIDCNews – 23/02/13 – Pas didakwa menggunakan strategi ‘golok mata dua’ dalam menangani isu kalimah Allah, iaitu dua versi keputusan yang berbeza kepada kelompok ahli Pas dan kelompok Pakatan Rakyat yang dilihat sebagai strategi untuk menyelamatkan sokongan kedua-dua pihak, ahli parti dan Pakatan.

Bekas Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Norman Toha berkata parti itu membuat dua keputusan berhubung isu tersebut, iaitu pada 8 Januari, membenarkan penggunaan kalimah Allah kepada penganut agama lain, ketika bersidang bersama Pakatan, namun pada 13 Januari, ketika mesyuarat Ahli Majlis Syura parti itu, Pas membuat keputusan yang bertentangan dengan keputusan sebelumnya.

“Kenyataan bersama Pas, bersama dengan rakan-rakan sekutu Pakatan Rakyat, PKR dan DAP pada 8 Januari, tidak ditarik semula.

“Saya lihat di situ ada dua keadaan. Pas, orang Pas duduk dalam kelompok orang Pas, mereka mengatakan ‘TIDAK BOLEH’. Tetapi Pas bersama orang-orang Pakatan Rakyat, DAP dan PKR, mereka kata ‘BOLEH’.

“Adakah Majlis Syura Ulama tidak menyedari keadaan seperti ini ? Saya kata ini mengelirukan orang Pas. Dan lebih mengelirukan adalah orang-orang yang bukan daripada parti Pas,”katanya dalam ceramah memperkasakan akidah anjuran Sekretariat Jom Tolak Pakatan di Seksyen 9 di Shah Alam, malam tadi.

source : AIDC

Saturday, February 23, 2013

Siapa Anwar Ibrahim yang Sebenar?

Bahagian 1

Bahagian 2

Bahagian 3

Bahagian 4

Sunday, January 6, 2013

Syabas dijadikan kambing hitam Khalid Ibrahim MB Selangor lepas tangan


Oppa Khalid buat tarian lagi! Yeah! Sebenarnya Keris dah agak yang Khalid akan raih simpati dengan kata ini semua salah Syabas. Tetapi apa yang kantoikan Oppa Khalid adalah kenyataan mana yang Syabas salahkan Kerajaan Negeri Selangor? 

Op Op Op Oppa Khalid style! Menari twist bukan main tetapi terkantoi jua. Syabas hanya keluarkan kenyataan mengatakan masalah air berlaku kerana pam rosak, tak langsung salahkan kerajaan negeri Selangor. Ini semua adalah konspirasi Khalid Ibrahim yang mahu menutup kelemahan pentadbirannya sendiri. Konsert Oppa beliau nampaknya gagal lagi! 

Dia kata sejak 2005, semua aset dan fasiliti pengagihan air milik Kerajaan Negeri Selangor diserahkan untuk dikendalikan sepenuhnya oleh SYABAS termasuklah Rumah Pam Wangsa Maju. Maka semua kerja selanggara aset-aset adalah tanggungjawab Syabas. Oppa Khalid sebenarnya lupa dengan dokmen dibawah ini :


Jadi kalau pinjaman CAPEX dibekukan, Syabas nak bayar pakai bulu ketiak ke masa nak buat kerja seperti penambahbaikan kepada pam yang berkapasiti tinggi? Sebab itu Keris rasa yang Khalid memang akan salahkan Syabas. Sebab daripada mula-mula jadi penjajah Selangor, dia dan rakan-rakan Pakatan berusaha untuk sabotaj usaha-usaha Syabas. Bagi susah Syabas nak buat kerja dan mudah mereka menyalahkan Syabas. Biarpun sebenarnya salah Khalid sendiri yang degil dan tampak membohong kepada rakyat bab air. 

Tak habis-habis kata air cukup. Bila Syabas kata air semakin berkurangan, terus guna LUAS untuk tipu rakyat kata air cukup. Pada mulanya menggelabah juga Khalid bila tahu masalah air berlaku, sebab itu kawasan dia sendiri takde air pun dia buat dono je. Sekarang dia menari Oppa Khalid Style pula untuk tutup kesilapan sendiri. Kerana Khalid yang tak mahu bina Loji Rawatan Air Langat 2, tak mahu luluskan pinjaman CAPEX Syabas, tak mahu dengar saranan pakar air, rakyat yang menderita kerana terbantut kerja-kerja seharian mereka apabila air tiada. 

Ramai yang tahu bahawa Khalid hanya retorik dalam mengatasi isu krisis air di Selangor. Kini setelah rakyat sengsara diatas kebodohannya sendiri, dia seolah-olah lepas tangan dan menjadikan Syabas sebagai kambing hitam melalui tarian Oppa Khalid Style! Bijak kan permainan duniawi politik Khalid yang sinonim dengan modus operandi pembangkang? Kalau bab cari salah orang lain memang no satu! Bila salah diri sendiri, mereka akan tuding jari kepada orang lain untuk tutup kelemahan mereka. 

 Tapi pada Keris, rakyat Selangor tidak bodoh seperti yang disangka pembangkang. Mereka telah sedar setelah Khalid gagal dalam banyak perkara. Ini adalah antara komen kepada artikel Keris yang berkaitan dengan masalah air yang melibatkan kawasan Bandar Tun Razak [Klik Sini]

Sumber asal : http://keris7lok.blogspot.com/2013/01/syabas-dijadikan-kambing-hitam-oppa.html

Thursday, January 3, 2013

Jangan biarkan Malaysia menjadi Granada - Dr Abu Uzma Abdul Rahman


1492 merupakan tahun di mana kerajaan Islam terakhir di Semenanjung Iberia ditumbangkan. Kerajaan Nasiriyah Granada yang berajakan Abu 'Abd-Allah Muhammad telah dikepung oleh Kerajaan Aragon dan Castille. 400,000 nyawa umat Islam berada dalam ancaman. Setelah perundingan dijalankan dan Perjanjian Granada dimeterai pada November 1491, dua bulan kemudian, Abu 'Abd-Allah Muhammad telah menyerahkan kunci Kota Granada kepada Isabella dan Ferdinand.

Perjanjian Granada bunyinya sungguh indah. Ia menjanjikan keadilan dan kesamarataan untuk semua pihak. Orang Islam dibenarkan melaungkan azan dan beribadat seperti biasa. Orang Kristian tidak dibenarkan mengintai-intai rumah orang Islam lebih-lebih lagi masjid. Malahan, jikalau ada orang Kristian Sepanyol yang mengejek-ejek orang Islam, mereka akan dihukum mengikut Perjanjian Granada.

Lebih menakjubkan Perjanjian Granada juga membenarkan pelaksanaan undang-undang Islam seperti yang sedia dipakai kerajaan Islam, tanpa umat Islam perlu dihukum berdasarkan undang-undang kristian Sepanyol. Rakyat malah bergembira kerana mereka dijanjikan pelepasan semua cukai daripada kerajaan baru.


Cantiknya Perjanjian Granada tidak terhingga. Tidak hairan, Abu Abd-Allah boleh mengalah. Penambah perisanya dalam sejarah Granada, kota tersebut dipendekkan umurnya oleh sekumpulan orang Islam yang disebut sebagai Mudejar.

Mudejar ialah orang Islam yang tinggal dibawah pemerintahan Kristian Sepanyol. Mereka juga bersama-sama dengan kerajaan Kristian Sepanyol meruntuhkan kerajaan Islam terakhir di bumi Iberia itu.

Mudejar dikatakan berasal daripada perkataan Mudajjan yakni orang yang dijinakkan (untuk berada dibawah naungan kerajaan Kristian Sepanyol) tetapi ada yang mengatakan bahawa ia daripada perkataan Mudajjal. Maknanya faham-faham sendirilah.

Tidak kurang juga antara mereka putera-putera raja Muslim Sepanyol yang mengira-ngira untuk mendapatkan laba daripada tuan kristian Sepanyol mereka samada menjadi menteri dan kekayaan melimpah atas upah khianat mereka. Mereka ini juga menjadi dajjal di sebalik runtuhnya kota Granada.

Tetapi janji hanya tinggal janji dan ia dimungkiri, sepertimana kata-kata bahawa manifesto itu bukannya janji. Tahun 1499 perjanjian itu diingkari. Cardinal Francisco Jimenez de Cisneros telah memulakan pengkristianan paksa orang Islam di Granada.

Rumah-rumah keturunan Muslim dipaksa menggantung babi, tanda mereka bukan lagi Islam. Inkuisi Sepanyol dimulakan. Sesiapa sahaja yang tidak Kristian Katolik disalib dan mata mereka dicungkil. Ribuan Muslimin dipaksa murtad.

Walaupun pemerintahan Abu Abd-Allah tidak sempurna (dan dikatakan beliau telah merebut kuasa daripada bapanya sendiri), tetapi beliau masih Islam dan iman umat Islam masih terjaga lagi terpelihara dibawah pemerintahannya yang dikritik lemah, lembab dan zalim.

Kezaliman ini bukan hanya dihadapi oleh orang Islam malah bangsa-bangsa lain seperti Yahudi juga turut dipaksa menukar agama, dihina, ditindas, diseksa malah dibunuh sewenang-wenangnya.

Jika dilihat senario hari ini, kita melihat hikmah mempunyai dan dinaungi oleh sebuah kerajaan Islam diambil mudah. Orang menganggap ia mudah datang dan mustahil untuk pergi. Malah ada yang menghasut rakyat menjatuhkan pemerintahan yang sedia ada dan menaikkan mereka sekalipun pakatan mereka ini bersekongkol dengan golongan liberal, promurtad dan pluralisme agama.

Alasan untuk menumbangkan kuasa sesuatu kerajaan Islam cukup mudah yakni atas nama memerangi korupsi, kezaliman dan kronisme. Ini adalah panji-panji murah yang dikibarkan oleh sesetengah pihak.

Malah rakyat dibisikkan dengan halwa telinga yang menyebabkan mereka bersikap sambil lewa. Telinga mereka didodoikan bahawa seandainya kerajaan baru tidak bagus mereka boleh menukar kerajaan sekali lagi dalam tempoh lima tahun.

Apa tindak balas orang Melayu dalam PKR, Pas dan DAP yang seolah-olah mereka sudah dijinakkan seperti mudejjar Kerajaan Kristian Sepanyol. Bagaimanakah mereka boleh menerima seorang pelopor kebebasan beragama termasuk murtad mengetuai mereka dalam demonstrasi yang menghuru-harakan negara?

Adakah nanti atas dasar sama-rata, negara akan mempunyai mufti beragama Hindu, Kristian ataupun Buddha? Nampak lucu tetapi usikan kearah itu sudah mula berlaku.

Menghairankan lagi mudejar-mudejar ini terus melakukan apa sahaja untuk menyedapkan hati sekutu mereka. Mereka memuji Nga Kor Ming sebagai pandai membaca al-quran tetapi musuh mereka yang beragama Islam pula dikatakan orang yang dibenci Tuhan.

Mereka sanggup menarik balik hukuman memotong rambut berlainan jantina yang sudah ada dalam kerangka undang-undang negeri selama hampir 20 tahun dalam masa dua hari setelah mendapat bantahan daripada sekutu kafir mereka. Tetapi tidak sanggup untuk menarik balik Amanat Tok Guru mereka yang jelas mempunyai unsur mengkafirkan sesetengah pihak sekalipun dirayu dan didesak selama hampir 30 tahun.

Mereka berbangga apabila Lim Guan Eng henda menjadi Umar Abdul Aziz tanpa menyedari bahawa Allah swt tidak akan memandang kepada bagaimana berazamnya seseorang kafir itu mencontohi kebaikan seorang mukmin melainkan si empunya badan itu melafazkan dua kalimah syahadah.

Apakah tidak sedih Umar Abd Aziz, apabila seorang yang kafir musyrik itu yang dipuja dan dipuji dan disamakan dengan beliau oleh orang yang mengaku muslim dan mukmin? Jadi, tidakkah sama nilai mereka ini dengan mudajjal?

Oleh itu, janganlah kerana digula-gulakan dengan orang lain pandai menyebut nama seorang dua khalifah Islam dan tahu barang satu dua ayat al-Quran dan hadis, kita hendak menggadaikan kuasa yang ada pada kita.

Ingatlah, orang Islam Granada dijanjikan perkara yang jauh lebih baik daripada Buku Jingga yang menjanjikan bulan dan bintang untuk memujuk mereka menyerahkan kuasa politik. Tetapi, harga yang perlu mereka bayar akhirnya adalah untuk berada di tiang-tiang salib dengan mata yang dikorek dan kaki tangan mereka dikudungkan serta akidah yang tergadai.


oleh Dr. Abu Uzma Abdul Rahman