Sunday, March 28, 2010

BILA TEMBELANG PKR DAH PECAH - APA KATA ANWAR



Carilah seribu alasan untuk menafikan kebenaran.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak suatu pun dosa yang lebih patut atau lebih berhak disegerakan hukumannya oleh Allah di dunia di samping nanti bakinya akan dikenakan lagi di akhirat, melainkan dosa berbuat aniaya (zalim) terhadap orang lain, dan memutuskan tali kekeluargaan (persaudaraan sesama islam).” (Hadis riwayat at-Tarmizi)

Daripada Abu Hurairah ra berkata : Rasulullah SAW bersabda :"Lagi akan datang kepada manusia tahun-tahun yang tandus (kemarau panjang). Dan pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang berpeluang bercakap hanyalah golongan "Ruwaibidhah". Sahabat bertanya, "Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?". Nabi SAW menjawab, "Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai".

Fikir-fikirkanlah..

-Jejaka Kecewa

VIDEO Tuan Guru Haji Lah dedah Nik Aziz amal Wahabi


-SUMBER PISAU.NET

Daripada Abdullah bin Amr bin ash' ra berkata : Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :" Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai peminpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain."

Daripada Abu Said Al-Kudri ra berkata : Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda :" Kamu akan mengikuti jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka". Sahabat bertanya, " "Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksudkan?" Nabi SAW menjawab, " Siapa lagi kalau bukan mereka".

Fikir-fikirkanlah...

-Jejaka Kecewa

AL-FATIHAH

Ahli Parlimen PKR Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, akibat barah otak. Marilah bersama sedekahkan al-fatihah keatas rohnya supaya dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.

Wednesday, March 24, 2010

JAWAPAN SOALAN PARLIMEN OLEH DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK MENGENAI GAGASAN 1 MALAYSIA

SOALAN
Tuan Alexander Nanta Linggi [ Kapit ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sejauh manakah Gagasan 1Malaysia telah berjaya menyatu padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama buat masa sekarang.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Izinkan saya menjawab soalan ini serentak dengan soalan yang dikemukakan oleh YB. Parit Sulong (No. 67) dan YB. Kepong (No. 74), serta soalan daripada YB. Jempol pada 23 Mac 2010, YB. Mas Gading pada 25 Mac 2010 dan YB. Hulu Terengganu pada 5 April 2010
Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah satu falsafah induk yang merentas dasar dan pelaksanaan. Ini kerana matlamat akhir 1Malaysia adalah perpaduan nasional yang mana pencapaiannya telah menjadi matlamat nasional secara berterusan semenjak negara mencapai kemerdekaan lebih lima puluh tahun dahulu. Ia telah menjadi keutamaan pentadbiran-pentadbiran Perdana Menteri yang terdahulu bermula dengan pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Hari ini pentadbiran saya akan meneruskan perjuangan untuk mencapai perpaduan nasional yang lebih sempurna sebagai matlamat perdana. Usaha untuk mencapainya bukan usaha yang bermusim. Ia ada titik permulaan sebermula negara mencapai kemerdekaan tetapi tiada titik noktah. Perpaduan Nasional adalah usaha yang memerlukan pembajaan dan penjagaan yang berterusan. Tugas ini diwarisi dari satu generasi Malaysia ke generasi yang berikutnya. Tanpa Perpaduan Nasional maka kestabilan politik yang menjadi kunci kepada kemakmuran dan kemajuan negara tidak akan dapat diwujudkan.
Sesungguhnya perubahan kerangka minda atau “mindset” merupakan perkara asas titik pencapaian 1Malaysia, tembok-tembok yang lama harus kita runtuhkan manakala jambatan-jambatan baru harus pula kita bina.
Prinsip pertama Perpaduan nasional ianya tidak boleh dipaksa atau diinstitusikan melalui penggubalan undang-undang semata-mata, untuk berkekalan ia harus datang secara sukarela hasil kesedaran setiap individu bahawa untung nasib mereka akan terpelihara secara kolektif.
Prinsip kedua ialah dasar dan pertimbangan yang adil dan saksama kepada semua kaum. Dengan ini tiada mana-mana kelompok etnik akan terasa terpinggir atau marginalized. Perpaduan Nasional lebih mantap jika prinsip ini dapat dihayati dan diterima pakai.
Waima apa pun, perlu ditegaskan bahawa Gagasan 1 Malaysia tetap berpaksi kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Prinsip dan semangat Perlembagaan Negara akan sentiasa menjadi landasan pembentukan Perpaduan Nasional.
Kejayaan Perpaduan Nasional boleh diukur dari sikap rakyat Malaysia pelbagai kaum terhadap saudara mereka dari kaum yang berbeza. Tahap terendah Perpaduan Nasional adalah sikap toleransi terhadap perbezaan yang wujud. Tahap kedua Perpaduan Nasional adalah penerimaan sepenuhnya terhadap perbezaan yang ada manakala Tahap ketiga Perpaduan Nasional yang merupakan tahap tertinggi adalah meraikan perbezaan. Dalam tahap ketiga ini perbezaan bukan lagi menjadi punca persengketaan tetapi telah berubah menjadi sumber kekuatan.
Penghalang terbesar kepada kejayaan pencapaian 1Malaysia atau Perpaduan Nasional yang lebih sempurna adalah kebimbangan serta ketakutan akibat prasangka dan prejudis yang tidak ditangani. Oleh itu kita semua sebagai rakyat Malaysia harus ikhlas memeriksa prasangka dan prejudis masing-masing kerana jika tidak kita berisiko untuk menzalimi saudara-saudara kita.
Janganlah kita terus memegang kepada prasangka dan prejudis tanpa mengetahui kebenaran yang pasti. Marilah kita bergerak dari mendefinisikan identiti kita berasaskan perbezaan yang wujud sesama kita kepada mencari titik-titik persamaan.
Saya ingin jelaskan bahawa kefahaman Gagasan 1 Malaysia mesti dilihat bersekali dengan ungkapan Rakyat di Dahulukan dan Pencapaian Diutamakan. Ini adalah kerana apapun tindakan Kerajaan akan lakukan fokusnya perlulah menjurus kepada kepentingan rakyat dan tindakan yang mementingkan pencapaian dan keberhasilan. Program seperti pelancaran Klinik 1 Malaysia adalah cerminan gagasan ini.
Di samping itu, saya berbangga dan bersyukur kerana dengan sambutan rakyat terhadap gagasan ini seperti yang disaksikan dalam lawatan-lawatan, tinjauan mesra atau ‘walkabout’ samada di kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street, Brickfield atau Lachau Ulu di Sarawak.
Hari ini Gagasan 1 Malaysia sudah menjadi satu pergerakan massa di akar umbi dan tidak tinggal sebagai satu inisiatif ‘top-down’ atau prekarsa kerajaan semata-mata.
Saya berasa kagum bahawa sebutan Salam 1Malaysia sudah menjadi kelaziman ramai pihak. Tambahan pula banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk meraikan dan mengenalpasti dengan lambang 1 Malaysia secara simbolik seperti perkahwinan 1 Malaysia di antara 4 pasangan di Kapar baru-baru ini yang terdiri dari 2 pasangan Melayu, 1 Cina dan 1 India yang disaksikan oleh saya sendiri.
Simbol 1 Malaysia juga sudah menjadi sangat popular digunakan oleh Badan Korporat, Badan Sukarela dan juga sebagai simbol dan motif dalam bentuk pakaian.
Untuk 1Malaysia berjaya ia memerlukan komitmen semua pihak. Kita tidak mempunyai pilihan lain selain berjaya mencapainya. Alternatif kepada kejayaan 1Malaysia adalah sebuah negara Malaysia yang berpecah belah, tidak stabil dan lemah. Demi untuk anak-anak kita ini bukanlah masa depan yang kita dambakan.
Kerajaan yakin dan percaya Gagasan 1 Malaysia boleh menjadi Formula Nasional yang boleh memupuk keujudan Bangsa Malaysia dan seterusnya berjaya menyatukan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Sekian, Terima kasih.

Wednesday, March 17, 2010

PEMIMPIN DIMINTA CONTOHI PM TURUN PADANG BERTEMU RAKYAT - AGONG

KUALA LUMPUR, 15 Mac 2010 (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Isnin menyeru semua pemimpin di negara ini supaya mencontohi sikap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup turun ke padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami masalah mereka.

Seri Paduka bertitah, sejak tampuk pemerintahan diambil alih oleh Najib, beliau telah berjaya melaksanakaan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Beta mengucapkan tahniah kepada Mamanda Perdana Menteri dan barisan Jemaah Menterinya kerana sejak 11 bulan yang lalu, kerajaan Beta di bawah kepimpinan Mamanda Perdana Menteri telah berjaya melaksanakan pelbagai program demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

"Para pemimpin hendaklah mencontohi Mamanda Perdana Menteri dengan turun padang untuk mendampingi rakyat bagi memahami dengan lebih dekat akan masalah mereka dan jalinkan hubungan yang rapat dengan rakyat di semua peringkat," titah baginda semasa merasmikan penggal ketiga Parlimen ke-12 di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah turut berangkat ke istiadat itu.

Ini merupakan kali pertama Tuanku Mizan menyampaikan titah sejak Najib menjadi Perdana Menteri keenam.

Seri Paduka bertitah baginda menyambut baik gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan - yang berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Beta telah menetapkan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA yang perlu dicapai iaitu meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambah baik pengangkutan awam, memerangi rasuah, mengurangkan kadar jenayah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah," titah baginda.

Tuanku Mizan turut menyifatkan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan yang dilancarkan pada 28 Jan lepas sebagai satu program yang berani.

"Beta sukacita rakyat menyambut baik akan komitmen-komitmen kerajaan tersebut.

"Rakyat hendaklah berganding bahu bersama-sama kerajaan Beta agar Program Transformasi Kerajaan berjaya dilaksanakan," titah baginda.

SUMBER : BERNAMA

Sunday, March 14, 2010

HUDUD & QISAS

Pengertian Hudud dari segi bahasa bererti menahan atau mencegah. Dari segi istilah hudud ditakrifkan sebagai hukuman yang telah ditetapkan oleh nas-nas Al-Quran dan AsSunnah yang wajib dilaksanakan. Qisas pula dari segi bahasa bermaksud memotong dan dari segi syarak bererti hukuman yang ditetapkan oleh syarak melalui nas-nas Al-Quran dan Hadis-hadis Nabi saw. kerana kesalahan-kesalahan yang melibatkan hak individu.

Dua hukum jenayah islam diatas boleh dilaksanakan di Malaysia sekiranya umat islam mendapat undian majority 2/3 di dalam Parlimen mahupun di Dewan Rakyat. Pada waktu ini ramai yang menuduh kerajaan Barisan Nasional atau UMNO tidak mahu melaksanakan hukuman ini dan tuduhan ini sama sekali tidak berasas. Kerajaan tidak dapat melaksanakannya kerana tidak mendapat sokongan dalam majority di Parlimen.

Mengapa kerajaan negeri yang diterajui PAS di Kedah tidak mampu untuk melaksanakan hukuman hudud dan qisas ini sedangkan sebelum ini doktrin-doktrin merekalah yang beria-ria menuntut supaya ianya dilaksanakan. Apabila telah memegang tampuk pemerintahan mereka mula memberi seribu alasan dengan mengatakan ‘dulu kita tak tahu sekarang dah memerintah baru tahu’. Walhal mereka tidak melaksanakannya kerana mereka tunduk kepada tekanan DAP dalam Pakatan Rakyat. DAP pernah menyatakan ‘langkah mayat kami dulu sekiranya hendak melaksanakan hudud’ tetapi PAS masih lagi mahu bersekongkol dengan mereka. Apakah ini yang dikatakan parti yang memperjuangkan ISLAM?.

Kami ingin menegaskan kepada doktrin-doktrin PAS ini bahawa UMNO bukan menolak untuk melaksanakan hukuman hudud dan qisas ini. Sekiranya kita mendapat sokongan majority UMNO pasti telah melaksanakannya. Apakah wajar untuk menyalahkan UMNO sedangkan mereka sendiri tidak memberikan sokongan majoriti?.

-Biro Agama UCBA

Thursday, March 4, 2010

NILAI DIRI SENDIRI SEBELUM DINILAI RAKYAT - NAJIB

BANDAR JENGKA, 19 Feb 2010 (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin Umno dan anggota Umno perlu bermuhasabah diri dan menilai diri sendiri sebelum mereka kelak dinilai oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata proses bermuhasabah itu bukanlah bertujuan mencari atau menuding jari mencari kesalahan dan kelemahan pemimpin atau pihak lain, sebaliknya bermuhasabah mencari kelemahan diri sendiri.

"Menerusi proses muhasabah ini, kita perlu membuat kesimpulan apa bentuk kejayaan untuk diserlahkan oleh kita dan apa kelemahan yang perlu diperbaiki," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Umno Pahang di sini, Jumaat.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin-pemimpin Umno bahagian.

Konvensyen selama tiga hari itu yang bermula hari ini sehingga Ahad dihadiri 1,400 peserta yang terdiri daripada anggota Umno Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta wakil-wakil Badan Bukan kerajaan (NGO). "Jadi kita kena nilai diri sendiri, lebih baik nilai diri sendiri dahulu, sebelum dinilai oleh rakyat. Bila menilai diri sendiri, kita harus lihat daripada pelbagai persepektif, lihat perspektif rakyat, lihat daripada persepektif orang yang akan menilai kita," katanya.

Najib berkata kegagalan Barisan Nasional memperoleh dua pertiga pada pilihan raya umum lepas dan kalah di lima buah negeri bukanlah disebabkan pihak pembangkang "menang", sebaliknya Umno dan Barisan Nasional "kalah".

Najib turut menempelak wakil rakyat yang tidak mahu menunjuk muka atau tidak dekat di hati rakyat.

"Tunjuklah muka pada rakyat, jangan tunjuk muka pada pemimpin. Saya dah lama berpolitik, saya tahu ada yang sanggup tunggu saya di lapangan terbang sebab nak salam dan tunjuk muka kat saya, tunjuk muka kat saya, buat apa?" kata Najib.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib ketika ditanya tentang pencapaian wakil rakyat BN, berkata semua wakil rakyat perlu bermuhasabah dari semasa ke semasa supaya mereka dapat memperbaiki kelemahan diri masing-masing.

"Saya tidak anggap semua orang termasuk diri saya tak boleh melakukan perkara ini sebab kita kalau kita lakukan perkara ini dengan jujur, parti kita lebih kukuh, lebih mantap dan kita akan jadi pemimpin yang lebih berkesan," katanya.

Najib berkata pada umumnya, pencapaian keseluruhan wakil rakyat BN adalah positif.

"Pada umumnya keadaan lebih positif, tapi tak boleh anggap bahawa kedudukan kita ini terlalu selesa, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku.

"Saya masih lagi percaya kita perlu beri tumpuan kepada kerja-kerja asas sebagai wakil rakyat, dan sebagai ahli parti, kalau, kita dapat lakukan segala-galanya yang disenangi rakyat saya percaya kita boleh berjaya," katanya.

Najib turut berharap konvensyen Umno yang pertama di peringkat negeri untuk tahun ini itu akan dapat menghasilkan pelan tindakan terbaik dalam usaha memartabatkan lagi perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan negara.

SUMBER : BERNAMA