Saturday, February 20, 2010

PAHIT TAPI BENAR

Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan pasukan tentera di dalam peperangan adalah bergantung kepada sumber pemakanan yang cukup sepanjang peperangan berlaku. Sejarah juga telah membuktikan bahawa kebanyakan pasukan tentera yang kalah dalam peperangan adalah kerana kekurangan sumber makanan dan peralatan. Seorang General perlu memastikan sumber makanan yang cukup untuk setiap seorang dari askarnya supaya mereka berada dalam keadaan yang baik sebelum berperang. Ini bagi memastikan kemenangan untuk berpihak kepadanya.

Begitu juga sekiranya seorang pengurus syarikat yang ingin memastikan pekerja-pekerja mereka sentiasa berada dalam keadaan baik serta memastikan tahap kerja yang berkualiti, pelbagai insentif akan diberikan untuk pekerja mereka. Kadangkala setiap penghujung tahun bonus akan diberikan. Semua ini adalah untuk memastikan tahap disiplin dan integriti yang baik untuk setiap pekerja.

Pentadbiran sesebuah pertubuhan juga mempunyai konsep yang sama. Pemimpin wajib menjaga ahlinya dengan baik. Tetapi apa yang berlaku kini ianya amat berbeza sekali. Kadangkala terasa seolah seperti pemimpin kini mengabaikan ahlinya dari aspek kehidupan.

Pada waktu sebelum kemerdekaan, perjuang ketika itu berjuang diatas dasar ikhlas kerana mereka pada ketika itu masing-masing memang tidak punya apa-apa. Kemudian mereka tetap ikhlas berjuang bersama untuk mengubah taraf hidup yang lebih baik. Hasil perjuangan yang mereka capai dapat dikongsi sebaiknya secara bersama.

Selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, corak dan landskap kehidupan telah berubah. Semua yang tiada sudah diwujudkan oleh pejuang terdahulu dan pelbagai kemudahan yang telah dinikmati sehingga kini. Malangnya ada diantara mereka yang berjasa tidak mempunyai apa-apa manfaat dari perjuangan mereka. Kadangkala kerja pun tiada kerana sibuk mementingkan perjuangan mereka. Ini yang sering dipersoal oleh generasi baru dan pejuang selepas kemerdekaan. Mereka telah menyaksikan ahli keluarga mereka berjuang bermatian dalam parti tetapi taraf kehidupan mereka tidak seperti yang diharapkan malah lebih teruk dari orang yang mereka perjuangkan. Orang yang mereka perjuangkan dapat hidup selesa tetapi mereka dipinggirkan. Apakah ini penghargaan yang diberi diatas jasa mereka?. Walaupun jasa mereka dikira kecil tetapi mereka tetap berjasa. Suara ini seringkali disangkal dengan pelbagai alasan dan menyebabkan mereka terlalu kecewa kerana pandangan mereka diketepikan. Inilah punca mereka menjauhkan diri dari politik dan mementingkan kerjaya. Ada sesetengah dari mereka kerjaya pun tiada.

Sekiranya kalah dalam peperangan janganlah dipersalahkan prajurit. Kekalahan itu berpunca dari kelemahan kita sendiri yang salah satunya disebabkan kekurangan makanan dan peralatan. Jangan kita menafikan fakta ini. Sejarah telah membuktikan apabila tentera German yang dipimpin oleh Hitler mengalami kekalahan teruk di Rusia adalah semata-mata disebabkan kerana kekurangan bekalan makanan dan bukannya kerana tiada semangat juang. Semangat juang mereka amat tinggi pada ketika itu tetapi apakan daya kekuatan fizikal tiada.

Dalam sejarah juga telah membuktikan mana-mana organisasi mahupun negara, sekiranya mempunyai tahap kewangan yang baik serta kukuh mereka akan disegani dan dihormati malah apa yang diperjuangkan akan menjadi ikutan. Fakta ini jangan kita nafikan dengan pelbagai alasan kerana sejarah telah membuktikannya.

Penulisan ini berdasarkan pemerhatian di setiap kawasan. Sebagai bidalan, pohon walau sebesar mana sekalipun sekiranya ia kekurangan baja dan air pastinya akan mati dan tumbang. Kita mungkin tidak ingin pohon yang dibina selama 63 tahun tumbang begitu sahaja kerana akar-akarnya kekeringan. Kadangkala orang tidak melihat bagaimana keadaan akar kerana sibuk melihatkan daun yang rendang.

-Pejuang kecewa

Monday, February 8, 2010

1Malaysia Perjuangan Berterusan Untuk Keadilan Sosial, Kata PM

IPOH, 19 Okt – Gagasan 1Malaysia bukan satu perkara yang retorik dan gimik politik atau hanya slogan semata-mata tetapi ia adalah satu perjuangan untuk berlaku adil kepada setiap rakyat, merentasi batas kaum dan agama.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata di bawah gagasan 1Malaysia itu, terkandung prinsip keadilan sosial yang akan terus diperjuangkan.

“Apabila melihat salah satu prinsipnya iaitu prinsip keadilan sosial, mesti berlaku adil, supaya adil kepada orang Melayu yang mana patut diperjuangkan untuk orang Melayu, yang mana perlu beri kepada orang Cina kita beri, yang mana perlu diberi kepada orang India kita bagi.

“Jangan ada mana-mana kelompok dalam masyarakat yang rasa dia terpinggir daripada kerajaan, tidak dapat bantuan daripada kerajaan,” katanya ketika berucap melancarkan program ‘1Malaysia Bersama Rakyat Negeri Perak’ di Stadium Perak di sini Ahad malam.

Beliau juga berkata hasrat besar kerajaan di bawah model ekonomi baru untuk membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi memerlukan kemahiran dan kepakaran semua kaum dengan semangat 1Malaysia.

Najib berkata untuk menjayakan hasrat menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi setanding negara maju lain di dunia, semua kaum di Malaysia tidak boleh melihat hanya dari sudut kaum tertentu sahaja.

“Kita bercita-cita besar untuk membawa negara kepada satu lagi peringkat transformasi yang lebih besar, Malaysia tidak mahu kekal sebagai negara berpendapatan pertengahan, hasrat kita mahu jadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi untuk bersama-sama negara maju yang lain.

“Untuk itu perlukan kemahiran dari semua kaum, perlukan kepakaran dari semua kaum. Kita perlu semua kaum melihat bukan dari sudut kaum masing-masing tetapi melihat berkenaan negara Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata gagasan 1Malaysia juga adalah pendekatan untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi membina sebuah negara bangsa Malaysia.

Katanya matlamat melahirkan bangsa Malaysia bukan bererti setiap rakyat merasai dirinya lebih Melayu, Cina atau India sebaliknya seluruh rakyat perlu menerima kepelbagaian itu sebagai satu kekuatan untuk membina negara bangsa.

“Kita terima kepelbagaian itu sebagai satu kekuatan, sebagai sesuatu yang baik untuk kita. Kita bukan gunakan toleransi sahaja kerana kalau toleransi sahaja, kita tidak akan senang hati dengan konsep 1Malaysia, itu sebab perlu melihat kepelbagaian itu sebuah kekuatan,” katanya.

Najib berkata gagasan 1Malaysia bukan bermakna mengambil hak sesuatu kaum dan diberi kepada kaum yang lain, sebaliknya setiap peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan permuafakatan antara kaum akan dipertahankan.

“Gagasan 1Malaysia adalah berlandaskan perlembagaan negara dan permuafakakan antara kaum namun, kita mampu berlaku adil kepada semua kaum,” katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini, gagasan 1Malaysia yang dicetuskannya diterima baik oleh seluruh rakyat pelbagai kaum dan agama dan mereka merasa wujudnya ’sense of belonging’ kepada negara.

“Sekarang bila sebut 1Malaysia, setiap rakyat merasai ’sense of belonging’. Selama ini jika kita sebut bumiputera ada juga yang rasa itu bukan ’sense of belonging’, bila sebut 1Malaysia kita adalah satu keluarga yang lebih besar,” katanya.

– BERNAMA

Wednesday, February 3, 2010

NAJIB AJAK RAKYAT BERSATU TENTANG CUBAAN GUGAT KEHARMONIAN

KUALA LUMPUR, 31 Jan 2010 (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu menentang cubaan liar menggugat keharmonian negara, termasuk beberapa serangan terhadap rumah ibadat baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata beliau terharu dan mendapat inspirasi daripada bantahan yang disuarakan oleh pelbagai pihak di seluruh negara yang mengutuk perbuatan demikian.

Katanya bantahan dan kemarahan pelbagai pihak yang bergema dari seluruh negara terhadap segelintir individu yang bertindak jahat itu mencerminkan semangat sebenar 1Malaysia atau perpaduan dalam kepelbagaian.

"Saya tahu ada pihak yang mengkritik 1Malaysia. Saya tahu sesetengah rakyat Malaysia begitu cepat menolak atau memperkecil-kecilkannya. Saya tahu ada pihak yang mempersoalkan isinya. Kepada mereka yang mempunyai keraguan mengenainya, saya ingin katakan: 1Malaysia bertujuan mulia.

"Ia merupakan seruan ke arah tindakan yang berasaskan nilai-nilai asas yang telah wujud sejak sekian lama dan sentiasa menjadi amalan kita seperti integriti dan kesetiaan...yang menjadi identiti rakyat Malaysia," tulis Najib dalam blog beliau www.1malaysia.com.my blog.

Perdana Menteri berkata kejadian baru-baru ini bukan saja merupakan penghinaan terhadap kepercayaan agama, tetapi juga satu perbuatan yang jelas bertentangan dengan semangat dan matlamat 1Malaysia.

"Ia suatu cubaan bagi menggagalkan usaha kita untuk mencapai penerimaan dan kemajuan, kesaksamaan dan lebih buruk lagi, merupakan cubaan untuk menyemai bibit-bibit yang menentang sikap toleransi.

Bagaimanapun, unsur paling membimbangkan ialah emosi yang mendorong individu terbabit bertindak demikian. Mentaliti inilah yang perlu dikenalpasti dan diperbetulkan.

"Kita tidak boleh sekali-kali menerima sikap tidak bertoleransi dan perbuatan menghancurkan masyarakat kita. Saya juga menyarankan kepada ibu bapa, guru dan pemimpin supaya mendidik anak-anak kita supaya bangun menentang cubaan liar bagi menggugat keharmonian antara kita...hanya melalui cara inilah Malaysia akan menjadi lebih kuat dan sejahtera," kata beliau.

-Bernama