Saturday, January 28, 2012

Lebih 200 ahli Pas Teloi Timur mohon sertai UMNO

SIK 27 Jan. - Rasa tertipu dengan slogan yang gagal dilaksanakan oleh Pas, dua pemimpin parti itu di Teloi Timur di sini bertindak meninggalkan Pas dan hari ini memohon menjadi ahli UMNO.

Bagi mereka perjuangan Pas kini sudah terpesong daripada matlamat asal parti itu yang diasaskan untuk menegakkan perjuangan Islam tetapi parti itu kini menjadi kuda tunggangan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Shahril Yahya, 45, bekas Ketua Penerangan, dan Roshdi Sobri, 35; bekas Setiausaha PAS Teloi Timur dan Majlis Ketua Kampung (MKK), bertindak meninggalkan perjuangan Pas bersama lebih 200 bekas ahli Pas dan penyokong parti itu yang mereka dakwa sudah terpesong.

Shahril berkata, dia kecewa dan kesal kerana Pas tidak melakukan sesuatu seperti yang mereka nyatakan dalam manifesto Pas dalam Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu.

"Hingga kini Pas terutama di Kedah gagal melunaskan janji mereka kepada rakyat dan gagal sama sekali mengotakan kata-kata dan melaksanakan perjuangan Pas yang dilabelkan sebagai parti Islam,” katanya. - BERNAMA

Sunday, January 22, 2012

Satu lagi inisiatif kerajaan Barisan Nasional bela nasib nelayan

KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM5,000 ke RM10,000 untuk membaik pulih rumah masyarakat nelayan dalam usaha membela nasib golongan itu di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, borang permohonan untuk inisiatif yang akan dilaksanakan sedikit masa lagi itu sedang diedarkan melalui persatuan-persatuan nelayan di setiap negeri.

"Saya faham nelayan perlukan bantuan, sebab itu kita lakukan sesuatu untuk mereka dan pada pembentangan Bajet 2012 saya ada umumkan Tabung Khas Perumahan Nelayan bernilai RM300 juta," katanya.

Menurut laporan, terdapat kira-kira 100,000 penduduk di negara ini menjadi nelayan dengan 84,254 orang daripadanya menjadi ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT).

"Saya umum tabung ini kerana tergambar dalam kepala saya rumah nelayan yang daif, robek dan perlu kepada penambahbaikan. Tetapi, nak buat rumah baru boleh, tapi saya dengar khabar, nelayan ni tak boleh tidur kalau tak dengar bunyi ombak, mesti tepi laut, nak pindahkan ke kawasan lain susah.

"Jadi, sebahagian daripada RM300 juta itu kita akan guna untuk menambah baik rumah-rumah nelayan di seluruh negara dengan peruntukan untuk setiap rumah yang akan dibaik pulih dalam RM5,000 ke RM10,000," katanya ketika melancarkan Program Ihsan Samudera Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur dan Pengarah Program Ihsan Samudera, Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman.

Program Ihsan Samudera dianjurkan oleh Yayasan 1MDB dan Yayasan Felda dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kerajaan negeri.

Perdana Menteri dalam pada itu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM63 juta untuk membaik pulih projek perumahan nelayan Kampung Bunut Rendang di sini yang sudah 15 tahun tergendala.

"Insya-Allah kita akan baik pulih segera projek perumahan yang tergendala ini. Ini adalah atas usaha kerajaan negeri Pahang, di bawah pimpinan Menteri Besar," katanya.

-Utusan

Najib beri tempoh 3 bulan

KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'

"Sebelum ini saya dengar yang di bawah, kenaikannya terlalu rendah dan yang di atas kenaikannya terlalu tinggi, macam-macam saya dengar.

"Tak apalah, saya bagi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa ini kaji semula dan insya-Allah kita akan dapatkan hasil yang disifatkan sebaik-baiknya supaya kita dapat memberi kepuasan kepada semua," katanya.

Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Awam bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini hari ini.

Majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu disertai kira-kira 7,000 kakitangan awam melibatkan pelbagai peringkat termasuk Pusat dan negeri.

Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan setelah Najib mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu.

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Najib sekali lagi mengingatkan penjawat awam bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir maka sebab itu pendekatan sekarang adalah secara merendah diri.

Katanya, malah beliau sendiri tidak boleh mendakwa bahawa kerajaan yang ada sudah cukup sempurna dan mana-mana kepincangan yang wujud perlu diperbetulkan dan ditambah baik.

"Kalau rakyat kata tak betul, kita lakukan penambahbaikan, kalau sudah laksanakan pun, kalau perlu kaji, kita kaji balik. Yang penting sekali, rakyat terbela sepenuhnya," jelasnya.

Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian subsidi secara langsung seperti menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat memberi impak besar kepada penerima yang cukup menghargainya.

Katanya, ini berbeza dengan pemberian subsidi tidak langsung seperti petrol, gas memasak dan barangan keperluan asas lain walaupun jumlahnya melibatkan peruntukan yang jauh lebih besar.

"Subsidi untuk keperluan asas ini bertambah setiap tahun dengan tahun ini sahaja kita sediakan RM22 bilion untuk membantu rakyat. Tetapi anehnya yang BR1M ini kita bagi RM500, dia punya impak lebih daripada RM22 bilion.

"Saya semalam di Wilayah Persekutuan, tengok penerima dapat RM500, cium tangan kita tahap lain macam. Rupanya impak tunai lain, ia berkait psikologi manusia. Bila dapat tunai, orang Kedah kata 'ketaq lutut.'

"Apa pun kita buat ini kerana rakyat perlukan bantuan kerajaan yang kita boleh berikan hasil daripada perancangan jangka panjang kita," ujarnya.

Sunday, January 15, 2012

PM suarakan kegembiraan terhadap komitmen kaum India

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan kegembiraannya terhadap komitmen dan kepercayaan atau ”nambikei” kaum India di Malaysia, dengan berkata, kepercayaan yang utuh adalah sangat penting “sambil kita bersama-sama melakukan transformasi ke atas Malaysia”.

Menerusi mesej yang dimuatkan dalam laman blog www.1Malaysia.com.my sempena sambutan pesta Ponggal hari ini, Perdana Menteri berkata, sebagai rakyat Malaysia “kita akan terus bekerja bersama-sama untuk melakukan transformasi ke atas Malaysia dan oleh itu memastikan segala-galanya cukup bagi semua kaum.”

"Sambil kita berkongsi budaya rakan-rakan kita dan tradisi mereka menanak susu dan beras sehingga mendidih sebagai melambangkan limpahan kekayaan dari bumi kita, semua rakyat Malaysia sesungguhnya boleh bersyukur kerana Malaysia sebuah negara yang subur dan menghasilkan banyak makanan,” katanya.

Najib turut menggambarkan Ponggal atau pesta menyambut musim menuai sebagai masa yang istimewa bagi kaum India memandangkan ia menandakan permulaan bulan ”Thai” yang baik dalam kalendar India dan kebetulan menjadi pesta utama yang pertama bagi masyarakat India dalam tahun baru ini.

"Sambil semua rakyat Malaysia melangkah ke tahun 2012 dengan keyakinan dan azam yang diperbaharui, kita sekali lagi diingatkan tentang kekayaan kepelbagaian negara yang kita sokong dan pupuk dengan bangga ini,” katanya.

Perdana Menteri turut mengucapkan ”Ponggal Vaalthukal” dan selamat menyambut ”Ponggal” kepada seluruh masyarakat India di Malaysia. – BERNAMA

BN Selangor Biaya Kos Guaman Kes Injunksi Peniaga Kompleks PKNS

KUALA SELANGOR, 15 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Selangor akan membiayai kos guaman berjumlah RM50,000 dalam kes mahkamah yang difailkan oleh 100 peniaga di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam terhadap kerajaan negeri berhubung kenaikan kadar sewa premis perniagaan itu.

Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan menaikkan kadar sewa premis perniagaan di PKNS sehingga 100 peratus adalah tidak munasabah dan membebankan penyewa di bangunan yang menjadi identiti negeri ini.

"Kita akan bantu biaya kos guaman yang terpaksa ditanggung oleh peniaga, saya dimaklumkan kerajaan Selangor sedang berusaha mengetepikan injuksi kenaikan kadar sewa berkenaan," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan baucar tunai sempena pelancaran Program Bantuan Rakyat 1Malasyia (BR1M) Selangor Fasa pertama di sini, hari ini.

Beliau turut membidas kerajaan Selangor kerana gagal menunaikan janji mereka untuk mewujudkan lebih banyak premis perniagaan selepas mentadbir negeri berkenaan.

"Inilah sikap mereka, janji macam-macam, konon mahu sediakan premis perniagaan yang lebih banyak. Sedangkan apa yang mereka tahu naikkan sewa, jual bangunan," katanya.

Pada 14 Dis tahun lepas, seramai 100 peniaga di PKNS Shah Alam mendapat perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menghalang cadangan PKNS menaikkan kadar sewa ruang niaga di kompleks itu bermula tahun ini.

Persatuan peniaga Kompleks PKNS memfailkan injunksi (perintah sekatan) berkenaan bagi menghalang kenaikan kadar sewa premis perniagaan sebanyak 70 hingga 100 peratus di kompleks itu.

Noh berkata kerajaan BN berjanji tidak akan menaikkan kadar sewa di premis berkenaan sekiranya berjaya memerintah semula Selangor pada pilihan raya umum akan datang.

Mengulas dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa Umno sudah tidak layak mengurus Dasar Ekonomi Baru (DEB) ketika berucap pada konvensyen Pakatan Pembangkangu di Alor Setar, Kedah, beliau berkata Abdul Khalid perlu menyemak sejarah sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan.

Katanya, Abdul Khalid sepatutnya bersyukur kerana beliau sendiri menerima manfaat daripada DEB sehingga mendapat peluang menjadi dirinya pada hari ini termasuk peluang melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

"Dia berada di tempat dia sekarang pun disebabkan DEB," katanya.

Noh berkata tujuan DEB diwujudkan adalah supaya semua kaum di Malaysia mendapat peluang yang sama termasuk dalam bidang pengajian dan pekerjaan.

Beliau berkata DEB bertujuan menyeimbangkan keperluan rakyat berbilang bangsa contohnya semua kaum dapat menghuni di kawasan desa atau di bandar dan bukan seperti sebelum DEB diperkenalkan iaitu kawasan bandar hanya didiami oleh kaum tertentu sahaja.

Katanya, melalui DEB juga kerajaan dapat memastikan bilangan profesional dalam sesuatu bidang itu seimbang antara semua kaum.

"Kerajaan juga berjaya mempastikan semua kaum mendapat kemudahan dan manfaat sama rata dalam bidang pendidikan serta ekonomi di negara ini melalui pelaksanaan DEB," katanya.

Dalam laman portal berita tvsnews.net, Abdul Khalid dilaporkan berkata pelaksanaan DEB oleh pentadbiran Umno-BN merupakan contoh paling ketara kegagalan mereka (Umno-BN) untuk menggunakan kekayaan negara bagi mengangkat martabat masyarakat Melayu.

-- BERNAMA

Transformasi pendidikan, modal insan asas negara maju

PEKAN 15 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju tidak akan tercapai jika transformasi dalam bidang pendidikan dan modal insan tidak dilakukan dengan sebaiknya.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan jumlah yang besar dalam bidang pendidikan dan ia perlu didokong semua pihak termasuk rakyat bagi merealisasikan hasrat mencapai sebuah negara maju.

"Bidang pendidikan adalah satu bidang keutamaan yang perlu diperjuangkan, yang perlu disuntik dari segi kewangan, prasarana serta dokongan moral semua pihak termasuk rakyat," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian anugerah cemerlang pelajar UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) Parlimen Pekan di sini hari ini.

Najib berkata, sebanyak 22 peratus daripada belanjawan negara setiap tahun adalah diperuntukkan untuk bidang pendidikan, yang membuktikan kerajaan amat menekankan pencapaian cemerlang bidang pendidikan negara.

"Selain itu, kita tambah lagi peruntukan menerusi badan-badan dan yayasan seperti di Pahang, Yayasan Pahang untuk memajukan bidang pendidikan negara, kita juga cari dari sumber-sumber lain untuk bidang pendidikan, malah peruntukan untuk wakil rakyat juga banyak disalurkan untuk bidang pendidikan.

"Apa yang kita ingin capai untuk menjadi sebuah negara maju tak mungkin jadi kenyataan jika kita tidak dapat bangunkan jumlah modal insan, jumlah yang mencakupi dalam bidang-bidang penting," katanya.

Najib berkata, semua lapisan rakyat perlu mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020 dengan menekankan pencapaian cemerlang anak-anak mereka dalam bidang pendidikan.

Terdahulu ketika berucap pada majlis perasmian pusat komuniti perumahan bersepadu kampung Padang Rumbia, dekat Paloh Hinai, Najib berkata, usaha transformasi menjadikan negara maju perlulah didokong semua pihak. - BERNAMA

102 ahli PAS Gombak masuk UMNO


Melalui maklumat, seramai 102 orang penyokong PAS sejati telah menyerahkan borang UMNO. Mengikut kata salah seorang daripada mereka En Ahmad Rezaien, mereka merasakan perpecahan didalam PAS serta perjuangan yang seakan lari daripada landasan membuatkan mereka membuat keputusan menyertai Parti UMNO yang jelas dengan perjuangan Islam, Melayu dan Malaysia.

-source disini

Saturday, January 14, 2012

PASTIKAN BN MEMERINTAH SEMUA MASALAH SELESAI DI SELANGOR - PM

SHAH ALAM, 13 Jan – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata banyak masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor di bawah kerajaan negeri pakatan pembangkang akan dapat diselesaikan jika kerajaan Barisan Nasional (BN) mengambil alih negeri itu.

Perdana Menteri berkata selepas empat tahun mentadbir negeri Selangor sejak pilihan raya umum 2008, kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang masih tidak menunaikan janji-janji mereka sehingga menyebabkan sesetengah pihak berasa kecewa.

Najib berkata demikian semasa berucap pada Program Sepetang Bersama Perdana Menteri di Pangsapuri Rimba Jaya di sini sempena lawatan beliau ke negeri Selangor di bawah Program Nurani Rakyat Sayangi Selangor Yakini BN, hari ini.

Beliau berkata antara masalah yang dihadapi oleh rakyat Selangor kini ialah masalah air, sampah sarap dan para peniaga kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang menghadapi cadangan kenaikan sewa ruang niaga yang mencecah sehingga 100 peratus.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan memberikan peruntukan bagi membina sebuah surau yang amat diperlukan oleh penduduk-penduduk di pangsapuri itu.

“Saya lihat pangsapuri Rimba Jaya memang memerlukan sebuah surau yang baru kerana saya telah dibawa berjemaah Asar petang tadi, tentu kawasan itu tak sesuai untuk kita terus kekalkan sebagai surau kawasan pangsapuri ini,” katanya.

Buat masa ini penduduk menggunakan ruang tingkat bawah pangsapuri itu sebagai surau yang hanya boleh memuatkan antara 50 dan 60 jemaah pada sesuatu masa.

Selain itu, Najib berkata Kerajaan Persekutuan akan membiayai pembinaan sebuah kuil baru untuk masyarakatIndiadi kawasan pangsapuri itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mengumumkan jumlah peruntukan yang akan diberikan untuk kedua-dua rumah ibadat itu.

Mengenai masalah sesetengah bekas penghuni setinggan Rimba Jaya dahulu yang tidak dapat berpindah semula ke pangsapuri ini, beliau meminta tempoh masa untuk mengkaji jalan penyelesaian kepada masalah itu.

Dalam ucapan aluannya pada majlis itu, Penyelaras BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Zulkarnain Osman berkata terdapat bekas penghuni setinggan itu yang tidak dapat berpindah ke unit yang disediakan untuk mereka di pangsapuri Rimba Jaya kerana tidak mendapat pinjaman bank.

Sementara itu, Najib turut melawat para peniaga di Kompleks PKNS selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Negeri tengah hari tadi.

Beliau turut dimaklumkan oleh para peniaga berkenaan bahawa pakatan pembangkang banyak menabur janji manis sebelum berkuasa dahulu tetapi setelah berkuasa mengenakan kenaikan sewa bulanan yang keterlaluan sehingga mencapai 100 peratus.

“Pengerusi Persatuan (Peniaga-peniaga Kompleks PKNS) tadi minta (Kerajaan Persekutuan) ambil alih Kompleks PKNS…kalau ambil alih kerajaan negeri akan kenakan syarat yang menyusahkan.

“Adalah lebih baik jika BN mengambil alih semula kerajaan negeri kerana bukan sahaja masalah peniaga itu selesai tetapi masalah sampah sarap, air dan pangsapuri Rimba Jaya akan selesai,” katanya.

Najib, yang telah melakukan lawatan sebanyak tiga kali ke Selangor bulan ini, turut mengucapkan terima kasih kepada para penduduk pangsapuri itu kerana memberikan sambutan hangat kepada lawatan beliau itu.

-sumber disini

Najib beri amanat kepada jentera pilihan raya BN Selangor

SHAH ALAM 13 Jan. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan pertemuan lebih dua jam dengan pemimpin akar umbi Barisan Nasional Selangor sebagai persiapan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Seramai 1,300 orang termasuk 894 ketua pusat daerah mengundi hadir dalam perjumpaan tertutup itu di Dewan Sri Bestari, Intekma Resort, Seksyen 6, di sini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut memberikan amanat kepada jentera pilihan raya BN pada perhimpunan itu yang bermula pada 8.30 pagi.

Najib, yang juga Pengerusi BN Selangor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, tiba pada 10.20 pagi dan disambut oleh pemimpin-pemimpin BN negeri dan pusat sebelum menyampaikan amanatnya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Presiden MIC Datuk G.Palanivel, Pengerusi MCA Selangor Datuk Donald Lim Siang Chai dan Presiden PPP Datuk M. Kayveas.

Selepas majlis itu, Perdana Menteri menunaikan Solat Jumaat bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang ditemui pemberita selepas majlis itu berkata, Perdana Menteri mengingatkan mereka yang hadir bahawa jentera yang berdisiplin dan berkesan di peringkat akar umbi adalah penting untuk merealisasikan segala rancangan dan strategi untuk menawan kembali Selangor daripada pembangkang.

Beliau berkata, Najib mahu agar jentera BN mengekalkan semangat dan keinginan yang kukuh untuk menang di Selangor setelah mereka mengalami pengalaman pahit duduk di bawah pemerintahan kerajaan negeri sekarang.

"Amanat Perdana Menteri itu meningkatkan iltizam mereka untuk mengukuhkan susunan jentera parti,” kata Mohd Zin. — BERNAMA

PRU: Diadakan selepas pembaharuan ekonomi beri kesan

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau berharap pilihan raya umum (PRU) akan dapat diadakan “tidak lama lagi”, tetapi menurutnya kerajaan masih perlu membuktikan bahawa pembaharuan ekonomi berjaya memberikan kesan sebenar sebelum beliau bersedia mengembalikan semula kuasa kepada rakyat.

Dalam satu wawancara yang diterbitkan Wall Street Journal hari ini, Najib berkata, secara dasarnya “pilihan raya adalah satu tindakan yang perlu dilakukan berasaskan faktor keyakinan, dan ketika itulah anda melakukannya. Tetapi akhirnya ia adalah suatu keputusan yang mengikut gerak hati.

"Anda boleh memiliki semua tarikh tetapi anda mesti merasakan bahawa inilah masa yang sesuai. Saya berharap ia akan menjadi satu masa yang tepat tidak lama lagi, tetapi kami masih perlu mengotakan janji-janji kami dan ini amat penting kepada rakyat untuk merasakan bahawa pembaharuan yang dijanjikan sebenarnya memberi manfaat kepada mereka,” kata beliau.

Dalam wawancara itu, Najib dilaporkan sebagai mengakui bahawa suasana ekonomi global yang merosot terutamanya krisis hutang yang berterusan di Eropah boleh menyukarkan beliau membuat keputusan berhubung bila pilihan raya boleh diadakan.

Laporan itu menyebut ramalan ekonomi yang semakin merudum juga boleh menyebabkan Najib membubarkan Parlimen, sekali gus memberi laluan pilihan raya diadakan lebih cepat daripada yang dirancang. – BERNAMA

Wednesday, January 11, 2012

40 ahli PKR di Guang Musang sertai UMNO

11/01/2012 7:19pm

GUA MUSANG 11 Jan. – Seramai 40 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) cabang Kampung Jerek Baru, dekat sini, keluar dari parti itu untuk menyertai UMNO setelah hilang kepercayaan terhadap perjuangan PKR yang dianggap sia-sia.

Kumpulan itu yang diketuai Mohd. Nazri Mohd. Nor menyerahkan borang keanggotaan UMNO kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mat Yusoff Ab Ghani hari ini.

Beliau berkata, mereka meninggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap perjuangan parti itu yang didakwanya hanya “bermain wayang” tetapi gagal menunaikan janji kepada.

"Kami kecewa apabila parti itu bersekongkol dengan Pas untuk merampas tanah rakyat di beberapa kawasan Hulu Kelantan untuk diserahkan kepada syarikat bagi pembangunan ladang.

“Rasa sedih juga apabila tanah yang diusahakan rakyat, diambil balik begitu sahaja...rakyat juga menuduh kami bersubahatdalam perkara itu sedangkan kami tidak memperolehi satu sen pun daripada pembangunan tanah berkenaan,” dakwa Mohd Nazri. - BERNAMA

UMNO jangan terperangkap, hanyut dengan jasa lama

BLOEMFONTEIN, Afrika Selatan 9 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan UMNO yang hampir sama perjuangannya dengan parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) supaya tidak terperangkap dan 'hanyut' dengan jasa-jasa lama membebaskan negara masing-masing dari cengkaman penjajah.

Sebaliknya, tegas Perdana Menteri, kedua-duanya harus berani mengharungi abad ke-21 ini dan berdepan dengan generasi baru untuk terus kekal relevan pada masa ini dan akan datang.

"Perjuangan ANC ada persamaannya dengan UMNO yang telah melalui transisi sebagai parti pejuang kepada parti yang perlu membina sebuah negara bangsa yang baru.

"Apabila kita berjuang menentang kerajaan Apartheid, kita perlukan kemahiran dan strategi berlainan tetapi apabila sudah memiliki kerajaan, kita perlu pula membina satu negara bangsa yang mana strategi dan budayanya kita perlu ubah agar sesuai dengan fasa perjuangan yang mengambil kira suasana yang sudah berubah.

"Kerana itu sebagai parti dalam abad ke-21 ini, kita...ANC, begitu juga dengan UMNO tidak boleh terperangkap dengan jasa-jasa lama kita," kata beliau kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Beliau ditanya bagaimana perjuangan ANC dalam membebaskan Afrika Selatan dari kekejaman rejim Apartheid dan kehadirannya pada pada sambutan ulang tahun ke-100 ANC di Stadium Ragbi Mangaung dekat sini atas jemputan Presiden Jacob Zuma dapat diterjemahkan dalam skop perjuangan dan gerak kerja UMNO.

Perdana Menteri seterusnya menarik perhatian bahawa kehadirannya di sini atas permintaan Zuma dibuat atas dasar UMNO, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Malaysia yang merupakan penyokong tegar kepada perjuangan ANC sejak sekian lama.

"Sebelum 1993 lagi, kita telah bantu perjuangan mereka (ANC). Dalam pilihan raya 1993 (di Afrika Selatan), kita telah menolong mereka menerusi bantuan material dan bagaimana hendak uruskan kempen pilihan raya pada tahun berkenaan.

"Malah, semasa majlis mengenang Allahyarham Syeikh Yusuf (pengasas Islam di Afrika Selatan) di Cape Town dan berkongsi pentas dengan pemimpin ANC, Nelson Mandela (pada 1993), saya telah melahirkan sokongan UMNO dan Malaysia kepada mereka. Dan kehadiran saya itu adalah secara simbolik bahawa ia berkesudahan dengan kejayaan ANC membebaskan Afrika Selatan dari cengkaman Apartheid," kata beliau. - UTUSAN

Saturday, January 7, 2012

Umno Semakin Demokratik, -PM

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Anggota Umno perlu berubah seiring keadaan semasa yang menyaksikan parti itu lebih demokratik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata mereka perlu berubah bagi meraih keyakinan generasi pasca merdeka.

"Mereka yang lahir pasca merdeka tidak merasai pengalaman lalu... mereka cuma nak tahu apa yang Umno hendak buat hari ini dan akan datang, dan mereka tidak suka diingatkan bahawa budi yang lepas perlu dibalas," katanya ketika berucap pada majlis penghargaan untuk media yang membuat liputan Perhimpunan Agung Umno 2011 di sini.

Najib, yang juga Presiden Umno, berkata parti itu tidak lagi boleh bersandar kepada sejarah semata-mata walaupun ia banyak berjasa kepada negara kerana generasi hari ini tidak dapat menyelami perkara tersebut.

"Walaupun ia (Umno) begitu cemerlang dan tidak tertanding, tetapi kita kena bersikap realistik dan melihat ke hadapan kerana ada perubahan dalam landskap politik tanah air dan dunia," katanya.

Beliau menegaskan Umno mempunyai iltizam politik untuk menjadi parti terbaik dan pemimpin negara selepas memperoleh kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, Najib meminta anggota Umno berusaha lebih gigih bagi membuktikan ia layak menjadi parti tunggak di negara ini.

"Saya akui kita masih ada ruang untuk membuat penambahbaikan selain membaiki kelemahan yang ada. Kita boleh lakukan perubahan daripada segi perlembagaan (parti) yang membawa kepada perubahan struktur dan membuat keputusan serta kepimpinan.

"Tetapi akhirnya, perubahan itu perlu dibuat oleh orang Umno itu sendiri," katanya pada majlis yang dihadiri 1,000 orang termasuk wakil media.

Najib juga berkata media memainkan peranan penting untuk menjelaskan mesej perjuangan Umno kepada rakyat.

Katanya, kebanyakan media Malaysia mengutamakan soal kepentingan, ketenteraman dan kestabilan negara dalam laporan mereka.

-- BERNAMA

Sunday, January 1, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2012

Kami kepimpinan UMNO Cawangan Bukit Ampang ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada ahli-ahli UCBA. Semoga tahun 2012 menjadi tahun yang lebih baik dari sebelumnya.

-UCBA