Tuesday, February 22, 2011

PRK DUN MERLIMAU DAN KERDAU

Kami menyeru masyarakat Merlimau dan Kerdau untuk memilih parti UMNO dan Barisan Nasional bagi mendukung transformasi kerajaan yang dibuahkan oleh Perdana Menteri semata-mata untuk memelihara kepentingan rakyat pelbagai kaum dalam negara. Percayalah pada hasrat ini kerana ianya hasrat UMNO dan kerajaan Barisan Nasional.

Hidup UMNO!!! Hidup BN!!


Pilihan raya kecil N.27 Merlimau, Melaka, dan N.28 Kerdau, Pahang SPR telah menetapkan tarikh-tarikh seperti yang berikut:

Tarikh Penamaan Calon : 26 Februari 2011 (Sabtu)

Tarikh Pengundian
(Jika ada pertandingan) : 06 Mac 2011 (Ahad)

Monday, February 14, 2011

PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL

PERUTUSAN Y.A.B. PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL 1432 HIJRAH
PADA 12 RABIULAWAL 1432H BERSAMAAN 15 FEBRUARI 2011

Assalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia, 1Ummah; Saudara dan saudari sekalian,

  1. Saya sangat bersyukur, dengan izin dan inayah Allah SWT, kita masih lagi dapat meneruskan tradisi murni masyarakat kita, iaitu mengadakan sambutan Maulidur Rasul SAW setiap menjelang Rabiulawal saban tahun. Kelahiran baginda Rasulullah SAW merupakan satu detik istimewa yang amat bermakna buat umat Islam. Maka pada tanggal 12 Rabiulawal 1432 Hijriah ini, bersamaan dengan 15 Februari 2011 Masehi, sekali lagi kita meraikan sambutan yang penuh barakah ini.
  2. Sesungguhnya, keistimewaan sambutan Maulidur Rasul ini amat berkait rapat dengan keunggulan dan kemuliaan baginda Rasulullah SAW. Menerusi al-Quran, Allah SWT sendiri merakamkan bahawa diri Rasulullah SAW itu adalah ‘cahaya’;. Inilah cahaya yang telah menerangi Kebenaran. Melalui ‘cahaya’ baginda SAW ini, Allah telah zahirkan agama Islam sebagai petunjuk buat kebahagian manusia sejagat. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Maidah ayat ke-15, yang maksudnya:
  3. “Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya.”

  4. Begitulah, apa yang dinyatakan oleh ayat al-Quran ini telah dibuktikan dan disaksikan oleh sejarah. Sirah gemilang Rasulullah SAW tidak dapat dinafikan oleh sesiapapun. Sepanjang sejarah ketamadunan manusia, tidak ada insan sehebat dan sebegitu istimewa seperti Rasulullah SAW. Jika kekaguman ini diungkap dan diluahkan oleh tokoh-tokoh daripada kalangan umat Islam, ini sudah tentu tidaklah begitu menghairankan. Namun apa yang terjadi, seluruh para sejarahwan yang ikhlas, mengakui dan menakjubi fakta emas ini.
  5. Bertepatan dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu ’1Malaysia, 1Ummah’; sudah tentulah Rasulullah SAW sebagai ikon terbaik semua umat manusia, maka sirah Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa baginda amat mengutamakan perpaduan antara umat yang berbilang kaum dan agama di Madinah. Iktibar ini dilaksanakan di negara kita melalui penghayatan ’1Malaysia, 1Ummah’.
  6. Justeru, kekuatan berpaksikan perpaduan inilah yang menjadi rencah utama membawa transformasi murni kepada umat Islam di negara ini. Mesej ini perlu dihayati dan disebarkan kepada seluruh dunia Islam. Dalam era globalisasi ini, apa sahaja krisis yang berlaku di negara lain, akan dirasai impaknya oleh negara kita. Lihat sahaja, apa yang terjadi di Mesir, telah turut memberi kesan langsung kepada 11,000 orang pelajar dan rakyat kita di sana. Bagi memastikan aset muda dan bakal pewaris negara ini selamat, kerajaan telah menjalankan misi menyelamat dengan pantas dan berkesan.
  7. Meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan, namun usaha membawa rakyat Malaysia keluar daripada Mesir tetap diteruskan. Tetapi malangnya, terdapat segelintir pihak yang cuba mempolitikkan misi yang murni ini. Namun ianya tidak menjadi halangan untuk kita meneruskan misi tersebut kerana yang pentingnya ialah memastikan keselamatan warga Malaysia di sana. Misi nasional ini turut mendapat dukungan pihak swasta, rakyat dan pihak negara Mesir serta Arab Saudi dengan satu semangat kerjasama yang amat tinggi. Inilah ajaran Islam yang sinarannya bersumber daripada cahaya yang diutus oleh Allah SWT, iaitu baginda Rasulullah SAW.
  8. Marilah kita jadikan sambutan yang penuh keberkatan ini sebagai pemangkin untuk kita terus melonjakkan transformasi negara secara holistik dalam semua bidang bagi melahirkan kekuatan 1Ummah yang progresif. Sebagaimana Rasulullah SAW merupakan insan yang hebat, maka kita juga perlu menjadi umat yang hebat. Saya mendoakan, agar sambutan Maulid Rasulullah SAW kali ini, benar-benar menggerakkan kita untuk berjuang mencapai hasanah di dunia dan di akhirat, sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW. Insya Allah.

Sekian. Wabillahit Taufik wal Hidayah. Wassalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Salam Maulidur rasul 2011

Salam Maulidur Rasul khususnya untuk semua rakyat yang beragama Islam. Marilah bersama memperingati junjungan Nabi Muhammad s.a.w. dengan banyakkan berselawat keatasnya. Semoga kita semua diberi syafaat di akhirat kelak Insyaallah.

-Biro Agama UCBA

Fahaman Ekstrem punca ketegangan sesebuah negara- Najib

14/02/2011 4:26pm

PUTRAJAYA 14 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbezaan agama bukan menjadi punca ketegangan di sesebuah negara, sebaliknya ia disebabkan oleh kefahaman agama yang ekstrem.

Perdana Menteri berkata, jika fahaman itu tidak ditangani, tidak kira apa jua agama, ia akan membawa kesan yang buruk kepada sesebuah negara dan manusia sejagat.

"Saya sedar ada juga ancaman dalam proses ini (mewujudkan negara yang aman), (wujud) fahaman dan pemikiran yang berbentuk ekstrem.

"Pemikiran ekstrem inilah yang mendorong saya untuk mencadangkan pembentukan Pergerakan Kesederhanaan Sedunia pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun lalu.

"Sebab saya percaya, inilah saja jalan ke hadapan yang boleh menyelamatkan dunia bukan sahaja negara kita tetapi ketegangan di banyak tempat,” katanya pada majlis bersama pemimpin-pemimpin agama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. - Bernama

Sunday, February 13, 2011

Melayu dalam dilema besar – Dr. M


KUALA LUMPUR 12 Feb. – Orang Melayu hari ini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana akan dikatakan rasis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.

Malah katanya, sehingga pada satu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi sasaran kritikan termasuk oleh akhbar-akhbar bahasa ibunda walaupun apa yang dinyatakannya mengenai orang Melayu adalah benar.

“Kita selalunya malu alah kepada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

“Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah.

Dr. Mahathir berkata, dilema yang dihadapi itu berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang tidak menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kemajuan.

Beliau memberi contoh, sekiranya orang Melayu benar-benar menggunakan peluang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi mereka sebenarnya boleh melebihi 30 peratus seperti yang diperuntukkan.

Tambahnya, orang Melayu juga terlalu mengikut nafsu sehingga ada yang sanggup memecahbelahkan kaum sendiri dan menggadai maruah bangsa semata-mata sikap tamak dan gila untuk berkuasa.

Keadaan itu kata beliau, menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum minoriti walaupun pada hakikatnya Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.

“Apabila orang Melayu mula bergantung kepada kaum minoriti, maka kita terpaksa menyerahkan apa yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu. Inilah sebenarnya dilema kita,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, sekiranya orang Melayu tidak sanggup menukar nilai hidup yang dipegang ketika ini, mereka tidak mungkin mencapai apa jua matlamat dan menjadi bangsa termundur di negara ini.

Kerana itu kata beliau, untuk menjadi ‘tuan’ dalam erti kata sebenar, orang Melayu perlu menukar nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan, menguasai ilmu dan kemahiran serta berkuasa dari sudut ekonomi.

AL-FATIHAH

TEMERLOH 12 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ini setelah terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Kerdau, dekat sini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu dan jenazah Allahyarham telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) di sini.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon yang memaklumkan Allahyarham terjatuh di bilik air selepas mengadu sakit perut kepada pembantunya.

"Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Karam, Kerdau dekat sini," katanya.

Mingguan Malaysia difahamkan, sebelum kejadian itu, Zaharuddin sedang bersiap menghadiri satu majlis yang akan diadakan malam ini di kawasannya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Allahyarham kemudian mengadu sakit perut kepada pembantunya lalu dibawa ke bilik air dan sejurus kemudian menjerit kerana terjatuh di situ.

Zaharuddin meninggalkan seorang balu iaitu guru Kelas Asas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Rozlifah Ahmad, 33, yang dikahwininya pada Oktober tahun lalu.

Pada Mei tahun lalu, ADUN Kerdau itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani rawatan akibat komplikasi jantung. Kesihatannya kembali pulih selepas menjalani pembedahan jantung di IJN.

Allahyarham kemudian sekali lagi dimasukkan ke Hosas bagi menjalani rawatan akibat tekanan darah tidak stabil pada November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hasanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Tuesday, February 8, 2011

PM bertemu ketua-ketua UMNO Bahagian Sabtu ini


08/02/2011 5:20pm

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dijadual mengadakan pertemuan dengan ketua 191 UMNO Bahagian Sabtu ini untuk mendapatkan maklum balas dan menyelesaikan isu-isu tertangguh, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hari ini.

Najib akan bertemu ketua bahagian berkenaan secara individu di ibu pejabat parti di Menara Tun Hussein Onn, katanya dan menurutnya perkara itu adalah sebahagian Program Transformasi Politik (PTP).

"Pertemuan itu adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Politik. Ia bermula (pertemuan beliau) dengan anggota Parlimen (dari Barisan Nasional), kemudian wakil rakyat negeri Sarawak dan kini ketua-ketua UMNO bahagian.

"Pertemuan pada Sabtu ini sepatutnya disusuli dengan pertemuan dengan wakil rakyat dari Semenanjung Malaysia pada Ahad tetapi pertemuan pada Ahad telah ditunda,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Tengku Adnan berkata selepas pertemuan dengan ketua-ketua UMNO bahagian itu, termasuk dari Sabah, satu pertemuan sedang dirancang bagi semua wakil rakyat BN di Sabah dan dengan semua wakil rakyat di Semenanjung. - Bernama