Tuesday, February 23, 2016

UMNO Selangor Mahu Siasatan Dibuat Terhadap Papan Tanda #BebasAnwar

PETALING JAYA, 22 Feb – UMNO Selangor telah meminta pihak berkuasa menyiasat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor kerana membenarkan papan tanda #BebasAnwar dipamerkan di beberapa kawasan di negeri itu.
Ketua Penerangan UMNO Selangor Datuk Zein Isma Ismail berkata kandungan papan tanda yang dipamerkan itu dianggap mencabar keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Semua tahu yang dia (Anwar) ditahan kerana salah lakunya terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bukannya dia tahanan politik.
billboard anwar di selangor“Bagaimana PBT Selangor boleh luluskan? Ini serius dan apa yang lebih teruk papan tanda itu turut mempamerkan logo PKR,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di sini hari ini.
Katanya, papan tanda dengan gambar bekas ketua pembangkang itu serta tulisan “Bebas Rakyat, Bebas Anwar” itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor antaranya di Ampang Jaya, Kepong dan Rawang.
Zein Isma yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang mahu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta beberapa agensi lain segera menyiasat perkara ini.
“Tindakan mereka (kerajaan Selangor) ini tidak boleh diterima, ini menunjukkan terdapat penggunaan wang rakyat telah disalah guna kerajaan negeri,” katanya.
Selain itu, Zein Isma berkata tindakan kerajaan negeri yang menggunakan akhbar Selangorkini untuk tujuan politik juga dianggap tidak patut.
“Mereka (kerajaan negeri) gunakan akhbar Selangorkini untuk mempromosikan politik mereka dan kandungan akhbar ini telah disalah guna.
“Akhbar Selangorkini diletakkan di surau dan masjid khususnya pada hari Jumaat, jika orang ramai membaca terutama orang muda ia jelas akan mengelirukan mereka,” katanya.
Terdahulu, beliau bersama-sama lebih 20 anggota UMNO membuat laporan polis di IPD Sungai Buloh berhubung dua isu berkenaan.

Monday, February 22, 2016

‘Banyakkan Kawan Daripada Musuh’ – Rahsia Survival 40 tahun Najib Dalam Dunia Politik

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau memegang satu prinsip utama sepanjang  40 tahun penglibatannya dalam dunia politik iaitu memperbanyakkan kawan daripada memperbanyakkan  lawan atau musuh.
Menurut beliau, prinsip itu dipegang teguh dan diamalkan oleh beliau  sepanjang terlibat dalam dunia politik bermula di usia seawal 22 tahun, di mana beliau telah menang tanpa bertanding sebagai Ahli Parlimen Pekan, menggantikan Allayarham Tun Abdul Razak pada tahun 1976.
“Saya berjaya dalam politik sehingga ke hari ini atas sebab apa? Sebab saya pegang pada satu prinsip iaitu banyakkan kawan daripada musuh. Sepertimana di dalam dewan ini yang dipenuhi oleh semua rakan-rakan seperjuangan yang setia bersama dengan saya, biarpun pelbagai cabaran yang melanda dan dalam keadaan paling cemas, tuan-tuan dan saudara-saudara masih bersama saya.
PEKAN, 21 Feb -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada majlis Solat Hajat dan Tahlil di Masjid Sultan Ahmad Shah malam ini. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. Majlis diadakan sempena 40 tahun Perdana Menteri dalam arena politik. --fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA?
“Alhamdulillah, saya dan isteri  tersentuh hati dengan kesudian rakan-rakan seperjuangan yang  setia memberi sokongan selama ini dapat duduk bersama di dalam majlis bersempena 40 tahun penglibatan saya dalam dunia politik ini.
“Saya tetap kenang budi baik dan persahabatan tuan-tuan dan insyaAllah saya akan bantu setakat mana yang mampu saya bantu. Saya tak mungkin mampu nak bagi kontrak pada tiap seorang, namun InsyaAllah kalau saya boleh bantu, saya akan bantu,” kata beliau ketika berucap di Majlis Bersempena 40 Tahun Penglibatan Najib Dalam Politik di Dewan Tun Razak II di sini hari ini.
Bagaimanapun kata beliau, ini tidaklah bermakna bahawa sokongan dan kesetiaan  yang diberikan selama ini hanya secara membuta tuli atau tanpa ada teguran.
“Dan kita tidak seharusnya mengamalkan sikap sedemkian Tetapi kalau kita mahu menegur, tegurlah  dengan bertempat dan dengan caranya. Jangan tegur dengan cara yang  merosakkan parti. Sudahlah kita ada musuh di luar, jangan pulak ada musuh dalam selimut.
“Dato Khalid Yunus dalam ucapannya berkata saya adalah seorang  penyabar.  Tapi saya nak beritahu sabar saya ada hadnya. Jangan fikir boleh berbuat sesuka hati. Jangan fikir saya tidak akan bertindak kalau melampaaui batas. Tapi bila saya bertindak, ia mestilah berdasarkan fakta demi untuk  kepentingan parti dan kerajaan,” tegasnya.
Beliau turut menyeru rakan-rakan seperjuangannya di dalam parti agar terus mempertahankan dan memperjuangkan perjuangan parti UMNO dalam apa saja kapasiti.
“Saya tahu tuan-tuan tak kaya. Saya sudah pergi rumah tuan-tuan. Tetapi saya masih ingat sepanjang perjuangan kita,  tuan-tuan tak pernah minta apa pun pada saya. Masa itu, apabila dipanggil saja semua datang. Apabila ada pilihanraya semua turun. Tak minta apa pun tapi semua datang. Kerana apa? Kerana itulah nilai perjuangan, kesetiaan dan persahabatan kita yang kukuh.
“Teruskan perjuangan di atas apa juga kapasiti yang ada pada kita. Tak semestinya kita ini Ketua Bahagian, Timbalan Ketua Bahagian atau YB, selagi masih ada nafas maka selagi itulah kita mesti tegakkan perjuangan demi Islam, bangsa dan negara ini melalui UMNO, kerana tanpa UMNO kelamlah masa depan Islam, Melayu dan negara kita. Tidak ada apa yang kita tidak boleh lakukan sekiranya kita bersatu, dan jika berpecah belah, kita akan lemah dan jatuh.
“Saya nak berpesan pada tuan-tuan, setelah layar dikembangkan, setelah sauh diangkat, berpantang maut sebelum ajal berbalik haluan. Kita akan terus berjuang atas nama Islam, Bangsa dan Tanahair,” akhiri beliau.