Friday, May 10, 2013

SELAMAT ULANGTAHUN UMNO KE 67


KUALA LUMPUR, 10 Mei – Sambutan ulang tahun UMNO ke-67 akan diadakan dengan penuh kesyukuran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang dimulakan dengan solat Maghrib di Surau Ar-Rahman diikuti oleh bacaan surah Yassin, tahlil dan doa kesyukuran serta solat Isyak pada esok (11 Mei).

Majlis yang bertemakan ‘67 Tahun Menepati Janji’ tersebut akan dihadiri oleh para pemimpin tertinggi UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan ahli-ahli UMNO. Berlangsung seterusnya ialah upacara menaikkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ yang akan diiringi oleh lagu ‘Bersatu Bersetia Berkhidmat’ di Dewan Merdeka sebelum amanat daripada Presiden parti. 

Dalam masa yang sama, setiap UMNO Bahagian juga diminta untuk mengadakan Majlis Doa Selamat dan Tahlil sempenan Hari UMNO ke 67 selain mengibarkan bendera parti. Berikut adalah atur cara Hari UMNO yang akan diadakan di PWTC: 

6.45 ptg: Ketibaan jemputan 
6.50 ptg: Ketibaan Ahli Majlis Tertinggi 
7.10 ptg: Ketibaan Timbalan Presiden Parti 
7.15 ptg: Ketibaan Presiden Parti SOLAT DI SURAU AR-RAHMAN, ARAS 3 
7.20 mlm: Solat Maghrib, bacaan Yassin, Tahlil dan Doa Kesyukuran 
8.32 mlm: Solat Isyak DEWAN MERDEKA, ARAS 4 
8.40 mlm: Ketibaan Jemputan dari Parti-parti Kompenan BN 
8.50 mlm: Upacara menaikkan bendera UMNO diiringi Nyanyian Lagu UMNO 
9.00 mlm: Ucapan Presiden UMNO Jamuan Bersurai

source : www.umno-online.com

Monday, May 6, 2013

PRU13: Najib menghadap Agong sembah warkah pelantikan

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak pagi tadi menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyembah warkah bagi melantik beliau sebagai Perdana Menteri berikutan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umun Ke-13 (PRU-13) semalam. 

Perdana Menteri dalam satu kenyataannya am berkata perkara itu selari dengan Fasal (2)(a) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan bahawa Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya beliau dilantik sebagai Perdana Menteri. 

"Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpah Rahsia sebagai Perdana Menteri akan diadakan pada jam 4 petang ini di Istana Negara Kuala Lumpur. 

"Saya akan menghadap Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah warkah memohon perkenan baginda selaras dengan Fasal (2)(b) Perkara 43 dan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan terhadap Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan di sini.

-berita harian

PRU13: BN berjaya kekalkan penguasaan di negeri-negeri, tawan semula Kedah

KUALA LUMPUR: Prestasi Barisan Nasional (BN) pada keseluruhannya baik dengan berjaya mengekalkan penguasaan di negeri-negeri selain menawan semula Kedah dan menambah kerusi di Kelantan. 

BN dapat membentuk kerajaan di negeri jelapang padi selepas menang 21 kerusi daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. 

BN berjaya menambah sebanyak tujuh kerusi daripada hanya 14 kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008. 

Di Kelantan, BN menangi 12 daripada 45 kerusi yang dipertandingkan, peningkatan sekali ganda daripada enam kerusi yang dimenangi pada 2008. 

Enam kerusi yang ditambah adalah Galas, Air Lanas, Selising, Semerak, Gual Ipoh dan Dabong selain mempertahankan kerusi Nenggiri, Paloh, Kuala Balah, Bukit Bunga, Kok Lanas dan Pengkalan Kubor. 

Selain itu, prestasi baik BN di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga mengekalkan kemenangan majoriti dua pertiga di Melaka, Pahang, Perlis dan Sabah. 

BN juga berjaya mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang didakwa kononnya akan dimenangi pakatan pembangkang iaitu Negeri Sembilan, Johor, dan Perak. 
Parti gabungan turut kekal memerintah Terengganu setelah memperoleh majoriti mudah apabila memenangi 17 kerusi daripada 32 kerusi yang ditandingi. 

Bagaimanpun BN masih gagal menebus kekalahan di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang yang terlepas ke tangan pakatan pembangkang pada pilihan raya tahun 2008. - BERNAMA

PRU13: PAS hilang Kedah, merosot di Kelantan


KUALA LUMPUR: Selain hilang Kedah, PAS hanya peroleh 21 kerusi Parlimen serta hilang lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, iaitu daripada 37 kerusi kepada 32 kerusi DUN pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13). 

Bagaimanapun PAS berjaya meningkat penguasaannya di peringkat DUN dengan peroleh 85 kerusi berbanding 83 kerusi pada pilihan raya umum 2008 iaitu di Terengganu, Johor, Melaka dan Selangor. 

Beberapa pemimpin tertinggi PAS juga tewas kepada BN pada PRU13 termasuk Timbalan Presidennya Mohamed Sabu di Kedah, Naib Presiden Salahuddin Ayub di Johor dan seorang lagi Naib Presiden Datuk Husam Musa di Putrajaya. 

PRU-13 menyaksikan PAS kalah 52 kerusi daripada 73 kerusi Parlimen yang ditandinginya dengan hanya peroleh 21 kerusi Parlimen.

Ia sekali gus memperlihatkan kemerosotannya berbanding pada 2008 apabila parti itu kalah di 43 kerusi daripada 66 kerusi Parlimen ditandinginya dan memperoleh 23 kerusi.

Genggaman 21 kerusi DUN Kedah oleh pakatan pembangkang pada 2008, kini terlepas apabila BN menguasai 22 daripada 36 kerusi DUN Kedah pada PRU13 yang menyaksikan kerajaan negeri PAS hanya memerintah sepenggal negeri Jelapang Padi itu.

Bagaimanapun, Pensyarah Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategi Universiti Malaya Prof Datuk Mohamad Abu Bakar berkata biarpun merosot di peringkat Parlimen namun PAS berjaya mengukuhkan kedudukannya di peringkat DUN. 
"PAS telah meningkatkan kedudukan di peringkat DUN dengan peroleh 85 kerusi pada PRU13 berbanding 83 kerusi pada 2008," katanya kepada Bernama.

Prof Mohamad berkata PAS bersama PKR berjaya mengekalkan Kelantan dengan peroleh dua pertiga daripada 45 kerusi DUN, iaitu 32 PAS dan satu kerusi PKR.
Berbanding 2008, PAS memiliki 37 kerusi DUN, PKR (satu) dan BN (tujuh) di Kelantan manakala parti itu memperoleh 12 kerusi Parlimen dan BN hanya dua kerusi.

Bagaimanapun PAS hanya menguasai sembilan daripada 14 kerusi Parlimen di Kelantan dengan lima kerusi itu berjaya direbut BN dalam PRU-13.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan PAS hanya menguasai satu daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah diikuti sekutunya PKR empat kerusi manakala BN 10 kerusi.

Pada 2008, masing-masing mengekalkan lima kerusi Parlimen di Kedah bagi PAS, PKR dan BN.

PRU-13 juga menyaksikan PAS merupakan parti pakatan pembangkang yang peroleh jumlah yang kecil untuk Parlimen berbanding DAP 38 kerusi dan PKR 30 kerusi. - BERNAMA

Barisan Nasional menang 133 Kerusi Parlimen pada PRU13

Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) mendapat mandat baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila menguasai 133 kerusi Parlimen bagi membolehkannya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. 

Pakatan pembangkang pula mendapat 87 kerusi dengan DAP memperoleh 38 kerusi, PKR (28 kerusi) dan PAS (21 kerusi). 

"Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional” Najib Razak, Perdana Menteri

Keputusan diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen pada jam 12.50 tengah malam.

BN juga berjaya merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang, tetapi Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang kekal dikuasai pembangkang.

Pembangkang di Selangor berjaya mendapat 44 daripada 56 kerusi bagi membentuk kerajaan berbanding hanya 12 kerusi dimenangi oleh BN.

Pembangkang juga berjaya memperoleh kemenangan dua pertiga di Kelantan dengan mendapat 33 kerusi, berbanding BN hanya 12 kerusi. 

BN tambah kerusi

Di Pulau Pinang; pembangkang turut menang majoriti dua pertiga apabila memperoleh 30 kerusi dan BN menang 10 kerusi dengan DAP menyapu bersih semua 19 kerusi yang ditandingi, PKR mendapat 10 kerusi dan PAS hanya satu kerusi.

Bagaimanapun, BN menang tipis di Kedah, Terengganu dan Perak. Di Kedah BN mendapat 21 kerusi berbanding 15 untuk pembangkang, manakala di Terengganu BN memperoleh 17 kerusi dan pembangkang 15 kerusi.

Di Perak; BN berjaya melepasi jumlah majoriti mudah apabila mendapat 31 daripada 59 kerusi, berbanding 28 untuk pembangkang. Pada pilihan raya umum 2008, BN tewas tetapi berjaya membentuk kerajaan pada 2009 selepas tiga ADUN pembangkang menyokong BN.

Sementara itu, di Wilayah Persekutuan, BN menambah kerusi Parlimen apabila berjaya merampas Titiwangsa daripada PAS dan mengekalkan Setiawangsa, Putrajaya dan Labuan. 

Kerusi lain yang dimenangi pembangkang ialah Kepong, Wangsa Maju, Segambut, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras, Bandar Tun Razak dan Batu.

BN buat analisis

Datuk Seri Najib Razak, dalam persidangan media selepas kejayaan itu berkata, keputusan yang kurang memberangsangkan kepada BN, berpunca daripada ‘tsunami kaum Cina’ yang tidak memberikan sokongan kepada BN sehingga MCA dan 
GERAKAN yang mewakili kaum itu tewas di kebanyakan kerusi kepada DAP.

Katanya, BN akan membuat analisis terhadap keputusan pengundi Cina, selain kajian mengenai kegagalan mencatat kemenangan dua pertiga di Terengganu.

Beliau berkata, ‘tsunami kaum Cina’ berlaku kerana pihak pembangkang memainkan sentimen perkauman tidak sihat untuk negara ini kerana Malaysia mahu menyatukan rakyat pelbagai kaum.

Amalan demokrasi lancar

Najib juga berkata, keputusan itu membuktikan amalan demokrasi di negara ini berjalan lancar dan teratur.

“Keputusan rakyat ini turut menunjukkan aliran polarisasi pengundi dan ini membimbangkan. Jika tidak ditangani, ia boleh menimbulkan perbalahan dan ketegangan di negara ini. 

“Kita perlu mengadakan penyatuan nasional supaya sikap ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat diketepikan. Kita mahukan dasar yang berpaksikan kesederhanaan atau wasatiyah. Kita amat mementingkan kesederhanaan dalam perpaduan nasional,” katanya.

Kepada pembangkang Najib berkata, demi kepentingan negara beliau berharap pembangkang menerima keputusan dengan hati terbuka dan biarkan proses demokrasi berjalan lancar.

Najib juga memberi jaminan semua aku janji akan dilaksanakan dan ditunaikan oleh kerajaan BN. 

“BN akan menubuhkan mekanisme khusus bagi memantau pelaksanaan aku janji supaya rakyat sedar apabila kita membuat komitmen, kita akan tepati,” katanya.

-berita harian