Thursday, November 27, 2008

Pakej Stimulus Ekonomi Kerajaan; Pakej Mesra Rakyat

Untuk menyediakan satu penyata akaun, seseorang akauntan akan memastikan bahawa segala transaksi kredit dan debit adalah sempurna. Jika ada kekurangan atau kelebihan walau satu sen sekalipun, penyata itu tidak boleh diterima. Tidak dapat tidak penyelesaiannya ialah pengiraan semula sehingga punca anomali akaun tadi dijumpai dan diselesai. Jika anda beri penyata tersebut kepada seorang ahli ekonomi atau ahli perniagaan, beliau akan hanya membundarkan saja kekurangan dan kelebihan tersebut pada jumlah yang terdekat. Masalah selesai dan penyata tersebut boleh digunapakai. Tidak perlu panadol.

Pakej rangsangan ekonomi Malaysia berjumlah RM7 bilion yang diumumkan YAB Timbalan Perdana Menteri pada 4 November 2008 disedia dan diberi input oleh ahli ekonomi. Bukan akauntan. Rakyat Malaysia tidak perlu risau daripada mana dana tersebut datang. Yang mustahak sekarang ialah bagaimana ia boleh disampai, dinikmati dan dikongsi sama rata dan sama rasa.
Perbelanjaan Berhemat
Pakej ini sangat tepat pada masanya. Ringkasnya ia menggalakkan rakyat supaya meneruskan perbelanjaan berhemat seperti biasa. Ia membuka ruang kepada rakyat semua golongan; kaya, pertengahan dan miskin supaya memanfaatkan pendapatan dengan cara yang betul. Tidak ubah seperti mana kita teruskan berbelanja dalam menghadapi krisis kewangan Asia pada 1997, seperti itu jugalah kita teruskan berbelanja seperti biasa pada ketika ini.

Wang tabungan gunanya untuk waktu kecemasan. Bukankah sekarang ini waktu kecemasan? Jika anda telah lama menabung untuk membeli rumah kos rendah, sekaranglah masanya untuk mula meninjau pasaran. Kenalpasti rumah sasaran dan ikuti secara dekat perkembangan kadar pinjaman semasa bank. Jika segalanya menepati kehendak anda, bertindaklah sewajarnya.

Di kala musim tengkujuh, tatkala semua orang lebih selesa berselimut di dalam rumah, anda ambillah kesempatan ini pergi ke tempat-tempat yang biasanya sesak seperti bank dan pejabat imigresen. Anda boleh keluar rumah kerana anda mempunyai payung besar. Mereka yang terpaksa tinggal di rumah tadi sebenarnya juga ingin keluar tapi tidak boleh kerana mereka tidak mempunyai payung. Anda sekarang bolehlah bergelak ketawa sambil menuju ke bank. Tidak perlu lagi berebut ruang meletak kereta. Tidak perlu berbaris panjang. Mungkin tidak perlu langsung mengambil nombor giliran. Seperti bank itu anda yang punya.

Peningkatan Wang Boleh-Belanja
Secara keseluruhannya pakej ini adalah mesra rakyat. Satu langkah yang mesti dipuji dalam pakej tersebut ialah pengurangan kadar caruman KWSP pekerja. Bagi seorang pekerja bergaji RM 3,000.00, kadar caruman sebulan sekarang ialah 11% iaitu RM330.00 Pada kadar 8% carumannya ialah RM 240.00 iaitu perbezaan RM90.00 sebulan. Dalam masa 24 bulan iaitu tempoh yang dibenarkan kerajaan untuk eksesais pengurangan ini, pekerja tadi akan mempunyai tambahan wang belanja sebanyak RM2160.00. Jika ada 1,000 pekerja yang bergaji sama, ia bersamaan dengan aliran tunai tambahan di dalam pasaran sebanyak RM2,160,000.00. Jika ada 100,000 pekerja bergaji sama, bayangkan berapa banyak transaksi runcit yang akan berlaku. Bayangkan berapa banyak tunai akan bertukar tangan. Bayangkan juga berapa banyak rumah dan kereta akan terjual.

Ya, langkah ini juga menyebabkan KWSP kekurangan aliran dana. Tetapi hanya kurang 3%. Bukannya 20%. Dana KWSP yang berjumlah tidak kurang RM328 bilion (Utusan Malaysia, 07/09/2008) tidak akan luak mana. Keuntungan pelaburannya pada suku kedua 2008 saja sudah mencecah RM5.8 bilion. Tidak perlu khuatirkan wang KWSP anda. Ia selamat dan kekal untung. Kerajaan sudahpun membuat kira-kiranya. Kerajaan ini tahu apa yang ia sedang lakukan.

Sesetengah anda mungkin percaya bahawa sekarang bukanlah masanya untuk berbelanja kerana kadar inflasi dan kadar pinjaman bank yang masih tinggi. Justeru, anda membuat keputusan untuk terus mengurangkan perbelanjaan dan tidak menggunakan wang tabungan rumah anda tadi. Ada benarnya pendapat ini. Namun harus juga dipertimbangkan hujah ini; bahawa wang RM100 yang anda simpan dan “peruk” selama setahun pada hari ini tidak akan sama nilainya setahun dua akan datang. Kadar inflasi akan menelan nilai RM100 tadi. Kasut yang dulunya harganya cuma RM100, kini telah meningkat harganya mungkin sekali ganda. Kerana risau keterlaluan tentang masa hadapan, anda akhirnya masih tidak boleh memiliki kasut idaman anda setahun kemudian.

Di samping itu, kadar inflasi dan pergerakan kadar upah adalah diluar kawalan anda. Ia dikawal oleh pasaran dan adakalanya oleh kerajaan. Namun campurtangan kerajaan biasanya adalah pada kadar minimum kerana campurtangan yang kerap akan menyebabkan pasaran dan ekonomi tidak berfungsi dengan sihat. Jika tersilap langkah, ia boleh menjurus ke arah lebih banyak keburukan.

Pakej stimuli kerajaan ini juga tidak melupakan golongan ahli perniagaan seperti kontraktor pembinaan dan pengedar kenderaan. Kerajaan bermurah hati meningkatkan lagi kadar pinjaman perumahan dan kenderaan sebanyak lebih kurang 20% untuk mengalakkan penjawat kerajaan terus berbelanja. Tempoh hutang turut dipanjangkan 5 tahun. Akhirnya, dengan izin Tuhan, dapat juga anda tinggal di rumah dambaan isteri dan memandu kereta idaman anda.

Lagipun harga minyak juga menampakkan tren mengurang. Mungkin ia sementara. Tidak apa, setidak-tidaknya banyak banyak juga wang boleh-belanja anda yang bertambah sekarang berbanding 3-4 bulan lepas.
Kerajaan juga sanggup menambah defisit belanjawan dengan membelanjakan RM1.2 bilion bagi membantu kontraktor binaan membina 25,000 unit rumah kos rendah dan sederhana. Ini tidak termasuk peruntukan RM1 billion untuk kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan kemudahan dan infrasruktur awam seperti sekolah dan jalanraya seluruh negara. Ini mungkin nampak kecil dan tidak signifikan bagi sesetengah orang, tetapi mungkin mereka tidak sedar atau sengaja terlupa betapa ramai pengedar kenderaan dan kontraktor binaan kecil yang akan dapat terus berbisnes. Mereka dapat kekal dalam perniagaan mereka dan seterusnya mampu menggaji ramai pekerja yang selanjutnya akan terus dapat berbelanja di pasar-pasar malam dan kedai-kedai runcit ataupun kompleks membeli-belah. Wang terus mengalir dan ekonomi terus kekal rancak.

Lebih Hutang Lawan Lebih Belanja
Masalah ekonomi global sekarang, antara lainnya, adalah disebabkan oleh apa yang kita boleh namakan sebagai “overcredit” atau berlebihan hutang. Bukannya berlebihan berbelanja. Justeru fokus kepada pakej ekonomi yang diumumkan kerajaan boleh juga di lihat sebagai salah satu cara untuk menangani kesan berlebihan hutang yang datangnya bukannya dari negara ini. Pelanggan utama barangan Malaysia iaitu rakyat Amerika Syarikat kini kekurangan wang untuk membeli barangan kita. Ini adalah kesan daripada sikap mereka dan amalan tidak sihat institusi kewangan dan gadaian hartanah Amerika yang gemar berhutang di atas hutang. Mereka, bukannya kita, patut menggunakan wang tabungan mereka untuk membayar hutang. Hutang perlu dibayar supaya wang dapat mengalir semula di dalam pasaran. Bila keadaan reda barulah mereka dapat berbelanja sakan lagi.
Khabarnya di sebuah negeri di Malaysia, sebuah pasar raya pernah merekodkan kadar transaksi tunai mencecah jutaan ringgit dalam masa sehari yang merupakan tertinggi di negara ini. Jika benar, ramai juga rupanya rakyat Malaysia yang mempunyai tunai dalam kadar yang sangat tinggi. Jika benar, barangkali ada rakyat Malaysia yang tidaklah memerlukan sangat pakej ekonomi Kerajaan. Mungkin mereka inilah yang sepatutnya membantu Kerajaan dengan terus berbelanja.

Mudah-mudahan berkat perbelanjaan mereka itu tadi akan dapat membantu ramai peniaga dan usahawan terus berdiri melawan badai ribut ekonomi semasa. Semoga apabila ia reda, rakyat dan negara ini akan muncul lebih kuat. Bukan seperti Korea Selatan yang khabarnya mungkin terpaksa meminjam daripada IMF lagi sekali akibat masalah ekonomi sekarang walaupun sudah berjaya melunaskan pinjaman IMF mereka pada tahun 1997 dulu. Rupa-rupanya negara yang dipuji kerana mengikuti preskripsi dan acuan IMF itu pun tidaklah sekukuh mana bila dilanda masalah ekonomi sekali lagi.

Sesungguhnya pakej rangsangan ekonomi Kerajaan sangat memerlukan kerjasama dari segenap rakyat. Buktikanlah patriotisme kita bukan sekadar hanya di mulut saja.

Sunday, November 9, 2008

Tahniah UMNO BAHAGIAN AMPANG

Alhamdulillah kami bersyukur UMNO Bahagian Ampang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan mengadakan mesyuarat UMNO Bahagian Ampang yang telah berlangsung pada 9 november 2008 di PWTC dengan jayanya dan lancar.Kami juga berbesar hati dan mengucapka tahniah kepada Ketua UMNO Bahagian Ampang yang baru iaitu Yang berbahagia Dato' Ismail bin Kijo.Kami berharap UMNO Bahagian Ampang akan gah dan berjaya menawan semula jiwa rakyat di Ampang dan sekaligus menawan semula Selangor dari Parti Rakyat.Ini adalah kerana tanggungjawab kita sebagai ahli UMNO adalah supaya membela rakyat daripada penipuan yang berkali-kali dilakukan oleh parti pembangkang dengan janji-janjinya.Moga-moga perjuangan kami bersama dato' diberkati oleh Allah s.w.t.

Kami juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Ketua UMNO Cawangan Bukit Ampang Tuan Haji Hashim Ibrahim dan Ketua Wanita UMNO Cawangan Bukit Ampang Puan Hjh Normah binti Mat kerana memenangi jawatan sebagai AJK UMNO Bahagian dan AJK Wanita UMNO Bahagian Ampang.Kami berjanji akan membantu dalam melaksanakan tanggungjawab yang telah diberi kepada ketua dan ketua wanita kami demi untuk mempertahankan agama, bangsa dan negara.Dengan izin Allah kami Pemuda dan keseluruhan AJK Cawangan memohon kekuatan untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat ini supaya berjaya pada pilihanraya akan datang dan semoga kita diberkatinya ,insyaallah.-amin-

Kami juga berjanji dengan tanggungjawab yang kami pikul sebagai pemuda UMNO akan membantu Cawangan Bukit Ampang dengan seluruh keringat kami untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional pada masa akan datang.

-Pemuda Cawangan Bukit Ampang-

Saturday, November 8, 2008

Tahniah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang

Ucapan tahniah kami ucapkan kepada Pemuda Bahagian Ampang kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli dengan jayanya untuk mesyuarat pemuda Bahagian Ampang yang telah dilaksanakan pada 7 November 2008 di KKLUB taman melawati pada pukul 8.00 malam.Tahniah juga kami ucapkan kepada saudara Safarizul Mustafa sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang sesi 2008-2011 dan barisan kepimpinan yang baru. Beliau telah berjaya mendidik anak bangsa di Ampang dengan baik dan jayanya didalam perjuangan politik sehingga pemuda Bahagian Ampang boleh melakukan tugas masing-masing walaupun beliau mengalami pelbagai masalah yang timbul sebelum sewaktu dan selepas mesyuarat perwakilan pemuda UMNO Bahagian Ampang.

Ini menunjukkan bahawa beliau juga telah berjaya mematangkan anak bangsa khususnya pemuda UMNO Bahagian Ampang dengan kredibiliti beliau.Untuk Beliau kami mengucapkan berbanyak terima kasih dan jasamu akan dikenang.Kami juga berharap agar barisan kepimpinan yang baru dapat membentuk dan mengharungi pelbagai dugaan yang akan dihadapi di masa akan datang untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional di ampang pada pilihanraya akan datang...
sekian

-pemuda Cawangan Bukit Ampang

Saturday, November 1, 2008

Ketuanan Melayu Adalah Tunjang Kestabilan Malaysia

Konsep Ketuanan Melayu adalah sangat mudah. Ia menyatakan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu/Bumiputera sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu.

Ringkasnya konsep ini bermaksud;

1.
Tanah-tanah orang Melayu tidak boleh dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak samarata sebagai warganegara Malaysia.

2.
Kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan Bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi Malaysia tak boleh diperlekeh.

3.
Kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tak boleh dipandang sebelah mata.
Konsep ini adalah konsep yang adil kerana ia meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itulah kita lihat zakat hanya diberi kepada orang fakir; biasiswa pendidikan hanya untuk pelajar miskin; dan cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi. Kebetulannya, kebanyakan orang miskin dan penerima biasiswa itu adalah dari kalangan orang Melayu manakala pembayar cukai yang kaya itu pula kebanyakannya dari bukan Melayu.
Kontroversi mengenai “Ketuanan Melayu” sebenarnya mempunyai beberapa agenda celaka.

Antaranya;

1. Penguasaan kerajaan oleh parti politik yang tidak memperjuangkan “Ketuanan Melayu”.

2. Penyingkiran UMNO daripada tampuk kuasa.

3. Pindaan perlembagaan untuk merealisasikan “Ketuanan Rakyat” atau “Malaysian Malaysia”.

Sistem kerajaan Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Raja Berpelembagaan (Constitutional Monarch). Raja dan Agong pula adalah daripada Sultan atau Raja Melayu. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep “Ketuanan Melayu”– dimana Raja atau Sultan Melayu itu adalah Ketua atau Tuan kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
Menidakkan “Ketuanan Melayu” adalah tindakan bodoh kerana ia adalah cubaan untuk meminda Perlembagaan khususnya Artikel 153 iaitu yang bersabit kuasa Agong sebagai pelindung hak isimewa orang Melayu/Bumiputera. Bukankah “Ketuanan Melayu” telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik sekali fabrik sosial, politik dan ekonomi Malaysia? Mengapa perlu ditampal perahu yang tidak berlubang? Lagi pun orang Melayu cuma minta kek ekonomi sebanyak 30%. Selebihnya yang 70% itu kita beri kepada orang bukan Melayu. Tak apalah. Itu pun belum lagi kita orang Melayu minta 70%.