Reaksi kebanyakan negara terhadap kenaikan harga minyak lebih terarah kepada cara bagaimana untuk menghadapinya. Bukan cara menghapuskannya. Dalam erti kata lain, reaksi dunia adalah tertumpu kepada cara untuk “mengubati” simptom penyakit kenaikan harga minyak. Bukan cara untuk menghapuskan virus atau kuman bakteria penyebabnya. Tiada kepastian bahawa harga minyak akan turun. Selagi tiada langkah affirmative diambil untuk menghapuskan ketidaktentuan harga minyak yang dihadapi oleh generasi dunia sekarang ini, selagi itulah ia juga pasti akan dihadapi juga oleh generasi akan datang. Sungguh, situasi ini bagai tiada penghujungnya. Warga dunia akan terus bergelut menangani kesan rantaian kenaikan harga minyak seperti kenaikan kadar inflasi berterusan dan pengangguran. Akan lebih ramai orang yang menjadi miskin. Akan lebih sedikit orang yang menjadi kaya. Jurang ekonomi akan terus meluas.
Langkah kebanyakan kerajaan seluruh dunia yang menggalakkan rakyatnya supaya, antara lainnya, berjimat cermat dalam menangani kesan kenaikah harga minyak, tidak semestinya mencerminkan satu tindakan yang tepat. Asasnya, langkah mengurangkan perbelanjaan akan mengecutkan kitaran wang dalam pasaran. Kekurangan kegiatan pembelian akan merencatkan kegiatan ekonomi. Pengurangan kegiatan ekonomi akan membawa kepada pengurangan pelaburan dan pengecilan saiz hasil dan pendapatan sesebuah negara. Bukanlah ini bermakna bahawa polisi penggalakan berjimat cermat itu mesti ditentang, tetapi walau apa cara sekalipun, perbelanjaan mesti terus digalakkan. Jika tidak, ekonomi bakal menguncup, pendapatan rakyat akan berkurangan, banyak hutang tidak dapat dijelaskan dan banyak perniagaan akan tutup.
Spekulator dan Pembekal Minyak
Umumnya, ada empat golongan yang mahukan agar situasi kenaikan harga minyak ini kekal berterusan; (1) pembekal (2) penjual (3) orang tengah dan (4) spekulator. Ini adalah kerana keuntungan hasil perdagangan minyak mereka berlipat kali ganda dalam tempoh yang sangat singkat. Keadaan sekarang memberikan golongan ini satu bentuk kelebihan yang nyata dan bukan tiruan. Keuntungan mereka adalah konkrit dan berterusan. Satu situasi yang nyata (real)dan pasti seperti inilah yang hendak dikekalkan selama mungkin oleh golongan ini.
Lalu, apa pula yang harus dilakukan? Pendapat Encik Idris Jala dalam satu pertemuan industri penerbangan baru-baru ini wajar diberi perhatian. Beliau percaya bahawa; (1) kenaikan berterusan harga minyak adalah disebabkan kegiatan dagangan hadapan atau future trades yang didalangi spekulator dan (2) harga minyak sepatutnya berada pada USD 40 setong. Juga harus diberi perhatian adalah pendapat sesetengah negara ahli pengeluar minyak (OPEC) dan penganalisa pasaran bahawa; (1) pengeluaran minyak adalah berada pada tahap maksimum (2) bekalan minyak adalah mencukupi dan (3) tiada kekurangan dalam kitaran kepenggunaan minyak.
Mungkin untuk melihat seketika ke belakang dapat membantu menghasilkan idea yang baik untuk menghadapi krisis ekonomi ketika ini. Krisis kewangan Asia 1997 dan krisis kenaikan harga minyak kebelakangan ini boleh jadi langsung tidak mempunyai persamaan. Tetapi antara sebab musabab terjadinya krisis-krisis ini adalah hampir serupa. Kedua-duanya disebabkan oleh spekulator. Kedua-duanya menyebabkan masalah politik, ekonomi dan sosial yang teruk. Perbezaannya sekarang ialah skop tindakan yang boleh di ambil oleh negara-negara yang terjejas - secara relatifnya - adalah terbatas. Contohnya, dalam menangani krisis ekonomi 1997, Malaysia boleh mengikat nilai ringgitnya kerana ia boleh dan ia berhak. Namun dalam menangani krisis harga minyak sekarang, siapakah yang layak, berhak dan mampu untuk mengikat harga komoditi ini?
Krisis ekonomi Asia 1997, antara lain, menyerlahkan perbezaan ketara antara masalah kecairan dan kebankrapan (illiquidity and insolvency). Malaysia, antara negara yang terjejas teruk, tahu ia bukan sebuah negara yang bankrap. Justeru, tindakan pemulihannya adalah berlandaskan kepada penumpuan usaha untuk mengatasi masalah kecairannya. Dan ia terbukti tepat. Dunia akur, di kala tindakan Malaysia itu dicop sebagai songsang, akhirnya ia dapat membawa Malaysia keluar daripada krisis ekonomi tersebut. Di dalam situasi sekarang, kenaikan harga minyak tidak semestinya akan menjadikan sesebuah ekonomi menjadi bankrap yang membawa kepada pembekuan aset dan sumber. Ia juga tidak semestinya menjadi punca utama kepada masalah kecairan yang merencatkan penjanaan sesebuah ekonomi. Justeru, analisa mendalam dan tepat tentang teras punca masalah krisis ekonomi sekarang dan langkah penyelesaiannya adalah sangat perlu.
Kenaikan Artificial Harga Minyak
Hakikatnya, kenaikan harga minyak adalah bersifat artificial atau tiruan kerana ia tidak mencerminkan apa yang dikatakan oleh negara OPEC. Justeru, tindakan susulan kebanyakan negara dunia yang terjejas kerana kenaikan harga minyak dan kesan rantaiannya adalah juga satu jenis tindakan tiruan atau artificial. Reaksi tiruan inilah yang menghasilkan tindakan panik negara-negara seluruh dunia untuk mendapatkan bekalan minyak yang pada dasarnya didagangkan seperti konsep lelongan di mana pembida tertinggi akan mendapat bekalan pada kuantiti yang dimahukan.
Harga yang dibayar oleh pembida tertinggi ini, pada hakikatnya, juga adalah harga tiruan. Logiknya, segala kemelut politik dan ekonomi yang dihadapi oleh masyarakat dunia sejagat juga sebenarnya adalah masalah tiruan. Masyarakat dunia sedang berhadapan dengan satu situasi palsu yang sengaja direka cipta. Inilah yang menjurus kepada apa yang dipanggil paranoid - satu bentuk ketakutan keterlaluan terhadap sesuatu yang palsu atau tidak wujud. Paranoid kekurangan bekalan minyak inilah yang menderitakan ramai manusia.
-Pemikir Emas Hitam
No comments:
Post a Comment