Saturday, February 20, 2010

PAHIT TAPI BENAR

Sejarah telah membuktikan bahawa kekuatan pasukan tentera di dalam peperangan adalah bergantung kepada sumber pemakanan yang cukup sepanjang peperangan berlaku. Sejarah juga telah membuktikan bahawa kebanyakan pasukan tentera yang kalah dalam peperangan adalah kerana kekurangan sumber makanan dan peralatan. Seorang General perlu memastikan sumber makanan yang cukup untuk setiap seorang dari askarnya supaya mereka berada dalam keadaan yang baik sebelum berperang. Ini bagi memastikan kemenangan untuk berpihak kepadanya.

Begitu juga sekiranya seorang pengurus syarikat yang ingin memastikan pekerja-pekerja mereka sentiasa berada dalam keadaan baik serta memastikan tahap kerja yang berkualiti, pelbagai insentif akan diberikan untuk pekerja mereka. Kadangkala setiap penghujung tahun bonus akan diberikan. Semua ini adalah untuk memastikan tahap disiplin dan integriti yang baik untuk setiap pekerja.

Pentadbiran sesebuah pertubuhan juga mempunyai konsep yang sama. Pemimpin wajib menjaga ahlinya dengan baik. Tetapi apa yang berlaku kini ianya amat berbeza sekali. Kadangkala terasa seolah seperti pemimpin kini mengabaikan ahlinya dari aspek kehidupan.

Pada waktu sebelum kemerdekaan, perjuang ketika itu berjuang diatas dasar ikhlas kerana mereka pada ketika itu masing-masing memang tidak punya apa-apa. Kemudian mereka tetap ikhlas berjuang bersama untuk mengubah taraf hidup yang lebih baik. Hasil perjuangan yang mereka capai dapat dikongsi sebaiknya secara bersama.

Selepas 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, corak dan landskap kehidupan telah berubah. Semua yang tiada sudah diwujudkan oleh pejuang terdahulu dan pelbagai kemudahan yang telah dinikmati sehingga kini. Malangnya ada diantara mereka yang berjasa tidak mempunyai apa-apa manfaat dari perjuangan mereka. Kadangkala kerja pun tiada kerana sibuk mementingkan perjuangan mereka. Ini yang sering dipersoal oleh generasi baru dan pejuang selepas kemerdekaan. Mereka telah menyaksikan ahli keluarga mereka berjuang bermatian dalam parti tetapi taraf kehidupan mereka tidak seperti yang diharapkan malah lebih teruk dari orang yang mereka perjuangkan. Orang yang mereka perjuangkan dapat hidup selesa tetapi mereka dipinggirkan. Apakah ini penghargaan yang diberi diatas jasa mereka?. Walaupun jasa mereka dikira kecil tetapi mereka tetap berjasa. Suara ini seringkali disangkal dengan pelbagai alasan dan menyebabkan mereka terlalu kecewa kerana pandangan mereka diketepikan. Inilah punca mereka menjauhkan diri dari politik dan mementingkan kerjaya. Ada sesetengah dari mereka kerjaya pun tiada.

Sekiranya kalah dalam peperangan janganlah dipersalahkan prajurit. Kekalahan itu berpunca dari kelemahan kita sendiri yang salah satunya disebabkan kekurangan makanan dan peralatan. Jangan kita menafikan fakta ini. Sejarah telah membuktikan apabila tentera German yang dipimpin oleh Hitler mengalami kekalahan teruk di Rusia adalah semata-mata disebabkan kerana kekurangan bekalan makanan dan bukannya kerana tiada semangat juang. Semangat juang mereka amat tinggi pada ketika itu tetapi apakan daya kekuatan fizikal tiada.

Dalam sejarah juga telah membuktikan mana-mana organisasi mahupun negara, sekiranya mempunyai tahap kewangan yang baik serta kukuh mereka akan disegani dan dihormati malah apa yang diperjuangkan akan menjadi ikutan. Fakta ini jangan kita nafikan dengan pelbagai alasan kerana sejarah telah membuktikannya.

Penulisan ini berdasarkan pemerhatian di setiap kawasan. Sebagai bidalan, pohon walau sebesar mana sekalipun sekiranya ia kekurangan baja dan air pastinya akan mati dan tumbang. Kita mungkin tidak ingin pohon yang dibina selama 63 tahun tumbang begitu sahaja kerana akar-akarnya kekeringan. Kadangkala orang tidak melihat bagaimana keadaan akar kerana sibuk melihatkan daun yang rendang.

-Pejuang kecewa

No comments: