Sunday, December 26, 2010

1Malaysia bukan bermotif politik - PM

KUALA LUMPUR 25 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan Gagasan 1Malaysia bukan bermotifkan politik seperti mana dakwaan sesetengah pihak sebaliknya ia bertujuan untuk pembangunan bangsa.

Perdana Menteri berkata, kerajaan percaya melalui gagasan tersebut ia dapat menarik sokongan semua rakyat negara ini untuk bersama-sama bergerak ke hadapan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, harmoni dan berjaya pada abad ke-21.

Paling penting beliau berkata, gagasan tersebut mampu mewujudkan perpaduan jitu antara semua kaum di negara ini sekali gus menjamin kestabilan negara.

''Gagasan 1Malaysia bukan bertujuan politik tetapi semata-mata untuk pembangunan bangsa. Dengan kata lain gagasan 1Malaysia merupakan satu titik pertemuan kepada semua lapisan masyarakat Malaysia untuk kita lebih bersatu padu di bawah satu visi dan satu misi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan teh sempena sambutan Hari Krismas di ibu pejabat Persekutuan Kristian Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Biskop Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Baru-baru ini Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor telah mengeluarkan arahan melarang penggunaan logo 1Malaysia pada kain rentang dan papan iklan di negeri itu.

Ia berpunca pada satu kejadian 23 Disember lalu apabila sebuah premis kedai serbaneka 24 jam di Banting, Kuala Langat telah diarahkan oleh Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menanggalkan logo 1Malaysia pada papan tanda perniagaannya selaras dengan arahan kerajaan negeri itu.

Najib dalam ucapannya turut menyentuh kejayaan kerajaan melakukan penambahbaikan beberapa bidang utama hasil negara daripada inisiatif yang telah diambil sebelum ini.

''Hasil daripada beberapa program kerajaan ia telah menunjukkan kesan yang positif. Sebagai contoh indeks jenayah jalanan telah menurun sebanyak 37.6 peratus melebihi sasaran 20 peratus yang ditetapkan bulan ini,'' kata beliau.

''Begitu juga maklum balas daripada rakyat mengenai serangan kita terhadap rasuah. Menurut Transparency International, 48 peratus rakyat Malaysia mengakui usaha kerajaan menentang rasuah adalah amat berkesan,'' kata beliau.

Berbanding tahun lepas beliau berkata, hanya 28 peratus rakyat Malaysia yang beranggapan sedemikian.

''Begitu juga dengan pelaburan langsung asing (FDI), dalam tempoh sembilan bulan tahun ini kita berjaya memperoleh RM17.1 bilion berbanding RM5 bilion sepanjang tahun lepas,'' katanya lagi.

Beliau berkata, pencapaian pertumbuhan ekonomi negara juga amat baik apabila puratanya adalah 8.1 peratus dari Januari hingga September lalu.

''Apa yang pasti setiap kejayaan yang dicapai ini adalah hasil kestabilan, perpaduan dan keamanan yang kita kecapi. Mustahil kita mampu berada pada kedudukan ini jika negara berada dalam keadaan tidak stabil dan aman,'' ujarnya.

No comments: