Sunday, February 13, 2011

AL-FATIHAH

TEMERLOH 12 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ini setelah terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Kerdau, dekat sini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu dan jenazah Allahyarham telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) di sini.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon yang memaklumkan Allahyarham terjatuh di bilik air selepas mengadu sakit perut kepada pembantunya.

"Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Karam, Kerdau dekat sini," katanya.

Mingguan Malaysia difahamkan, sebelum kejadian itu, Zaharuddin sedang bersiap menghadiri satu majlis yang akan diadakan malam ini di kawasannya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Allahyarham kemudian mengadu sakit perut kepada pembantunya lalu dibawa ke bilik air dan sejurus kemudian menjerit kerana terjatuh di situ.

Zaharuddin meninggalkan seorang balu iaitu guru Kelas Asas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Rozlifah Ahmad, 33, yang dikahwininya pada Oktober tahun lalu.

Pada Mei tahun lalu, ADUN Kerdau itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani rawatan akibat komplikasi jantung. Kesihatannya kembali pulih selepas menjalani pembedahan jantung di IJN.

Allahyarham kemudian sekali lagi dimasukkan ke Hosas bagi menjalani rawatan akibat tekanan darah tidak stabil pada November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hasanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

No comments: