Thursday, February 9, 2012

Kerajaan selangor masih berhutang subsidi air

SHAH ALAM 9 Feb. — Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali Datuk Mohd Isa Abu Kassim hari ini mendakwa kerajaan negeri Selangor gagal menunaikan janjinya kepada rakyat apabila ia berhutang subsidi air percuma kepada penghuni-penghuni unit pangsapuri dan kondominium di seluruh negeri ini.

Beliau mendakwa, terdapat 765 blok kondominium dan 643 blok pangsapuri di seluruh Selangor yang belum menikmati subsidi air percuma kerana mereka masih menggunakan meter air pukal dan bukannya meter individu.

ADUN (BN) itu, yang dipertanggungjawabkan memantau isu air di negeri ini, berkata jika semua penghuni kondominium dan pangsapuri menukar kepada meter individu, akan berlaku pertambahan sebanyak 350,000 akaun baru bagi meter individu di negeri ini.

Walaupun kerajaan negeri mengeluarkan kupon kepada penghuni pangsapuri yang masih menggunakan meter pukal, hanya 35,000 orang sahaja yang mendapat kupon bagi subsidi air percuma setakat ini, dakwanya pada sidang media di sini. — BERNAMA

No comments: