Sunday, October 18, 2009

UCAPAN DASAR PRESIDEN PADA PERHIMPUNAN AGONG UMNO 2009 BUAT TATAPAN SEMUA

UCAPAN DASAR
YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB TUN HJ. ABDUL RAZAK
PRESIDEN UMNO
SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2009
PADA 15HB OKTOBER 2009 (KHAMIS)
JAM 9.00 PAGI
DI DEWAN MERDEKA,
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA
KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillahi Rabbil A-lamin, was-salatu was-salamu ala Rasulillah.
Rabbi ish-rah-li sadri wa-yassir-li amri wahlul uq-datan min-lisani yaf-qohu qauli.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap, Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap, Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Ketua-ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Ahli-ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua komponen parti BARISAN NASIONAL, Dif-dif kehormat, para tetamu dan para jemputan, Para perwakilan dan pemerhati,

Seawalnya saya ingin berkongsi Firman Allah SWT, dalam
surah As-Saff ayat yang ke-4:

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu ‘bun-ya-nun-marsus’ yakni bangunan yang tersusun kukuh.”

Kemudiannya pesan daripada Saidina Ali bahawasanya :

“Sesuatu yang benar dan hak namun tidak tersusun akan dikalahkan oleh yang batil dan salah, tetapi diatur dengan tersusun.”

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

1. Pertama sekali, seperti lazimnya, marilah kita mengangkat rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam, yang mana dengan keredhaan-Nya jualah, dapat kita sekali lagi berhimpun pada pagi yang mulia ini.

2. Sesungguhnya Dewan Merdeka ini telah beberapa dekad menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa, silih berganti, perjalanan suka duka, pahit maung dan manisnya sebuah parti keramat yakni UMNO, parti kita semua.

3. Perhimpunan pada pagi ini juga penuh bermakna dan bertuah, kerana, di bawah bumbung UMNO, hadir dua mantan Presiden yang kita kasihi. Marilah kita sambut dan raikan YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Abdullah Hj Ahmad Badawi.

4. Demikianlah contoh semangat juang dalam jiwa pemimpin UMNO yang tidak pernah pudar; bahkan terus mekar, terus bersedia untuk bersama-sama dalam sebuah perjuangan yang belum selesai, demi membina bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan semangat dan kekuatan inilah, kita akan bangkit kembali membina keagungan bangsa yang sungguh banyak jasanya pada negara tercinta.

5. Setinggi-tinggi penghargaan kita hulurkan juga kepada YABhg Tun Dr. Siti Hasmah bersama YABhg Tun Jeanne Abdullah, kerana turut serta dalam perhimpunan kita pada pagi ini sekali gus menyemarakkan semangat semua ahli UMNO dari seluruh pelusuk tanahair yang menyaksikan detik
bersejarah ini.

6. Perhimpunan Agung kali ini mencatat beberapa mercutanda. Pertamanya, satu sejarah secara peribadi kerana inilah ucapan dasar sulung saya, selaku Presiden UMNO sejak mengambil alih pucuk pimpinan, secara rasmi pada bulan Mac yang lalu. Syukur, peralihan kuasa yang tertib, lagi licin bersandarkan tradisi mulia UMNO, telah berlangsung dan dimungkinkan oleh YABhg Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi.

7. Keduanya, perhimpunan kali ini hanya dalam jangka masa enam bulan dari tarikh perhimpunan yang lalu, menyaksikan satu langkah berani UMNO membuat pindaan besar terhadap perlembagaan parti seraya membuktikan UMNO tidak jumud dan bukanlah parti yang lapuk. Sebaliknya, dengan pindaan ini, jelas memperlihatkan kesungguhan UMNO untuk menjadi sebuah parti yang dinamik, progresif dan responsif kepada kehendak semasa.

8. Ketiganya, perhimpunan ini akan menjadi titik monumental, kepada UMNO yang akan meninta perjalanan di atas lembaran baru, dengan semangat baru, pendekatan baru dan hala tuju yang baru.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

9. Begitulah, pada pagi bermakna ini, dalam keceriaan bulan Syawal yang mulia, meraikan kemenangan, menentang kehendak hawa nafsu di Ramadhan lalu, kita sewajarnya dengan penuh rasa syukur mengucapkan pula ungkapan Alhamdulillah, ke hadrat Yang Maha Kuasa atas kejayaan kita, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dengan lonjakan majoriti yang berganda.

10. Sayugialah, saya merakamkan sekalung kata terima kasih kepada semua pimpinan di setiap peringkat yang telah bertungkus lumus, bekerja keras serta orang ramai terutamanya para pengundi dalam menggondol kemenangan bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden parti. Sememangnya kejayaan ini, membenarkan hakikat bahawa, UMNO masih merupakan parti pilihan orang Melayu dan UMNO masih merupakan parti pilihan rakyat.

11. Ini membuktikan juga bahawa rakyat tempatan dari semua kaum dan semua lapisan telah menyuarakan keinginan mereka dengan jelas untuk terus berlindung di bawah naungan Barisan Nasional. Kenapakah, pilihan ini telah dibuat, tuan-tuan dan puan-puan? Sudah terang lagi bersuluh, kerana Barisan Nasional merupakan parti yang terbukti kecemerlangannya dalam pentadbiran negara, kerana Barisan Nasional lah yang sebenarnya menjadi pembela rakyat selama ini.

12. Walau apa pun, kita harus menerima kemenangan ini dengan tenang, penuh tawadhuk dan rasa kerendahan hati. Seperti kata pepatah Inggeris ‘One swallow does not make a summer’, takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba, atau, disesuaikan dalam simpulan bahasa Melayu ‘Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan’. Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh diharapkan, atau dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk.

13. Di Bagan Pinang, kita dapati orang-orang bukan Melayu menerima UMNO dengan hati yang terbuka. Jelasnya, di kawasan pilihan raya yang pengundinya terdiri daripada masyarakat majmuk seperti ini, kita mahukan UMNO diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan sahaja untung nasib Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia.

14. Ini bertepatan dengan Surah Al-Maidah ayat ke-8, di mana Allah SWT menyeru kita, supaya menjadi orang yang berlaku adil, serta menegakkan kebenaran kepada semua kaum dan bangsa, kerana berlaku adil itu dekat kepada taqwa. Kalau kita menjaga kebajikan semua rakyat, maka pastinya rakyat, tanpa mengira bangsa dan keturunan, akan dengan relanya menyokong serta mengangkat kepimpinan parti kita.

15. Dalam hal ini, mahu tidak mahu, UMNO perlu menjadi parti yang lebih terbuka pendekatannya. UMNO perlu dipilih atas sebab parti kita adalah yang terbaik, sama ada dari sudut organisasi, gerak kerja, matlamat, ataupun sistem nilai yang mendasari pertubuhan ini. Kalau inilah resipi kejayaan kita baru­baru ini di Bagan Pinang, yang telah meraih majoriti besar, maka, saya yakin dan percaya dengan menggunapakai ramuan ini di tempat-tempat lain pun, selepas ini, kita akan menikmati kejayaan yang sama atau lebih besar lagi, insya-Allah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

16. Sejarah adalah guru yang terbaik. Musim dan masa terus berlalu tanpa menunggu sesiapa. Kata George Santayana, seorang pemikir tersohor bahawa: “Mereka yang engkar dari memahami dan tidak belajar daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang sama”. Pokoknya, peristiwa sejarah bukan sahaja untuk dicontohi dan diikuti, tetapi, ia menunjang sebagai peringatan dan sempadan terbaik kepada umat manusia bagi mengurus realiti semasa untuk melakar hari muka dengan lebih berjaya.

17. Jelas sekali, manusia yang mendapat pengajaran betul serta benar daripada peristiwa sejarah, boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang akan membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun. Maknanya, untuk menongkah masa depan yang cemerlang, kita perlu berakar teguh, dengan beriktibar daripada sejarah dan sistem nilai. Barulah kita berupaya untuk tegak menghadapi masa mendatang, dengan persediaan yang rapi serta serasi menurut hambatan zaman. Oleh kerana itulah, saya memilih tajuk ucapan pagi ini sebagai “Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan.”

18. Jadinya tuan-tuan dan puan-puan, menyonsong tawarikh, jika diamati, tahun ini adalah tahun yang signifikan bukan sahaja dalam susur galur negara tetapi juga susur galur parti UMNO. Sekitar tempoh ini, lima puluh tahun yang lalu, Malaysia mula mengamalkan demokrasi berparlimen secara mutlak, apabila pilihanraya umum pasca merdeka yang pertama diadakan pada tahun 1959. Sekitar waktu ini juga, empat puluh tahun yang lalu yakni 1969 UMNO telah mengepalai usaha untuk menyelamatkan negara dari ambang kehancuran, natijah konflik antara kaum.

19. Kira-kira kala ini juga, dua puluh tahun lalu yakni 1989, UMNO telah menerajui usaha untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan memulakan proses industrialisasi negara. Manakala masih segar terakam dalam ingatan ramai, pada detik-detik ini pulalah,

20. Sekali lagi, apa yang mustahak untuk diketahui adalah, kesemua tindakan hebat yang dinyatakan ini, nakhodanya adalah kepimpinan UMNO, berlandaskan kebijaksanaan pemikiran yang kreatif lagi berinovatif. Segala-galanya dilakukan, atas nama kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

21. Mengenang peritiwa dan kejadian juga, jangan mudah kita lupa bahawa selepas tragedi 13 Mei 1969, para sepuluh tahun dulu yakni 1999, UMNO sekali lagi
telah bingkas beraksi, menyelamatkan negara daripada jatuh merudum ke dalam cerun krisis kewangan Asia.

12 pemimpin UMNO boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang telah digantung. UMNO juga boleh memutuskan untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau mungkin menyokong saja pihak angkatan tentera melakukan kudeta.

22. Akan tetapi, harus barang diingat, itu semua tidak dilakukan, malah UMNO berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa lapan belas bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa, UMNO bukan sebuah parti yang mabukkan kuasa, jauh sekali sebagai sebuah parti yang bersifat perkauman.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

23. Sehubungan itu, jika kita ingin tahu apakah maksud perkauman yang sebenar, lihat sahaja, sejarah Afrika Selatan, sewaktu dicengkam apartheid. Bahkan di Amerika Syarikat pun, amalan perkauman secara terang-terangan berlaku sehingga pertengahan tahun 60-an. Sekolah, bilik air, tempat makan di restoran malah tempat duduk dalam bas antara kaum ternyata dibeza-bezakan.

24. Semuanya ini, hanya berakhir setelah keputusan pengasingan kaum, institusi pendidikan tahun 1954 oleh Mahkamah Agong melalui kes Brown lawan Lembaga Pendidikan Kansas, Akta Hak Sivil tahun 1964 dan Akta Hak Mengundi tahun 1965 digubal.

25. Dalam konteks ini, nampaknya berbeza benar, keadaan kita di Malaysia dengan realiti di dunia luar. Ehwalnya, orang Melayu adalah bangsa yang bersifat amat inklusif dan merangkumi. Jelasnya lagi, jika orang Melayu bersikap dan bersifat perkauman mana mungkin Melaka boleh menjadi sebuah pelabuhan entrepot yang makmur pada abad ke-15.

26. Bersabit isu ini juga, kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa usul periksa, begitu semberono menempelak UMNO sebagai sebuah parti perkauman harus terlebih dahulu mencermin diri secara ikhlas. Mereka harus sedar akan realiti komposisi kaum
dalam parti mereka sendiri. Adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan?.

27. Sedangkan, jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik-etnik lain seperti yang diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah­sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama-sama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

28. Oleh itu, kepada pihak-pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku, bahawa merekalah kononnya, sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini.

Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,

29. Lumrahnya, kita dapati bahawa, sesuatu matlamat yang baik sahaja tanpa diseimbangi pengalaman, dihiasi kesederhanaan serta dipimpin bersandarkan perspektif sejarah, jikapun betul, bukan sahaja tidak akan menghasilkan yang baik, sebaliknya boleh pula menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan kezaliman.

30. Berasas lagenda silam, UMNO perlu juga menggali dan mencontohi kekayaan tradisi pemikiran strategik era keagungan kerajaan Melayu Melaka. Keagungan empayar Melaka di tengah-tengah dua kuasa besar ketika itu, yakni China dan Siam mempertontonkan bahawa kuasa minda mampu mengatasi dan menundukkan semua. Justeru itulah, saya sering menekankan, pertarungan sebenar masa kini dan pertarungan sebenar masa depan adalah pertarungan minda.

31. Begitu terserlah di era itu, Bendahara Tun Perak yang arif lagi bijaksana dengan menggunakan kehebatan mindanya penuh berhemah dan berhelah, berjaya menjulang Melaka ke tempat yang tinggi. Sekalipun Melaka merupakan kuasa kecil berbanding China dan Siam, ia telah berjaya bukan sahaja mengekalkan kemerdekannya selama lebih daripada satu kurun tetapi juga mampu berkembang menjadi kuasa rantau yang ternama.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan sekalian,

32. Menjengah kembali perjuangan parti, untuk sentiasa memperoleh sokongan massa, UMNO harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat. UMNO tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit. Sebaliknya, kita mahu UMNO dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi UMNO sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.

33. Amat mustahak lagi, UMNO menjadi parti yang berpegang kepada falsafah ‘wasatan’ yakni bersederhana, atau, dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai “centrist party”. Kita tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan. Waima, fahaman UMNO semenjak penubuhannya bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun fahaman konservatif.

34. Hakikat yang jelas, UMNO adalah parti siasah yang semesta. Semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung UMNO. Malah, semenjak penubuhannya lebih enam puluh tahun yang lalu, UMNO telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.

35. Termasuklah juga lapis golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam UMNO. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah kekuatan UMNO, inilah lambang kebitaraan perjuangan UMNO yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat.

36. Wadihnya, dalam usia lebih enam dekad, UMNO adalah parti yang sarat dengan pengalaman. UMNO bukan sebuah parti yang baru tetapi kaya dengan warisan. Pelbagai denai, onak dan duri telah ditempuhi. Bak kata orang, perjalanan ini menjadi rahmat dan sekali gus juga bebanan. Ia adalah rahmat kerana kita bukannya parti yang hanya pandai berkata-kata tanpa mempunyai rantaian rekod yang boleh menyokong janji-janji tersebut kepada rakyat. Bebanan pula timbul apabila kita berhadapan dengan pelbagai isu legasi yang mengancam survival bangsa dan negara.

37. Selama ini, UMNO dihormati dan disegani sebagai sebuah parti politik oleh kawan mahupun lawan disebabkan UMNO adalah sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti orang-orang Melayu dan Bumiputera. Seandai dan sekiranya, sokongan ini terhakis, maka UMNO tidak akan disegani kawan dan tidak lagi dihormati lawan.

38. Lantaran itulah, suka atau tidak, kekuatan UMNO sebagai sebuah organisasi politik amat bergantung kepada kemampuannya untuk memahami kehendak para ahli. Manakala, kerelevanan UMNO sebagai sebuah parti pemerintah pula bergantung kepada sejauh mana ia berjaya menangkap imaginasi bukan sahaja di kalangan orang Melayu tetapi juga yang lebih utama kepada seluruh rakyat Malaysia.

39. Ertinya di sini, UMNO akan terus mendapat tempat sebagai sebuah parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat dizahirkan dalam perjuangan parti, seterusnya dimanifestasikan pula dalam gerak kerja penggubalan dasar-dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.

40. Di persimpangan ini, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi UMNO dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu. Kekalutan hanya akan wujud jika tasawwur UMNO tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak. Hal ini ditambah burukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa UMNO tidak bersedia untuk mengambil langkah-langkah pembetulan secara pantas.

41. Jika perkara tersebut berlaku, maka rakyat akan menanggap bahawa UMNO bukan sahaja parti yang tidak berpijak di bumi nyata, malahan bersikap angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli. Jadi, janganlah hairan jika perkara ini terjadi nanti,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

ramai rakyat Malaysia akan melihat UMNO bukan lagi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya ia sudah berubah menjadi sebahagian daripada masalah.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

42. Oleh sebab itu, untuk terus lestari, UMNO tidak ada pilihan melainkan perlu membumi dan mendakap realiti. UMNO perlu terus membuka rongga dan ruang pembaikan. Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti.

43. Selaku Presiden UMNO, saya dengan ikhlas menyeru kepada semua orang Melayu, demi maslahah ummah, marilah bersama-sama membentuk satu saf yang berasaskan pertautan pemikiran dan tindakan untuk merungkai kekusutan, memulihkan silaturrahim serta memacu kepentingan bersama. Sepertimana pepatah lama, air dicincang tidak akan putus, buanglah yang keruh, kita ambillah yang jernih, agar bangsa yang mulia ini terus dimartabatkan.

44. Dalam masa yang sama, ahli-ahli UMNO, baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun ahli biasa, perlu kerap melakukan muhasabah. Kita perlu bersedia untuk menilik ke dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan. Seterusnya, mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut. Apa yang penting, ahli-ahli UMNO perlu mewajahkan peri laku mulia dan nilai-nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti.

45. Pada hemat saya, dalam perkara ini, antara sifat pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan tawadhuk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang sentiasa bersedia memberikan khidmat.

46. Saya ingin berpesan, janganlah segan untuk turun ke bawah dan merapatkan diri dengan akar umbi sekali pun kita menyandang jawatan tinggi. Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Malah rakyat akan membenci pemimpin yang memisahkan diri dari mereka, sukar didekati, apatah lagi pemimpin yang sombong dan bongkak. Mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung.

47. Selain itu, para pimpinan UMNO dan ahli-ahli seharusnya terkenal dengan integriti apabila diberikan tugas dan amanah. Ini amat mustahak dalam meyakinkan rakyat untuk terus bersama UMNO. Jika persepsi negatif tentang integriti dan etika pemimpin UMNO menular, ia dengan sendirinya akan menjadi faktor utama menjauhkan sokongan rakyat terhadap kita.

48. Tambahan lagi, untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang kewibawaan dan integriti UMNO, ia bukan sahaja setakat dilaungkan, tetapi ia juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak tanduk dan aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin. Insya-Allah nantinya rakyat akan dapat menerima semula, secara sepenuh hati, parti kita ke pangkuan mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

49. Gila ada pelbagai jenis gila. Kata orang bila seseorang itu bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya separuh gila. Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri, kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu, tandanya memang dah sah lah dia gila.

50. Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau “outcome’’.

51. Ini kerana, alat dan pendekatan boleh berubah dek perjalanan masa. Wahana dan kaedah yang sesuai hari ini mungkin akan lapuk sepuluh tahun dari sekarang. Begitulah kereta kuda dan mesin telegraf yang suatu ketika dahulu adalah alat dan pendekatan yang terbaik pada zaman bahari, kini, sudah tidak atau sudah jarang digunakan.

52. Contohnya, apabila mula digubal, Dasar Ekonomi Baru menyasarkan peningkatan pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera dari 2.4 peratus kepada 30 peratus, dalam tempoh masa dua puluh tahun. Namun begitu, sehingga Dasar Ekonomi Baru tamat pun, matlamat ini masih belum dapat diterjemahkan. Pemilikan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera hanya mencapai 19.2 peratus sahaja. Oleh itu, matlamat ini diteruskan di bawah Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pembangunan Wawasan dan kini, Misi Nasional menggunakan pendekatan yang tidak jauh berbeza.

53. Namun, masa berlalu menyaksikan ekonomi Malaysia berubah haluan dan bergantung kepada pelaburan asing serta hasil eksport, manakala ekonomi negara kita kini lebih terbuka dan mudah terkesan dengan perkembangan ekonomi global. Mengikut laporan Pertubuhan Perdagangan Sedunia tahun 2008, Malaysia adalah negara pengeksport barangan yang ke-21 terbesar di dunia.

54. Hakikatnya, cabaran ekonomi masa depan yang menanti kita lebih rumit dan hebat. Landskap ekonomi dunia juga sudah berubah. Formula semalam belum tentu lagi masih mujarab. Jika dalam tempoh hampir empat dekad kita gagal mencapai matlamat dengan menggunakan kaedah yang sama, bukankah sudah sampai masanya kita memikirkan strategi baru yang lebih relevan dengan masa dan zaman untuk mencapai cita-cita yang diimpikan?

55. Berikutan hal ini, orang–orang Melayu perlu sedar bahawa salah satu sebab yang memungkinkan kejayaan Dasar Ekonomi Baru ialah kerana ia dilaksanakan di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang mapan. Perangkaan menunjukkan bahawa, pukul rata pertumbuhan ekonomi negara di antara tahun 1971-1990 adalah pada kadar 7.1 peratus.

56. Justeru, menyedari peri mustahaknya pertumbuhan ekonomi, apabila Malaysia menghadapi kemelesetan pertengahan 80-an akibat kejatuhan harga komoditi dunia, kepimpinan UMNO dan negara ketika itu mengambil tindakan di luar kotak kelaziman. Telah ditangguhkan ketika itu, elemen-elemen utama Dasar Ekonomi Baru bagi mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan. Ini dibuat melalui pewujudan persekitaran yang subur untuk pelaburan terus asing, terutamanya, dalam bidang pembuatan.

57. Strategi ini ternyata telah berjaya. Kutipan cukai kerajaan bertambah, peluang pekerjaan melata, dan ekonomi negara berjaya pulih dari kemelesetan. Hasilnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah dapat diteruskan. Bersandarkan faktor inilah, maka, kerajaan hari ini telah mula meliberalisasikan sektor­sektor tertentu di samping melihat semula dengan komprehensif cara penciptaan dan pegangan kekayaan Melayu dan Bumiputera agar ia lebih mapan serta lebih bermakna.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang perwakilan sekalian,

58. Di sudut lain, bukan sahaja UMNO yang harus berubah dan melakukan proses transformasi ke arah kebaikan generasi pewaris negara, yang terlebih penting adalah orang-orang Melayu seluruhnya perlu berubah corak pemikirannya. Hari ini, kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga. Katanya, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan.

59. Tampaknya, golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar. Maksud saya, jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang-orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan. Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung padanya.

60. Di atas segalanya, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa, nikmat tersurat hari ini adalah, orang Melayu telah mempunyai kelas menengah yang besar. Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1971.Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa, hari ini terdapat golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkah-langkah Dasar Ekonomi Baru.

61. Oleh sebab itu, kita perlu faham bahawa, isunya di sini bukanlah soal bantuan, tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut. Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama.

Tuan-tuan dan puan-puan,

62. Kita semua tahu bahawa, UMNO telah didirikan atas falsafah perjuangan, keikhlasan dan pengorbanan serta roh patriotik yang tinggi. Inilah asas-asas tersirat yang selama ini memanggu kekuatan parti. Sayangnya, ramai daripada generasi kini mengambil enteng akan jerih payah pendahulu-pendahulu menubuhkan UMNO.

63. Ambillah pengajaran daripada kesungguhan dan kemuliaan generasi yang terdahulu. Contohnya, pengorbanan ikhlas kaum wanita dalam parti. Tercatat dalam sejarah, kaum ibu yang rela melurut cincin, gelang dan rantai demi membiayai rombongan pimpinan Tunku ke London bagi merundingkan kemerdekaan. Inilah sikap mulia dan murni wanita UMNO sejak berpuluh tahun. Sifat yang sungguh kita sanjung tinggi.

64. Saya juga masih ingat cerita pimpinan-pimpinan lalu yang sanggup berlebih kurang dalam serba kepayahan dan kesederhanaan berjuang untuk parti. Kata mereka, kalau dulu tidak macam sekarang, semuanya nakkan yang empuk dan semuanya nakkan yang mewah. Dulu, kalau ke persidangan UMNO, siapa yang tak kenal New Hotel dan King Hotel di Batu Road. Untung-untung pun dapatlah merasa Majestic Hotel. Sekarang ini, kalau tak dapat hotel lima bintang, ramai yang mengeluh sakit-sakit badan. Tak standard dan tak kelas katanya.

65. Apa yang cuba saya utarakan di sini adalah, ke manakah hilangnya budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam UMNO? Kalau hendak diikutkan, begitu ramai golongan profesional seperti peguam, doktor, akauntan dan jurutera yang menjadi ahli. Malangnya, di saat-saat kita memerlukan kerja­kerja sukarela umpamanya, pada musim pilihanraya, begitu sedikit yang tampil membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Barangkali, mereka ini tidak mendapat tempat di cawangan atau mungkin borang keahlian mereka hilang di tengah jalan.

66. Makanya, saya menyeru agar ahli-ahli UMNO menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti. Ikhlaskanlah diri untuk menumpah bakti dan jasa tanpa disuruh-suruh demi kepentingan parti dan rakyat Malaysia. Sesungguhnya tuan-tuan dan puan-puan yang dilimpah kurnia serta kelebihan oleh Allah SWT, dalam kehidupan masing­-masing sewajarnya kembali menyumbang kepada masyarakat. Barulah nanti akan datangnya keberkatan dalam berparti dan dirahmati oleh Allah SWT. Seperti kata lagu, berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah perjuangan sebenar, sejati dan mulia.

67. Berkaitan hal yang tersebut juga, untuk menjadi parti yang berjaya, kita tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat. Kini, rakyat mahukan parti dan kerajaan memahami kehendak mereka dan mereka mahu lebih dirundingi dan didampingi secara langsung. Realitinya, rakyat mahukan pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara.

68. Untuk itu, kita mesti meneruskan proses islah dan menzahirkan perubahan-perubahan yang sesuai dengan masa. Kita mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula menzahirkan perubahan itu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

69. Menuju ke arah ini, pertamanya, UMNO telah bertindak berani meminda perlembagaan parti untuk menjadikannya lebih telus, inklusif dan demokratik. Nampaknya, langkah kita telah menyebabkan pihak­pihak tertentu melatah, hingga ada yang tanpa segan silu cuba meniru dan sekonyong-konyong meminda perlembagaan parti mereka, sekalipun tanpa perincian yang rapi. Inilah tembelang, aliran dan gaya sebenar mereka, suka membuat janji umum yang tidak pula ada susulan tertentu.

70. Berbanding pindaan yang kita lakukan ini, bukan sekadar bersifat kosmetik mahu pun tempel-tempelan, sebaliknya ia merupakan perubahan secara tuntas dan signifikan. Ia akan meluaskan bilangan ahli yang terlibat sama secara langsung untuk memilih kepimpinan parti. Ia membabitkan anjakan angka daripada sejumlah 2,500 perwakilan kepada lebih 146,000 orang. Inilah petanda, bahawa semangat demokrasi hidup segar dan hidup subur dalam UMNO. Nyatanya, tidak ada mana-mana parti politik di Malaysia yang berani bertindak sedemikian rupa. Dengan itu, saya ingin mengingatkan kepada semua pihak, setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan dihormati.

71. Keduanya, berkaitan dengan cara parti memilih calon. KPI atau Petunjuk Prestasi Utama termustahak bagi sesebuah parti politik ialah untuk memenangi pilihanraya dan membentuk kerajaan yang kuat serta stabil. Dalam memenuhi maksud ini, kita perlu mencari calon yang betul. Untuk itu, kita akan mengubah kriteria menentukan calon.

72. Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting, yakni, peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara. Pada analisa akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihanraya.

73. Ketiganya, budaya berparti dalam UMNO haruslah bersifat inklusif dan bukannya insular atau, terpulau. Lebih banyak program penataran yakni “outreach” harus dilaksanakan. Dalam konteks ini, seperkara yang harus diingat, ia tidak seharusnya terbatas kepada ahli UMNO semata-mata bahkan hendaklah melebarluas kepada semua orang Melayu dan bukan Melayu.

Tuan-tuan dan puan-puan,

74. Sebagai rentetan daripada ucapan saya tadi, jika ditoleh sejarah, semenjak mula para patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional, telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana, semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

75. Kerana itulah pentadbiran kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia. Sesungguhnya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin-pemimpin UMNO terdahulu, yang diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad.

76. Konsep 1Malaysia ini ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya, penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai-nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran perlembagaan serta prinsip rukun negara.

77. Wajarlah saya pertegaskan di sini bahawa konsep 1Malaysia tidak sekali kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malah, kita kekal menjunjung kesemua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

78. Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah gulana atau menaruh syak jua bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang telah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa­bapa kita suatu ketika yang lalu. Sesungguhnya matlamat akhir 1Malaysia adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian kita di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.

Tuan-tuan dan puan-puan,

79. Pokok pangkalnya, UMNO harus kekal menjunjung tradisi perjuangan. Oleh kerana itulah, UMNO akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat. Saya mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman. UMNO tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu-satu pihak sahaja. Sebagai tonggak parti pemerintah, kita tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

80. Khidmat UMNO harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal.

Tuan-tuan dan puan-puan,

81. Kesimpulannya, UMNO adalah sebuah parti massa yang lahir menjunjung aspirasi akar umbi bangsa untuk menebus maruah yang tergadai. Sejarah telah menunjukkan apabila UMNO dekat dengan rakyat, apabila UMNO menyelami denyut nadi mereka, maka rakyat akan memberikan sokongan kepada UMNO. Itulah sebabnya apabila UMNO mempelopori penubuhan FELDA, MARA, TABUNG HAJI, LPP, LKIM dan lain-lain agensi yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, kita dijulang menjadi parti yang kuat.

82. Oleh kerana itulah, tanpa kunjung jemu, UMNO meneruskan tradisi membela rakyat. Bagi tahun 2009 sahaja, kerajaan yang diterajui UMNO telah memperuntukkan sebanyak RM22 billion untuk membiayai pelbagai subsidi, insentif dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat. Perkara ini mampu dilakukan kerana kita telah mengurus kewangan dengan baik tanpa perlu menaik mahupun mengenakan cukai tambahan.

83. Dari itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpukau dengan pihak pembangkang semata-mata kerana, air percuma dan sedikit kenaikan elaun. Setidak-tidaknya ingatlah sedikit, akan jasa-jasa kerajaan pimpinan UMNO yang telah berbudi selama puluhan tahun. Kata orang, janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan.

84. Faktanya, secara sedar atau tidak, sudah banyak yang pihak kerajaan lakukan demi kesejahteraan hidup rakyat. Misalnya, di bawah sektor pengangkutan dan tenaga, kerajaan telahpun menyediakan subsidi sebanyak RM9 bilion untuk petrol, LPG dan diesel; RM2 bilion untuk program rebet tunai, lebih RM600 juta untuk pampasan tol; RM150 juta untuk kadar elektrik dan RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur.

85. Berkaitan hal yang tersebut juga, kita adalah kerajaan yang empati dan prihatin dengan keadaan sebenar hidup seharian rakyat, bukan sahaja di desa, sementelahan juga kehidupan rakyat di kota kerana ada antaranya yang masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pokoknya, rakyat berasa lega bahawa mereka tidak sendirian dalam keluh kesah tentang makan pakai, kos sewa rumah mereka, susu dan kain lampin anak, membawa kepada perbelanjaan pengangkutan seharian yang ditanggung.

86. Apa yang pasti kerajaan faham dan maklum isu ini. Misalannya, di bawah sektor pertanian dan makanan, sejumlah hampir RM600 juta diperuntukkan untuk subsidi padi, RM400 juta untuk beras, RM375 juta untuk gula; RM275 juta untuk baja, RM210 juta untuk tepung gandum; dan RM89 juta untuk roti.

87. Selanjutnya, menyedari kepentingan pendidikan dan ilmu pengetahuan sebagai kandil generasi masa depan, sejumlah RM2 bilion lagi telah diagih-agihkan dalam bentuk bantuan kepada pelajar sekolah terutamanya untuk projek pelajar miskin. RM411 juta pula untuk bantuan pelajar IPTA ; RM374 juta untuk guru atau penyelia KAFA, tidak ditinggalkan elaun guru takmir termasuk elaun imam serta elaun ketua­-ketua kampung. Sebahagian lagi yakni RM159 juta untuk kanak-kanak prasekolah dan RM36 juta pula diperuntukkan untuk masyarakat Orang Asli.

88. Tidak dilupakan sebanyak RM850 juta lagi untuk menyediakan jaringan keselamatan khusus kepada keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga emas. Selain itu, dari bulan November 1997 hingga bulan Ogos 2009, kerajaan melalui PTPTN telah mengeluarkan lebih RM19 bilion kepada 1.4 juta peminjam terdiri daripada pelajar-pelajar IPTA dan IPTS dengan ujarah yang sangat rendah. Bersyukurlah kita atas kesemuanya ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

89. Sejak pasca pilihanraya ke-12, musuh-musuh politik UMNO telah mula meramalkan kejatuhan parti keramat ini. Hatta banyak pihak yang tidak sabar untuk menalqinkan UMNO. Kata mereka, UMNO sudah nazak dan hanya menanti waktu. Sebenarnya
ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Jangkaan ini juga dibuat apabila Parti Kemerdekaan Tanah Melayu dan Parti Islam seMalaya tertubuh akibat perpecahan dalam UMNO.

90. Telahan juga dilontar selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila kerajaan Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga di mana banyak pemuka-pemuka UMNO tewas dan kecundang. Andaian sebegini juga dibuat selepas pemilihan UMNO 1987 dan kemudiannya apabila terbentuk Parti Melayu Semangat 46. Ia juga dicanang dengan kencang di pilihanraya umum 1999. Kendatipun begitu, Alhamdulillah setiap kali ramalan ini timbul UMNO bangkit kembali sebagai organisasi yang lebih kuat dan berpadu.

91. Merujuk keputusan pilihanraya umum ke-12, rakyat telah memberi mesej yang jelas kepada kita. Justeru, kita sedar dan insaf. Kita tahu rakyat masih sayangkan UMNO. Apa yang mereka inginkan hanyalah, agar UMNO berubah. Nyatanya, kita
mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah.

92. Apa yang pasti, kelangsungan parti begitu penting, bukan untuk pemimpin-pemimpin UMNO tetapi untuk bangsa, agama, negara dan rakyat seluruhnya. Hakikatnya, setiap generasi kepimpinan UMNO menghadapi cabaran yang tersendiri sesuai dengan masa dan zaman. Alhamdullilah, setiap cabaran berjaya diatasi dengan perpaduan dan semangat yang kental. Sememangnya pun, penubuhan UMNO merupakan hasil doa para ulamak, pendidik, petani, nelayan, peniaga dan para mustada’afin serta rakyat keseluruhannya yang mahukan kebebasan bermaruah.

93. Kata orang, jika kita bersatu hati, bersatu tekad dan membulatkan usaha, maka kita akan berupaya bersama-sama mendaki ke puncak yang paling tinggi menuruni cerun yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam.

94. Bahkan, sejarah menjadi saksi, orang-orang UMNO tidak pernah gagal melakukan sesuatu tindakan hanya kerana ianya sukar. Sebaliknya, kita telah berjaya, menggapai apa yang mustahil dengan berbekalkan semangat.

95. Siapa sangka bangsa yang pernah dimomok­momokkan sebagai lemah dan tidak bersedia untuk bebas kendiri telah berjaya merebut kemerdekaan dari kuasa besar dunia, bukan dengan jalan hujung senjata tetapi menggunakan akal dan hujung lidah, berdiplomasi serta berunding dengan Inggeris. Siapa sangka bangsa ini kemudiannya berjaya mengisi erti kemerdekaan tersebut sehingga Malaysia muncul sebagai negara membangun yang termaju di dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

96. Sesungguhnya, amanah besar ini tidak boleh dipikul oleh seorang. Ia perlu dijinjing oleh satu jemaah, satu barisan yang tersusun rapi. Oleh itu, saya menyeru
dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang-pejuang UMNO di bawah, pejuang­pejuang UMNO di bahagian, pendokong-pendokong UMNO di cawangan, seluruh warga UMNO yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya. Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,

97. Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah, UMNO, satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

98. Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung.

99. Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.


Kendati tergantung awan di langit,
Telah terlanjur kubentangkan layar,
Walau badai datang menggulung,
Walau berdentum guruh di langit,
Walau bumi berkeping dua, takkan mungkin ku
berbalik haluan.

Hidup UMNO! Hidup Melayu!
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sunday, October 11, 2009

BN KEKALKAN KERUSI BAGAN PINANG- ALHAMDULILLAH

"BN mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang di Negeri Sembilan setelah calonnya, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengalahkan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dengan majoriti 5,435 undi dalam satu pilihan raya kecil hari ini.

Mohd. Isa memperolehi 8,013 undi manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi. - Bernama"

Izinkan kami bermadah pujangga untuk semua dan khasnya kepada Presiden Parti.

TIDAK TAHU NAK GAMBARKAN KEGEMBIRAAN DIHATI,

HANYA SYUKUR KEPADA ILAHI YANG DAPAT DIBERI,

WALAU PEMIMPIN TIDAK KETAHUI BAGAIMANA SYUKURNYA KAMI,

HANYA LINANGAN AIR MATA HADIAH DARI KAMI,

SEMOGA KITA SEMUA DAN PARTI DISAYANGI DAN DIBERKATI,

SALAM KEGEMBIRAAN DARI KAMI UMNO CAWANGAN BUKIT AMPANG,

BUAT SEMUA AHLI DAN KEPIMPINAN TERTINGGI,

KHUSUSNYA PRESIDEN DAN TIMBALAN PRESIDEN PARTI.