Saturday, April 28, 2018

Sunday, April 8, 2018

Manifesto BN PRU14: ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ Ikrar Kepada Rakyat




KUALA LUMPUR, 7 April – Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyenaraikan program-program menghebatkan Malaysia untuk masa depan yang lebih cerah dengan mendahulukan rakyat serta pembangunan lebih adil dan menyeluruh dari Perlis hinggalah ke Sabah dan Sarawak. 


Manifesto bertemakan “Bersama BN Hebatkan Negaraku” yang dilancarkan Najib selaku Pengerusi BN berikrar untuk menyusun pembangunan yang menyeluruh terutama di kawasan yang dianggap terabai selama berdekad sebelum ini.


“Percayalah, undi anda untuk Barisan Nasional adalah mandat untuk kelangsungan kemakmuran, kesejahteraan dan keamaman sebuah negara kecil ini. Semoga Tuhan memberkati kita semua,” kata Najib dalam prakata Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilancarkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.


Manifesto BN menawarkan 14 teras yang inklusif, komprehensif dan praktikal iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal.


Manifesto itu menggarapkan lebih 300 tawaran bagi memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat mencakupi semua peringkat usia.


Antara yang menarik di bawah teras Utama Ibu dan Wanita ialah menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) khusus untuk agenda ekonomi wanita, menggalakkan sektor swasta membenarkan ibu mengandung pulang sejam lebih awal dan menggubal Akta Gangguan Seksual untuk melindungi golongan itu.


Menerusi teras Kediaman 1Negaraku, BN menjanjikan untuk menyediakan Skim Bantuan Sewa Perumahan Awam bagi membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kelainan upaya (OKU) serta membina perumahan mampu milik di tanah rizab Melayu, wakaf dan baitumal yang terbiar


Di bawah teras Senyum Sabah dan Sarawak, antara intipati menarik adalah untuk memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 direalisasikan secara konsensus selain meningkatkan kualiti liputan telekomunikasi menerusi peruntukan RM2 bilion dan meluaskan liputan bekalan elektrik (RM2.3 bilion).


BN juga akan memperkenal Pas Pengangkutan Awam TN50 berharga antara RM50 – RM150 yang memberi akses perjalanan tanpa had sebulan untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan OKU, di bawah teras Pengangkutan Futuristik.


Di bawah BR1M Lebih Baharu, BN akan memperkenalkan bantuan sekali beri RM1,500 untuk anak-anak penerima BR1M yang mendaftar di pusat pengajian tinggi serta mewujudkan sistem maklumat bantuan Malaysia – ‘B40 Window’ bagi memastikan tiada ketirisan, keciciran atau ketidakadilan dalam pemberian bantuan tersebut.


Teras Dompet Rakyat pula menyaksikan inisiatif untuk meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun, menurunkan had maksimum kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit dan memberikan insentif khas RM5,000 kepada setiap peneroka Felda selain melupuskan hutang penanaman semula peneroka.


Menerusi teras Hidup Sihat, BN akan menyediakan pemeriksaan kesihatan rutin tanpa syarat di klinik-klinik kesihatan kerajaan bagi anak muda, meningkatkan kadar pelepasan tahunan cukai pendapatan individu bagi kos perubatan ibu bapa dan memperkenalkan Undang-Undang Air demi menjamin akses air bersih untuk rakyat.


Selain teras-teras tersebut, manifesto itu turut menjanjikan penubuhan Jawatankuasa Menyelia Keharmonian Mahkamah Syariah dan Sivil; jawatankuasa untuk memperkasa Mahkamah Syariah; unit khas bukan Islam di Jabatan Perdana Menteri untuk mempromosi dialog kebersamaan dan persefahaman antara kaum selain meneruskan usaha menyokong kemerdekaan negara Palestin dan mengiktiraf Bailtulmuqaddis sebagai ibu negara rasmi.


Manifesto itu menawarkan pelbagai inisiatif lain yang menurut Najib tidak berada dalam isolasi, tetapi ia harus dibaca bersama Rancangan Malaysia Ke-11, Transformasi Nasional 2050 dan bajet-bajet tahunan yang telah dan akan dibentangkan.


Najib, dalam prakata manifesto berkenaan, menyatakan selama lima tahun lepas, berkata BN telah sedaya upaya melaksanakan Aku Janji 2013 dengan hampir 99.4 peratus dilaksanakan di sebalik negara berdepan krisis ekonomi dunia, kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit.


“Mandat akan datang adalah untuk masa depan kita. BN bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna tanpa cacat cela namun kami telah melaksanakan banyak pembaharuan dan perubahan sesuai dengan kehendak rakyat. Atas kesedaran itu, saya memohon kepada rakan warganegara yang dikasihi agar menilai prestasi kerajaan BN secara adil dan menyeluruh,” katanya.

Guna Logo PKR Untuk Kaburi Mata Rakyat Dap Kuasai Pakatan Harapan – Ismail Kijo


KUALA LUMPUR, 6 April – Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, keputusan parti pembangkang untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum ke 14 ini adalah bertujuan untuk mengaburi mata rakyat daripada terus melihat parti Dap yang mengepalai blok pembangkang.
Menurut beliau, setelah usaha mereka untuk menubuhkan gabungan parti pembangkang gagal ekoran masalah yang dihadapi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), maka tidak ada cara lain untuk mereka menutup peranan Dap sebagai ketua kepada pakatan harapan selain menggunakan logo PKR untuk calon-calon pembangkang.
“Biar logo apa pun yang mereka guna pakai dalam PRU kali ini, pihak pembangkang tidak dapat menutup hakikat bahawa Dap merupakan parti yang mengepalai blok pembangkang pada kali ini. Seperti biasa, PKR merupakan parti yang dijadikan kambing hitam untuk perkara seperti ini, sama seperti mana Dap menjadi Wan Azizah sebagai kambing hitam untuk menggerakkan agenda mereka.
“Sedangkan kalau ikut kekuatan parti, PKR bukanlah satu parti yang kuat. Mereka tidak punyai kekuatan di akar umbi. Sebelum ini, PKR hanya bergantung kepada kekuatan jentera Pas dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13 lalu dan pilihanraya kecil selepas itu.
“Kini setelah PPBM terbubar, dengan sendirinya ia memperlihatkan bahawa tidak ada parti lain lagi yang menguasai blok pembangkang selain daripada Dap. Biarpun mereka cuba untuk mengaburi mata rakyat berhubung perkara ini, namun peranan Dap sebagai ketua dalam blok pembangkang tidak dapat mereka sembunyikan lagi daripada pengetahuan rakyat,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Bagaimanapun kata Ismail, biar logo parti mana sekalipun yang digunapakai oleh pakatan harapan untuk bertanding di dalam PRU ke 14 ini, tidak akan dapat menutup hakikat bahawa blok pembangkang itu sememangnya dikuasai oleh Dap sejak dari awal lagi.
“Kita lihat bagaimana dulu Barisan Alternatif berpecah adalah kerana sikap Dap yang mahu menguasai blok pembangkang dengan ideologi politik Malaysian Malaysia mereka itu sehingga menyebabkan Pas akhirnya bertindak keluar daripada Barisan Alternatif.
“Begitu juga dalam penubuhan kedua pakatan pembangkang iaitu Pakatan Rakyat. Sekali lagi gabungan pembangkang apabila Pas bertindak keluar daripada pakatan harapan kerana sikap Dap. Sebab itu Pas tidak mahu lagi terlibat di dalam Pakatan Harapan, kerana sudah serik dengan sikap Dap,” ujarnya.
Sementara itu, kata  Ismail lagi, penggunaan logo PKR sebenarnya sudah tidak lagi relevan memandangkan perjuangan parti tersebut yang ditubuhkan untuk menjatuhkan Tun Mahathir apabila PKR bersetuju untuk menjadi mantan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri Pakatan pembangkang.
“Perjuangan PKR sebenarnya sudah tidak lagi relevan sebab apabila mereka bersetuju untuk meletakkan calon Perdana Menteri mereka ialah tokoh yang mereka tentang sebelum ini dan kewujudan PKR itu sendiri sebenarnya adalah lambang penentangan terhadap Dr Mahathir.
“Jadi untuk apa lagi PKR wujud kerana tujuan asal penubuhan parti tersebut hanyalah untuk menjatuhkan Dr Mahathir dan apabila mereka bersetuju menjadikan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, ini bermakna perjuangan PKR sudah tidak lagi relevan hari ini,” tegasnya.-MediaUMNO

Manifesto BN Dokumen Lengkap Setiap Lapisan Masyarakat




KUALA LUMPUR, 8 April – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) merupakan dokumen yang komprehensif dan mengambil kira keperluan berbeza setiap segmen masyarakat di negara ini, kata pemimpin parti komponen.
Mereka berpendapat manifesto bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku” itu juga dilihat mampu memperkasa pembangunan negara untuk dimanfaatkan setiap pihak bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian berterusan.
Presiden Parti Demokratik Progresif Datuk Seri Tiong King Sing berkata aku janji yang spesifik untuk setiap negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini sekali gus membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin terhadap keperluan setiap negeri yang berbeza-beza.
“Ia adalah manifesto yang sangat baik, terbaik boleh saya katakan. Beliau memahami apa yang rakyat perlukan,” katanya.
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan manifesto tersebut sangat holistik, realistik dan berfokus kerana ia menunjukkan keprihatinan serta keterbukaan BN terhadap rakyat, dengan tawaran yang munasabah serta bertanggungjawab.
“Memastikan tiada rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 dan M40, yang akan terpinggir dalam usaha kita mengejar status negara maju. Manifesto kali ini adalah istimewa dan ia berbeza daripada manifesto BN sebelum ini,” katanya.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berpendapat ia satu manifesto yang memberikan komitmen tinggi kepada rakyat yang mempunyai banyak faktor ‘wow’.
“Kami yakin rakyat akan menerima baik lebih 300 komitmen dalam manifesto setebal 220 muka surat yang amat menyeluruh menjaga semua aspek keperluan negara,” katanya.
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam pula menyifatkan manifesto ini selaras dengan harapan rakyat dalam memastikan tiada satu kumpulan yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Pengumuman projek-projek tertentu dari Perlis hingga ke Sabah selaras dengan harapan rakyat membuktikan tiada satu pun wilayah terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Pertambahan BR1M dalam semua peringkat termasuk kaedah baharu akan mendapat penerimaan tinggi, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya.
Senada dengannya, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Perhubungan BN Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata inilah manifesto yang terbaik dan menyeluruh, mengambil kira denyut nadi rakyat termasuklah memberikan fokus dan perhatian yang khusus kepada kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, di samping lebih realistik dalam memastikan kejayaan pembangunan negara dalam fasa yang seterusnya.
“Sememangnya Hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963, sentiasa diberikan keutamaan yang tinggi oleh pucuk pimpinan negara khususnya perdana menteri sendiri, sebelum pun manifesto ini dilancarkan.
“Kita yakin bahawa penegasan perdana menteri untuk mengembalikan dan memelihara hak dan kepentingan kita dalam MA63 dan diperkuatkan lagi menerusi manifesto ini adalah bukti kesungguhan dan keikhlasan beliau kepada pemimpin dan rakyat Sabah selama ini.
“Kaedah konsensus inilah cara dan pendekatan yang kita laksanakan iaitu menerusi perundingan dan perbincangan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang banyak membuahkan hasil dan kejayaan kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan malam ini dilihat berjaya memartabatkan dan memperkasakan peranan golongan wanita dalam pembangunan negara.
Jelasnya, semenjak penubuhan BN, gabungan tersebut tidak pernah mempunyai satu manifesto yang memberikan penghormatan tertinggi kepada kaum ibu dan wanita.
“Saya mewakili kaum hawa di seluruh negara ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana meletakkan wanita di tempat yang sangat tinggi. Kesejahteraan, kebahagiaan dan kejayaan masa depan wanita menjadi aku janji utama manifesto BN,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata keputusan meletakkan agenda ibu dan wanita sebagai mukadimah utama bagi manifesto BN pada kali ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada golongan itu.
“Perdana Menteri Najib yang memulakan dengan agenda wanita meletakkan golongan tersebut sebagai keutamaan utama dan ini satu penghormatan tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden MyPPP Tan Sri M.Kayveas berkata manifesto yang ditawarkan BN merupakan satu agenda yang realistik dan boleh diimplimentasikan dan ia bukan angan-angan kosong seperti yang dibuat pihak-pihak tertentu.
“Ia satu manifesto yang menyeluruh yang merangkumi, semua golongan daripada yang baru lahir hingga yang sudah berumur,” tambahnya.
-m