KUALA LUMPUR, 3 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak malam ini melancarkan portal ‘therakyat.com’ iaitu sebuah portal yang diwujudkan sebagai portal rasmi BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Portal ini akan menjadi suara dan pemangkin segala aspirasi BN untuk mengekalkan kedudukan sebagai sebuah parti yang memerintah selain menjadi medan bagi menangkis putar-belit pembangkang.
“Kita sedar, media sosial adalah wadah utama rakyat menerima segala maklumat masa kini. Pada PRU-13 yang lalu, kita pernah menjadi mangsa sebaran maklumat palsu dan ia dijadikan satu senjata oleh pembangkang… ternyata ia membawa kesan kepada BN.
“Penyebaran maklumat kononnya kita telah mengimport pengundi Bangla, kononnya berlaku ‘black out’ walaupun hari masih siang dan kita masih boleh mengira kertas undi jika benar-benar terjadi gangguan eletrik, ada juga pemimpin pembangkang yang tweet pada pukul 4.00 pagi kononnya mereka telah menang sedangkan waktu mengundi belum bermula lagi… inilah contoh yang dilakukan oleh pembangkang dan saya percaya ia akan diulangi lagi bila tiba PRU-14 nanti.
“Sebab itu kita perlu wujudkan satu platform, satu wadah yang boleh berhubung dengan rakyat dan wadah ini mesti sahih, cepat dan tepat,” ujar beliau dalam ucapan perasmian portal tersebut di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC.
Portal therakyat.com ini juga adalah berbentuk interaktif yang membolehkan rakyat memberi pandangan serta menulis artikel malah ia juga akan mempamerkan reaksi rakyat terhadap segala usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat.
Portal ini boleh dilayari melalui lama web www.therakyat.com. – MediaUMNO