Saturday, April 2, 2011

PENGAKUAN EXCO SELANGOR -TIDAK MAMPU MEMERINTAH NEGERI DENGAN BAIK.

SHAH ALAM, 1 April (Bernama) -- Masalah kewujudan anak tidak sah taraf di Selangor adalah 'sangat besar' dan jumlah sebenar tidak diketahui kerana ada kes kelahiran anak luar nikah ini tidak didaftarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata berdasarkan statistik yang ada sehingga 2008, seramai 257,000 anak luar nikah didaftarkan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Dr Abdul Rani Osman (PAS-Meru) mengenai jumlah anak luar nikah yang didaftarkan dari 2007 hingga 2010 pada sesi soal jawab sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di sini Jumaat.

Hassan berkata bahagian penguatkuasaan seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak mempunyai bidang kuasa terhadap pendaftaran anak tidak sah taraf kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Pendaftaran Negara.

Sementara itu, beliau berkata Jais tidak mempunyai jumlah penguatkuasa yang cukup untuk membanteras gejala maksiat yang menjurus kepada kelahiran anak luar nikah di negeri ini.

"Nisbah pecahan anggota Penguatkuasa Agama dan Masyarakat Islam di Selangor ialah 1:25,000 orang," katanya yang berharap jumlah penguatkuasa Jais akan dapat ditambah.

-- BERNAMA

"Barangsiapa nak buat maksiat datanglah ke negeri dibawah pimpinan PAKATAN PEMBANGKANG kerana kerajaan negerinya banyak pusat-pusat hiburan YANG HALAL."

-rakyat kecewa

Friday, April 1, 2011

Persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dilaksana

01/04/2011 4:25pm

PUTRAJAYA 1 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri selepas kali terakhir ia dilaksanakan pada Mac 2003.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, persempadanan semula itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selepas lapan tahun selaras dengan peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"SPR dah boleh mula sekarang tetapi SPR sedang menunggu masa yang sesuai serta lapang kerana sebaik tarikh urusan persempadanan ditetapkan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam temuramah dengan Bernama dan RTM di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, setelah lima kali urusan persempadanan dijalankan, belum ada sebarang pelanggaran Prinsip-prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh perlembagaan dilakukan SPR.

Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, beliau berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu, secara kasarnya di negeri-negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah kerusi yang genap.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata proses persempadanan semula itu masih bergantung kepada persetujuan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat untuk kerusi Parlimen dan Dewan Negeri bagi kerusi DUN. - Bernama

Keputusan pilihan raya Sarawak penentu tarikh PRU - Najib

01/04/2011 7:23pm

KUALA LUMPUR 1 April – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan melihat dahulu keputusan pilihan raya negeri Sarawak sebelum membuat keputusan tentang waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya umum.

"Kami lihat Sarawak (pilihan raya negeri) dulu dan selepas tu barulah kami putuskan bilakah waktu terbaik untuknya (mengadakan pilihan raya umum ke-13).

“Kami ikut sistem British dan kami boleh putuskan bila hendak mengadakannya, asalkan tidak melebihi tempoh lima tahun,” kata beliau.

Dalam wawancara dengan Bloomberg mengenai pencapaian beliau setelah dua tahun menerajui negara yang disiarkan hari ini, Najib ditanya sama ada beliau akan mengadakan pilihan raya awal sekiranya Barisan Nasional (BN) mencapai keputusan cemerlang pada pilihan raya negeri Sarawak 16 April ini.

Apabila diminta memberi bayangan bilakah pilihan raya umum akan diadakan, beliau berkata, “ramai yang ingin tahu tentang perkara itu, jadi biarlah saya tidak beri jawapannya sekarang.”

Najib, yang juga pengerusi BN, berkata parti gabungan itu telah mencatat keputusan cemerlang pada beberapa pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008.

"Sebenarnya, kami mencapai kejayaan yang sungguh cemerlang daripada segi pilihan raya kecil. Beberapa pilihan raya kecil yang diadakan baru-baru ini mempamerkan keputusan yang amat positif bagi kerajaan BN,” katanya.

BN menang lapan daripada 16 pilihan raya kecil yang diadakan selepas pilihan raya umum 2008, termasuk lima yang dimenanginya dengan majoriti lebih besar pada 2010.

Ditanya sejauh mana BN yakin akan memenangi pilihan raya negeri Sarawak, Najib berkata rakyat di negeri itu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka dan dalam konteks ini, mereka dapati hanya kerajaan BN yang mampu berbuat demikian.

"Setiap rakyat tentu mahukan kerajaan yang mampu berkhidmat untuk mereka. Saya rasa perkara ini paling penting bagi Sarawak kerana negeri itu memerlukan lebih banyak pembangunan prasarana dan kemudahan asas.

“Saya rasa rakyat Sarawak akan melihat Barisan Nasional sebagai satu-satunya kerajaan yang mampu berkhidmat untuk negeri itu,” katanya.

Najib berkata beliau tidak fikir BN menghadapi risiko kehilangan kuasa (di peringkat persekutuan) memandangkan dalam tempoh beberapa tahun lepas, semakin ramai rakyat yang memberi sokongan kepada BN.

"Mereka yang meninggalkan kami pada pilihan raya lepas kini kembali menunjukkan sokongan mereka terhadap Barisan Nasional. Ini tidak bererti kami boleh mengambil mudah. Pada setiap pilihan raya, pasti ada cabarannya,” kata beliau.

Najib berkata beliau berpendapat pilihan raya umum akan datang pasti sengit dan BN perlu bersiap sedia untuk menghadapinya. - Bernama

Taib jumpa PM serah senarai nama calon BN

01/04/2011 8:17pm

PUTRAJAYA 1 April – Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dipercayai untuk menyerahkan senarai nama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya negeri 16 April ini.

Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), dilihat memasuki pekarangan pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra di sini, kira-kira pukul 3 petang.

Turut kelihatan, dua lagi kenderaan yang membawa beberapa pemimpin kanan parti komponen BN negeri.

Mereka ialah Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP); Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Datuk Seri William Mawan dan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing.

Pertemuan lebih tiga jam itu, turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan pada 21 Mac lepas bagi memberi laluan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Proses penamaan calon ditetapkan pada 6 April manakala pengundian 16 April. - Bernama