Sunday, November 21, 2010

MINTA MB SELANGOR JELASKAN KEPADA RAKYAT!!


PENDEDAHAN PART 1


PENDEDAHAN PART 2


PENDEDAHAN PART 3

Fikir-fikirkanlah rakyat Selangor....

BN pinda perlembagaan


KUALA LUMPUR 20 Nov. – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) hari ini membuat keputusan bersejarah dengan meminda beberapa perkara dalam perlembagaan parti.

Pindaaan tersebut berkuat kuasa hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, pindaan itu amat penting sekali gus memperlihatkan dasar inklusif BN yang membuka pintu kepada sesiapa sahaja yang percaya kepada prinsip dan perjuangan parti itu.

Pindaan itu adalah:

* Ahli bersekutu – sesiapa sahaja yang ingin menyertai BN boleh memohon secara terus bagi menjadi ahli bersekutu. Bagaimanapun hak dan keistimewaannya tidak akan sama seperti ahli parti komponen lain.

* Ahli bergabung – terbuka kepada pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan politik untuk bekerjasama dengan BN.

* Kelab Sahabat BN – terbuka kepada sesiapa sahaja yang ingin menjadi rakan BN

* Kelab Rakan Muda BN – terbuka kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 21 tahun yang menyokong BN tetapi masih belum menjadi pengundi.


Bekas ahli komponen BN tidak diterima

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, mana-mana ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) yang bertindak keluar parti tidak akan diterima menjadi ahli bersekutu BN.

Sebaliknya kata Perdana Menteri, ahli parti pembangkang yang ingin menjadi ahli bersekutu BN akan diterima tetapi ia masih tertakluk kepada kelulusan Dewan Tertinggi BN.

"BN amat terbuka dalam perkara ini iaitu sesiapa sahaja boleh menjadi ahli bersekutu tetapi bagi bekas ahli komponen BN tidak dibenarkan. Maknanya jika dia sudah menjadi ahli UMNO tetapi meninggalkan UMNO, kemudiannya memohon menjadi ahli bersekutu, sama juga dengan MIC.

"Mengenai ahli daripada parti pembangkang, syarat ditetapkan ialah dia perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan Dewan Tertinggi BN, ini perlu bagi mengelak elemen buruk iaitu masuk dengan niat tidak baik kepada BN," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib berkata, keputusan bersejarah sebulat suara itu merupakan antara pindaan perlembagaan BN yang dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Beliau berkata, selain ahli bersekutu iaitu boleh memohon secara terus bagi menyertai BN, Dewan Tertinggi BN juga mewujudkan ahli bergabung dengan membenarkan pertubuhan bukan kerajaan dan pertubuhan politik bekerjasama dengan BN.

"Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimewaan ahli bersekutu yang mana ia tidak akan sama seperti yang dinikmati oleh ahli parti komponen lain.

"Bagi ahli bergabung pula, ia sebagai komitmen BN terhadap kumpulan terlibat yang yakin dan percaya kepada prinsip serta perjuangan BN," katanya.

Tambah Najib, mesyuarat itu juga memutuskan untuk mewujudkan Kelab Sahabat BN dan Kelab Rakan Muda BN sebagai memberi peluang kepada individu yang ingin menjadi rakan dan sahabat BN.

"Kelab Rakan Muda BN ini terbuka kepada golongan belia berusia antara 18 hingga 21 tahun yang menyokong BN tetapi masih belum layak menjadi pengundi," katanya.

Saturday, November 20, 2010

PAKATAN PEMBANGKANG PAKATAN YANG TIDAK KONKRIT UNTUK SEMUA KAUM

Semenjak PRU 12 negeri-negeri yang dikuasai pakatan pembangkang masih lagi berada ditakuk yang lama. Mereka tidak mampu membawa corak pemerintahan yang baik dan mentadbir negeri-negeri dibawah penguasaan mereka. Persoalannya ialah Mengapa sehingga kini pakatan pembangkang tidak mampu memerintah dan merealisasikan semua yang dijanjikannya kepada semua kaum sewaktu PRU12 dahulu?. Mereka hanya mampu untuk memberi harapan yang palsu dan memberikan gambaran yang cukup indah semata-mata untuk memegang tampuk pemerintahan tanpa memikirkan kepentingan masyarakat dan rakyat disekeliling. Setelah dapat memerintah negeri habuk pun tiada. Mari kita cuba mengandaikan apakah benar mereka mampu memenuhi janji terhadap semua kaum dan memerintah negara?. Adakah mereka mampu untuk memerintah di masa akan datang sedangkan negeri yang dikuasai mereka pun tidak diurus dengan baik?. Penulis hanya ingin berkongsi pendapat dan pandangan dengan anda dan sama-samalah kita berfikir untuk kepentingan kita semua.

PAS seperti yang kita ketahui adalah sebuah parti yang terlalu inginkan sebuah kerajaan Islam yang dominan dalam Negara. Objektif PAS sememangnya memberikan penekanan terhadap sebuah Negara Islam tanpa memikirkan kepentingan sosial kaum lain. Apakah ini adil untuk kaum-kaum lain yang berlainan agama dalam Negara?. Menyedari hakikat ini PAS kini dilihat lebih liberal dari dahulunya. Mereka sanggup bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak negara Islam dan kerana kuasa PAS juga sanggup mengeksploitasi hukum Islam. Entahlah apa nak jadi….Mungkin anda lebih memahami?.

Mari kita renungkan seperti yang kita ketahui PAS kini memerintah kerajaan negeri Kedah dan Kelantan. Kita boleh menilai apakah yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri PAS yang kononnya membela rakyat mengikut landasan Islam di negeri-negeri tersebut.

Baru-baru ini salah satu isu yang kita boleh nilai adalah sewaktu musibah banjir berlaku di Kedah. Mengikut cakap-cakap orang disana tiada apa pun yang dilakukan kerajaan negeri pimpinan PAS di Kedah ketika itu. Ramai dikalangan mangsa terpaksa menghadapinya sendiri dengan berbekalkan apa sahaja yang sempat mereka bawa pada ketika itu. Mereka benar-benar berharap kerajaan negeri memberikan bantuan sewajarnya tetapi apakan daya. Inikah yang dikatakan kerajaan Islam??.

Mujur apabila kerajaan Pusat mendapat tahu tiada apa yang dilakukan kerajaan negeri ketika itu maka kepimpinan kerajaan Pusat Barisan Nasional mengambil langkah proaktif untuk membantu sedaya yang mungkin kerana begitu sebak melihat kesengsaraan rakyat ketika musibah yang melanda di negeri tersebut. Pada ketika ini seharusnya kerajaan negerilah yang perlu bertindak segera. Kata orang kalau sakit orang terdekatlah yang tolong terlebih dulu.

Apa yang kita dapat saksikan dari kerajaan negeri PAS Kedah ketika itu adalah hanyalah kemarahan pemimpin mereka yang ditonjolkan demi untuk menyalahkan kerajaan Barisan Nasional walhal membantu rakyat dalam kesusahan adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul samada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat lebih-lebih lagi apabila mereka amat memerlukan. Tindakan perlu diambil bukannya hanya asyik berpolitik.

Di Kelantan pula salah satu isu yang timbul baru-baru ini ialah apabila Nik Aziz menyatakan kerajaan negeri hanya dapat menyelesaikan berkenaan isu air bersih selepas 17 tahun. Persoalannya apa yang kerajaan negeri PAS Kelantan buat selama 20 tahun mereka memerintah selama ini?. Kalau nak tunggu lagi 17 tahun baru dapat selesaikan isu air bersih bermakna ramai rakyat berusia warga emas di Kelantan kemungkinan besar tidak dapat merasainya kerana lanjut usia atau akan meninggal dunia. 17 tahun bukan satu masa yang pendek. Bayangkan anak baru lahir sehingga 17 tahun baru dapat merasai air bersih. Ini bermakna selama 16 tahun anak tersebut terpaksa mengguna air yang kotor. Mungkinkah si anak boleh terdedah kepada macam-macam penyakit?. Ada pelbagai lagi isu di Kelantan yang penulis fikir hanya rakyat Kelantan sahaja yang lebih mengetahuinya. Aduhaii Kelantan… Semoga Allah selamatkan rakyat Kelantan.

Kita beralih kepada parti DAP pula. Objektif atau perjuangan parti DAP yang kita ketahui adalah membentuk sebuah Negara yang hanya memperjuangkan kesamarataan dan demokrasi tanpa memikirkan kepentingan Islam yang menjadi anutan kepada masyarakat majoriti dalam Negara. Kita boleh memerhati negeri yang diperintah oleh DAP ketika ini iaitu Pulau Pinang. Apa yang telah terjadi pada umat Melayu disana? Adakah mereka dapat menyuarakan hak mereka dan apakah ini yang dinamakan kesamarataan dan demokrasi?. Perkara yang menarik sekali disana yang dilakukan untuk umat Melayu di Penang ialah dengan memberikan wang sumbangan dari hasil perjudian haram. Anda perhatikanlah kepimpinan DAP di Pulau Pinang kini dan buatlah perbandingan yang baik tanpa memikirkan soal kepartian dan pastinya anda akan melihat mereka juga tidak mampu untuk mentadbir dan memerintah. Pelbagai lagi isu yang membuktikan kepincangan pemerintahan DAP disana.

Bagaimana pula dengan PKR?. Objektif PKR adalah yang paling unik dalam sejarah kerana ianya lebih bersifat individualistik. Perjuangan PKR lebih tertumpu kepada menuntut keadilan terhadap seorang penasihat partinya iaitu Anwar Ibrahim yang kini sedang nyenyak dibuai mimpi dalam keadaan selesa dan aman serta tidak dianiaya. Mahupun begitu Anwar cuba untuk merampas jawatan Perdana Menteri kerana kononnya dia dianiaya. Apakah ini perjuangan yang dinamakan untuk kepentingan rakyat atau ianya hanya untuk kepentingan Anwar?.

Mari kita teliti apa yang telah terjadi kepada kerajaan negeri yang diterajui PKR seperti di Selangor?. Terlalu banyak penyelewengan, perjudian, dan kerugian yang ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor dibawah pimpinan PKR. Sebagai contoh isu Pasir yang suatu ketika dahulu didedahkan oleh rakyat semata-mata untuk mengaut keuntungan tetapi akhirnya duitnya pun entah kemana. Begitu juga dengan isu Sultan Selangor murka kerana kos perbelanjaan yang tinggi yang dibuat Yayasan Selangor untuk menganjurkan hari ulangtahunnya yang ke-40 sedangkan lebihan kos tersebut dapat digunakan untuk kepentingan rakyat dan pelbagai lagi perbelanjaan yang lebih bermanfaat. Ada juga isu yang memainkan sentiment agama seperti di surau al-huda kajang suatu ketika dahulu apabila Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching menyampaikan sumbangan dan 'tazkirah' di ruang solat dan macam-macam lagi. Ini membuktikan kepincangan pentadbiran kerajaan negeri Selangor dibawah pimpinan PKR.

Sekiranya diteliti mampukah mereka berpakat untuk memerintah Negara?. Objektif setiap dari parti PKR DAP dan PAS memang telah diketahui umum sememangnya cukup berlawanan arus dan seperti langit dan bumi. Apakah persamaan yang ada pada pakatan ini yang membolehkan mereka bekerjasama secara adil dan samarata?. Tiada jaminan yang konkrit untuk segala janji mereka terhadap semua kaum di Negara ini. Inilah yang dikatakan janji hanya tinggal janji. Persoalannya adakah kita masih lagi mahu mempercayai mereka?.

Sehingga kini pun persamaan yang dapat kita nilai hanyalah sikap gila kuasa dan penyelewengan yang banyak untuk mengaut keuntungan demi kepentingan politik dan bukannya untuk kepentingan rakyat. Apakah parti yang tidak mempunyai objektif yang sama dan perjanjian yang konkrit boleh menjadi harapan kepada setiap rakyat dan kaum dalam Negara?. Mampukah mereka melaksanakan janji mereka terhadap semua kaum sedangkan mereka sendiri tidak sehaluan dalam perjuangan parti masing-masing.

Malaysia adalah sebuah Negara yang berbilang kaum. Kaum Cina, India dan Melayu senantiasa bekerjasama dalam memastikan Negara milik bersama ini mencapai tahap yang begitu membanggakan sehingga kini. Semuanya adalah kerana persefahaman yang konkrit diantara satu kaum dengan kaum yang lain dibawah satu naungan iaitu Barisan Nasional. Tiada parti atau gabungan yang lebih konkrit dari Barisan Nasional yang boleh merealisasikan kesaksamaan antara kaum diperjuangkan dengan terancang dan teliti.

Barisan Nasional kini mempunyai hasrat untuk mentransformasikan kehidupan rakyat keseluruhannya tanpa mengenal bangsa dan kaum. Setiap yang dilaksanakannya seperti pelan transformasi kerajaan, Model ekonomi Baru dan macam-macam lagi yang dibuahkan oleh Perdana Menteri dan Barisan Kabinet dari Barisan Nasional hanya semata-mata ingin melihat rakyat meraih keuntungan dan keamanan dalam negara. Inilah perjuangan yang diperlukan dalam sebuah parti. Inilah perjuangan yang murni dan suci. Bukan sekadar untuk kepentingan sempit dan individualistik.

Apa pun semua diatas hanyalah sekadar pandangan penulis sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi. Mungkin ramai diluar sana yang lebih bijak dapat memikirkan perkara ini dengan sewajarnya. Kadangkala terfikir seketika sekiranya penulis pun tidak mempunyai latarbelakang pendidikan yang tinggi masakan seorang doktor, peguam dan ramai lagi diluar sana tidak dapat menyedarinya?.

Fikir-fikirkanlah…..

-rakyat biasa

Monday, November 15, 2010

SIKAP MENTERI BESAR PAKATAN PEMBANGKANG



Anda nilailah sendiri dan fikir-fikirkanlah..

-Rakyat Kedah

Saturday, November 13, 2010

PM Kembali Bertugas Demi Agama Bangsa dan Negara

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Kabinet hari ini meluluskan peruntukan RM5 juta untuk membaiki keadaan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini agar dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat.

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menjalani rawatan di unit tersebut sejak 4 November lalu akibat komplikasi demam cacar air yang dihidapi hujung bulan lepas.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet apabila memulakan tugasnya hari ini berkata, beliau melihat sendiri keadaan yang daif di wad berkenaan semasa menerima rawatan di situ.

Katanya, Kementerian Kesihatan juga diminta membeli peralatan menaik taraf unit itu secepat mungkin supaya boleh memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat selaras slogan "Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan". Najib berkata demikian pada majlis jamuan kesyukuran dan doa selamat yang diadakan di Wad DiRaja Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

Dalam ucapannya, Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil mudah terhadap nikmat yang dikecapi hasil keamanan, keharmonian dan kemakmuran negara.

Perdana Menteri berkata dalam banyak perkara, manusia mengambil mudah perkara tertentu dan hanya akan merasakan ia sangat bernilai sekiranya ia tiada lagi di sisi mereka.

"Ini satu peringatan yang saya ambil iktibar daripada pengalaman (saya di hospital) bahawa banyak perkara dalam kehidupan kita yang kita anggap perkara biasa.

"Tetapi sebenarnya apabila Tuhan menarik balik nikmat itu daripada kita, pada masa itulah kita rasa perkara itu bernilai," katanya, sambil menjelaskan bahawa analogi berkenaan diperolehi hasil pengalaman dirawat dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur.

Ujian endoskopi dilakukan ke atas Najib menunjukkan ada tanda-tanda ulser dan gastritis ringan.

"Inilah berkat pengajaran yang saya dapat (sejak) 4 Nov lepas. Tetapi ia jadi pengajaran dan pengalaman bagi diri saya. Ini boleh jadi ingatan kepada kita. Kita anggap ia (kesihatan) perkara biasa.

"Tetapi apabila kesihatan terganggu ataupun tidak ada lagi, maka pada ketika itu kita dapat merasai kehilangan besar pada diri kita. Kata pepatah pencegahan lebih baik daripada mengubat," katanya.

Hasil pengalamannya dirawat itu juga, Najib menasihati rakyat supaya tidak mengambil mudah kesihatan diri, mengamalkan gaya hidup sihat dan menerima nasihat doktor dan juga isteri untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan sihat serta dapat mengelak diri daripada dirawat.

Najib juga menceritakan detik cemas pada malam 4 November lepas apabila beliau mula diserang komplikasi akibat penyakit cacar di kediamannya dan pada masa sama, gembira menerima berita mengenai kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Galas di Kelantan dan kerusi Parlimen Batu Sapi di Sandakan, Sabah.

Pada masa itu beliau yang berada di bilik air diselamatkan, dan dibantu isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, dibawa ke katil sebelum dirawat dengan lebih lanjut.

"Doktor kemudian memberitahu saya tiada pilihan lain dan masukkan saya ke dalam wad ICU (Unit Rawatan Rapi). Pengalaman di ICU bukanlah sesuatu pengalaman yang kita hendak sangat (pun)," katanya lagi.

Perdana Menteri kemudian dibenarkan keluar dari wad orang kenamaan Hospital Kuala Lumpur pada Ahad lepas.

Najib yang menyifatkan pengalaman di wad berkenaan sebagai pengalaman manis turut mengucapkan setinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua warga Kementerian Kesihatan yang membantu merawatnya sehingga dapat pulih dan mula bertugas dengan mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Perdana Menteri juga berbangga dengan keharmonian pasukan "1Malaysia" yang merawatnya tanpa mengira sempadan kaum dan agama dengan bersikap profesional merawat dan membantu.

Najib berkata kumpulan doktor, doktor pakar, pembantu dan juga jururawat ini bukan hanya merawat dirinya seorang, malah ribuan warga Malaysia, dan mereka turut terhutang budi kepada jasa kumpulan ini.

"Adalah lebih baik ia diterjemahkan di peringkat nasional. Bayangkan kita bekerjasama (sebegitu) tentu sekali hasrat menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi akan dapat dicapai," katanya. - BERNAMA.



12/11/2010 10:46am

PUTRAJAYA 12 Nov — Datuk Seri Najib Tun Razak kembali bertugas dengan mempengerusikan mesyuarat kabinet pagi ini selepas sembuh sepenuhnya daripada serangan cacar dan sakit ulser.

Perdana Menteri, yang tiba di pejabatnya pada 9.20 pagi, kelihatan tersenyum dan menyapa petugas-petugasnya sebelum memasuki Bilik Mesyuarat 10 minit kemudian.

Beliau disambut dengan tepukan oleh menteri-menteri kabinet yang terlebih awal menunggu.

Najib diserang cacar akhir bulan lalu dan kemudiannya dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 28 Okt akibat ulser serta gastritis ringan sebelum dibenarkan pulang pada Ahad dan dinasihatkan berehat. — Bernama

Friday, November 5, 2010

Alhamdulillah PM telah kembali sihat.

Daripada maklumat yang kami terima petang tadi kami amat bersyukur kerana YAB PM semakin pulih dan sihat walafiat. Insya-allah kalau tiada apa-apa kemungkinan YAB PM yang kita sayangi akan keluar wad dalam masa terdekat bergantung kepada nasihat doktor. Kami amat bersyukur ke hadrat Ilahi dan semoga Allah s.w.t. senantiasa mengurniakan kesihatan kepada beliau dan keluarga beliau demi melaksanakan tugas dan amanah untuk Agama, Bangsa dan Negara. Kami akan senantiasa bersama mendukung perjuangan ini. Salam Perjuangan dari kami UMNO Cawangan Bukit Ampang.

-UCBA

SEMOGA YAB PM KEMBALI SEMBUH

Kami kepimpinan UMNO Cawangan Bukit Ampang mendoakan semoga YAB PM dan Presiden supaya cepat sembuh dan dapat menjalankan tugas harian seperti sediakala.

PM dimasukkan ke HKL untuk pemeriksaan lanjut

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur di sini malam tadi untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat malam tadi bahawa endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan.

"Beliau telah mula diberi rawatan dan keadaannya beransur baik,” kata Dr Mohd Ismail, dan menambah perdana menteri dijangka berada di hospital beberapa hari lagi. – Bernama



PERDANA MENTERI DINASIHATKAN BEREHAT SELEPAS TERDAPAT TANDA-TANDA AWAL CACAR

KUALA LUMPUR, 31 Okt 2010 (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dinasihatkan agar berehat di kediaman dan mengelakkan daripada menghadiri semua majlis rasmi berikutan rawatan perubatan selepas terdapat simptom penyakit cacar.

Penasihat media beliau, Datuk Seri Jalaludin Bahaudin, dalam kenyataan kepada Bernama menyatakan bahawa Perdana Menteri mula merasa kurang sihat dan kemudian didapati ada ruam panas, sakit otot dan sendi pada hari terakhir Sidang Kemuncak Asean ke-17 dan berkaitan di Hanoi, Vietnam selama tiga hari.

"Setibanya di Subang (Selangor) pada Ahad, beliau menunjukkan ada tanda-tanda awal menghidapi penyakit cacar dan dengan segera mendapat rawatan.

Oleh kerana ubat diberikan awal, Perdana Menteri menunjukkan respon yang baik," katanya sambil menambah doktor peribadi Najib menasihatkan Perdana Menteri berehat di kediaman dan mengelak daripada menghadiri semua majlis awam dan rasmi.

"Perdana Menteri memohon maaf atas segala kesulitan," kata Jalaludin.

SUMBER : BERNAMA

Thursday, November 4, 2010

SELAMAT MENYAMBUT DEEPAVALI


Kami ingin mengucapkan Selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua rakan-rakan dalam MIC dan PPP serta semua masyarakat kaum india di seluruh tanah air.

-UCBA