Masa bekerja dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), itulah syurga bagi diri mereka dan memuji tinggi melangit terhadap segala dasar dan pelaksanaan yang dibuat.
Tetapi pelik, apabila keluar daripada perkhidmatan kerajaan dan bersara, rupanya segelintir manusia bertopeng ini hanya menunggu masa untuk menjadi wira kepada rakyat, kononnya apa yang dibuat oleh kerajaan yang memberikan rezeki kepada keluarga mereka dahulu, semuanya salah dan tidak betul.
Maka dalam hal ini, benarlah kata negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahawa Melayu itu mudah lupa dan atas sebab itulah jugalah, kerajaan yang ada pada hari ini pun, harus mengenali hati budi kakitangan mereka sama ada tulen menyokong kerajaan atau hebat dalam lakonan dan sandiwara di pentas berbeza.
Sebab itulah dalam banyak ulasan yang dibuat sebelum ini, memperakui bahawa wujud ideologi pembangkang yang menjadi agen termasuk dalam agensi dalamnya kerana ia bukan lagi satu rahsia, tetapi ada yang melakukannya secara terang-terangan.
Golongan berperangai brutus dan trojan senyap ini ada yang tanpa segan silu lagi sudah berani berteriak mendokong prinsip dan perjuangan pembangkang walaupun mereka masih menerima gaji, elaun dan segala kemudahan disediakan oleh kerajaan yang memacu negara pada hari ini.
Ini tidak termasuk lagi kepada mereka yang menerima pencen kerajaan, tetapi menyokong pembangkang.
Memanglah untuk mencari mereka satu persatu yang sedang berkhidmat dalam kerajaan ini bukan perkara mudah dan memakan masa yang lama sedangkan tarikh pilihan raya umum ke-13 boleh diumumkan pada bila-bila masa.
Adalah dipercayai manusia gunting dalam lipatan ini disedari secara total oleh kerajaan BN di negeri ini, di mana merupakan virus yang sedang memamah struktur kukuh sesebuah kerajaan, jika dibiarkan terus mengamuk dalam senyap.
Malanglah, segelintir kakitangan kerajaan dan mereka yang telah berpencen ini kalau tidak tahu menilai nikmat syukur yang dikurniakan oleh Allah SWT, di mana anak kita membesar, kehidupan selesa, mudah mengerjakan ibadat tanpa gangguan dipersia-siakan hanya kerana percaya kepada cerita hasutan dan mengadu domba.
Apa yang menjadi masalah pada hari ini ialah trojan atau pahlawan senyap yang pernah bekerja dengan kerajaan dan punyai pelbagai maklumat dalaman, membina kuasa di luar dengan melihat kelemahan sesebuah agensi kerajaan itu sebagai medan untuk melancarkan peperangan baru.
Dalam hal ini, kita amat bersimpati dengan mereka yang setia kepada kerajaan BN kerana perlu menangkis setiap serangan yang dibuat oleh manusia talam dua muka ini yang menyebabkan segala perkara yang dahulunya disimpan sebagai rahsia, kini dibuka pekung untuk menagih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.
Jelas pada hari ini bahawa masalah kakitangan kerajaan yang menyokong dan bergiat aktif sama ada secara langsung atau pun tidak dengan parti politik pembangkang, sebenarnya ia memuncak ke tahap kronik, yang bukan sekadar pembedahan biasa tetapi mampu membubarkan kerajaan BN keseluruhannya, jika tidak dibendung segera.
Percaya atau tidak, cubalah anda ke pejabat kerajaan, mahupun di kafetaria atau dewan menunggu, segelintir daripada mereka lebih gemar bercerita tentang politik negara sehingga berangan segalanya akan datang sujud di kaki sekiranya pentadbiran negara ini bertukar tangan berbanding menjalankan tanggungjawab yang dipikul untuk memajukan negara.
Maka, perhatikanlah di sekeliling anda apa yang sedang mereka ceritakan dan dengarlah, tentu ada di antara mereka akan bercakap bila lagi ada ceramah politik, siapa yang datang, apa isu baru, kutuk mengutuk dan kalau aku jadi calon, aku akan buat itu dan ini.
Apa pun, kepada segelintir mereka telah meninggalkan perkhidmatan kerajaan, hentikanlah perbuatan memburuk-burukkan kerajaan BN ini kerana anak dan keluarga kita membesar dan makan hasil daripada wang gaji yang telah kita terima semasa berkhidmat dahulu.
Mungkin negara ini terlalu berlembut sebelum ini kerana sangat menyimpan kakitangannya sekalipun mereka merupakan pekerja yang paling pemalas di dunia serta gemar bercerita tentang keburukan bersama rakannya tanpa mengira setiap sen pendapatannya itu adalah amanah yang Allah SWT berikan untuk kerja kebaikan.
Suara Politik
Belantan