Monday, May 31, 2010

UCBA GESA SEMUA BERDOA UNTUK KESELAMATAN MISI BANTUAN GAZA

KAMI MENGGESA SEMUA YANG BERAGAMA ISLAM UNTUK BERDOA KEPADA ALLAH S.W.T. SUPAYA DAPAT MEMELIHARA KESEMUA AKTIVIS YANG MENYERTAI MISI KEMANUSIAAN KE GAZA. SEMOGA MEREKA SEMUA DILINDUNGI DAN DIBERKATI ALLAH S.W.T.
-
UMNO CAWANGAN BUKIT AMPANG

Kapal misi Gaza diserang, nasib wartawan Malaysia belum diketahui

31/05/2010 3:59pm

KUALA LUMPUR 31 Mei - Seorang wartawan dan seorang jurukamera

stesen televisyen Astro Awani dalam kapal Turki "Mavi Marmara", yang diserang tentera Israel pagi ini dalam misi bantuan ke Gaza, belum diketahui.

Seorang pegawai stesen televisyen itu berkata, mereka cuba menghubungi wartawan Ashwad Ismail, 25, dan jurukamera Shamsul Kamal Latip, 38, sejak 11 pagi tadi tetapi tidak berjaya.

"Kami sedang cuba mendapat maklumat mengenai keadaan mereka melalui pelbagai cara," katanya ketika dihubungi.

Kali terakhir kedua-duanya menghubungi stesen televisyen itu ialah pada 7.45 malam tadi ketika kapal itu sedang berada dekat Gaza manakala rakaman gambar kapal berkenaan diterima di sini awal pagi ini.

Enam lagi rakyat Malaysia yang berada dalam satu lagi kapal, "Rachel Corrie" yang juga dalam misi serupa, dilaporkan selamat.

Mereka terdiri tiga wakil Perdana Global Peace Organisation (PGPO) Shamsul Akmar Musa Kamal, Matthias Chang dan Ahmad Faizal Azumu, Ahli Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria serta wartawan Halim Mohamed dan jurukamera Mohd Jufri Judin, kedua-dua dari TV3.

Menurut laporan Al-Jazeera, seramai 15 aktivis terbunuh dan ramai yang cedera apabila komando Israel menyerang kapal Turki itu yang mendahului beberapa kapal lain dalam misi menghantar 5,000 tan bahan binaan, bekalan sekolah dan peralatan perubatan ke Semenanjung Gaza.

Dalam satu SMS kepada PGPO, Shamsul berkata mereka berada 1,600 km dari Gaza.

"Rancangan sekarang ialah untuk meneruskan perjalanan dan berpatah balik jika ada amaran daripada tentera Israel," katanya. - Bernama


Flotila bantuan Palestin: 15 maut kebanyakan rakyat Turki

31/05/2010 3:48pm

BANDAR GAZA 31 Mei – Sekurang-kurangnya 15 terbunuh, kebanyakan mereka rakyat Turki, apabila tentera laut rejim Israel menyerang flotila kapal bantuan kemanusiaan ke Palestin, kata badan kebajikan Turki, IHH yang terlibat dalam penganjuran bantuan tersebut.

Mohammed Kaya, yang mengetuai cawangan IHH di sini, berkata: “Lima belas orang terbunuh dalam serangan tersebut, kebanyakan mereka warganegara Turki.” - AFP


16 maut komando Zionis serang kapal bantuan ke Palestin

31/05/2010 1:23pm

BAITULMAQDIS 31 Mei – Jumlah korban serangan tentera laut Israel ke atas flotila bantuan kemanusiaan meningkat kepada 14 hingga 16 orang hari ini, selepas komando Zionis menaiki kapal-kapal bantuan menuju ke Genting Gaza, dengan tindak balas menentang daripada aktivis pro-Palestin.

Saluran televisyen Channel 10 di Israel melaporkan, enam buah kapal dalam konvoi diketuai sebuah kapal Turki dengan 600 aktivis itu belayar ke Gaza melalui perairan antarabangsa Cyprus semalam. – Reuters

Tuesday, May 11, 2010

SELAMAT ULANGTAHUN UMNO

Kami UMNO Cawangan Bukit Ampang ingin mengucapkan Selamat Menyambut Ulangtahun UMNO yang Ke 64 kepada semua warga UMNO dan kepimpinan akar umbi serta kepimpinan UMNO pusat.

Ucapan ini juga ditujukan khas buat Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang bertungkus lumus untuk meneruskan perjuangan yang diwariskan kepada mereka oleh kepimpinan terdahulu demi memastikan ia terus menjadi penaung kepada Agama Bangsa dan Negara. Terima Kasih juga kami ucapkan.

Doa kami semoga UMNO akan terus relevan untuk generasi akan datang dan senantiasa dipayungi dengan rahmat Allah s.w.t.

SELAMAT MENYAMBUT ULANGTAHUN UMNO YANG KE 64

Tanggal 11 Mei 2010, genap 64 tahun parti keramat UMNO dilahirkan. Parti yang telah banyak menabur jasa. Melahirkan pejuang-pejuang tulen yang berkorban jiwa dan raga, keringat dan air mata demi mempertahankan maruah dan martabat agama, bangsa dan tanahair.

Semangat perjuangan memartabatkan maruah orang Melayu bersemarak apabila British mengisytiharkan kertas putih mengenai rancangan Malayan Union pada 22 Januari 1946. Tindakan biadap dan tidak menghormati perasaan orang Melayu oleh British mencetuskan segala-galanya.

Gagasan Malayan Union harus ditentang habis-habisan. Orang Melayu tidak rela melihat Tanah Melayu menjadi tanah jajahan takluk British.

Kesabaran orang Melayu jangan diambil mudah. Jangan dijolok sarang tebuan!

Kuasa raja-raja Melayu perlu dipertahan. Malayan Union mahu menghapuskan kuasa raja-raja Melayu. Malayan Union mahu memberi rakyat asing hak sama rata dengan rakyat tempatan. Kemarahan orang-orang Melayu memuncak dan membara.

Ledakan daripada semangat itu, satu kongres tergempar diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1 hingga 4 Mac 1946 untuk mengumpulkan kekuatan Melayu mencabar British yang begitu tidak sensitif mengemukakan Gagasan Malayan Union. British harus diajar. Mereka perlu tahu orang Melayu, pantang dicabar. Jangan diusik!

Kongres itu dihadiri wakil dari 41 pertubuhan Melayu di seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan dalam kongres itu juga dicadangkan satu pertubuhan Melayu dengan tujuan menyatupadukan orang Melayu.

Susulan itu, dalam bulan yang sama, dua lagi kongres diadakan iaitu pada 30 dan 31 Mac 1946 di Pejabat Akhbar Majlis di Kuala Lumpur dan di Rumah Persatuan Penang Peranakan, Batu Road, Kuala Lumpur.

Tiga bulan selepas kongres pertama di Kelab Sultan Sulaiman, orang-orang Melayu membuktikan komitmen untuk bersatu padu menentang Malayan Union.

Sejarah tercatat. 64 tahun yang lalu, di Istana Besar Johor, di Johor Bahru pada 11 dan 12 Mei 1946, parti keramat UMNO secara rasmi ditubuhkan. UMNO menyatupadukan orang Melayu yang bertekad untuk menentang Malayan Union.

Pada mulanya UMNO dicadangkan oleh Dato’ Onn Jaafar dengan nama “ Pertubuhan Melayu Bersatu” atau “ United Malays Organisation’. Bagaimanapun Tuan Za’aba mencadangkan ditambah perkataan “kebangsaan’ atau “national’ selepas perkataan “Pertubuhan’. Akhirnya kongres bersetuju untuk menamakan “ Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu’ (PEKEMBAR) atau “United Malays National Organisation’ (UMNO).

Setelah penubuhan UMNO, orang Melayu menunjukkan semangat perpaduan yang amat memberangsangkan. Mereka bergerak dalam satu nada melawan Malayan Union. Perjuangan menentang Malayan Union mendapatkan sokongan paling padu.

Dalam tempoh dua tahun Malayan Union dapat dihapuskan, kemudian digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diisytiharkan secara rasmi pada 1 Februari 1948.

Perjuangan UMNO tidak terhenti di situ. Sandiwara British perlu ditamatkan. Walaupun Persekutuan Tanah Melayu telah dikembalikan kuasa di di negeri masing-masing kepada Raja-raja Melayu, tetapi British masih menjajah.

Mereka masih berkuasa dalam pentadbiran dan mengaut segala hasil kekayaan sumber asli. Orang-orang Melayu diketepikan tanpa mendapat apa-apa pembelaan. UMNO tidak rela melihat martabat bangsanya diperkotak-katikkan. Perjuangan membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman penjajah British harus digerakkan seperti mana menentang Malayan Union.

UMNO harus mempelopori pula perjuangan memerdekakan Tanah Melayu. Orang Melayu tidak mahu lagi dijajah. Cukuplah penderitaan dan penghinaan yang diterima sejak mula dijajah seawal 1511.

Pada 24 dan 25 Mac 1951, Majlis Mesyuarat Agung Setengah Tahun UMNO di Hotel Majestic, Kuala Lumpur meluluskan usul yang dikemukakan oleh wakil Pemuda supaya slogan “Hidup Melayu’ diganti dengan “ Merdeka’.

Tunku Abdul Rahman Putra selaku Yang DiPertua UMNO sebelum meluluskan cadangan tersebut dengan tegas menyatakan:

“ Lima tahun dahulu kita sama-sama meruntuhkan ”Malayan Union’, maka sekarang ini kita akan robohkan pula “Persekutuan Tanah Melayu’ ini yang tidak berguna langsung dan kita akan dirikan kemerdekaan bagi bangsa kita.”

Kerajaan British, apabila menyedari UMNO sudah mula bergerak dan bersatu ke arah memperjuangkan agenda menuntut kemerdekaan, mensyaratkan kemerdekaan tidak akan diberi sekiranya negara ini masih dalam keadaan darurat dan tidak ada kerjasama dan persefahaman antara kaum.

UMNO bijak mengatur strategi. UMNO bersungguh-sungguh mahukan negara ini bebas merdeka. Apa sahaja halangan akan dirempuh. Bumi tercinta ini perlu Merdeka!

Dengan kerjasama MCA, serta kejayaan besar UMNO/Perikatan dalam pilihanraya 1955, British akhirnya terpaksa akur di atas tuntutan UMNO.

Akhirnya tarikh keramat kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu dipersetujui pada 31 Ogos 1957.

Perjuangan dan jasa UMNO tidak terhenti setakat menentang Malayan Union dan memerdekakan Tanah Melayu. Selepas menikmati kemerdekaan, UMNO sebagai tonggak parti perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menumpukan perjuangan untuk mengisi kemerdekaan dan mempertahankan serta meninggikan martabat bangsa, agama dan tanah air.

Ladang-ladang getah dan kelapa sawit dibuka untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat. Pelbagai program pembangunan dalam ekonomi, pendidikan, agama, dan sebagainya dirancang secara sistematik dan strategik.

Institusi yang berkait rapat dengan pembangunan rakyat seperti RISDA, FELDA, FELCRA, MARA dan sebagainya diwujudkan.

Mengimbau penubuhan UMNO 64 tahun yang lalu, pastinya tidak ada sesiapa yang dapat menolak hakikat betapa besar jasa dan pengorbanan yang parti itu telah lakukan untuk menjadikan Malaysia negara yang bermaruah dan rakyatnya memiliki jati diri unggul.

Ahli-ahli UMNO kini melebihi tiga juta. Sebuah parti politik tertua dan terunggul di dunia, tidak ada sebuah parti politik di dunia yang dapat menandingi rekod pencapaian UMNO. Mendapat kepercayaan rakyat untuk terus menerus memerintah dalam kesemua 12 pilihan raya umum.

UMNO harus terus dipertahankan. UMNO tetap terus relevan. UMNO mesti terus menjadi parti peneraju.

Semoga Allah sentiasa memberi laluan yang mudah, mengurniakan rahmat, memberkati dan memelihara serta memberi kekuatan kepada UMNO, parti yang begitu banyak berjasa memartabatkan maruah bangsa, agama dan tanahair.