KUALA LUMPUR, 23 Feb. ? Penganalisis politik tempatan, Profesor Datuk Dr. Abdul Halim Sidek membidas pentadbiran kerajaan Negeri Selangor yang perlu lebih bertanggungjawab bukan saja kepada rakyat tempatan tetapi juga dalam mengurus tadbir harta yang diamanahkan dalam pengurusannya.
Katanya, pemerintah negeri adalah pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan keseluruhan aset negeri sama ada yayasan negeri dan juga PKNS yang menjadi isu kontroversi sejak pentadbiran negeri beralih tangan.
?Harta benda ini beralih tangan ekoran peralihan kuasa tetapi walaupun mereka menang dalam pilihan raya dan menjadi teraju kepada negeri Selangor bukan bermakna mereka bebas melakukan apa saja mengikut kehendak mereka sebaliknya pentadbiran adalah berasaskan perundangan yang ada,? katanya kepada UMNO-Online.
Sejak mentadbir Selangor, kerajaan negeri yang diketuai anggota PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim gagal memberi penjelasan berkaitan pelbagai persoalan dan isu yang timbul termasuklah berhubung isu penyelewengan pasir, PKNS, dan juga isu Yayasan Selangor dengan yang terbaru perancangan untuk merobohkan asramanya di Kampung Pandan.
?Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab maka semua persoalan yang membabitkan rakyat dan harta benda kerajaan perlu dilakukan dengan sempurna dan sekiranya ada sebarang kesulitan maka pemimpin berkenaan perlu memberi penjelasan,? katanya.
Ujarnya, jika tidak salah maka tentunya Khalid tidak akan mengelak daripada memaklumkan perkara yang berlaku apatah lagi tentunya semua urusan yang dibuat mempunyai prosidur yang telah ditetapkan.
?Semua orang boleh buat laporan akan kepincangan yang berlaku, dan dengan laporan tersebut siasatan boleh dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan apa sebenarnya yang berlaku.?
?Sekiranya kerajaan Negeri terus ambil sikap berdiam diri mengenai isu yang timbul maka tentunya ia akan menimbulkan lebih banyak spekulasi dan ini bukanlah kerja orang politik sebagaimana alasan mudah mereka apabila mahu lari daripada topik perbincangan,? katanya.
Tegas beliau, kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besarnya sendiri perlulah bertanggungjawab sepenuhnya dan jangan mudah menuding jari kononnya ia adalah angkara UMNO/Barisan Nasional (BN) yang mahu menjatuhkan mereka.
?Jika benar maka berkatalah benar dan lakukanlah penyiasatan secara terperinci kerana ia secara tidak langsung bukan sahaja mampu membersihkan nama mereka sebagaimana yang dilaporkan tetapi juga inilah nilai kredibiliti sebagai pemimpin. Namun begitu, apabila tidak ada tindakan dibuat maka jangan salahkan sesiapa kerana rakyat sendiri bijak membuat penilaian,? ujarnya. – MediaUMNO