Politik adalah satu cabang ilmu “sains kebarangkalian”. Justeru dalam politik, segalanya berkemungkinan. Ia juga membawa maksud bahawa hanya kerana segalanya mungkin, ia tidak bererti segalanya boleh terjadi. Di Malaysia, sejak Pilihanraya Malaysia ke-12,antara segala macam rencam isu, negara ini berdepan kemungkinan dan kebolehjadian (possibility and probability) dua isu utama;
(1) Peralihan status quo UMNO
(2) Perubahan status quo Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ikatan pembangkang
Pakatan Rakyat (PR).
(1) Peralihan status quo UMNO
Isu utama dalam UMNO berkisar tentang isu peralihan kuasa daripada Dato’ Seri Abdullah Badawi (DSAB) kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak (DSNR). Majlis Tertinggi
UMNO (MT UMNO) telah memutuskan bahawa kuasa Presiden UMNO, dengan izin Tuhan, akan beralih pada Jun 2010.
Disebalik perancangan tersebut, suara-suara dominan dalam dan luar MT UMNO (disokong kuat oleh mantan Presiden UMNO Tun Mahathir Mohamad) menyuarakan atau memberi bayangan agar peralihan kuasa dalam UMNO harus dilakukan lebih awal daripada Jun 2010. Bagi mereka dua tahun adalah masa yang tersangat panjang, tersangat lewat dan tersangat “merbahaya”. Tersangat panjang kerana bimbang arus perdana politik semasa tidak dapat dikawal; Tersangat lewat kerana takut DSNR tidak mempunyai masa mencukupi menghadapi pilihanraya ke-13 pada 2012; Tersangat “merbahaya” kerana gundah luka pilihanraya ke-12 tak sempat diubat.
Mungkinkah peralihan kuasa dalam UMNO ini akan terjadi lebih awal daripada Jun 2010? Segalanya mungkin. Namun apakah boleh ia terjadi? Melihat kepada senario politik semasa dan isu kuota sesi pemilihan UMNO bulan Oktober 2008 ini, jelas bahawa ia tidak boleh terjadi. Ini diasaskan kepada tiga sebab utama berikut;
Pertama, suara-suara perubahan ini tetap disanggah oleh DSAB yang berpegang kepada
azam dan kesungguhan beliau untuk menyelesaikan urusan dan agenda negara yang belum sudah. Beliau telah menyatakan berulang kali bahawa beliau akan tetap berpegang kepada jangkamasa yang telah ditetapkan. Bagi DSAB jangka masa ini adalah masa yang
munasabah walaupun singkat.
Kedua, beliau juga keras mengulangi bahawa tujuan beliau berpegang kepada kuasa
bukanlah semata kerana “keseronokan” berkuasa tetapi lebih kepada “kebertanggungjawaban” kuasa. Dengan kuasa penuh di tangan beliau, disamping sokongan majoriti besar ahli MT UMNO dan parti komponen BN ditambah dengan risiko
kehilangan kuasa, pangkat dan kedudukan sebilangan ramai ahli MT UMNO, kebarangkalian untuk terjadinya peralihan kuasa lebih awal daripada Jun 2010 tampak
negatif.
Ketiga, pendirian umum ahli UMNO terhadap pelan peralihan kuasa ini terbahagi kepada
tiga; (1) Menyokong, (2) Menentang dan (3) Neutral (atas pagar). Antara kumpulan ini,
kumpulan ketiga adalah yang paling besar. Kumpulan ini pada dasarnya, bersandarkan
kepada apa yang menjadi pegangan DSAB, cenderung untuk memihak kumpulan pertama. Golongan ini juga dikatakan, berlandas kepada apa yang menjadi “rahsia awam”, cenderung memihak kepada kumpulan kedua. Kumpulan ketiga inilah yang bakal menentukan terjadinya atau tidak peralihan kuasa dalam UMNO. Siapa kumpulan ketiga ini? Mereka ini majoritinya merupakan kumpulan akar umbi yang masih “nostalgic” dengan era Tun Mahathir. Sepertimana mereka percaya, menerima dan menyokong sepenuhnya peralihan kuasa yang dicatur Tun Mahathir pada Oktober 2003, seperti itu jugalah mereka percaya bahawa perkara serupa wajar dipanjangkan kepada DSAB. DSAB adalah calon pilihan Tun Mahathir. Lantas, apakah mungkin benar mereka ini masih terpana dengan kilat dan guruh era Tun Mahathir? Apa mungkin mereka ini melihat DSAB itu adalah Tun Mahathir? Apakah mungkin mereka melihat Tun Mahathir itu adalah DSAB? Segalanya mungkin.
Tun Mahathir berusaha kuat untuk “menyatakan” bahawa DSAB bukanlah “Tun Mahathir”. Namun, bagaikan air yang dilepaskan daripada empangan, kesan “air empangan” ini telahpun berjalan dan sedang berkesan. Untuk merubah atau memberhentikannya adalah sukar. Terkadang terasa mustahil. Lebih mudah jika difikirkan bahawa kesan empangan ini hanya akan berakhir apabila ia tiba di perhentian terakhir. Perhentian inilah yang “dinamakan” oleh DSAB sebagai Jun 2010. Perhentian inilah yang ingin Tun Mahathir anjakkan.
Keempat, apa yang menjadi kemahuan DSAB dan keinginan Tun Mahathir adalah dua
perkara yang berbeza. Kemahuan DSAB sebagai Presiden UMNO adalah satu perintah.
Perintah ini, menjadi kebiasaan ahli UMNO, wajib diikuti. Tun Mahathir pula adalah
mantan Presiden UMNO. Keinginan ini, seperti kebiasaan ahli UMNO, harus diikuti.
Namun, sepertimana ahli UMNO ingkar menolak keinginan mantan presiden UMNO Dato’ Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada semua kaum dan sepertimana mereka patuh menerima perintah Tun Mahathir untuk menerima DSAB sebagai penggantinya, seperti itulah yang mungkin dan yang boleh sepatutnya terjadi. Antara wajib dan yang harus, yang wajib itu menjadi keutamaan. Justeru, nampaknya berkemungkinan sekali peralihan kuasa pada Jun 2010 akan kekal. Dengan izin Tuhan.
(2) Perubahan status quo Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan ikatan pembangkang
Pakatan Rakyat (PR)
Alan Abramowitz, seorang pakar Sains Politik Universiti Emori di New York, Amerika,
menggunakan model pengiraan matematik sama untuk menjangkakan bakal presiden Amerika. Sejak 1988, beliau tanpa silap telah menamakan Bill Clinton, George H.W. Bush dan George W. Bush bakal menjadi Presiden Amerika setiap kali pilihanraya presiden diadakan. Tahun ini, berdasarkan kaedah sama, Alan menyatakan bahawa Barack Obama akan memenangi pilihanraya presiden Amerika pada November 2008 dengan majoriti undi 54.3% manakala lawan beliau John McCain bakal memperoleh 45.7% undi.
Di Malaysia, tahun ini, pakatan rakyat (PR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menyatakan bahawa kerajaan BN akan tumbang pada 16 September 2008. Tidak dinyatakan samada PR menggunakan mana-mana model pengiraan matematik. Oleh itu, PR tidak menjangkakan – sebaliknya - menyatakan bahawa BN akan tumbang pada 16 September ini. Mereka bersabda bahawa seramai 30 orang ahli parlimen (MP); 13 daripada Sabah dan 17 daripada UMNO Semenanjung akan menyertai mereka menubuhkan sebuah kerajaan persekutuan baru menggantikan BN pada 16 September 2008.
Ketika ini Parlimen Malaysia mempunyai 222 buah kerusi. Kerajaan BN mempunyai 140
kerusi manakala PR 82. BN menubuhkan kerajaan persekutuan dengan majoriti mudah
iaitu majoriti 58 kerusi; kurang 8 untuk membentuk majoriti 2/3. Apakah mungkin “Peristiwa 16 September” terjadi? Mungkin. Bolehkah ia terjadi? Untuk menjawab soalan ini, 3 senario berikut perlu dianalisa;
(1) Senario 1; Jika 30 MP BN menyertai PR; (82 + 30 = 112) PR akan menubuhkan kerajaan persekutuan baru dengan majoriti hanya 2 majoriti dimana kerusi BN akan berkurangan menjadi 110 kerusi sahaja; (140 – 30 = 110). Dengan kelebihan 2 kerusi ini PR akan boleh menubuhkan kerajaan baru.
(2) Senario 2; Jika 30 MP PR menyertai BN; (140 + 30 = 170) BN akan kekal memerintah dengan pertambahan bilangan kerusi yang melebihi 2/3 majoriti. PR pula akan hanya tinggal 52 kerusi.
(3) Senario 3; lain-lain senario yang tidak membabitkan perubahan status quo Malaysia.
Senario 1; 82 + 30 = 112 @ Antara Cara Dan Matlamat
Ia merupakan salah satu usaha coup de ta yang berkehendakkan penumbangan kerajaan
BN melalui pintu belakang demokrasi iaitu dengan cara ahli MP bertukar parti (defection). Defection atau dalam bahasa lainnya bermaksud Berpaling Tadah. Rakyat
Malaysia keseluruhannya ingin benar melihat siapakah ahli MP yang hendak berpaling
tadah ini. PR memfokuskan kepada ahli MP UMNO Semenanjung dan MP BN Sabah untuk menyertai mereka. Tetapi apakah mungkin ini adalah satu usaha PR untuk mengalihkan perhatian BN daripada ahli-ahlinya yang lain, yakni parti komponennya? Apakah mungkin “mereka” (defectors) itu datangnya bukan daripada UMNO tetapi MP daripada komponen BN lain seperti Gerakan, MCA, PBS, SAPP, SPDB, PESAKA atau MIC? Demi masa, hanya Tuhan yang tahu.
Senario ini juga menggambarkan bahawa kerajaan PR juga adalah sangat rapuh. Dengan
kelebihan hanya 2 kerusi, PR akan berdepan dengan masalah mengekalkan “kerajaannya”. Jika PR berpegang kepada kepercayaan bahawa MP BN boleh “melompat” ke dalam pakatan mereka, begitu juga sebaliknya. PR tidak boleh menolak kemungkinan MP mereka bakal melompat ke dalam BN. Dalam amalan demokrasi, ia tidak salah. Tetapi ia ditimbangkan ramai orang sebagai tidak bermoral kerana ia dikatakan di”lumuri” wang. Tiada lagi moral yang ada hanya matlamat. Namun jika PR bersedia untuk mencapai kuasa melalui jalan tidak bermoral, ia juga mesti bersedia untuk kehilangan kuasa melalui jalan yang sama. Senario ini juga sangat bermasalah. Rakyat Malaysia berdepan dengan kemungkinan kerajaan yang sangat tidak stabil dan keadaan politik semasa yang bercelaru dan kacaubilau.
Keadaan ekonomi dan sosial jadi tidak menentu.. Ketidakstabilan politik akan
mendorong kepada ketidaktentuan ekonomi dan “kecaca-marbaan” sosial. Bagi kebanyakan negara, ini adalah sesuatu yang mesti dielakkan walau dengan cara apa sekalipun. Rakyat Pakistan, Bangladesh, Afghanistan dan Iraq tahu benar akibat kerapuhan kerajaan mereka. Sebagai kerajaan, pemimpin mereka tetap hidup senang dengan gaji dan faedah lumayan. Tetapi rakyatnya hidup sengsara dengan kekacauan, pembunuhan, pengeboman, demonstrasi jalanan, krisis etnik dan jenayah merata-rata. Negara-negara ini tidak lagi aman dan damai. Senario ini mungkin terjadi di Malaysia. Memandangkan kepada keadaan fabrik ekonomi dan sosial negara ini sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, senario ini amat merbahaya. Apa sekalipun yang bakal terjadi, ini mesti tidak boleh dibiarkan terjadi.
Senario 2; 140 + 30 = 170 @ Antara Racun dan Madu
Senario ini memperlihatkan satu situasi di mana apa yang dinyatakan PR akan menjadi
racun kepada dirinya sendiri. Momentum 16 September akan hilang. Penyokong PR percaya bahawa ini adalah saatnya di mana pakatan pembangkang tampak mempunyai
peluang cerah untuk menumbangkan kerajaan BN. Pada masa yang sama, penyokong BN
juga yakin bahawa inilah masanya aspirasi PR boleh dihapus dan dipadam selamalamanya.
Jika peristiwa besar 16 September tidak terjadi, maruah PR akan tercalar hina.
Maruah BN akan disanjung mulia. Inilah masanya satu pihak berpotensi hancur menjadi
abu dan debu manakala satu pihak lagi menjadi minyak yang kekal mengalir dan
menghasil nilai, kuasa dan kekayaan yang boleh dikongsi sama. Ini juga akan memperlihatkan kepada PR siapakah onak dan duri dalam pakatan mereka. Ia juga akan menyerlahkan siapakah di antara mereka dengan rela menjadi pemusnah cita-cita DSAI untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-6. Siapakah di antara mereka yang bakal memberitahu DSAI bahawa cita-cita beliau adalah cita-cita beliau. Bukan cita-cita-cita mereka. PR juga akan diberitahu bahawa perjuangan mereka tiada nilainya.
Buat masa ini sekurang-kurangnya.Senario ini juga akan mendamaikan kegusaran ramai umat Melayu dan Islam tentang potensi kehilangan kuasa dan dominasi mereka dalam politik Malaysia. Di antara 140 MP BN, MP Muslim adalah seramai 89, manakala bukan Muslim ada 51. Di antara 82 MP PR, 43 adalah Muslim manakala 39 bukan Muslim. Katakanlah, peristiwa 16 September terjadi dan semua 30 yang melompat itu adalah bukan Islam, bermakna MP PR Muslim kekal 43 manakala bukan Muslim bertambah menjadi 69; (43 + 0 = 0, 39 + 30 = 69). Jika daripada 30 MP tersebut, 5 adalah MP Muslim dan 25 lagi bukan Muslim, maka MP PR Muslim akan menjadi 48 manakala yang bukan Muslim menjadi 64; (43 + 5 = 48, 39 + 25 = 64).
Senario ini adalah berkemungkinan. Pendokong demokrasi mutlak akan mengatakan
bahawa ini adalah sesuatu yang tidak mustahil dan ia adalah sesuatu yang tidak perlu
dibimbangkan. Jika di Amerika, pendapat itu mungkin boleh diterima pakai. Di Malaysia, pendapat ini mesti ditimbang dalam-dalam. Rakyat Malaysia yang arif tentang susun atur dan susur galur politik Malaysia mesti dan tentu faham risiko situasi ini.
Bagaimana pula jika semua yang melompat itu adalah Muslim? Maka pendokong advokasi Islam dan Melayu tetap perlu risau kerana musuh Islam ada dalam PR. Musuh Islam ini secara terang-terangan tidak akan berdiam diri melihat kuasa Islam subur di Malaysia. Sikap dan matlamat golongan ini sangat jelas dan nyata. Umat Islam tidak
perlu menjadi Ulama tersohor untuk mengetahui perangai buruk musuh Islam ini.
Senario 3; 140 + 80 = 222 @ Antara Pemulihan dan Pemilihan
Dalam senario ini, jika tiada sebarang perubahan status quo, maka rakyat Malaysia hanya perlu memikirkan dua perkara utama; pemulihan ekonomi nasional dan pemilihan pucuk pimpinan parti masing-masing. Rakyat dan Kerajaan Malaysia akan terus berusaha
melawan berjuang menurunkan kadar inflasi, harga minyak dan menaikkan kadar gaji dan upah. Ahli BN seperti ahli MCA dan UMNO, contohnya, akan menumpukan segenap perhatian kepada proses pemilihan pucuk pimpinan mereka pada penghujung tahun ini.
Komponen PR seperti PKR, DAP dan PAS mungkin mahu menilai semula antara citacita
dan kekangan mereka dalam politik Malaysia.
Lalu, berdasarkan 3 senario diatas, apakah 16 September boleh terjadi? Tepuk dada tanya selera.
Rencam politik semasa Malaysia berkisar tentang UMNO, BN, PR dan 16 September 2008. Dalam Islam, jika orang Islam berjanji, mereka diperintah supaya menyebut Insha Allah. Kerana esok Tuhan yang punya. Namun segala usaha mesti dilakukan untuk menepati janji. Dalam sesetengah perkara yang diluar kawalan seperti hujan, ribut dan
taufan yang menyebabkan janji tidak dapat dipenuhi, mohonlah ampun daripada Tuhan
dan orang yang dijanjikan. Sungguh manusia tidak boleh melawan kehendak Tuhan. Sesekali jangan manusia mendahului Tuhannya. Sombong dan Takbur. Apapun, tidak
kira mana-mana senario yang akhirnya bakal terjadi, marilah kita sama-sama berdoa,
bahawa kepentingan rakyat tetap menjadi junjungan pemimpin negara bertuah ini.
Kerana segalanya mungkin, tidak bermakna segalanya boleh dan tidak boleh terjadi.
-artikel dari dungun-
The King and U
-
*The King and U-Mobile and the tale of two brave Hassans*
Kuala Lumpur, Nov 22: The vocal YB Hassan Karim was called up by his own
party’s disciplinary c...
5 days ago
No comments:
Post a Comment