BANDAR JENGKA, 19 Feb 2010 (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata para pemimpin Umno dan anggota Umno perlu bermuhasabah diri dan menilai diri sendiri sebelum mereka kelak dinilai oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.
Najib yang juga Perdana Menteri berkata proses bermuhasabah itu bukanlah bertujuan mencari atau menuding jari mencari kesalahan dan kelemahan pemimpin atau pihak lain, sebaliknya bermuhasabah mencari kelemahan diri sendiri.
"Menerusi proses muhasabah ini, kita perlu membuat kesimpulan apa bentuk kejayaan untuk diserlahkan oleh kita dan apa kelemahan yang perlu diperbaiki," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Umno Pahang di sini, Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin-pemimpin Umno bahagian.
Konvensyen selama tiga hari itu yang bermula hari ini sehingga Ahad dihadiri 1,400 peserta yang terdiri daripada anggota Umno Bahagian, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri serta wakil-wakil Badan Bukan kerajaan (NGO). "Jadi kita kena nilai diri sendiri, lebih baik nilai diri sendiri dahulu, sebelum dinilai oleh rakyat. Bila menilai diri sendiri, kita harus lihat daripada pelbagai persepektif, lihat perspektif rakyat, lihat daripada persepektif orang yang akan menilai kita," katanya.
Najib berkata kegagalan Barisan Nasional memperoleh dua pertiga pada pilihan raya umum lepas dan kalah di lima buah negeri bukanlah disebabkan pihak pembangkang "menang", sebaliknya Umno dan Barisan Nasional "kalah".
Najib turut menempelak wakil rakyat yang tidak mahu menunjuk muka atau tidak dekat di hati rakyat.
"Tunjuklah muka pada rakyat, jangan tunjuk muka pada pemimpin. Saya dah lama berpolitik, saya tahu ada yang sanggup tunggu saya di lapangan terbang sebab nak salam dan tunjuk muka kat saya, tunjuk muka kat saya, buat apa?" kata Najib.
Bercakap kepada pemberita kemudian, Najib ketika ditanya tentang pencapaian wakil rakyat BN, berkata semua wakil rakyat perlu bermuhasabah dari semasa ke semasa supaya mereka dapat memperbaiki kelemahan diri masing-masing.
"Saya tidak anggap semua orang termasuk diri saya tak boleh melakukan perkara ini sebab kita kalau kita lakukan perkara ini dengan jujur, parti kita lebih kukuh, lebih mantap dan kita akan jadi pemimpin yang lebih berkesan," katanya.
Najib berkata pada umumnya, pencapaian keseluruhan wakil rakyat BN adalah positif.
"Pada umumnya keadaan lebih positif, tapi tak boleh anggap bahawa kedudukan kita ini terlalu selesa, dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku.
"Saya masih lagi percaya kita perlu beri tumpuan kepada kerja-kerja asas sebagai wakil rakyat, dan sebagai ahli parti, kalau, kita dapat lakukan segala-galanya yang disenangi rakyat saya percaya kita boleh berjaya," katanya.
Najib turut berharap konvensyen Umno yang pertama di peringkat negeri untuk tahun ini itu akan dapat menghasilkan pelan tindakan terbaik dalam usaha memartabatkan lagi perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan negara.
The King and U
-
*The King and U-Mobile and the tale of two brave Hassans*
Kuala Lumpur, Nov 22: That the vocal YB Hassan Karim has been called up by
his own party’s disc...
2 days ago
No comments:
Post a Comment