Sunday, January 2, 2011

PROGRAM 100 HARI DAN BUKU JINGGA BUKAN UNTUK RAKYAT

Pakatan Pembangkang baru-baru ini telah menjaja buku jingga yang kononnya akan menjadi panduan asas kepada mereka dalam menghadapi pilihan raya yang akan datang serta menggariskan 10 perubahan yang akan dilakukan sebagai permulaan reformasi menyeluruh dari aspek pengurusan negara, ekonomi, dan pendidikan. Benarkah ianya untuk rakyat ataupun hanya untuk memesongkan hati dan naluri rakyat yang amat memerlukannya?. Mari bersama kita meneliti program 100 hari pakatan pembangkang seperti dibawah:

1. Mereformasikan insititusi-institusi penting negara seperti SPR, SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM untuk mengembalikan kewibawaan kepada sistem pentadbiran kerajaan.
2. Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
3. Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.
4. Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
5. Mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa.
6. Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.
7. Menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.
8. Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
9. Menaikkan royalti minyak kepada Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan kepada 20%.
10. Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah

Bagi pendapat peribadi penulis, Pakatan pembangkang cuba untuk menggariskan objektif perjuangan partinya yang baru dan cuba meniru perancangan yang dibuahkan oleh Perdana Menteri dalam mentadbir Negara. Inilah pembuktian bahawa Pakatan Pembangkang kini khuatir dengan segala yang dirancang dan pendekatan oleh kerajaan Barisan Nasional seperti NKRA, KPI, GTP dan pelbagai lagi. Menyedari hakikat ini Pakatan Pembangkang cuba untuk mewujudkan sebuah situasi yang sama kononnya mereka juga mempunyai perancangan dengan menwujudkan buku Jingga yang kononnya bermatlamat dan berobjektif. Sekiranya diteliti mungkin apa yang dibangkitkan Pakatan pembangkang hakikatnya tidak boleh digunakan untuk mentadbir negara. Perancangan ini hakikatnya boleh merosakkan ekonomi dan memberi implikasi buruk terhadap kewangan Negara.

Perkara pertama kononnya mereka ingin lakukan adalah untuk mereformasikan institusi-institusi kerajaan seperti SPR,SPRM, Pejabat Peguam Negara dan PDRM supaya dapat mengembalikan kewibawaan pentadbirannya. Perkara ini hanya bersifat untuk mempertahankan agenda mereka sahaja. Apa yang dapat dilihat semua institusi-institusi ini memang selalunya menjadi bahan politik Pakatan Pembangkang untuk meraih sokongan. Pakatan Pembangkang seperti yang diketahui umum mereka selalu memutarbelitkan fakta. Bagi mereka semua yang ada di dunia ini tidak betul kecuali mereka sahaja yang benar. Apa yang mereka buat tidak kira betul ada tidak ia tetap yang terbaik walhal hakikatnya ia boleh membinasakan rakyat. Kononnya merekalah yang paling suci. Hakikatnya di dalam pentadbiran negeri Pakatan Pembangkang pada hari ini seperti Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, semuanya tidak sesuci seperti yang diwar-warkan. Banyak penyelewengan, pergaduhan, jenayah, perjudian, pelacuran, dan lain-lain lagi isu yang akhirnya boleh memudharatkan rakyat dalam jangka masa panjang.

Persoalannya mampukah Pakatan Pembangkang ini memulihkan kewibawaan pentadbiran institusi kerajaan seperti yang mereka war-warkan di dalam buku jingganya?. Pentadbiran negeri yang dipimpin pakatan pembangkang kini pun kucar-kacir. Rakyat di negeri yang mereka perintah sehingga ke hari ini tidak dapat merasai apa yang pernah dijanjikan dahulu serta tiada perkara yang dilaksanakan kerajaan negeri pembangkang untuk kepentingan masa hadapan rakyat kecuali kebanyakannya demonstrasi dan ceramah umum sahaja. Yang meniaga kini semakin merudum perniagaannya. Yang meniaga kecil-kecilan pula dirobohkan tempat perniagaannya. Masjid dan Surau dijadikan tempat berpolitik tanpa memikirkan adab masjid atau surau. Sultan serta undang-undang tidak dihormati. Ini semua kian berlaku di negeri pimpinan pakatan pembangkang. Secara logiknya mampukah Pakatan Pembangkang memulihkan kewibawaan pentadbiran institusi kerajaan yang lain? Nampak seolah seperti kata peribahasa seperti ketam mengajar anak berjalan kehadapan sedangkan dia sendiri berjalan mengiring.

Keduanya berkenaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kerajaan telah pun memulakan kajian untuk mengkaji semula Akta tersebut untuk memastikan ianya tidak disalahgunakan. Seharusnya Akta ini tidak boleh dimansuhkan demi untuk memastikan keselamatan dalam Negara dapat dijamin dengan baik serta aman. Negara-negara maju yang lain juga mempunyai Akta untuk memastikan keselamatan Negara mereka. Singapura juga mempunyai Akta yang sedemikian. Penulis ingin menyeru kepada semua untuk mengkaji Negara-negara lain yang membangun apakah mereka mempunyai Akta ini dan apakah kesan sekiranya ianya tiada. Sebagai contoh di Thailand, negara jiran yang hampir dengan Malaysia yang tidak mempunyai akta tersebut, rakyat mereka sering berperang dan keamanan di Negara tersebut sukar untuk dicapai. Di Afghanistan, Iraq, dan Negara-negara Islam yang lain juga sering mempunyai masalah seperti peperangan, pembunuhan, terroris dan lain-lain lagi. Apakah kita menginginkan Malaysia sedemikian rupa?. Kita harus bersyukur kerana Malaysia mengecapi keamanan selama ini dan semuanya bukannya datang bergolek sahaja. Salah satu sebab kita mengecami keamanan adalah kerana Akta Keselamatan ini. Persoalan sebenar adalah bagaimana untuk memastikan ianya tidak disalahgunakan dan usaha mengkaji telah giat dijalankan oleh kerajaan persekutuan bagi mencapai tujuan tersebut.

Perkara ketiga dalam perancangan program 100 hari mereka adalah berkenaan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan lain-lain badan milik kerajaan yang kononnya akan diarahkan untuk mengambil alih aset lebuhraya bertol daripada entiti korporat yang menguasainya sekarang sekiranya mereka memerintah. Penulis menyeru supaya semua rakyat berfikiran wajar tentang perkara ini.

Khazanah Berhad dan KWSP wujud dari sumber wang rakyat. KWSP terang-terang berpunca dari duit caruman pekerja rakyat yang bekerja siang dan malam. Bayangkan susah payah rakyat simpan wang ini untuk kegunaan masa depan, dengan senang Pakatan pembangkang merancang untuk menggunakan duit tersebut bagi mengambil alih aset lebuhraya bertol. Apakah rasionalnya rakyat perlu korbankan duit simpanan masa depan mereka untuk mendapatkan tol percuma?. Kita perlu memahami bukan semua rakyat menggunakan lebuhraya bertol. Bagi yang tidak mampu kadangkala mereka menggunakan lebuhraya atau jalan lama yang tidak mempunyai tol. Sekiranya ia dilaksanakan rakyat berpendapatan tinggilah yang paling beruntung kerana mereka yang sering menggunakan lebuhraya bertol ini. Apakah ianya adil untuk rakyat yang berpendapatan rendah?..

Perkara keempat berkenaan subsidi. Pakatan Pembangkang menyatakan kononnya ingin merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Sedar atau tidak mereka tidak menyatakan dalam perkara tersebut mereka ingin memindahkan wang itu kepada entiti yang mana bagi menampung perbelanjaan rakyat. Secara tidak langsung perkara ini dengan sendirinya membuktikan pakatan pembangkang bersifat tidak telus. Kalau difikirkan semula dulu pun mereka janji bermacam-macam tapi bila dah dapat habuk pun tiada. Bayangkan apakah kerosakan yang akan dilakukan oleh doktrin-doktrin ini sekiranya mereka memperolehi wang subsidi ini. Wang subsidi ini hakikatnya bukanlah untuk kepentingan pihak swasta tetapi ianya untuk kepentingan rakyat. Rakyat yang akan merasa manfaatnya dari subsidi tersebut kerana dengan adanya subsidi ini pelbagai harga dapat dikurangkan untuk selaras dengan kemampuan rakyat. Mengapa perlu kita memindahkan subsidi ini sedangkan rakyat kini menikmati manfaatnya. Semoga tuhan menyelamatkan negara kita dari kemusnahan.

Ada juga kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha agong PAS yang ingin menggunakan duit subsidi IPP bagi menampung kos lebuhraya bertol dan pelbagai lagi untuk disalurkan kepada rakyat. Bagi pendapat saya, seandainya subsidi swasta yang mereka maksudkan adalah IPP secara tidak langsung ini akan melibatkan kenaikan bill letrik di seluruh Negara dan keseluruhan rakyat akan menerima kesannya. Apakah rakyat perlu membuat pengorbanan sedemikian besar semata-mata untuk kesenangan kerajaan negeri memerintah?. Apakah ianya lebih menyenangkan rakyat atau lebih menyusahkan rakyat?.

Perkara kelima ialah mengiktiraf peranan dan jasa kakitangan awam dengan mengkaji semula struktur gaji bermula dengan menaikkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang guru sebagai penghargaan guru pendidik bangsa. Memang benar kita perlu menghargai jasa guru tetapi apakah ianya mesti berupa imbuhan wang. Tidakkah kita terfikir ini seolah-olah seperti rasuah yang terselindung yang cuba dilakukan oleh Pakatan Pembangkang? Mengapa hanya guru yang difokuskan, mengapa tidak diberikan kepada doktor walhal mereka juga berjasa? Bagaimana pula dengan nelayan mereka juga berjasa kerana kalau tidak kerana mereka keseluruhan rakyat tidak dapat memakan ikan setiap hari dan jika difikir mereka lebih layak menerima imbuhan tersebut. Begitu juga dengan pengusaha ayam dan bahan makanan lain. Penjawat awam juga berjasa besar mengapa tidak menghargai mereka. Apakah tujuan pakatan pembangkang hanya menumpukan kepada guru sahaja? Tidakkah ianya seolah ada agenda yang tersembunyi? Terpulanglah kepada pemikiran anda masing-masing untuk menilai.

Perkara keenam pula berkenaan menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan. Perkara ini penulis ingin menyentuh sedikit berkenaan kewibawaan Menteri Besar. Menteri Besar mempunyai kuasa di negeri yang diperintahnya. Segala keputusan boleh dibuat sekiranya beliau sendiri mahu lakukan seperti isu air ini. Apa yang memalukan dalam sejarah dunia belum pernah ada seorang berstatuskan Menteri Besar yang tidak dapat menyelesaikan sesuatu isu mengambil pendekatan melakukan demonstrasi jalanan sedangkan kuasa ada ditangan beliau. Beliau boleh berbincang atau musyawarah dengan pembekal air untuk mencapai kata putus bersandarkan kepada kepentingan rakyat. Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa pentadbiran kerajaan negeri pembangkang ini tidak mampu menyelesaikan sebarang isu dengan cara yang baik untuk kepentingan rakyat. Apakah demonstrasi jalanan dan ceramah umum mampu untuk menyelesaikan masalah?.. Masihkah kita fikir Pakatan Pembangkang mampu untuk memerintah?..

Perkara ketujuh ialah dengan menyediakan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar. Buat pengetahuan pembaca sekalian, kemudahan wifi ini berpunca dari asas jalur lebar yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan iaitu Kerajaan Barisan Nasional sejak sekian lama dahulu. Ianya mula dicetuskan sewaktu zaman pimpinan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri yang memperkenalkan ICT kepada rakyat justru kerajaan ketika itu menyediakan asas technology jalur lebar ini yang dikendalikan oleh Telekom Malaysia Berhad. Bermula dari Cyberjaya dan Multimedia Super Coridor (MSC) sebagai pusat kepada ICT dan akhirnya kini menjadi sesuatu yang perlu dikalangan rakyat. Dahulu penulis masih ingat Pakatan Pembangkang jugalah yang berusaha keras untuk menidakkan pembangunan Cyberjaya dan Putrajaya serta KLCC tetapi kini nampak seolah mereka cukup berterima kasih atas idea cetusan Presiden Barisan Nasional ketika itu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad. Pada waktu ini ramai pengusaha jalur lebar telah memulakan perkhidmatan wifi percuma di merata tempat dan semakin hari semakin banyak tempat telah ada kemudahan wifi percuma. Mungkin pemikir pakatan Pembangkang ini sahaja yang tidak mengetahuinya.


Tujuh perkara dari sepuluh perkara semuanya tidak berasas dan penulis fikir tidak perlulah penulis membahas lagi 3 perkara sekiranya 7 perkara pun tidak masuk akal untuk dilaksanakan. Apa pun yang ditulis dalam buku jingga pujaan pakatan pembangkang ini semuanya hanya karut semata-mata dan mungkin bertujuan untuk mengaburi mata rakyat dari realiti yang mereka hadapi pada waktu ini.

Penulis ingin menegaskan rakyat perlukan sebuah kerajaan yang menunaikan janji, membangunkan kerajaan negeri dengan berbelanja secara berhemah dan mengambil berat tentang rintihan mereka. Penulis fikir hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu membuat sesuatu dasar mengikut kehendak dan aspirasi rakyat. Penerbitan Buku jingga ini seolah membuktikan bahawa Pakatan pembangkang tidak memahami aspirasi rakyat keseluruhannya dan secara langsung membuktikan mereka tidak mampu untuk memerintah. Kemungkinan mereka hanya memahami rintihan yang mereka dengar dari kalangan ahli mereka sahaja bukan rakyat.

Penulis fikir sesuatu perkara yang dirancang perlu diteliti dan dinilai terlebih dahulu untuk melihat dari skop keefisienannya terhadap pembangunan rakyat jangka masa panjang tidak kira siapa sahaja yang merancang. Sama ada perancangan dari segi ekonomi, sosial mahupun pembangunan Negara. Fikirkan dari skop yang lebih besar dan bukan berfikiran sempit. Apakah ianya mendatangkan faedah kepada rakyat secara keseluruhan dan faedah itu dapat bertahan pada tahun mendatang. Fikirkan siapakah yang mampu untuk merancang lebih baik untuk masa hadapan. Pada waktu ini hanya Barisan Nasional sahaja yang mampu lakukan. Semuanya hasil usaha bersama gabungan parti dalam Barisan Nasional yang berbilang kaum. Semoga pemikiran kita semua terbuka untuk menilai dengan baik. Fikirkanlah yang terbaik untuk semua….

Sekiranya inilah yang terbaik boleh dibuat oleh pemikir-pemikir pakatan pembangkang, adalah lebih baik mereka semua memikirkan cara bagaimana untuk membantu rakyat keseluruhan dan lebih utama cara bagaimana untuk menunaikan janji pilihanraya PRU12 yang masih belum dilunaskan. Ianya lebih utama dari yang lain. Rakyat masih menunggu janji PRU12 yang kini sudah melebihi 3 tahun belum terlaksana.

-Rakyat tertipu

No comments: