Monday, January 3, 2011

'Tahan Shuhaimi di bawah ISA'


Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my


SHAH ALAM 2 Jan. - UMNO Selangor mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei ekoran kenyataan yang didakwa menghasut rakyat menentang institusi beraja di negeri ini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus dikenakan terhadap wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu kerana kenyataannya yang dibimbangi boleh menggugat sistem pentadbiran dan keselamatan negara.

Katanya, negara ini mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kedudukan sultan atau raja diiktiraf sebagai ketua bagi sesebuah negeri.

Justeru beliau menegaskan, sebarang kenyataan atau tindakan oleh mana-mana individu yang mempertikaikan kedudukan serta bidang kuasa institusi itu merupakan satu pengkhianatan terhadap prinsip-prinsip Perlembagaan apatah lagi mengajak rakyat menentang asas perundangan negara.

"Kita memandang serius perkara tersebut atas dasar menjaga kedudukan Perlembagaan serta keselamatan negara ini. Tindakan Shuhaimi seolah-olah mahu mewujudkan fahaman anarki dalam masyarakat khususnya di Selangor.

"Ini amat membimbangkan dan kita mahu KDN mengambil tindakan tegas terhadapnya termasuklah ISA sekiranya perlu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Shuhaimi menerusi laman blognya, http://srimuda.blogspot.com didakwa terang-terangan menentang keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memperkenankan pelantikan Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menurut Shuhaimi, pelantikan jawatan SUK tidak memerlukan perkenan Sultan Selangor sebaliknya ia adalah di bawah bidang kuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan baginda seharusnya bertindak berdasarkan nasihat majlis berkenaan, bukannya berkecuali.

Malah, Shuhaimi menerusi kenyataan di dalam laman blog berkenaan seolah-olah turut memberikan amaran kepada institusi beraja Selangor supaya tidak berterusan bertindak membelakangkan MMKN atau terpaksa berdepan dengan gelombang kebangkitan rakyat bagi menentang pihak istana.

Tidak cukup dengan itu, wakil rakyat PKR itu turut menyatakan kononnya rakyat akan menolak sebarang tindakan "Beraja di mata, bersultan di hati" oleh mana-mana pihak yang bertindak sewenang-wenangnya, tidak kira sama ada oleh "raja yang berjiwa rakyat atau rakyat yang berjiwa raja".

No comments: