Friday, April 1, 2011

Persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dilaksana

01/04/2011 4:25pm

PUTRAJAYA 1 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan proses persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri selepas kali terakhir ia dilaksanakan pada Mac 2003.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, persempadanan semula itu perlu dilakukan sekurang-kurangnya selepas lapan tahun selaras dengan peruntukan Perkara 113 (2) Perlembagaan Persekutuan.

"SPR dah boleh mula sekarang tetapi SPR sedang menunggu masa yang sesuai serta lapang kerana sebaik tarikh urusan persempadanan ditetapkan ia perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun,” katanya dalam temuramah dengan Bernama dan RTM di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, setelah lima kali urusan persempadanan dijalankan, belum ada sebarang pelanggaran Prinsip-prinsip Persempadanan yang ditetapkan oleh perlembagaan dilakukan SPR.

Ditanya mengenai negeri mana yang perlu menjalani persempadanan, beliau berkata semua negeri dilihat perlu menjalani proses itu, secara kasarnya di negeri-negeri yang mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai jumlah kerusi yang genap.

Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata proses persempadanan semula itu masih bergantung kepada persetujuan dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat untuk kerusi Parlimen dan Dewan Negeri bagi kerusi DUN. - Bernama

No comments: