Monday, May 2, 2011

BN sedia ambil alih pentadbiran Kelantan

KOTA BHARU 1 Mei - Barisan Nasional (BN) telah bersedia untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri daripada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang bagi membawa lebih banyak pembangunan ke negeri ini demi kesejahteraan rakyat.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, BN sedia membariskan barisan kepimpinan dinamik yang lebih baik dan dasar-dasar pembangunan yang diyakini berupaya membawa kemajuan kepada negeri dan rakyat.

Malah, katanya, BN juga sedia menggerakkan pelan transformasi ekonomi bagi memajukan lagi negeri ini yang sebenarnya mempunyai banyak potensi tetapi masih ketinggalan dalam banyak aspek akibat kegagalan pemerintahan kerajaan Pas Kelantan.

"Kita berkeyakinan untuk menumbangkan Pas dan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen bagi disumbangkan kepada BN Pusat untuk membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga," katanya semasa membuat penggulungan pada Konvensyen BN Kelantan 2011 di sebuah hotel, di sini hari ini.

Konvensyen itu dihadiri oleh lebih 340 perwakilan parti komponen BN termasuk wakil masyarakat Siam.

Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pergolakan yang berlaku dalam pakatan pembangkang dan kelemahan kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan pelbagai isu rakyat, memberi peluang kepada BN untuk mencapai kemenangan.

"Tetapi kita jangan hanya bergantung harap kepada kelemahan orang lain, itu satu bonus tetapi yang penting kita perlu memperhebatkan gerak kerja dan pelan strategik termasuk mendekati rakyat serta daftar pemilih," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya, Mustapa berkata, BN menyasarkan untuk mencapai kemenangan mudah di negeri ini pada PRU 13, sekiranya ia diadakan dalam waktu terdekat.

"Kita perlu kerja kuat kerana Pas sebuah kerajaan dan mempunyai beberapa institusi yang boleh digunakan dan (mempunyai) kedudukan kewangan (yang baik).

"Tetapi, (dengan) pelbagai isu terkini termasuk (kes) Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, orang Pas sendiri resah.., orang kampung ramai pertikai, ini akan memberi kelebihan kepada BN," katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, rakyat perlu menilai kejayaan kerajaan pimpinan BN yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diiktiraf dunia, berbanding pembangkang terutama Anwar yang lebih banyak bergelut dengan krisis moral dan integriti.

Pada masa sama, beliau mengingatkan pemimpin parti komponen supaya meningkatkan perpaduan mereka bagi membentuk satu pasukan yang kuat untuk menjamin kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

-utusan

No comments: