Wednesday, March 24, 2010

JAWAPAN SOALAN PARLIMEN OLEH DATO' SERI NAJIB TUN RAZAK MENGENAI GAGASAN 1 MALAYSIA

SOALAN
Tuan Alexander Nanta Linggi [ Kapit ] minta PERDANA MENTERI menyatakan sejauh manakah Gagasan 1Malaysia telah berjaya menyatu padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama buat masa sekarang.
JAWAPAN:
Tuan Yang di-Pertua,
Izinkan saya menjawab soalan ini serentak dengan soalan yang dikemukakan oleh YB. Parit Sulong (No. 67) dan YB. Kepong (No. 74), serta soalan daripada YB. Jempol pada 23 Mac 2010, YB. Mas Gading pada 25 Mac 2010 dan YB. Hulu Terengganu pada 5 April 2010
Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan adalah satu falsafah induk yang merentas dasar dan pelaksanaan. Ini kerana matlamat akhir 1Malaysia adalah perpaduan nasional yang mana pencapaiannya telah menjadi matlamat nasional secara berterusan semenjak negara mencapai kemerdekaan lebih lima puluh tahun dahulu. Ia telah menjadi keutamaan pentadbiran-pentadbiran Perdana Menteri yang terdahulu bermula dengan pentadbiran Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Hari ini pentadbiran saya akan meneruskan perjuangan untuk mencapai perpaduan nasional yang lebih sempurna sebagai matlamat perdana. Usaha untuk mencapainya bukan usaha yang bermusim. Ia ada titik permulaan sebermula negara mencapai kemerdekaan tetapi tiada titik noktah. Perpaduan Nasional adalah usaha yang memerlukan pembajaan dan penjagaan yang berterusan. Tugas ini diwarisi dari satu generasi Malaysia ke generasi yang berikutnya. Tanpa Perpaduan Nasional maka kestabilan politik yang menjadi kunci kepada kemakmuran dan kemajuan negara tidak akan dapat diwujudkan.
Sesungguhnya perubahan kerangka minda atau “mindset” merupakan perkara asas titik pencapaian 1Malaysia, tembok-tembok yang lama harus kita runtuhkan manakala jambatan-jambatan baru harus pula kita bina.
Prinsip pertama Perpaduan nasional ianya tidak boleh dipaksa atau diinstitusikan melalui penggubalan undang-undang semata-mata, untuk berkekalan ia harus datang secara sukarela hasil kesedaran setiap individu bahawa untung nasib mereka akan terpelihara secara kolektif.
Prinsip kedua ialah dasar dan pertimbangan yang adil dan saksama kepada semua kaum. Dengan ini tiada mana-mana kelompok etnik akan terasa terpinggir atau marginalized. Perpaduan Nasional lebih mantap jika prinsip ini dapat dihayati dan diterima pakai.
Waima apa pun, perlu ditegaskan bahawa Gagasan 1 Malaysia tetap berpaksi kepada Perlembagaan Negara dan Rukun Negara. Prinsip dan semangat Perlembagaan Negara akan sentiasa menjadi landasan pembentukan Perpaduan Nasional.
Kejayaan Perpaduan Nasional boleh diukur dari sikap rakyat Malaysia pelbagai kaum terhadap saudara mereka dari kaum yang berbeza. Tahap terendah Perpaduan Nasional adalah sikap toleransi terhadap perbezaan yang wujud. Tahap kedua Perpaduan Nasional adalah penerimaan sepenuhnya terhadap perbezaan yang ada manakala Tahap ketiga Perpaduan Nasional yang merupakan tahap tertinggi adalah meraikan perbezaan. Dalam tahap ketiga ini perbezaan bukan lagi menjadi punca persengketaan tetapi telah berubah menjadi sumber kekuatan.
Penghalang terbesar kepada kejayaan pencapaian 1Malaysia atau Perpaduan Nasional yang lebih sempurna adalah kebimbangan serta ketakutan akibat prasangka dan prejudis yang tidak ditangani. Oleh itu kita semua sebagai rakyat Malaysia harus ikhlas memeriksa prasangka dan prejudis masing-masing kerana jika tidak kita berisiko untuk menzalimi saudara-saudara kita.
Janganlah kita terus memegang kepada prasangka dan prejudis tanpa mengetahui kebenaran yang pasti. Marilah kita bergerak dari mendefinisikan identiti kita berasaskan perbezaan yang wujud sesama kita kepada mencari titik-titik persamaan.
Saya ingin jelaskan bahawa kefahaman Gagasan 1 Malaysia mesti dilihat bersekali dengan ungkapan Rakyat di Dahulukan dan Pencapaian Diutamakan. Ini adalah kerana apapun tindakan Kerajaan akan lakukan fokusnya perlulah menjurus kepada kepentingan rakyat dan tindakan yang mementingkan pencapaian dan keberhasilan. Program seperti pelancaran Klinik 1 Malaysia adalah cerminan gagasan ini.
Di samping itu, saya berbangga dan bersyukur kerana dengan sambutan rakyat terhadap gagasan ini seperti yang disaksikan dalam lawatan-lawatan, tinjauan mesra atau ‘walkabout’ samada di kawasan seperti Pantai Dalam, Petaling Street, Brickfield atau Lachau Ulu di Sarawak.
Hari ini Gagasan 1 Malaysia sudah menjadi satu pergerakan massa di akar umbi dan tidak tinggal sebagai satu inisiatif ‘top-down’ atau prekarsa kerajaan semata-mata.
Saya berasa kagum bahawa sebutan Salam 1Malaysia sudah menjadi kelaziman ramai pihak. Tambahan pula banyak inisiatif daripada rakyat sendiri untuk meraikan dan mengenalpasti dengan lambang 1 Malaysia secara simbolik seperti perkahwinan 1 Malaysia di antara 4 pasangan di Kapar baru-baru ini yang terdiri dari 2 pasangan Melayu, 1 Cina dan 1 India yang disaksikan oleh saya sendiri.
Simbol 1 Malaysia juga sudah menjadi sangat popular digunakan oleh Badan Korporat, Badan Sukarela dan juga sebagai simbol dan motif dalam bentuk pakaian.
Untuk 1Malaysia berjaya ia memerlukan komitmen semua pihak. Kita tidak mempunyai pilihan lain selain berjaya mencapainya. Alternatif kepada kejayaan 1Malaysia adalah sebuah negara Malaysia yang berpecah belah, tidak stabil dan lemah. Demi untuk anak-anak kita ini bukanlah masa depan yang kita dambakan.
Kerajaan yakin dan percaya Gagasan 1 Malaysia boleh menjadi Formula Nasional yang boleh memupuk keujudan Bangsa Malaysia dan seterusnya berjaya menyatukan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Sekian, Terima kasih.

No comments: