Friday, April 16, 2010

Kamalanathan Calon BN Di Hulu Selangor

HULU SELANGOR, 15 April (Bernama) -- Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor 25 April ini.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Command BN di Bukit Sentosa pada 5.05 petang Khamis.

Muhyiddin berkata Kamalanathan dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas perbincangan dengan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Hari ini pucuk pimpinan dah buat keputusan hasil dari perbincangan yang agak panjang "day and night". Perdana Menteri hubungi saya dari Washington, ini matlamat BN, kita ambil pertimbangan semua rakyat dan MIC," katanya di hadapan lebih 3,000 penyokong BN.

Turut hadir para pemimpin komponen BN termasuk dari Sarawak dan Sabah.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi BN berkata, pemilihan Kamalanathan adalah selaras dengan kehendak akar umbi yang mahukan perubahan daripada segi kepimpinan.

"Kita turun ke bawah, mereka (rakyat) mahukan perubahan, orang yang baru, dengan mengambil gagasan 1Malaysia maka pucuk pimpinan telah beri pertimbangan sewajarnya," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebelum memutuskan Kamalanathan sebagai calon, pimpinan BN telah menyemak latar belakang dan keperibadiannya dan ternyata pemilihan itu adalah tepat dan terbaik.

"Dia calon yang baik, tiada skandal, tiada masalah. Kita sudah periksa latar belakang dia. Dia juga orang muda, berkelulusan Ijazah Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) di Australia," katanya.

Beliau berkata, Kamalanathan juga mempunyai personaliti yang baik kerana beliau sering turun padang, bekerja keras, terus terang. Beliau adalah tokoh yang sesuai untuk pengundi Hulu Selangor.

Mengenai calon yang sebelum ini disebut-sebut mewakili BN iaitu Naib Pemuda MIC V. Mugilan, Muhyiddin berkata, beliau telah menghubunginya dan memberitahunya bahawa ini bukan masa beliau untuk dicalonkan.

Beliau berharap Mugilan dapat bersama-sama turun padang membantu berkempen bagi kemenangan Kamalanathan.

"Sebelum ke sini saya menghubungi Mugilan. Saya beritahu dia, mungkin nasib kamu belum baik, rezeki belum ada (sebagai calon) sebab yang tentukan adalah Tuhan. Saya juga beritahu Mugilan, kamu mesti tolong, kerja kuat bantu kemenangan calon kita ini," katanya.

Kepada Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Muhyiddin berkata, walaupun tidak dicalonkan kali ini tetapi BN tetap menghargai jasa beliau yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat Hulu Selangor selama empat penggal sehingga pilihan raya umum 2008.

"Tahniah dan terima kasih kepada Palanivel kerana empat penggal menjadi anggota Parlimen di sini...dia sudah ada jasa. Saya percaya Palanivel yang kita tahu telah banyak berjasa akan turun dan membantu calon kita," katanya.

Muhyiddin juga mengakui sebelum nama calon diputuskan beliau sukar untuk melelapkan mata memikirkan mengenai siapa yang layak dicalonkan dari senarai yang dikemukakan Presiden MIC.

Katanya, akhirnya pemilihan calon dibuat selaras dengan slogan Perdana Menteri iaitu "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan".

Beliau berkata BN juga mengiktiraf jasa dan sumbangan Samy Vellu yang merupakan seorang tokoh yang hebat.

Mengenai permintaan beberapa bahagian Umno yang mahu calon Umno bertanding, Muhyiddin berkata, Umno perlu menghormati konsep BN yang mengamalkan toleransi dalam perjuangan dan menghormati parti MIC yang telah lama bertanding di kawasan itu.

"Ada orang kata beri saja pada Umno, mungkin boleh menang. Tapi kita sudah lama bersahabat dengan MIC. Sudah duduk sama-sama dalam satu kerabat BN. Kawasan ini kawasan MIC tapi calon yang bertanding akan guna simbol BN, bukannya simbol MIC.

"Walaupun kita tahu MIC mewakili kaum India yang kecil di kawasan ini tapi konsep BN tiada yang kecil, semuanya sama. Kita mahu suara orang India diberi tempat," katanya.

--BERNAMA

No comments: