Wednesday, June 1, 2011

Graduan penuhi keperluan pasaran bantu tarik pelabur

01/06/2011 7:35pm

PUTRAJAYA 1 Jun — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, graduan yang memenuhi keperluan pasaran merupakan elemen penting dalam menentukan keupayaan negara menarik pelaburan langsung asing dan memacu pertumbuhan sumber domestik yang baru.

Perdana Menteri berkata, kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi sedang melaksanakan langkah jangka panjang bagi meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan.

"Antaranya dengan menjadikan kebolehpasaran graduan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) setiap Naib Canselor universiti awam, mengadakan kurikulum keusahawanan, menjalankan program kemahiran tertentu dan melaksanakan program bimbingan pelajar di syarikat awam dan swasta sebelum pelajar menjadi siswazah.

"Dialog berterusan antara universiti dan industri diadakan dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti graduan. Pendekatan itu juga dijangka mengurangkan masalah tidak sepadan antara penawaran dan permintaan tenaga mahir,” katanya semasa melancarkan Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga mengadakan program khas sebagai langkah jangka pendek bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan, antaranya program latihan yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Bank Negara), Khazanah Nasional dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran bagi menyediakan peluang latihan kepada 12,000 graduan.

- Bernama

No comments: