Saturday, June 25, 2011

Hanya kemenangan dalam pilihan raya bawa erti - PM

25/06/2011 2:23pm

RAWANG 25 Jun — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, yang paling penting bagi Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti politik adalah untuk berjaya dalam pilihan raya kerana menurutnya dalam politik hanya kemenangan membawa erti.

Justeru itu, Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu berkata, dalam pilihan raya tidak ada istilah naib johan, sepertimana dalam sesuatu pertandingan biasa yang turut menyediakan hadiah untuk naib johan.

"Untuk pilihan raya hanya johan sahajalah yang ada erti dan makna bagi kita...dan kita semua sedar bahawa menjadi naib johan bererti kita kalah dalam waktu pilihan raya.

"(Dan) kita tahu nasib parti yang kalah,” kata Najib ketika merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Selayang di Perangsang Templer Golf Club di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, yang penting dalam keadaan dan landskap politik hari ini adalah untuk melakukan pembaharuan dan pembugaran kerana kalau menggunakan cara dan kaedah lama “kita boleh menang perang lama, perang baru tidak tentu lagi”. — Bernama

No comments: