Wednesday, June 8, 2011

WIEF: Kesempatan kepada negara Islam tingkat kerjasama ekonomi

ASTANA, Kazakhstan 7 Jun – Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) kali ketujuh yang bermula esok memberi kesempatan kepada negara-negara Islam untuk menerokai peluang bagi meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dalam kalangan mereka.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, negara-negara Islam dapat melihat peluang bukan sahaja terdapat di negara-negara Barat, tetapi juga di negara-negara Islam lain.

“Ini bakal membuka satu dimensi pasaran baharu kepada negara lain. Kazakhstan misalnya, mempunyai banyak potensi untuk diterokai oleh negara-negara Islam lain,” katanya.

Menteri itu mengulas apa kesan WIEF sejak diasaskan pada tahun 2005 kepada dunia Islam dalam konteks kemajuan dan pembangunan ekonomi global.

Mustapa menjelaskan demikian pada sdiang akhbar bersama wartawan Malaysia di King Hotel Astana, di sini hari ini.

Beliau menarik perhatian, WIEF merupakan inisiatif Malaysia ke arah meningkatkan lagi kerjasama ekonomi di kalangan negara-negara Islam.

“WIEF juga merupakan sumbangan Malaysia kepada dunia Islam. Kita berpendapat, selain politik, ekonomi dunia Islam juga perlu dimantapkan dan diberi fokus,” katanya.

Sidang WIEF sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur. WIEF merupakan salah satu resolusi yang dicapai semasa Forum Perniagaan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada tahun 2004.

Mustapa menarik perhatian, bagi menjayakan matlamat WIEF, negara-negara bukan Islam seperti Amerika Syarikat juga diundang untuk menyertai forum tahunan global itu.

Katanya, hasil daripada WIEF jugalah banyak pelabur dari negara Asia barat seperti Qatar dan Kuwait melabur di Malaysia. – UTUSAN

No comments: