Monday, October 17, 2011

Pengagihan semula kerusi BN

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengagihan semula kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dibuat selaras dengan perubahan politik ketika ini yang memerlukan BN meletakkan calon boleh menang .

Kata Perdana Menteri, pengagihan itu juga akan dibuat berasaskan semangat kerjasama di kalangan parti-parti komponen dalam memastikan BN mampu mencapai kemenangan besar pada PRU13.

"Bagaimanapun kita tidak akan rombak semua kerusi dan kerusi-kerusi ketika ini juga masih lagi menjadi asas (dalam pengagihan kerusi kelak).

"Cumanya pengagihan kerusi ini akan melihat kepada kawasan-kawasan yang difikirkan perlu dibuat berdasarkan formula terbaik untuk menang," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Kebangsaan Gerakan Ke-40 di sini, hari ini.

Najib menambah, pengagihan kerusi itu juga dibuat atas semangat hubungan dalam keluarga besar yang terjalin di kalangan parti-parti komponen BN.

Malah kata beliau, kesemua pemimpin-pemimpin parti komponen BN juga sudah menyatakan persetujuan dan bersikap terbuka mengenai perkara itu dengan melihat ia sebagai salah satu formula untuk menang pada PRU13.

Ketika ditanya mengenai kedudukan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon yang didesak beberapa ahli parti supaya tidak bertanding pada PRU13, Najib berkata, beliau menyerahkan kepada Tsu Koon untuk menentukan apa yang terbaik demi masa depan parti itu.

''Apa pun saya mempunyai hubungan kerja yang sangat rapat dengan beliau (Tsu Koon) dan kita juga sudah berbincang mengenai apa yang perlu dilakukan Gerakan menjelang pilihan raya umum nanti," katanya.

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL dan SYUKRI SHAARI pengarang@utusan.com.my

No comments: