Wednesday, October 5, 2011

PM Umum Pembebasan Kesemua 125 Tahanan Akta Kediaman Terhad

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan pembebasan kesemua 125 individu yang ditahan mengikut Akta Kediaman Terhad 1933 dengan serta merta manakala lebih 200 waran yang belum disampaikan juga dibatalkan.

Keputusan itu selaras dengan cadangan pemansuhan akta berkenaan yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

"Saya berdiri di Dewan yang mulia pada hari ini bagi memulakan proses mengotakan janji kerajaan. Hakikatnya, amat jarang di dunia bagi sebuah kerajaan yang sedang berkuasa untuk secara sukarela memudarkan kuasa yang dimiliki," kata Najib ketika membentangkan Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011.

Katanya pemansuhan akta itu dan beberapa akta lain merupakan sebahagian daripada permulaan Program Transformasi Politik Negara dan pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang berlangsung.

"Pucuk pangkalnya saya dan rakan-rakan tidak akan sekali-kali berganjak dari meneruskan perjalanan, bahkan makin komited untuk membuat yang terbaik demi keharmonian negara. Sesungguhnnya ini hanyalah satu permulaan," katanya.

Najib semasa menyampaikan perutusan khas sempena sambutan Hari Malaysia pada 15 Sept lepas telah mengumumkan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Buang Negeri 1959, dan kajian semula yang membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Najib berkata teras utama Program Transformasi Politik mengambil kira aspirasi nasional ke arah sebuah Malaysia moden, demokratik, progresif lagi maju dan memiliki demokrasi yang berfungsi.

Semua itu, katanya, adalah untuk menyeimbangkan keperluan keselamatan kebangsaan dan kebebasan individu dengan mengambil kira kemajmukan negara yang kompleks sifatnya, dan, ancaman keganasan global, pasca tragedi 11 Sept 2001.

Najib juga menempelak pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan dengan membuat dakwaan kononnya kerajaan meniru rancangan mereka untuk menghapuskan ISA serta undang-undang lain yang berkaitan sekiranya menang pilihan raya.

"Sekonyong-konyongnya terdapat polan-polanah yang mula berkokok bahawa kerajaan kononnya sedang mengambil atau meniru cadangan daripada sesetengah pihak.

"Walhal, tiada siapapun yang mempengaruhi kita, tiada siapapun yang mendesak kita. Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikan.

"Ujiannya, sama ada kita mengotakan janji atau tidak, pihak lain boleh tanpa segan silu atau semberono mengakui bahawa ini adalah idea atau pandangan mereka, sedangkan mereka bukanlah kerajaan yang diberi mandat oleh majoriti rakyat untuk menunaikan apa yang dijanjikan," kata Perdana Menteri.

Najib berkata langkah yang dimulakan itu bukan disebabkan tekanan mana-mana pihak sama ada dari dalam mahupun dari luar atau atas dasar kekhuatiran dan kebimbangan.

Sebaliknya, langkah-langkah penting sebegini diatur kerajaan Barisan Nasional sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, yang merasai denyut nadi rakyat, mendengar keluh kesah massa dan memahami aspirasi ramai semenjak dari dahulu, kata Perdana Menteri.

"Kalau hendak disimpulkan, segala-galanya adalah hasil kumulatif pembangunan dan kemajuan negara dipelopori tentunya oleh kerajaan yang sama semenjak kita merdeka.

"Kerajaan ini insaf bahawa amanah untuk mengurus tadbir negara tercinta perlu diasaskan kepada kerelaan serta kepercayaan rakyat terbanyak dan bukannya atas dasar kuasa yang mampu menggusarkan," katanya.

Najib mengulangi pendirian bahawa kerajaan tidak mengimpikan pada satu kuasa yang mutlak atau sekalipun tampak mutlak kerana ia bertentangan dengan cara hidup demokratik yang rakyat dambakan.

"Sesungguhnya kuasa adalah satu amanah, bukannya satu keistimewaan. Kita mengambil keputusan ini dengan penuh kesedaran bahawa matlamat tertinggi sebuah kerajaan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat, adalah kebajikan dan kesejahteraan warga negaranya," kata Perdana Menteri.

-- BERNAMA

No comments: