Monday, November 14, 2011

SELANGOR HANCUR DI BAWAH PIMPINAN PKR, DAP DAN PAS

SHAH ALAM 14 Nov. – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Abdul Shukor Idrus mendesak Kerajaan negeri menjelaskan dakwaan wujudnya amalan salah tadbir urus membabitkan sebuah anak syarikat di bawah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Desakan itu dibuat kerana mendakwa syarikat terbabit, Selangor Palm Oil Industries Corporation Sdn Bhd. (SOPIC) yang didapati telah membelanjakan kira-kira 50 peratus daripada RM20 juta wang tunai milik anak syarikat itu pada tahun 2010.

Beliau menegaskan, perbelanjaan yang membabitkan pelantikan kontraktor bernilai jutaan ringgit untuk projek pembinaan kandang lembu tenusu Milking Parlour dan Pejabat Ladang PKPS Jelutong Jati, Sabak Bernam menimbulkan pelbagai persoalan kerana SOPIC sendiri telah dihentikan operasinya oleh PKPS pada tahun 2009.

Amalan itu katanya didakwa dikesan menerusi satu prosedur kewangan yang tidak munasabah apabila SOPIC menerusi dua ahli lembaga pengarahnya, pada 19 julai 2010 meluluskan pelantikan kontraktor iaitu syatikat LLK Construction Sdn Bhd. (LLK Construction) untuk melaksanakan projek tersebut yang berjumlah RM1.38 juta.

“Bagaimana sebuah anak syarikat yang telah dihentikan operasinya pada tahun 2009 boleh menjalankan operasi perniagaan. Malah, dia ahli lembaga pengarah SOPIC terbabit difahamkan tidak mendapat persetujuan daripada ahli lembaga pengarah PKPS selaku syarikat induk.

“Malah, Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) yang juga Pengerusi PKPS sendiri tidak kah mengetahui perkara ini. Apa penjelasan Menteri Besar mengenai perkara ini. Difahamkan salah seorang ahli lembaga pengarah SOPIC yang juga Pengurus Besar PKPS itu merupakan proksi Menteri Besar dan pernah bertugas di Kumpulan Guthrie sebelum ini,” katanya ketika membahaskan Bajet Selangor 2012 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.

Tambahnya, selain projek tersebut, amalan sedemikian turut melibatkan kelulusan pelantikan kontraktor yang sama untuk projek ternakan ayam daging di Ladang PKPS Jelutong Jati, Sabak Bernam berjumlah RM975,130 pada 18 Mei 2011.

Jelasnya, pemberian kontrak itu turut melibatkan pembelian mesin projek ternakan ayam sejumlah RM3.5 juta oleh syarikat Jensen Poultry Equipment atas cadangan LLK Construction sendiri.

“Kita merasakan pemberian kontrak kepada syarikat kontraktor ini buat tanpa melalui proses tender yang telus dan menimbulkan banyak keraguan,” jelasnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor ketika bercakap kepada media di luar sidang DUN turut mempersoalkan ketelusan kerajaan negeri dalam amalan pengurusan perlombongan pasir menerusi anak syarikat Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Katanya, berdasarkan maklumat yang diterima, wujud campurtangan dalam pengurusan perlombingan pasir di negeri ini oleh ahli lembaga pengarah KSSB yang terdiri daripada Exco serta ADUN daripada kerajaan negeri.

Perkara itu disahkan sendiri oleh seorang bekas Eksekutif Pemasaran KSSB, T . Sivanesan yang menyatakan wujud elemen campurtangan tersebut dari segi pemberian kontrak perlombongan pasir, penjualan pasir kepada syarikat yang sama yang didakwanya dimiliki oleh individu yang berpentingan politik serta mempunyai hubungkait dengan Menteri Besar dan juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Sivanesan, beliau telah memaklumkan amalan salahlaku KSSB itu kepada pihak pengurusan tertinggi syarikat perlombongan pasir itu sebelum ini, bagaimanapun beliau kemudiannya dipecat tanpa alasan yang munasabah pada 9 September lalu.

-Sumber dari klik disini

1 comment:

Unknown said...

Salam sejahtera, mohon dilink blog hamba disini.. Terima Kasih.
http://klboyzwangsa.blogspot.com/