Sunday, May 6, 2012

Baiki ruang kelemahan sebelum PRU-13 - PM

KUALA LUMPUR 5 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat peringkat akar umbi UMNO terutama daripada ketua bahagian dan cawangan mencari ruang yang boleh dibaiki walaupun secara keseluruhannya parti itu sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13. 

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, sangat penting kumpulan akar umbi ini bekerja sebagai satu pasukan dan satu keluarga, sekali gus mengetepikan sebarang persaingan dan persengketaan sesama ahli buat sementara waktu.

"Kita ini merupakan satu pasukan, satu keluarga yang bukan saja mantap tetapi kukuh dan padu dalam apa jua keadaan dan kita mesti melihat bahawa ancaman kita, pesaing kita adalah parti pembangkang dan bukanlah sesama kita," katanya dalam wawancara eksklusif dengan UMNO-Online di sini, hari ini.

Katanya, ahli UMNO perlu menjurus kepada perhatian yang sepenuhnya kepada sebarang dan segala usaha yang boleh dibuat untuk memastikan jentera parti ini padu dan boleh bergerak, lancar serta penuh bersemangat untuk parti dan Barisan Nasional (BN).

Pada masa sekarang, semua jentera UMNO di negeri sudah dipersiapkan, kursus sudah diberikan, panduan sudah disediakan dan perjumpaan dengan mereka telah pun dibuat, katanya.
Najib juga mahukan setiap ahli UMNO tanpa mengira jawatan yang mereka pegang supaya membantu memenangkan parti dengan menunaikan tanggungjawab mengundi kerana setiap undi itu mempunyai nilai tersendiri.

"Kita ini merupakan parti yang besar, 3.3 juta ahli kita semua sekali. Oleh itu, kita mesti meletakkan dalam fikiran dan juga 'mind set' ahli-ahli parti kita ini supaya menumpu kepada sebarang usaha yang boleh dilakukan setiap daripada kita.

"Tidak semestinya kita ini merupakan seorang pemimpin besar, atau pemimpin di peringkat bahagian tapi kita sebagai ahli biasa sekurang-kurangnya nilai undi kita, sebab ada kalanya ada juga ahli UMNO yang tidak mengundi waktu pilihan raya," katanya lagi.

Najib bagaimanapun mengaku bahawa dirinya adalah seorang yang realistik dan bukan mudah untuk mengubah sikap ahli UMNO dalam jangka masa pendek.

"Saya rasa bahawa pencapaian atau pun perjalanan ini sudahpun bermula dan ada sedikit sebanyak perubahan tapi kita perlu meneruskan lagi sebab untuk mentransformasikan UMNO adalah satu cabaran yang tentu sekali akan memakan masa," katanya. 

- BERNAMA

No comments: