Sunday, May 6, 2012

Hari Ulang Tahun UMNO 11 Mei Ini Janjikan Kelainan, 66 Tahun Pembela Rakyat



KUALA LUMPUR 24 April – Bertemakan UMNO Pembela Rakyat, sambutan hari ulangtahun UMNO ke-66 kali ini berlainan dengan sambutan sebelumnya yang mana akan dimeriahkan dengan pelbagai acara dan program yang menarik untuk seluruh rakyat.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata rakyat pelbagai kaum dialu-alukan untuk turut sama memeriahkan pelbagai program dan aturcara yang bakal disediakan kelak.

Menurut beliau sambutan ulangtahun UMNO akan bermula dengan larian bendera UMNO, konvoi bermotosikal, majlis tahlil serta kemuncaknya karnival selama tiga hari dua malam di Stadium Bukit Jalil.

“Untuk larian bendera, ianya akan berjalan serentak di empat zon pada 1 Mei ini dan akan berakhir di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei nanti. Untuk Zon utara, larian bendera ini akan melalui empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Selangor, manakala Zon Pantai Timur akan bermula di Kelantan dan akan melalui Terengganu dan Pahang.

“Untuk Zon Selatan pula ianya akan bermula di Johor dan akan menjelajah  Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dan untuk Zon Sabah akan bermula di Negeri Bawah Bayu seterusnya diterbangkan ke KLIA dan seterusnya melalui Selangor dan Wilayah Persekutuan. Larian ini akan berakhir di Stadium Bukit Jalil apda 11 Mei nanti,” katanya pada satu sidang media khas sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke 66 di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi konvoi bermotosikal pula akan bermula pada 4 hingga 11 Mei yag akan diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Tengku Adnan seterusnya menambah majlis tahlil akan diadakan pada 10 Mei bertempat  di Surau Ar-Rahman, PWTC  selepas solat Maghrib yang akan dipimpin oleh Senator Mej Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom.

Tambah beliau untuk sambutan di Bukit Jalil, terdapat ‘outdoor dan indoor activity’ yang bakal menemui pengunjung.

“Pelbagai acara menarik akan diadakan…tetapi apa yang penting pada 11 Mei, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan menyampaikan ucapan selain penganugerahan tokoh Melayu terbilang,” katanya.
Katanya lagi sepanjang tiga hari dua malam karnival berkenaan, pelbagai acara menarik disediakan untuk pelbagai kumpulan sasaran seperti paintball, rock climbing, street soccer, silat, pertunjukan Robotic, pancaragam dan sebagainya lagi.

“Macam-macam acara kita sediakan baik untuk golongan dewasa dan pelbagai kumpulan umur yang lain. Untuk melihat acara lebih jelas dan program yang diatur, layari www.umno-online.com,” katanya. -MediaUMNO

No comments: