Saturday, April 28, 2018

Sunday, April 8, 2018

Manifesto BN PRU14: ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ Ikrar Kepada Rakyat




KUALA LUMPUR, 7 April – Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyenaraikan program-program menghebatkan Malaysia untuk masa depan yang lebih cerah dengan mendahulukan rakyat serta pembangunan lebih adil dan menyeluruh dari Perlis hinggalah ke Sabah dan Sarawak. 


Manifesto bertemakan “Bersama BN Hebatkan Negaraku” yang dilancarkan Najib selaku Pengerusi BN berikrar untuk menyusun pembangunan yang menyeluruh terutama di kawasan yang dianggap terabai selama berdekad sebelum ini.


“Percayalah, undi anda untuk Barisan Nasional adalah mandat untuk kelangsungan kemakmuran, kesejahteraan dan keamaman sebuah negara kecil ini. Semoga Tuhan memberkati kita semua,” kata Najib dalam prakata Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilancarkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.


Manifesto BN menawarkan 14 teras yang inklusif, komprehensif dan praktikal iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal.


Manifesto itu menggarapkan lebih 300 tawaran bagi memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat mencakupi semua peringkat usia.


Antara yang menarik di bawah teras Utama Ibu dan Wanita ialah menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) khusus untuk agenda ekonomi wanita, menggalakkan sektor swasta membenarkan ibu mengandung pulang sejam lebih awal dan menggubal Akta Gangguan Seksual untuk melindungi golongan itu.


Menerusi teras Kediaman 1Negaraku, BN menjanjikan untuk menyediakan Skim Bantuan Sewa Perumahan Awam bagi membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kelainan upaya (OKU) serta membina perumahan mampu milik di tanah rizab Melayu, wakaf dan baitumal yang terbiar


Di bawah teras Senyum Sabah dan Sarawak, antara intipati menarik adalah untuk memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 direalisasikan secara konsensus selain meningkatkan kualiti liputan telekomunikasi menerusi peruntukan RM2 bilion dan meluaskan liputan bekalan elektrik (RM2.3 bilion).


BN juga akan memperkenal Pas Pengangkutan Awam TN50 berharga antara RM50 – RM150 yang memberi akses perjalanan tanpa had sebulan untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan OKU, di bawah teras Pengangkutan Futuristik.


Di bawah BR1M Lebih Baharu, BN akan memperkenalkan bantuan sekali beri RM1,500 untuk anak-anak penerima BR1M yang mendaftar di pusat pengajian tinggi serta mewujudkan sistem maklumat bantuan Malaysia – ‘B40 Window’ bagi memastikan tiada ketirisan, keciciran atau ketidakadilan dalam pemberian bantuan tersebut.


Teras Dompet Rakyat pula menyaksikan inisiatif untuk meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun, menurunkan had maksimum kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit dan memberikan insentif khas RM5,000 kepada setiap peneroka Felda selain melupuskan hutang penanaman semula peneroka.


Menerusi teras Hidup Sihat, BN akan menyediakan pemeriksaan kesihatan rutin tanpa syarat di klinik-klinik kesihatan kerajaan bagi anak muda, meningkatkan kadar pelepasan tahunan cukai pendapatan individu bagi kos perubatan ibu bapa dan memperkenalkan Undang-Undang Air demi menjamin akses air bersih untuk rakyat.


Selain teras-teras tersebut, manifesto itu turut menjanjikan penubuhan Jawatankuasa Menyelia Keharmonian Mahkamah Syariah dan Sivil; jawatankuasa untuk memperkasa Mahkamah Syariah; unit khas bukan Islam di Jabatan Perdana Menteri untuk mempromosi dialog kebersamaan dan persefahaman antara kaum selain meneruskan usaha menyokong kemerdekaan negara Palestin dan mengiktiraf Bailtulmuqaddis sebagai ibu negara rasmi.


Manifesto itu menawarkan pelbagai inisiatif lain yang menurut Najib tidak berada dalam isolasi, tetapi ia harus dibaca bersama Rancangan Malaysia Ke-11, Transformasi Nasional 2050 dan bajet-bajet tahunan yang telah dan akan dibentangkan.


Najib, dalam prakata manifesto berkenaan, menyatakan selama lima tahun lepas, berkata BN telah sedaya upaya melaksanakan Aku Janji 2013 dengan hampir 99.4 peratus dilaksanakan di sebalik negara berdepan krisis ekonomi dunia, kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit.


“Mandat akan datang adalah untuk masa depan kita. BN bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna tanpa cacat cela namun kami telah melaksanakan banyak pembaharuan dan perubahan sesuai dengan kehendak rakyat. Atas kesedaran itu, saya memohon kepada rakan warganegara yang dikasihi agar menilai prestasi kerajaan BN secara adil dan menyeluruh,” katanya.

Guna Logo PKR Untuk Kaburi Mata Rakyat Dap Kuasai Pakatan Harapan – Ismail Kijo


KUALA LUMPUR, 6 April – Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, keputusan parti pembangkang untuk menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pilihanraya umum ke 14 ini adalah bertujuan untuk mengaburi mata rakyat daripada terus melihat parti Dap yang mengepalai blok pembangkang.
Menurut beliau, setelah usaha mereka untuk menubuhkan gabungan parti pembangkang gagal ekoran masalah yang dihadapi oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), maka tidak ada cara lain untuk mereka menutup peranan Dap sebagai ketua kepada pakatan harapan selain menggunakan logo PKR untuk calon-calon pembangkang.
“Biar logo apa pun yang mereka guna pakai dalam PRU kali ini, pihak pembangkang tidak dapat menutup hakikat bahawa Dap merupakan parti yang mengepalai blok pembangkang pada kali ini. Seperti biasa, PKR merupakan parti yang dijadikan kambing hitam untuk perkara seperti ini, sama seperti mana Dap menjadi Wan Azizah sebagai kambing hitam untuk menggerakkan agenda mereka.
“Sedangkan kalau ikut kekuatan parti, PKR bukanlah satu parti yang kuat. Mereka tidak punyai kekuatan di akar umbi. Sebelum ini, PKR hanya bergantung kepada kekuatan jentera Pas dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13 lalu dan pilihanraya kecil selepas itu.
“Kini setelah PPBM terbubar, dengan sendirinya ia memperlihatkan bahawa tidak ada parti lain lagi yang menguasai blok pembangkang selain daripada Dap. Biarpun mereka cuba untuk mengaburi mata rakyat berhubung perkara ini, namun peranan Dap sebagai ketua dalam blok pembangkang tidak dapat mereka sembunyikan lagi daripada pengetahuan rakyat,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.
Bagaimanapun kata Ismail, biar logo parti mana sekalipun yang digunapakai oleh pakatan harapan untuk bertanding di dalam PRU ke 14 ini, tidak akan dapat menutup hakikat bahawa blok pembangkang itu sememangnya dikuasai oleh Dap sejak dari awal lagi.
“Kita lihat bagaimana dulu Barisan Alternatif berpecah adalah kerana sikap Dap yang mahu menguasai blok pembangkang dengan ideologi politik Malaysian Malaysia mereka itu sehingga menyebabkan Pas akhirnya bertindak keluar daripada Barisan Alternatif.
“Begitu juga dalam penubuhan kedua pakatan pembangkang iaitu Pakatan Rakyat. Sekali lagi gabungan pembangkang apabila Pas bertindak keluar daripada pakatan harapan kerana sikap Dap. Sebab itu Pas tidak mahu lagi terlibat di dalam Pakatan Harapan, kerana sudah serik dengan sikap Dap,” ujarnya.
Sementara itu, kata  Ismail lagi, penggunaan logo PKR sebenarnya sudah tidak lagi relevan memandangkan perjuangan parti tersebut yang ditubuhkan untuk menjatuhkan Tun Mahathir apabila PKR bersetuju untuk menjadi mantan Perdana Menteri itu sebagai calon Perdana Menteri Pakatan pembangkang.
“Perjuangan PKR sebenarnya sudah tidak lagi relevan sebab apabila mereka bersetuju untuk meletakkan calon Perdana Menteri mereka ialah tokoh yang mereka tentang sebelum ini dan kewujudan PKR itu sendiri sebenarnya adalah lambang penentangan terhadap Dr Mahathir.
“Jadi untuk apa lagi PKR wujud kerana tujuan asal penubuhan parti tersebut hanyalah untuk menjatuhkan Dr Mahathir dan apabila mereka bersetuju menjadikan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, ini bermakna perjuangan PKR sudah tidak lagi relevan hari ini,” tegasnya.-MediaUMNO

Manifesto BN Dokumen Lengkap Setiap Lapisan Masyarakat




KUALA LUMPUR, 8 April – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) merupakan dokumen yang komprehensif dan mengambil kira keperluan berbeza setiap segmen masyarakat di negara ini, kata pemimpin parti komponen.
Mereka berpendapat manifesto bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku” itu juga dilihat mampu memperkasa pembangunan negara untuk dimanfaatkan setiap pihak bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian berterusan.
Presiden Parti Demokratik Progresif Datuk Seri Tiong King Sing berkata aku janji yang spesifik untuk setiap negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini sekali gus membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin terhadap keperluan setiap negeri yang berbeza-beza.
“Ia adalah manifesto yang sangat baik, terbaik boleh saya katakan. Beliau memahami apa yang rakyat perlukan,” katanya.
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan manifesto tersebut sangat holistik, realistik dan berfokus kerana ia menunjukkan keprihatinan serta keterbukaan BN terhadap rakyat, dengan tawaran yang munasabah serta bertanggungjawab.
“Memastikan tiada rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 dan M40, yang akan terpinggir dalam usaha kita mengejar status negara maju. Manifesto kali ini adalah istimewa dan ia berbeza daripada manifesto BN sebelum ini,” katanya.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berpendapat ia satu manifesto yang memberikan komitmen tinggi kepada rakyat yang mempunyai banyak faktor ‘wow’.
“Kami yakin rakyat akan menerima baik lebih 300 komitmen dalam manifesto setebal 220 muka surat yang amat menyeluruh menjaga semua aspek keperluan negara,” katanya.
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam pula menyifatkan manifesto ini selaras dengan harapan rakyat dalam memastikan tiada satu kumpulan yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Pengumuman projek-projek tertentu dari Perlis hingga ke Sabah selaras dengan harapan rakyat membuktikan tiada satu pun wilayah terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Pertambahan BR1M dalam semua peringkat termasuk kaedah baharu akan mendapat penerimaan tinggi, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya.
Senada dengannya, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Perhubungan BN Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata inilah manifesto yang terbaik dan menyeluruh, mengambil kira denyut nadi rakyat termasuklah memberikan fokus dan perhatian yang khusus kepada kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, di samping lebih realistik dalam memastikan kejayaan pembangunan negara dalam fasa yang seterusnya.
“Sememangnya Hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963, sentiasa diberikan keutamaan yang tinggi oleh pucuk pimpinan negara khususnya perdana menteri sendiri, sebelum pun manifesto ini dilancarkan.
“Kita yakin bahawa penegasan perdana menteri untuk mengembalikan dan memelihara hak dan kepentingan kita dalam MA63 dan diperkuatkan lagi menerusi manifesto ini adalah bukti kesungguhan dan keikhlasan beliau kepada pemimpin dan rakyat Sabah selama ini.
“Kaedah konsensus inilah cara dan pendekatan yang kita laksanakan iaitu menerusi perundingan dan perbincangan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang banyak membuahkan hasil dan kejayaan kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan malam ini dilihat berjaya memartabatkan dan memperkasakan peranan golongan wanita dalam pembangunan negara.
Jelasnya, semenjak penubuhan BN, gabungan tersebut tidak pernah mempunyai satu manifesto yang memberikan penghormatan tertinggi kepada kaum ibu dan wanita.
“Saya mewakili kaum hawa di seluruh negara ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana meletakkan wanita di tempat yang sangat tinggi. Kesejahteraan, kebahagiaan dan kejayaan masa depan wanita menjadi aku janji utama manifesto BN,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata keputusan meletakkan agenda ibu dan wanita sebagai mukadimah utama bagi manifesto BN pada kali ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada golongan itu.
“Perdana Menteri Najib yang memulakan dengan agenda wanita meletakkan golongan tersebut sebagai keutamaan utama dan ini satu penghormatan tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden MyPPP Tan Sri M.Kayveas berkata manifesto yang ditawarkan BN merupakan satu agenda yang realistik dan boleh diimplimentasikan dan ia bukan angan-angan kosong seperti yang dibuat pihak-pihak tertentu.
“Ia satu manifesto yang menyeluruh yang merangkumi, semua golongan daripada yang baru lahir hingga yang sudah berumur,” tambahnya.
-m

Saturday, January 13, 2018

Portal therakyat.com Medan Info Sahih BN, Tangkis Putar-belit Pembangkang


KUALA LUMPUR, 3 Jan – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak malam ini melancarkan portal ‘therakyat.com’ iaitu sebuah portal yang diwujudkan sebagai portal rasmi BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Portal ini akan menjadi suara dan pemangkin segala aspirasi BN untuk mengekalkan kedudukan sebagai sebuah parti yang memerintah selain menjadi medan bagi menangkis putar-belit pembangkang.
“Kita sedar, media sosial adalah wadah utama rakyat menerima segala maklumat masa kini. Pada PRU-13 yang lalu, kita pernah menjadi mangsa sebaran maklumat palsu dan ia dijadikan satu senjata oleh pembangkang… ternyata ia membawa kesan kepada BN.
“Penyebaran maklumat kononnya kita telah mengimport pengundi Bangla, kononnya berlaku ‘black out’ walaupun hari masih siang dan kita masih boleh mengira kertas undi jika benar-benar terjadi gangguan eletrik, ada juga pemimpin pembangkang yang tweet pada pukul 4.00 pagi kononnya mereka telah menang sedangkan waktu mengundi belum bermula lagi… inilah contoh yang dilakukan oleh pembangkang dan saya percaya ia akan diulangi lagi bila tiba PRU-14 nanti.
“Sebab itu kita perlu wujudkan satu platform, satu wadah yang boleh berhubung dengan rakyat dan wadah ini mesti sahih, cepat dan tepat,” ujar beliau dalam ucapan perasmian portal tersebut di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC.
Portal therakyat.com ini juga adalah berbentuk interaktif yang membolehkan rakyat memberi pandangan serta menulis artikel malah ia juga akan mempamerkan reaksi rakyat terhadap segala usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat.
Portal ini boleh dilayari melalui lama web www.therakyat.com. – MediaUMNO

Sunday, October 8, 2017

Ramai Yang Belum Mendaftar : Kenapa Anak Muda Pasif Politik?

Friday, September 22, 2017

Pengorbanan Ketepikan Asas Kekuatan Negara – Najib

KUALA LUMPUR, 22 Sept – Pengorbanan semua pihak dengan mengetepikan perbezaan antara satu sama lain adalah asas kekuatan Malaysia yang menjadikan negara ini sebuah negara Islam progresif lagi dinamik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya keadaan itu turut didorong dengan kesatuan dan perpaduan rakyat yang menjadi aset serta azimat dalam merencana strategi membina sebuah negara bangsa yang berjati diri serta berjaya.
“Kerana, dengan adanya kesatuanlah, khususnya dalam kalangan umat Islam dan rakyat di negara ini, kita berjaya bebas daripada belenggu penjajahan kepada mencapai kemerdekaan.
“Melalui penyatuan dan permuafakatan juga, kita bukan sahaja mampu membawa rakyat negara ini keluar daripada kepompong kemiskinan kepada kemajuan, bahkan kini, sedang rancak merintis jalan kemakmuran menuju ambang negara maju berpendapatan tinggi,” katanya semasa berucap merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan tahun 1439H/2017M di sini, hari ini.
Menyentuh tentang keadaan ekonomi negara ketika ini, beliau berkata segala usaha gigih kerajaan semakin menampakkan kejayaan apabila baru-baru ini, Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua 2017 mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada kadar 5.8 peratus, yakni antara yang tertinggi di dunia.
Katanya laporan State of The Global Islamic Economy 2016/2017 oleh Thomson Reuters menunjukkan Malaysia sekali lagi menduduki tangga pertama secara keseluruhan daripada senarai 73 buah negara di dunia.
“Malah lebih mutakhir, dalam laporan sama, Malaysia bukan sahaja turut diakui sebagai ‘the best developed ecosystem for Islamic Finance in the world’ (pembangunan ekosistem kewangan Islam terbaik dunia), bahkan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) negara ini dilaporkan mempunyai Islamic Saving Plan yakni Pelan Penyimpanan Islam terbesar di dunia,” katanya.
Perdana menteri berkata Malaysia bukan sahaja dijadikan sebagai negara Islam contoh yang maju lagi progresif, bahkan diakui signifikan sebagai antara pelaku utama di arena antarabangsa.
Sebagai sebuah negara Islam, Najib berkata kerajaan akan terus menumpukan hal ehwal pembangunan dan kebajikan masyarakat melalui Projek-Projek Infra-Rakyat yang berteraskan Maqasid Syariah seperti projek Transit Aliran Massa (MRT) selain Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan-Borneo serta Kereta Api Berkelajuan Tinggi yang sedang rancak dan bakal dibina.
Selaras dengan perspektif Manhaj Maqasid Syariah, Najib berkata kerajaan hari ini, dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sentiasa mengamalkan pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai tunjang kepada tadbir urus kerajaan.
Katanya atas prinsip itu, Malaysia menolak sebarang ideologi dan fahaman ekstrem dan melampau seperti ancaman anasir Daesh, Al-Qaeda mahupun IS, juga aliran yang bersifat terlalu liberal atau longgar.
“Atas prinsip itu jugalah LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender) mesti kita tolak kerana ia tidak ada tempat dalam negara kita,” katanya.
Malaysia, katanya akan terus prihatin dan berperanan aktif terhadap isu kemanusiaan di seluruh dunia, khususnya dalam membantu saudara seakidah di Palestin dan di Wilayah Rakhine, Myanmar.
Najib turut menafikan dakwaan seorang pemimpin pembangkang yang menyatakan kononnya beliau tidak membawa isu Rohingya kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam pertemuan di White House baru-baru ini.
“Lihatlah kenyataan rasmi yang dikeluarkan White House selepas pertemuan itu, apatah lagi saksi-saksi yang begitu ramai termasuk Tokpa kita (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed) yang turut berada di sana boleh mengesahkan memang saya bawa isu Rohingya ini kepada Presiden Trump,” katanya.
Katanya hasil pertemuan itu, beliau dimaklumkan bahawa Amerika Syarikat telah meluluskan peruntukan US$32 juta untuk membantu masyarakat Rohingya di Myanmar.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata sambutan awal Muharam, tidak boleh dilihat sekadar bersifat sambutan semata-mata, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai satu hari yang signifikan, yang mengandungi hikmah serta pengajaran yang boleh diteladani.
Bertemakan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’ penganjuran sambutan Maal Hijrah itu bertujuan mengimbas peristiwa bersejarah penghijrahan Nabi Muhammad SAW dan kaum muslimin dari kota Makkah ke kota Madinah.
Bersempena sambutan kali ini, bekas Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1439H/2017M peringkat kebangsaan.
Turut hadir pada majlis itu isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta beberapa menteri kabinet.