Sunday, April 8, 2018

Manifesto BN PRU14: ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’ Ikrar Kepada Rakyat




KUALA LUMPUR, 7 April – Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyenaraikan program-program menghebatkan Malaysia untuk masa depan yang lebih cerah dengan mendahulukan rakyat serta pembangunan lebih adil dan menyeluruh dari Perlis hinggalah ke Sabah dan Sarawak. 


Manifesto bertemakan “Bersama BN Hebatkan Negaraku” yang dilancarkan Najib selaku Pengerusi BN berikrar untuk menyusun pembangunan yang menyeluruh terutama di kawasan yang dianggap terabai selama berdekad sebelum ini.


“Percayalah, undi anda untuk Barisan Nasional adalah mandat untuk kelangsungan kemakmuran, kesejahteraan dan keamaman sebuah negara kecil ini. Semoga Tuhan memberkati kita semua,” kata Najib dalam prakata Manifesto BN untuk Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilancarkan di Axiata Arena, Bukit Jalil.


Manifesto BN menawarkan 14 teras yang inklusif, komprehensif dan praktikal iaitu Utama Ibu dan Wanita; Kediaman 1Negaraku; Tiga Juta Kerja; Senyum Sabah dan Sarawak; Pengangkutan Futuristik; Perkasa Digital; Barangan Malaysia; BR1M Lebih Baharu; Dompet Rakyat; Pendidikan Sesuai Masa Depan; Hidup Sihat; Aman 1Negaraku; TN50 dan Penjagaan Kanak-Kanak Universal.


Manifesto itu menggarapkan lebih 300 tawaran bagi memenuhi keperluan segenap lapisan masyarakat mencakupi semua peringkat usia.


Antara yang menarik di bawah teras Utama Ibu dan Wanita ialah menubuhkan Majlis Ekonomi Wanita (MEW) khusus untuk agenda ekonomi wanita, menggalakkan sektor swasta membenarkan ibu mengandung pulang sejam lebih awal dan menggubal Akta Gangguan Seksual untuk melindungi golongan itu.


Menerusi teras Kediaman 1Negaraku, BN menjanjikan untuk menyediakan Skim Bantuan Sewa Perumahan Awam bagi membantu penyewa dalam kategori miskin dan orang kelainan upaya (OKU) serta membina perumahan mampu milik di tanah rizab Melayu, wakaf dan baitumal yang terbiar


Di bawah teras Senyum Sabah dan Sarawak, antara intipati menarik adalah untuk memastikan hak-hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 direalisasikan secara konsensus selain meningkatkan kualiti liputan telekomunikasi menerusi peruntukan RM2 bilion dan meluaskan liputan bekalan elektrik (RM2.3 bilion).


BN juga akan memperkenal Pas Pengangkutan Awam TN50 berharga antara RM50 – RM150 yang memberi akses perjalanan tanpa had sebulan untuk pelajar, belia bekerja, warga emas dan OKU, di bawah teras Pengangkutan Futuristik.


Di bawah BR1M Lebih Baharu, BN akan memperkenalkan bantuan sekali beri RM1,500 untuk anak-anak penerima BR1M yang mendaftar di pusat pengajian tinggi serta mewujudkan sistem maklumat bantuan Malaysia – ‘B40 Window’ bagi memastikan tiada ketirisan, keciciran atau ketidakadilan dalam pemberian bantuan tersebut.


Teras Dompet Rakyat pula menyaksikan inisiatif untuk meningkatkan gaji minimum pekerja secara berperingkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 dalam tempoh lima tahun, menurunkan had maksimum kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit dan memberikan insentif khas RM5,000 kepada setiap peneroka Felda selain melupuskan hutang penanaman semula peneroka.


Menerusi teras Hidup Sihat, BN akan menyediakan pemeriksaan kesihatan rutin tanpa syarat di klinik-klinik kesihatan kerajaan bagi anak muda, meningkatkan kadar pelepasan tahunan cukai pendapatan individu bagi kos perubatan ibu bapa dan memperkenalkan Undang-Undang Air demi menjamin akses air bersih untuk rakyat.


Selain teras-teras tersebut, manifesto itu turut menjanjikan penubuhan Jawatankuasa Menyelia Keharmonian Mahkamah Syariah dan Sivil; jawatankuasa untuk memperkasa Mahkamah Syariah; unit khas bukan Islam di Jabatan Perdana Menteri untuk mempromosi dialog kebersamaan dan persefahaman antara kaum selain meneruskan usaha menyokong kemerdekaan negara Palestin dan mengiktiraf Bailtulmuqaddis sebagai ibu negara rasmi.


Manifesto itu menawarkan pelbagai inisiatif lain yang menurut Najib tidak berada dalam isolasi, tetapi ia harus dibaca bersama Rancangan Malaysia Ke-11, Transformasi Nasional 2050 dan bajet-bajet tahunan yang telah dan akan dibentangkan.


Najib, dalam prakata manifesto berkenaan, menyatakan selama lima tahun lepas, berkata BN telah sedaya upaya melaksanakan Aku Janji 2013 dengan hampir 99.4 peratus dilaksanakan di sebalik negara berdepan krisis ekonomi dunia, kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit.


“Mandat akan datang adalah untuk masa depan kita. BN bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna tanpa cacat cela namun kami telah melaksanakan banyak pembaharuan dan perubahan sesuai dengan kehendak rakyat. Atas kesedaran itu, saya memohon kepada rakan warganegara yang dikasihi agar menilai prestasi kerajaan BN secara adil dan menyeluruh,” katanya.

No comments: