Sunday, April 8, 2018

Manifesto BN Dokumen Lengkap Setiap Lapisan Masyarakat




KUALA LUMPUR, 8 April – Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) merupakan dokumen yang komprehensif dan mengambil kira keperluan berbeza setiap segmen masyarakat di negara ini, kata pemimpin parti komponen.
Mereka berpendapat manifesto bertemakan ‘Bersama BN, Hebatkan Negaraku” itu juga dilihat mampu memperkasa pembangunan negara untuk dimanfaatkan setiap pihak bagi menjamin kesejahteraan dan keharmonian berterusan.
Presiden Parti Demokratik Progresif Datuk Seri Tiong King Sing berkata aku janji yang spesifik untuk setiap negeri merupakan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini sekali gus membuktikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak prihatin terhadap keperluan setiap negeri yang berbeza-beza.
“Ia adalah manifesto yang sangat baik, terbaik boleh saya katakan. Beliau memahami apa yang rakyat perlukan,” katanya.
Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong menyifatkan manifesto tersebut sangat holistik, realistik dan berfokus kerana ia menunjukkan keprihatinan serta keterbukaan BN terhadap rakyat, dengan tawaran yang munasabah serta bertanggungjawab.
“Memastikan tiada rakyat Malaysia, terutamanya golongan B40 dan M40, yang akan terpinggir dalam usaha kita mengejar status negara maju. Manifesto kali ini adalah istimewa dan ia berbeza daripada manifesto BN sebelum ini,” katanya.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berpendapat ia satu manifesto yang memberikan komitmen tinggi kepada rakyat yang mempunyai banyak faktor ‘wow’.
“Kami yakin rakyat akan menerima baik lebih 300 komitmen dalam manifesto setebal 220 muka surat yang amat menyeluruh menjaga semua aspek keperluan negara,” katanya.
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam pula menyifatkan manifesto ini selaras dengan harapan rakyat dalam memastikan tiada satu kumpulan yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Pengumuman projek-projek tertentu dari Perlis hingga ke Sabah selaras dengan harapan rakyat membuktikan tiada satu pun wilayah terpinggir dalam arus pembangunan negara.
“Pertambahan BR1M dalam semua peringkat termasuk kaedah baharu akan mendapat penerimaan tinggi, sekali gus meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya.
Senada dengannya, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Perhubungan BN Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata inilah manifesto yang terbaik dan menyeluruh, mengambil kira denyut nadi rakyat termasuklah memberikan fokus dan perhatian yang khusus kepada kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak, di samping lebih realistik dalam memastikan kejayaan pembangunan negara dalam fasa yang seterusnya.
“Sememangnya Hak-hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963, sentiasa diberikan keutamaan yang tinggi oleh pucuk pimpinan negara khususnya perdana menteri sendiri, sebelum pun manifesto ini dilancarkan.
“Kita yakin bahawa penegasan perdana menteri untuk mengembalikan dan memelihara hak dan kepentingan kita dalam MA63 dan diperkuatkan lagi menerusi manifesto ini adalah bukti kesungguhan dan keikhlasan beliau kepada pemimpin dan rakyat Sabah selama ini.
“Kaedah konsensus inilah cara dan pendekatan yang kita laksanakan iaitu menerusi perundingan dan perbincangan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan yang banyak membuahkan hasil dan kejayaan kepada kita,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata manifesto Barisan Nasional (BN) yang dilancarkan malam ini dilihat berjaya memartabatkan dan memperkasakan peranan golongan wanita dalam pembangunan negara.
Jelasnya, semenjak penubuhan BN, gabungan tersebut tidak pernah mempunyai satu manifesto yang memberikan penghormatan tertinggi kepada kaum ibu dan wanita.
“Saya mewakili kaum hawa di seluruh negara ingin mengucapkan jutaan terima kasih kerana meletakkan wanita di tempat yang sangat tinggi. Kesejahteraan, kebahagiaan dan kejayaan masa depan wanita menjadi aku janji utama manifesto BN,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata keputusan meletakkan agenda ibu dan wanita sebagai mukadimah utama bagi manifesto BN pada kali ini merupakan satu pengiktirafan besar kepada golongan itu.
“Perdana Menteri Najib yang memulakan dengan agenda wanita meletakkan golongan tersebut sebagai keutamaan utama dan ini satu penghormatan tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden MyPPP Tan Sri M.Kayveas berkata manifesto yang ditawarkan BN merupakan satu agenda yang realistik dan boleh diimplimentasikan dan ia bukan angan-angan kosong seperti yang dibuat pihak-pihak tertentu.
“Ia satu manifesto yang menyeluruh yang merangkumi, semua golongan daripada yang baru lahir hingga yang sudah berumur,” tambahnya.
-m

No comments: