Sunday, October 9, 2011

Jangan angkat diri, sabotaj bila tidak dipilih - PM

09/10/2011 5:33pm

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengingatkan semua ahli parti komponen Barisan Nasional (BN) supaya tidak menganggap diri sebagai calon boleh menang pilihan raya umum akan datang dan bertindak mensabotaj parti apabila tidak terpilih.

Pengerusi BN itu menegaskan bahawa calon-calon BN yang bakal diketengahkan kelak adalah calon terbaik yang mempunyai ciri-ciri boleh menang, yang dipilih selepas membuat tinjauan sistematik dan semakan terperinci.

"Kalau kita nak pastikan kemenangan, kita mesti tampilkan kriteria calon yang boleh menang dalam pilihan raya umum,” katanya pada Majlis Penerangan Perdana BN Peringkat Wilayah Persekutuan di PWTC di sini, yang dihadiri 8,000 ahli dan pemimpin BN Wilayah Persekutuan.

Najib, yang juga Presiden UMNO berkata, beliau tidak mahu melihat mana-mana parti mencipta masalah dan mewujudkan puak-puak di dalam parti atau berlaku perpecahan sesama parti komponen BN semata-mata orang pilihan itu tidak dipilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon pilihan raya umum.

"Kalau ada (calon) ditentukan orang tertentu, tapi sebaliknya kalau ada orang yang kata definisi calon boleh menang adalah saya sebagai contohnya, dan (mereka) tidak dapat terima orang lain sebagai yang terbaik.

"Maka dia akan potong trip dan lakukan perkara-perkara yang boleh jejaskan peluang calon kita untuk menang,” katanya.

Mengambil pengalaman selama 35 tahun beliau berkecimpung dalam politik, Najib berkata ini termasuk cubaan mensabotaj secara terang-terang atau secara halus, seperti yang pernah berlaku pada pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri Sarawak. - Bernama

No comments: