Monday, February 14, 2011

Salam Maulidur rasul 2011

Salam Maulidur Rasul khususnya untuk semua rakyat yang beragama Islam. Marilah bersama memperingati junjungan Nabi Muhammad s.a.w. dengan banyakkan berselawat keatasnya. Semoga kita semua diberi syafaat di akhirat kelak Insyaallah.

-Biro Agama UCBA

Fahaman Ekstrem punca ketegangan sesebuah negara- Najib

14/02/2011 4:26pm

PUTRAJAYA 14 Feb. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perbezaan agama bukan menjadi punca ketegangan di sesebuah negara, sebaliknya ia disebabkan oleh kefahaman agama yang ekstrem.

Perdana Menteri berkata, jika fahaman itu tidak ditangani, tidak kira apa jua agama, ia akan membawa kesan yang buruk kepada sesebuah negara dan manusia sejagat.

"Saya sedar ada juga ancaman dalam proses ini (mewujudkan negara yang aman), (wujud) fahaman dan pemikiran yang berbentuk ekstrem.

"Pemikiran ekstrem inilah yang mendorong saya untuk mencadangkan pembentukan Pergerakan Kesederhanaan Sedunia pada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun lalu.

"Sebab saya percaya, inilah saja jalan ke hadapan yang boleh menyelamatkan dunia bukan sahaja negara kita tetapi ketegangan di banyak tempat,” katanya pada majlis bersama pemimpin-pemimpin agama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. - Bernama

Sunday, February 13, 2011

Melayu dalam dilema besar – Dr. M


KUALA LUMPUR 12 Feb. – Orang Melayu hari ini berada dalam dilema besar apabila tidak lagi boleh bercakap mengenai kepentingan Melayu kerana akan dikatakan rasis.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, lebih malang lagi orang Melayu tidak mampu mempertahankan diri sendiri kerana lebih banyak mengalah dan mengundur diri kononnya dengan cara itu mudah untuk mendapatkan keamanan.

Malah katanya, sehingga pada satu tahap mereka tidak lagi boleh mengatakan bahawa negara ini adalah tanah air bagi orang Melayu.

Menurutnya, beliau sendiri menjadi sasaran kritikan termasuk oleh akhbar-akhbar bahasa ibunda walaupun apa yang dinyatakannya mengenai orang Melayu adalah benar.

“Kita selalunya malu alah kepada bangsa lain dan tidak berani menyebut perkara yang benar dan ini merugikan kerana kita tidak berniat untuk merampas hak mereka.

“Jika kita terus berpegang kepada nilai ini, maka kedudukan kita akan terhakis,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Simposium Dilema Melayu anjuran Persatuan Alumni Aspirasi Semalaysia (Aspirasi) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dan Presiden Aspirasi, Mohd. Shahar Abdullah.

Dr. Mahathir berkata, dilema yang dihadapi itu berpunca daripada sikap orang Melayu sendiri yang tidak menggunakan peluang yang ada untuk mencapai kemajuan.

Beliau memberi contoh, sekiranya orang Melayu benar-benar menggunakan peluang daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB), kedudukan ekonomi mereka sebenarnya boleh melebihi 30 peratus seperti yang diperuntukkan.

Tambahnya, orang Melayu juga terlalu mengikut nafsu sehingga ada yang sanggup memecahbelahkan kaum sendiri dan menggadai maruah bangsa semata-mata sikap tamak dan gila untuk berkuasa.

Keadaan itu kata beliau, menyebabkan orang Melayu menjadi lemah dan terpaksa bergantung kepada kaum minoriti walaupun pada hakikatnya Melayu merupakan kaum majoriti di negara ini.

“Apabila orang Melayu mula bergantung kepada kaum minoriti, maka kita terpaksa menyerahkan apa yang sepatutnya menjadi hak orang Melayu. Inilah sebenarnya dilema kita,” katanya.

Dr. Mahathir menambah, sekiranya orang Melayu tidak sanggup menukar nilai hidup yang dipegang ketika ini, mereka tidak mungkin mencapai apa jua matlamat dan menjadi bangsa termundur di negara ini.

Kerana itu kata beliau, untuk menjadi ‘tuan’ dalam erti kata sebenar, orang Melayu perlu menukar nilai hidup yang tidak sesuai dengan kemajuan, menguasai ilmu dan kemahiran serta berkuasa dari sudut ekonomi.

AL-FATIHAH

TEMERLOH 12 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 64, meninggal dunia kira-kira pukul 6.30 petang ini setelah terjatuh di dalam bilik air di rumahnya di Kerdau, dekat sini.

Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Ismail Mohamed ketika dihubungi mengesahkan mengenai kematian wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu dan jenazah Allahyarham telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hosas) di sini.

Menurutnya, beliau menerima panggilan telefon yang memaklumkan Allahyarham terjatuh di bilik air selepas mengadu sakit perut kepada pembantunya.

"Jenazah akan dikebumikan selepas solat Zuhur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Karam, Kerdau dekat sini," katanya.

Mingguan Malaysia difahamkan, sebelum kejadian itu, Zaharuddin sedang bersiap menghadiri satu majlis yang akan diadakan malam ini di kawasannya sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Allahyarham kemudian mengadu sakit perut kepada pembantunya lalu dibawa ke bilik air dan sejurus kemudian menjerit kerana terjatuh di situ.

Zaharuddin meninggalkan seorang balu iaitu guru Kelas Asas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), Rozlifah Ahmad, 33, yang dikahwininya pada Oktober tahun lalu.

Pada Mei tahun lalu, ADUN Kerdau itu dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani rawatan akibat komplikasi jantung. Kesihatannya kembali pulih selepas menjalani pembedahan jantung di IJN.

Allahyarham kemudian sekali lagi dimasukkan ke Hosas bagi menjalani rawatan akibat tekanan darah tidak stabil pada November lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12), Zaharuddin menewaskan calon Pas, Hasanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

Tuesday, February 8, 2011

PM bertemu ketua-ketua UMNO Bahagian Sabtu ini


08/02/2011 5:20pm

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dijadual mengadakan pertemuan dengan ketua 191 UMNO Bahagian Sabtu ini untuk mendapatkan maklum balas dan menyelesaikan isu-isu tertangguh, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, hari ini.

Najib akan bertemu ketua bahagian berkenaan secara individu di ibu pejabat parti di Menara Tun Hussein Onn, katanya dan menurutnya perkara itu adalah sebahagian Program Transformasi Politik (PTP).

"Pertemuan itu adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi Politik. Ia bermula (pertemuan beliau) dengan anggota Parlimen (dari Barisan Nasional), kemudian wakil rakyat negeri Sarawak dan kini ketua-ketua UMNO bahagian.

"Pertemuan pada Sabtu ini sepatutnya disusuli dengan pertemuan dengan wakil rakyat dari Semenanjung Malaysia pada Ahad tetapi pertemuan pada Ahad telah ditunda,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Tengku Adnan berkata selepas pertemuan dengan ketua-ketua UMNO bahagian itu, termasuk dari Sabah, satu pertemuan sedang dirancang bagi semua wakil rakyat BN di Sabah dan dengan semua wakil rakyat di Semenanjung. - Bernama

Monday, January 31, 2011

Keputusan rasmi: BN menang di Tenang dengan majoriti 3,707

30/01/2011 10:11pm

LABIS 30 Jan. – Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor apabila calonnya, Mohd Azahar Ibrahim mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman dengan majoriti 3,707 undi.

Mohd Azahar memperoleh 6,699 undi, manakala Normala 2,992 undi.

Keputusan penuh:

N05: TENANG, JOHOR

Jumlah pengundi: 14,753

KEPUTUSAN:

Normala Sudirman (Pas) 2,992 undi

Mohd Azahar Ibrahim (BN) 6,699 undi

Jumlah mengundi 9,833 pengundi

Peratus mengundi 67 peratus

Undi rosak 142 undi

Majoriti 3,707 undi

Penyandang: Sulaiman Taha (BN)

Undi diperolehi: 6,367

Majoriti: 2,492 – Bernama

Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada jentera cawangan yang secara langsung atau tidak yang telah menyumbang tenaga dan masa bagi memastikan kemenangan berpihak pada Barisan Nasional di DUN Tenang. Semoga ianya menjadi satu semangat baru untuk kita semua.

-UCBA-

Thursday, January 20, 2011

Azahar Ibrahim calon BN Tenang

LABIS 19 Jan. - Penolong Pegawai Daerah Kecil Rengit, Mohd. Azahar Ibrahim dipilih sebagai calon bagi menggalas cabaran Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan pemimpin dan penyokong BN di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Labis di sini petang ini.

Mohd. Azahar, 39, yang dilahirkan di Labis dan anak kepada bekas ADUN Tenang, Allahyarham Ibrahim Daud bergiat aktif dalam beberapa pertubuhan belia tempatan.

Beliau akan menentang Ketua Muslimat Pas Labis, Normala Sudirman, 39, yang dipilih parti itu sebagai calonnya.

Muhyiddin pada sidang akhbar selepas itu memberitahu, Mohd. Azahar diletakkan sebagai calon setelah diputuskan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil kira kriteria-kriteria seorang pemimpin yang mampu melaksanakan amanah dengan baik.

Beliau yakin pemuda itu akan menjadi calon yang disenangi para pengundi.

Menurutnya, calon itu yang merupakan anak jati Labis merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi di kalangan masyarakat setempat dan prihatin mengenai keperluan pembangunan di kawasan itu.

"Mengambil kira semua faktor positif, saya kira calon BN yang ditampilkan ini akan diterima baik oleh para pengundi dan disenangi ramai kerana beliau bukan orang asing di sini dan saya dimaklumkan semua kepimpinan (BN) di Labis akan memberi sokongan.

"Saya memohon sokongan para pengundi di Tenang, tidak kira orang Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Saya kira pada usia 39 tahun, beliau banyak tenaga dan boleh bergerak ke semua kawasan," katanya.

Beliau seterusnya meminta para pimpinan jentera BN untuk bekerja dengan rapat kerana tempoh masa lapan hari kempen adalah tidak panjang dan memerlukan kerjasama serta pelaksanaan tugas oleh semua pihak.

Muhyiddin turut mengingatkan jentera parti agar tidak memandang mudah cabaran pembangkang dan bekerja bermati-matian untuk memastikan kemenangan BN.

Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha, 59, daripada BN pada 17 Disember lepas.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Sulaiman menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran dengan kelebihan 2,492 undi.

DUN Tenang mempunyai 14,753 pengundi berdaftar terdiri 7,014 Melayu, 5,766 Cina, 1,780 India dan selebihnya kaum lain.