Saturday, December 1, 2012

Perhimpunan Agong UMNO 2012


Kami mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peringkat kepimpinan pusat, negeri dan para perwakilan yang telah bersidang di Perhimpunan Agong UMNO bagi tahun 2012 yang cukup baik dari segi pengisian dan persiapannya. Semoga Allah swt merahmati perjuangan kita semua dalam menegakkan Agama Bangsa dan Negara. Salam Perjuangan dari kami UMNO Cawangan Bukit Ampang.

Saturday, November 17, 2012

Agen pembangkang dalam Kerajaan tidak tahu bersyukur


Masa bekerja dengan kerajaan Barisan Nasional (BN), itulah syurga bagi diri mereka dan memuji tinggi melangit terhadap segala dasar dan pelaksanaan yang dibuat.


Tetapi pelik, apabila keluar daripada perkhidmatan kerajaan dan bersara, rupanya segelintir manusia bertopeng ini hanya menunggu masa untuk menjadi wira kepada rakyat, kononnya apa yang dibuat oleh kerajaan yang memberikan rezeki kepada keluarga mereka dahulu, semuanya salah dan tidak betul.

Maka dalam hal ini, benarlah kata negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bahawa Melayu itu mudah lupa dan atas sebab itulah jugalah, kerajaan yang ada pada hari ini pun, harus mengenali hati budi kakitangan mereka sama ada tulen menyokong kerajaan atau hebat dalam lakonan dan sandiwara di pentas berbeza.

Sebab itulah dalam banyak ulasan yang dibuat sebelum ini, memperakui bahawa wujud ideologi pembangkang yang menjadi agen termasuk dalam agensi dalamnya kerana ia bukan lagi satu rahsia, tetapi ada yang melakukannya secara terang-terangan.

Golongan berperangai brutus dan trojan senyap ini ada yang tanpa segan silu lagi sudah berani berteriak mendokong prinsip dan perjuangan pembangkang walaupun mereka masih menerima gaji, elaun dan segala kemudahan disediakan oleh kerajaan yang memacu negara pada hari ini.

Ini tidak termasuk lagi kepada mereka yang menerima pencen kerajaan, tetapi menyokong pembangkang.

Memanglah untuk mencari mereka satu persatu yang sedang berkhidmat dalam kerajaan ini bukan perkara mudah dan memakan masa yang lama sedangkan tarikh pilihan raya umum ke-13 boleh diumumkan pada bila-bila masa.

Adalah dipercayai manusia gunting dalam lipatan ini disedari secara total oleh kerajaan BN di negeri ini, di mana merupakan virus yang sedang memamah struktur kukuh sesebuah kerajaan, jika dibiarkan terus mengamuk dalam senyap.

Malanglah, segelintir kakitangan kerajaan dan mereka yang telah berpencen ini kalau tidak tahu menilai nikmat syukur yang dikurniakan oleh Allah SWT, di mana anak kita membesar, kehidupan selesa, mudah mengerjakan ibadat tanpa gangguan dipersia-siakan hanya kerana percaya kepada cerita hasutan dan mengadu domba.

Apa yang menjadi masalah pada hari ini ialah trojan atau pahlawan senyap yang pernah bekerja dengan kerajaan dan punyai pelbagai maklumat dalaman, membina kuasa di luar dengan melihat kelemahan sesebuah agensi kerajaan itu sebagai medan untuk melancarkan peperangan baru.

Dalam hal ini, kita amat bersimpati dengan mereka yang setia kepada kerajaan BN kerana perlu menangkis setiap serangan yang dibuat oleh manusia talam dua muka ini yang menyebabkan segala perkara yang dahulunya disimpan sebagai rahsia, kini dibuka pekung untuk menagih sokongan rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Jelas pada hari ini bahawa masalah kakitangan kerajaan yang menyokong dan bergiat aktif sama ada secara langsung atau pun tidak dengan parti politik pembangkang, sebenarnya ia memuncak ke tahap kronik, yang bukan sekadar pembedahan biasa tetapi mampu membubarkan kerajaan BN keseluruhannya, jika tidak dibendung segera.

Percaya atau tidak, cubalah anda ke pejabat kerajaan, mahupun di kafetaria atau dewan menunggu, segelintir daripada mereka lebih gemar bercerita tentang politik negara sehingga berangan segalanya akan datang sujud di kaki sekiranya pentadbiran negara ini bertukar tangan berbanding menjalankan tanggungjawab yang dipikul untuk memajukan negara.

Maka, perhatikanlah di sekeliling anda apa yang sedang mereka ceritakan dan dengarlah, tentu ada di antara mereka akan bercakap bila lagi ada ceramah politik, siapa yang datang, apa isu baru, kutuk mengutuk dan kalau aku jadi calon, aku akan buat itu dan ini.

Apa pun, kepada segelintir mereka telah meninggalkan perkhidmatan kerajaan, hentikanlah perbuatan memburuk-burukkan kerajaan BN ini kerana anak dan keluarga kita membesar dan makan hasil daripada wang gaji yang telah kita terima semasa berkhidmat dahulu.

Mungkin negara ini terlalu berlembut sebelum ini kerana sangat menyimpan kakitangannya sekalipun mereka merupakan pekerja yang paling pemalas di dunia serta gemar bercerita tentang keburukan bersama rakannya tanpa mengira setiap sen pendapatannya itu adalah amanah yang Allah SWT berikan untuk kerja kebaikan.

Suara Politik

Belantan

Monday, October 15, 2012

Hudud-Aqidah-Assobiyah-Khawarij-Ilmu oleh Ustaz Fathul Bari


Terdapat banyak bahagian video (part 1-5) untuk anda saksikan bagi memahami dengan lebih mendalam perkara yang dibangkitkan....Carilah bahagian2 video ini untuk sama-sama kita menimba ilmu.....Fikir-fikirkanlah....

Thursday, October 4, 2012

Sokong Islam Anda Selamat

Sunday, August 19, 2012

Perutusan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Abd Razak Perdana Menteri Malaysia Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2012



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil Hamd

1. Alhamdullilah dengan izin dan limpah rahmat Allah SWT, umat Islam Malaysia sekali lagi dapat menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia setelah sebulan kita berjihad untuk melawan hawa nafsu.

2. Sesungguhnya ibadat puasa telah mendidik kita bukan sahaja untuk mengekang hawa nafsu tetapi juga untuk lebih prihatin terhadap nasib mereka yang dilanda ketidakcukupan serta kesempitan hidup.

3. Saya selalu menyatakan bahawa umat Islam di Malaysia bertuah kerana dapat hidup di dalam negara yang berjaya. Kita perlu menyedari bahawa ini bukanlah kelaziman yang menjadi kebiasaan negara-negara di dunia. Hari ini kita dapat menyaksikan bagaimana kemelut politik melanda negara-negara di benua Asia dan Afrika, kita dapat menyaksikan bagaimana negara-negara di benua Eropah dan Amerika yang dianggap sebagai negara maju pun ditimpa krisis ekonomi yang kronik akibat kegagalan mengurus negara dengan baik.

4. Kita juga telah menyaksikan kegagalan ini telah memberi kesan yang buruk kepada kesejahteraan rakyat mereka apabila kadar pengangguran semakin meningkat, penciptaan peluang pekerjaan yang tidak mencukupi serta pertumbuhan yang rendah telah menyebabkan taraf dan kualiti hidup rakyat merudum.

5. Di tengah-tengah semua kekusutan ini, negara tercinta Malaysia telah mencipta kejayaan demi kejayaan. Kita berjaya kerana sebagai sebuah negara majmuk kita dirahmati dengan perpaduan nasional, kita mempunyai tradisi meraikan kepelbagaian agama, budaya dan bahasa, kepelbagaian yang di negara lain menjadi punca perpecahan di negara ini menjadi pemangkin kemajuan. Hakikatnya, kita hidup di dalam sebuah negara di mana keamanan, keikraman dan kemakmuran merupakan realiti nasional bukan semata-mata harapan apatah lagi impian indah.

6. Hakikatnya, kejayaan Malaysia dimungkinkan doa oleh semua rakyat Malaysia. Ia disulami ikhtiar nasional yang berteraskan perancangan yang inovatif, pelaksanaan yang cekap, tadbir urus yang baik, kreativiti yang tinggi, produktiviti yang terus meningkat serta daya saing nasional yang sentiasa diasah.

7. Kerajaan komited untuk meneruskan cerita kejayaan nasional ini, namun ia tidak mungkin berterusan tanpa sokongan dan dokongan padu semua rakyat Malaysia. Ia berkehendakkan ijmak nasional yang berterusan bagi kerajaan hari ini untuk merealisasikan matlamat membawa Malaysia ke arah status sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

8.Kerajaan menyedari bahawa sebuah Malaysia maju perlulah juga sebuah Malaysia yang selamat dan sejahtera. Kita mahukan sebuah Malaysia yang aman dari ancaman luaran dan dalaman, sebuah Malaysia yang mana kawasan kejiranan dan jalan-jalannya bebas dari jenayah. Sebuah negara di mana rakyatnya merasa aman dan selamat. Kesimpulannya sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia.

9. Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu mengubah sikap dan melabur secara mapan bagi mempunyai mind set yang betul serta menyediakan prasarana keselamatan yang lebih ampuh. Sehubungan dengan itu, Kerajaan akan memastikan agensi-agensi yang bertanggungjawab akan lebih berkesan untuk menangani cabaran mencegah jenayah era mutakhir. Kita menyedari usaha ini memerlukan kaedah pencegahan jenayah yang baru, ia memerlukan kepimpinan yang dinamik, akauntabiliti yang tinggi, struktur organisasi yang lebih sesuai, latihan yang lebih relevan serta peralatan yang moden.

10. Namun, kita juga perlu menginsafi bahawa kesejahteraan dan keselamatan tidak datang bergolek. Ia memerlukan pendekatan yang bersepadu, ia memerlukan rakyat Malaysia yang lebih prihatin dan peduli. Kita perlu menjadi masyarakat yang lebih prihatin dan peduli kepada keluarga kita, kepada jiran-jiran kita, kepada rakan-rakan kita dan kepada rakyat Malaysia seluruhnya. Kita tidak boleh menyerahkan bulat-bulat tanggungjawab memerangi jenayah kepada pihak berkuasa tanpa sumbangan kita sebagai rakyat yang prihatin. Jika kita membiarkan jenayah berlaku tanpa tindakan, kita sebenarnya akan hanya menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan bersama.

11. Sempena hari dan bulan yang penuh kemuliaan ini, marilah kita mengingati pengorbanan yang telah dan sedang dilakukan oleh anggota-anggota keselamatan bagi membolehkan kita hidup di dalam negara yang aman dan makmur. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati mereka, keluarga mereka dan semua rakyat Malaysia.

12. Akhir kata, sempena Aidilfitri ini teruskan tradisi rumah terbuka yang menjadi amalan tradisi kita selama ini. Bukalah seluas-luasnya pintu rumah kita serta pintu hati kita untuk rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama di hari yang mulia ini.

13. Pada kesempatan ini, saya ingin menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri dan keluarga di atas apa-apa yang terkhilaf. Saya berdoa kepada Alllah SWT supaya semua umat Islam dapat menyambut perayaan ini dengan penuh kegembiraaan dan kesyukuran di samping mereka yang tersayang.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillah hil Hamd

WabillAahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan terima kasih.

Monday, July 23, 2012

Selamat Hari Lahir PM Dato Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Kami kepimpinan peringkat UMNO cawangan Bukit Ampang mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke 59 kepada Dato Seri Najib Tun Haji Abdul Razak pada hari ini 23 Julai 2012. Semoga Allah swt kurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan dipermudahkan urusan harian sempena Hari Lahir Dato Seri yang jatuh pada bulan Ramadhan yang penuh barakah dan maghfirah. Amien.

Saturday, July 21, 2012

Selamat Berpuasa di Bulan Ramadhan


Kami mengucapkan Selamat berpuasa kepada semua peringkat kepimpinan tertinggi pusat, bahagian dan cawangan UMNO khususnya kepada ahli cawangan dan masyarakat beragama Islam di kawasan Bukit Ampang. Semoga kita mendapat maghrifah dan rahmat dari Allah swt sepanjang Ramadhan yang penuh barakah ini. Amien.

Penawar hati di bulan Ramadhan seperti di bawah :

Puasa Ramadhan merupakan salah satu ibadah wajib umat islam yang harus dilaksanakan. Beberapa hadis puasa menjadi pegangan sekaligus rujukan tentang bagaimana menjalankan ibadah ramadhan dengan khusuk dan benar. Nabi Muhammad SAW selalu menyambut bulan Ramadhan dengan bahagia. Baginda menyampaikan beberapa hadis mengenai puasa ramadhan:
  • Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d. yang maknanya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya”.
  • Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Hakim, daripada Ibn Umar, yang maknanya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak”.
  • Hadis riwayat al-Baghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat, yang maknanya: “Satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang”.
  • Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, yang maknanya: “Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa”.
  • Hadist riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Sa`id, yang maknanya: “Siapa yang berpuasa sehari semata-mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahannam selama 70 tahun”.
  • Hadist riwayat Ibn Mandah di dalam `Amali, daripada Ibn Umar dan al-Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa, yang maknanya: “Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
  • Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, yang maknanya: “Apabila datangnya Ramadhan nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan”.
  • Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim, begitu juga dengan Ashab al-Sunan, yang maknanya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu”.

Selamat beribadah dan berpuasa. Semoga kita semua diberikan kemudahan, rahmat, maghfirah dan keberkatan di bulan ini.