Tuesday, May 24, 2011

PM sampai amanat penting kepada belia Sabtu ini


2011/05/24

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan menyampaikan amanat dan pengumuman penting kepada sejuta belia yang akan berhimpun pada jam 5 petang Sabtu ini sempena Sambutan Hari Belia 2011 di Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata amanat dan pengumuman itu pastinya memberi inspirasi dan pedoman kepada belia yang juga kumpulan terbesar dan terpenting di negara ini.
"Beberapa amanat dan pengumuman penting akan dibuat oleh Perdana Menteri. Saya pun tidak tahu, saya pun tertunggu-tunggu apa yang akan diumumkan," katanya.
Ahmad Shabery bercakap kepada pemberita selepas meninjau persediaan akhir sambutan Hari Belia yang bermula 27 hingga 29 Mei bersama kumpulan media dan pegawai kementerian dengan menaiki dua bas di sini, hari ini.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, beliau berpuas hati dengan persiapan akhir lebih 200 acara menarik membabitkan 80 pertandingan, 93 kerohanian serta keilmuan dan baki persembahan serta pertunjukan.

"Saya berpuas hati dengan persiapan sehingga sekarang dan kita lihat Putrajaya sedang berubah wajahnya dan ia memberi getaran baru membayangkan kekuatan tenaga orang muda yang akan berhimpun di sini," katanya.

Kira-kira sejuta pengunjung dijangka menghadiri sambutan Hari Belia 2011 bertemakan "Seribu Keriangan dan Sejuta Peluang" dari 27 hingga 29 Mei di Putrajaya berbanding 250,000 orang tahun lalu.
Sambutan tiga hari itu turut menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, perniagaan, keusahawanan, kewangan, perbankan dan bimbingan daripada teknorat serta pihak korporat.

Sebanyak 17 negara iaitu Asean+3 dan Negara Komanwel di Asia turut serta dalam sambutan itu dengan mempamerkan produk mereka.

Antara persembahan yang pastinya menarik golongan muda ialah kumpulan artis muda Korea, Super Junior, pertandingan Futsal, Cyber Games, Youth Got Talent, Animax Cosplay Rulez, G.I.G Dance, Cabaran Parkour, Pertandingan Inline Skating, YoyoSkeel Central Yoyo Contest, Skyrunner, Street Party, Sasuke Jaguh 1 Malaysia dan Karnival Jom Heboh.

Maklumat lanjut dan terkini berkaitan sambutan itu boleh didapati di Sekretariat Hari Belia Negara di talian 03-8871 3626/3632 atau layari laman web "www.haribelianegara.org.my atau www.kbs.gov.my. - BERNAMA

RENTETAN KEJADIAN TANAH RUNTUH

PM arah tinjau rumah dibina atas tanah pertanian

24/05/2011 2:46pm

KUALA LUMPUR 24 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu tinjauan menyeluruh dilakukan terhadap bangunan dan rumah yang dibina di atas tanah berstatus pertanian bagi meninjau kemungkinan tanah berkenaan terdedah kepada risiko tanah runtuh.

Ini kerana bangunan dan rumah yang dibina di atas tanah pertanian terdedah kepada risiko tanah runtuh jika mereka gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan, katanya.

Mengikut Kanun Tanah Negara, rumah boleh dibina di atas tanah berstatus pertanian tetapi ia harus mengikut garis panduan ditetapkan, katanya. - Bernama


Kerajaan Pusat sedia bina semula Rumah Yatim Al-Taqwa

24/05/2011 1:28pm

KUALA LUMPUR 24 Mei – Kerajaan Pusat bersedia membina semula Rumah Anak-Anak Yatim Al-Taqwa yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Sabtu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia akan dilakukan dengan kerjasama Kerajaan Selangor, terutama dalam hal penyediaan tanah bagi lokasi baru rumah tersebut.

"Di samping itu, kita (Kerajaan Pusat) juga mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin mewakafkan tanah mereka bagi untuk pembinaan itu," katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, dekat sini hari ini. – Utusan

Yayasan TSMCG hulur RM50,000 bantu mangsa tragedi tanah runtuh

KUALA LUMPUR 22 Mei - Yayasan Golf Amal Tan Sri Muhyiddin (TSMCG) menyumbangkan RM50,000 kepada Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat berikutan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 16 penghuninya, semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan tersebut sebagai tanda simpati yayasan yang dipengerusikannya itu kepada semua mangsa tragedi tersebut.

Jelas beliau, kejadian pada pukul 2.30 petang itu cukup menyayat hati apabila kebanyakan korban merupakan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

''Saya sempat meluangkan masa melawat lokasi kejadian pada pukul 11 malam tadi selepas menghadiri satu acara di ibu negara.

''Di tempat kejadian, saya melihat keadaan mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tersebut.

''Ia cukup menyayat hati,'' katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan golf Patron's Cup 2011 anjuran yayasan itu di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Muhyiddin berkata, selain sumbangan itu serta badan kebajikan lain, Kerajaan Pusat sendiri akan memastikan segala keperluan untuk keluarga mangsa dan rumah kebajikan itu diurus secara baik.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, yayasan tersebut akan membina sebuah pusat dialisis yang dijangka beroperasi pada 2012.

''Ia bukanlah sekadar badan kebajikan yang mempunyai nama Muhyiddin Yassin. Kita akan bergerak menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukannya.

''Selain pusat dialisis, kita berharap akan dapat mengumpul banyak dana untuk mengembangkan bentuk sumbangan dan bantuan lain,'' katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan yayasan sebanyak RM100,000 kepada beberapa pihak yang memerlukan bantuan.

Antara penerimanya pelakon veteran, Karim Latiff, 75, yang menghidap kencing manis serta darah tinggi dan pesakit kanak-kanak, Nur Amira Batrisya Abdullah, 3, yang memerlukan bantuan untuk menjalani pembedahan akibat penyakit jantung yang serius.


YKN salur bantuan segera


KUALA LUMPUR 23 Mei – Kesemua mangsa yang selamat dalam tragedi tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat kelmarin, akan menerima sumbangan ihsan sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, sumbangan itu akan disalurkan melalui Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dalam masa terdekat.

Menurut beliau, pihaknya turut menawarkan tempat perlindungan kepada mangsa yang hilang tempat perlindungan di Pusat Perkembangan Kemahiran di Serendah, Selangor.

Pihaknya juga, kata beliau, akan memberi tumpuan pada proses pemulihan dan khidmat kaunseling kepada semua yang terlibat terutamanya dua mangsa yang kehilangan sebelah kaki.

“Sokongan dan motivasi amat penting terutamanya kepada dua mangsa yang dipotong kaki untuk memberi kekuatan kepada mereka meneruskan kehidupan,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat sembilan mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Ampang, di sini hari ini.

Shahrizat menambah, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang turut melawat mangsa kejadian di hospital itu berjanji untuk menyumbangkan kaki palsu kepada dua mangsa yang kehilangan kaki.

Diminta mengulas status pendaftaran rumah anak yatim itu, Shahrizat berkata, perkara itu akan diperbincangkan minggu depan.

“Saya tidak mahu mendedahkan apa-apa berhubung isu itu sekarang. Tunggu minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Hospital Ampang, Datin Dr. Aishah Ahmad Makinuddin berkata, setakat hari ini, tiga mangsa termasuk dua daripada mereka yang dipotong sebelah kaki masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kesemua mangsa itu dalam keadaan stabil.

Sementara itu, enam lagi mangsa, katanya, telah ditempatkan di wad biasa.


KE MANA HILANGNYA KERAJAAN NEGERI SELANGOR!!!!

PM, isteri luang masa lawat tapak tragedi tanah runtuh

24/05/2011 12:57pm

KUALA LUMPUR 24 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor meluangkan masa melawat tapak kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa di Hulu Langat dekat sini hari ini.

Mereka, yang tiba di tanah air selepas pulang dari lawatan ke Amerika Syarikat, dan disertai dua anak mereka terus bertolak ke lokasi kejadian selepas mendarat di lapangan terbang Subang pagi tadi. – Utusan

Saturday, May 21, 2011

Johns Hopkins kelas pertama

WASHINGTON 20 Mei - Pembukaan institusi pengajian dan penyelidikan perubatan Universiti Johns Hopkins di Malaysia pada September ini dijangka mendapat sambutan hebat di rantau itu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, institut yang akan ditubuhkan di Serdang itu dijangka menarik penuntut bukan saja dari negara-negara di rantau itu, tetapi juga dari Timur Tengah dan benua kecil India.

"Saya yakin program perubatan Johns Hopkins ini akan menjadi satu tarikan luar biasa," katanya pada majlis sempena penubuhan Institut Pendidikan Perubatan Antarabangsa Johns Hopkins Dr. Mohan Swami di Universiti Johns Hopkins di Baltimore, Maryland, kira-kira satu jam perjalanan dari sini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, ahli perniagaan Malaysia, Tan Sri Mohan Swami dan ketua pegawai eksekutif universiti itu, Edward D. Miller.

Program perubatan Johns Hopkins itu adalah hasil kerjasama dengan Universiti Perdana yang menawarkan hospital pengajian swasta yang mempunyai kemudahan perubatan kelas pertama. Ia akan dibina di Serdang oleh kumpulan Chase Perdana yang diterajui oleh Mohan.

Najib berkata, beliau gembira kerana hospital itu akan mempunyai tenaga kerja bukan sahaja dari Baltimore, tetapi juga dari seluruh dunia.

Perdana Menteri menambah, pentadbiran beliau telah merangka pelan untuk mencari dan menggalakkan rakyat Malaysia yang bekerja di seberang laut untuk pulang berkhidmat di Malaysia, dan pada masa yang sama, meningkatkan usaha ke arah latihan kemahiran.

"Inilah sebabnya saya secara peribadi amat teruja dengan perkongsian ini," katanya.

Johns Hopkins terkenal kerana merintis pelbagai hasil bidang perubatan antaranya penggunaan sarung tangan getah untuk pembedahan.

"Ini telah memberi kesan positif kepada industri getah di Malaysia yang kini merupakan pengeluar dan pengeksport terbesar sarung tangan getah untuk perubatan," kata Najib.

Beliau berkata, penubuhan kampus itu di Malaysia akan mendorong lebih ramai graduan terbaik dari universiti-universiti di Malaysia untuk kekal di negara sendiri, kerana mereka kini berpeluang mengikuti pengajian dari sekolah perubatan terbaik di dunia dan juga menjalankan penyelidikan klinikal lanjutan tanpa perlu ke luar negara.

Mohan pula berkata, pengambilan pertama 100 penuntut adalah pada September ini dan mereka akan ditempatkan di kampus sementara berdekatan ibu pejabat Mardi sehingga kampus tetap siap pada 2013.

"Kita akan mengambil 75 penuntut dari Malaysia. Seramai 50 pemegang biasa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) dijangka belajar di universiti kami," kata Mohan yang juga Canselor pertama Universiti HIHT di India pada 2008.

Katanya, kos keseluruhan program itu, termasuk membina hospital pengajian yang mempunyai 600 katil, adalah sekitar RM2.4 bilion.

Universiti Perdana, yang menawarkan program ijazah sarjana mulai tahun depan, akan dibina di satu kawasan seluas 52 hektar di Serdang.

Ia dibiayai sepenuhnya oleh Chase Perdana dan Turiya Berhad, sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang juga diterajui oleh Mohan. — BERNAMA

Firma AS labur AS$5-$6 bilion di Malaysia - PM

19/05/2011 10:47am

NEW YORK 19 Mei - Beberapa firma multinasional Amerika Syarikat akan melabur antara AS$5 bilion dan AS$6 bilion di Malaysia dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pelaburan berkenaan akan melibatkan sektor elektronik lanjutan, tenaga yang boleh diperbaharui, minyak dan gas, teknologi maklumat dan komunikasi, penjagaan kesihatan, farmaseutikal serta perkhidmatan.

Malah, beliau berkata, Motorola yang telah beroperasi di Malaysia sejak 37 tahun lepas dengan 7,000 pekerja, akan melabur kira-kira RM4 bilion bagi menubuhkan Pusat Kecemerlangan Global di kilangnya di Pulau Pinang bagi menyediakan sokongan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Asia Pasifik.

"Ini merupakan satu pencapaian besar... mereka berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan kerajaan Persekutuan. Mereka kini terlibat dalam sistem teknikal untuk Polis Diraja Malaysia,” kata beliau kepada wartawan Malaysia hari ini pada hari kedua lawatan kerja beliau ke New York.

Najib akan melawat Johns Hopkins University di Washington hari ini. - Bernama

Saturday, May 14, 2011

Petronas bangunkan RAPID RM60b

KUALA LUMPUR 13 Mei – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan membangunkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bernilai AS$20 bilion (RM60 bilion).

Projek yang dibangunkan di Pengerang, Johor dan dijadual siap pada 2016 itu bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat dagangan bersepadu minyak, gas dan petrokimia bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek tersebut membabitkan pembinaan loji penapisan minyak mentah dengan kapasiti 300,000 tong sehari untuk menghasilkan gasolin, minyak jet dan diesel serta menawarkan peluang eksport diesel spesifikasi Euro-4 dan Euro-5.

Kilang itu juga mempunyai peretak naphtha (pecahan komponen) dengan kapasiti pengeluaran tiga juta tan ethylene, propylene, selain olefin C4 dan C5.

Menurut beliau, RAPID juga membabitkan pembangunan petrokimia bersama dengan syarikat kimia bertaraf dunia.

Najib berkata, projek itu bakal menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan swasta dalam jumlah yang besar serta memperluaskan lagi akses negara kepada teknologi bertaraf dunia.

‘‘Komitmen ini merupakan satu pengembangan Petronas dalam keupayaan pengeluaran hiliran menunjukkan keupayaan syarikat ini untuk meneroka peluang dalam pasaran kimia dan tenaga yang dinamik.

‘‘Saya gembira usaha ini akan mengukuhkan dan membantu keupayaan kepelbagaian eksport negara,’’ katanya ketika membuat pengumuman projek itu di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Perdana Menteri berkata, pengeluaran produk minyak dan gas yang akan dihasilkan di RAPID akan mengatasi pengeluaran di Melaka dan Kerteh.

Malah, pembangunan petrokimianya pula lebih tinggi berbanding di Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng dan Kerteh.

Sambil melahirkan rasa bangga terhadap projek itu, Najib berkata, pembangunan RAPID bukan sahaja mencipta satu lagi sejarah bagi Petronas tetapi pembangunan industri di Malaysia.

Najib menambah, RAPID juga akan membuka sebanyak 4,000 peluang pekerjaan bagi profesional dan pekerja berkemahiran tinggi khusus dalam bidang minyak dan gas.

‘‘Di samping itu, sebanyak 20,000 lagi peluang pekerjaan akan tersedia sepanjang proses pembinaan projek ini, tidak termasuk impak-impak ekonomi lain daripada projek berkenaan,” kata beliau.

Najib berkata, Petronas juga akan menilai kajian kebolehlaksanaan Terminal Pengasan Semula dan Penerimaan Gas Asli Cecair (LNG) bagi melengkapi keperluan tenaga bagi RAPID.

Menurut beliau, sekiranya terminal itu sesuai dibangunkan, ia akan menjadi terminal kedua seumpamanya di negara ini, selepas Melaka, sekali gus dijangka mampu meningkatkan jaminan bekalan gas di Semenanjung Malaysia.

-utusan

Mesyuarat Tahunan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang Kali Ke 8 Tahun 2011

Perhatian kepada semua Pemuda UMNO Ampang,

Majlis Perasmian Persidangan Tahunan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ampang Kali Ke Lapan akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 14 Mei 2011 (Sabtu)

Masa: 1.30 petang

Tempat: Auditorium Risda, Bangunan Risda, Jalan Ampang

Perasmian akan dilakukan oleh YB Dato’ Razali Ibrahim, Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia.