Monday, July 23, 2012

Selamat Hari Lahir PM Dato Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Kami kepimpinan peringkat UMNO cawangan Bukit Ampang mengucapkan Selamat Hari Lahir yang ke 59 kepada Dato Seri Najib Tun Haji Abdul Razak pada hari ini 23 Julai 2012. Semoga Allah swt kurniakan kesihatan yang baik, dipanjangkan umur dan dipermudahkan urusan harian sempena Hari Lahir Dato Seri yang jatuh pada bulan Ramadhan yang penuh barakah dan maghfirah. Amien.

Saturday, July 21, 2012

Selamat Berpuasa di Bulan Ramadhan


Kami mengucapkan Selamat berpuasa kepada semua peringkat kepimpinan tertinggi pusat, bahagian dan cawangan UMNO khususnya kepada ahli cawangan dan masyarakat beragama Islam di kawasan Bukit Ampang. Semoga kita mendapat maghrifah dan rahmat dari Allah swt sepanjang Ramadhan yang penuh barakah ini. Amien.

Penawar hati di bulan Ramadhan seperti di bawah :

Puasa Ramadhan merupakan salah satu ibadah wajib umat islam yang harus dilaksanakan. Beberapa hadis puasa menjadi pegangan sekaligus rujukan tentang bagaimana menjalankan ibadah ramadhan dengan khusuk dan benar. Nabi Muhammad SAW selalu menyambut bulan Ramadhan dengan bahagia. Baginda menyampaikan beberapa hadis mengenai puasa ramadhan:
  • Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim daripada Sahl bin Sa’d. yang maknanya: “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya”.
  • Hadis riwayat Ibn Majah dan al-Hakim, daripada Ibn Umar, yang maknanya: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak”.
  • Hadis riwayat al-Baghawi dari seorang lelaki di kalangan sahabat, yang maknanya: “Satu kebajikan dengan sepuluh kali ganda dan ditambah, dan satu kejahatan hanya dibalas satu dan mungkin Aku hapuskannya, dan puasa untuk-Ku, dan Akulah yang membalasnya. Puasa sebagai perisai dari azab Allah sebagaimana penyangga, sebagai perisai dari mata pedang”.
  • Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam al-Syu`ab daripada Abu Hurairah, yang maknanya: “Puasa adalah separuh kesabaran, dan di atas setiap sesuatu mempunyai zakat, dan zakat jasad ialah puasa”.
  • Hadist riwayat al-Nasa`ie daripada Abi Sa`id, yang maknanya: “Siapa yang berpuasa sehari semata-mata pada jalan Allah nescaya Allah menjauhkan wajahnya dari neraka jahannam selama 70 tahun”.
  • Hadist riwayat Ibn Mandah di dalam `Amali, daripada Ibn Umar dan al-Dailami, daripada Abdullah bin Abu Aufa, yang maknanya: “Diam orang yang berpuasa merupakan tasbih, tidurnya merupakan ibadat, doanya mustajab dan amalannya digandakan”.
  • Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, yang maknanya: “Apabila datangnya Ramadhan nescaya dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan”.
  • Hadis riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim, begitu juga dengan Ashab al-Sunan, yang maknanya: “Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, nescaya diampun baginya dosa yang terdahulu”.

Selamat beribadah dan berpuasa. Semoga kita semua diberikan kemudahan, rahmat, maghfirah dan keberkatan di bulan ini. 

Ketirisan Kerajaan negeri Selangor terlebih bayar RM100 juta

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my







KUALA SELANGOR 20 Julai - Bayaran terlebih bayar yang dibuat kerajaan negeri untuk membeli tanah daripada Talam Corporation Bhd. (Talam) di Bestari Jaya di sini, bukan sebanyak RM42 juta seperti yang didakwa sebelum ini sebaliknya RM100 juta lebih mahal.

Perkara itu didedahkan Ketua Biro Muda Profesional MCA, Datuk Chua Tee Yong hari ini sewaktu membawa sekumpulan media melihat sendiri tanah seluas 916 hektar berkenaan di Bestari Jaya, di sini.

Tee Yong mendakwa, maklumat itu diperoleh berdasarkan laporan kewangan Kumpulan Hartanah Sdn. Bhd. (KHSB) pada 2009 yang juga memiliki tanah di kawasan sama.


Saturday, June 2, 2012

PERBEZAAN HIMPUNAN HIJAU DAN ULANGTAHUN UMNO


Himpunan Hijau PAS 
Dibuat di Stadium Darul Aman yang merupakan sebuah stadium negeri bagi Kedah. Ia telah dibina pada tahun 1967. Stadium ini terletak di sebelah Lebuhraya Darul Aman. Stadium ini boleh menempatkan kira-kira 32,387 penonton dalam satu-satu masa. Ia juga pernah digunakan sebagai venue utama Sukan Malaysia pada 2006.


Sambutan Ulangtahun UMNO 2012 
Dibuat di Stadium Bukit Jalil. Stadium Nasional Bukit Jalil ialah pusat sukan dan bangunan sukan paling terkenal di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia. Stadium Nasional Bukit Jalil merupakan antara stadium yang terbesar di dunia dan menyediakan tempat duduk berbumbung untuk memberi keselesaan dan perlindungan optimum daripada cuaca untuk 100,000 penonton.

Stadium ini mampu menganjurkan pelbagai acara dan juga sebagai tempat acara olahraga. Ia telah direka bentuk mengikut piawaian Kejohanan Dunia dan Sukan Olimpik dan mempunyai kemudahan padang dan trek. Trek sintetik9 lorong berukuran 400 meter, lari jauh berhalangan dan lompat air, lompat tinggi, lompat jauh dan lompat kijang, lompat galah, lontar peluru, lontar tukul besi, lempar cakera dan merejam lembing.

Pembinaan Stadium Nasional Bukit Jalil bermula dengan kerja penggalian untuk membentuk mangkuk pada Mac 1994. Lebih kurang satu pertiga daripada stadium terdapat di bawah paras dasar di sekitarnya. Kemudian pada akhir 1994 kerja pembinaan bermula di bahagian superstruktur konkrit. Sebuah kilang pemprosesan konkrit dibina sementara pada tapak itu bagi pembuatan komponen pratuang.

100,000 tempat duduk dipasang pada 1997 dengan corak ketara yang dicipta menerusi penggunaan warna yang berlainan, menyumbangkan kesan visualyang menarik apabila stadium tidak digunakan.

Stadium ini berbentuk elips dan bentuk mangkuknya yang klasik dihasilkan dan ditonjolkan oleh pertindanan tiga barisan tempat duduk. Bumbung membran ini menutupi 38,000 meter persegi.

Stadium Nasional menggabungkan sistem bunyi yang dinamik untuk menyiarkan muzik dan pesanan. Sistem lampu sorot yang telah dipraprogramkan menggunakan lampu halida logam untuk menyumbangkan tahap pencahayaan sehingga 1500 lux yang sesuai untuk liputan TV.

Hanya sekadar berkongsi fakta yang ada di laman Wikipedia berkenaan kapasiti dua stadium tersebut diatas...... 

Sunday, May 20, 2012

PIAGAM MADINAH DAN PERLEMBAGAAN MALAYSIA


Piagam Madinah telah digubal oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622M bersamaan tahun pertama Hijrah, merupakan perlembagaan bertulis pertama di dunia. Kandungan piagam ini terdiri daripada 47 fasal kesemuanya. 23 fasal piagam tersebut membicarakan tentang hubungan antara umat Islam sesama umat Islam iaitu antara Ansar dan Muhajirin, manakala 24 fasal yang bakinya membicarakan tentang hubungan umat Islam dengan bukan Islam. Selain piagam Madinah, ia juga dikenali dengan pelbagai nama saperti perjanjian Madinah, Dustar al-Madinah dan juga Sahifah al-Madinah. Selain itu piagam Madinah juga boleh dikaitkan dengan perlembagaan Madinah kerana kandungannya membentuk peraturan- peraturan yang berasaskan Syariat Islam bagi membentuk sebuah Negara Islam tulen yang menempatkan penduduk yang berbilang bangsa, kaum dan agama.

Kandungan piagam madinah boleh dilihat disini . Yang paling utama di dalam pengisiannya adalah setiap tindakan mengikut Al-Quran dan Sunnah. Secara keseluruhan pengisian piagam Madinah yang digubal oleh baginda Nabi Muhammad saw telah menekankan perpaduan dan penyatuan ummah di Madinah ketika itu yang terdiri dari masyarakat Islam, kaum Ansar dan Muhajirin serta Yahudi dan Bangsa lain. Ini menunjukkkan betapa pentingnya pengukuhan perpaduan masyarakat yang perlu disemat dalam pemerintahan sesebuah negara Islam walaupun tidak melabelkan perkataan ‘Islam’ dalam setiap tindakannya. Ini terbukti apabila baginda Nabi Muhammad saw sendiri kurang menggunakan perkataan Islam dalam piagamnya tetapi lebih kepada perbuatan yang menjurus kearah syariat Islam itu sendiri. Justru baginda menamakan Kota Madinah sebagai Madinatul Munawarrah dan bukannya negara Islam Madinah. Prinsip ini diteruskan sehinggalah ke akhir pemerintahan khalifah Uthmaniyah. Penggunaan negara Islam hanya bermula apabila wujud sebuah negara yang dinamakan Republik Islam Iran yang majoriti masyarakatnya berpaksikan kepada fahaman syiah.

Jika dibandingkan Perlembagaan Madinah ini dengan Perlembagaan Malaysia yang digubal oleh kepimpinan UMNO terdahulu adalah seiring pembentukan perlembagaan Madinah oleh baginda Nabi Muhammad saw. Di dalam perlembagaan persekutuan Malaysia perkara yang paling utama adalah status agama Islam sebagai agama persekutuan dan YDP Agong yang dipilih oleh 9 kesultanan Melayu adalah pemerintah tertinggi sebagai Ketua Negara dan Agama. Perlembagaan Persekutuan juga menyatakan agama-agama lain boleh diamalkan sepertimana dalam piagam Madinah.

Pada hari ini konsep 1 Malaysia yang dipelopori oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Haji Abdul Razak adalah sama dengan fasal 2 piagam madinah iaitu “bahawa mereka ini adalah satu umat”. Konsep perpaduan ini telah menjadi agenda utama negara Malaysia pada hari ini yang diperjuangkan oleh UMNO. Ini bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia hidup dalam suasana aman dan harmoni secara berkompromi walaupun berbeza kaum, agama dan pegangan. Dengan itu terbentuklah satu komuniti kekeluargaan yang besar yang berbilang kaum dan agama tanpa perselisihan yang ketara. Perpaduan ini terbukti berjaya diamalkan oleh Ummat Islam terdahulu.

Selama lebih 66 tahun UMNO telah mempertahankan prinsip ini dan juga memperjuangkan kepentingan orang Melayu seperti dalam perlembagaannya. Secara tidak langsung definisi Melayu di dalam Perlembagaan Malaysia adalah mesti beragama Islam, mengamalkan budaya melayu dan berbahasa Melayu. Proses ini telah menyebabkan Melayu itu terdiri daripada pelbagai keturunan seperti keturunan Cina, Arab, India, Portugis, Jawa dan berbagai keturunan yang lain di dunia. Betapa besarnya perpaduan dan penyatuan umat dan keturunan Islam yang selama ini diperjuangkan UMNO. Sama seperti penyatuan keturunan dan bangsa di Madinah yang menggandingkan kaum-kaum Muhajirin dan Ansar yang beragama Islam terdiri dari pelbagai kaum dan keturunan. Manakala yang bukan beragama Islam dikelompokkan dalam satu kelompok yang dipanggil 'Bani' seperti Bani Auf, Bani Amru dan lain-lain yang boleh meneruskan pegangan lama mereka. Sama seperti UMNO, MCA, MIC dan lain-lain. Namun begitu UMNO tidak pernah melabelkan partinya sebagai parti Islam tetapi tetap mempertahankan syariat Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan Malaysia yang berasaskan piagam Madinah.

Yang benar adalah benar dan fikir-fikirkanlah…..

-Ketua UCBA

Monday, May 14, 2012

Petikan ucapan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak sempena sambutan 66 tahun UMNO di Stadium Bukit Jalil Jumaat lalu.


ALHAMDULILLAH dengan izin Allah SWT maka malam ini akan jadi satu malam yang akan terpahat dalam sejarah perjuangan parti UMNO kita. Sebentar tadi bila saya menghampiri Stadium Nasional Bukit Jalil ini. Saya merasakan seolah-olah saya akan menonton pertandingan akhir piala bola sepak. Mungkin terbayang saya pertandingan akhir pertandingan Piala AFP tetapi rupa-rupanya setelah saya mendekati Stadium Bukit Jalil ini, setelah saya memasuki terowong Bukit Jalil ini saya lihat yang sebenarnya bukan pertandingan akhir kejohanan bola sepak tetapi perhimpunan raksasa maha UMNO. Satu perhimpunan yang luar biasa. Satu perhimpunan yang saya anggap sebagai perlambangan kekuatan UMNO. Perlambangan perjuangan gigih UMNO. Sebab itulah perhimpunan yang bersejarah pada malam ini merupakan satu perhimpunan yang menunjukkan bahawa kekuatan UMNO tidak pudar dan tidak menurun. Siapa kata sokongan tidak kuat? Yang berhimpun dalam stadium ini bak kata Timbalan Presiden tadi hampir 100,000 yang berhimpun, yang sedang menonton di televisyen, berjuta-juta. Kita berhimpun dalam stadium ini dengan memakai baju merah. Kita memakai baju merah kerana inilah warna darah daging perjuangan UMNO yang membara dalam hati kita. 

Kita berhimpun dalam stadium ini secara aman. Kita berhimpun dalam stadium ini secara tertib. Kita berhimpun dalam stadium ini kerana UMNO menghormati undang-undang negara. Kita tidak perlu ramai anggota polis. Anggota-anggota polis kelihatan ceria belaka. Mereka kelihatan senyum-senyum belaka. Mereka tidak tension. Kita pun tiada tension. Kenapa kalau UMNO boleh berhimpun dalam stadium, pihak-pihak lain tidak boleh berhimpun dalam stadium?

Kalau hendak tunjuk kekuatan berhimpunlah macam UMNO berhimpun hari ini. Kalaulah mereka merupakan rakyat malaysia yang cinta kepada keharmonian negara, yang menghormati undang-undang berkumpullah macam UMNO berkumpul pada malam ini. 

Tidak mahu berkumpul di Stadium Bukit Jalil, kita tawarkan Stadium Merdeka. Di Stadium Merdeka, stadium yang telah menyaksikan satu peristiwa yang amat bersejarah lagi keramat, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah melaungkan merdeka, merdeka, merdeka. 

Tetapi mereka tidak mahu berhimpun di Stadium Merdeka kerana apa? Kerana mungkin mereka takut tidak seramai UMNO berhimpun? Saya kira kalau congak punya congak kita lagi ramai malam ini. Kalaulah mereka dah kata bahwa Stadium Merdeka tidak ada nilai sejarah, maka itu merupakan satu pembohongan. Kita sanggup demi jaga keamanan dan keselamatan, kita tawarkan Stadium Merdeka tetapi mereka kata kononnya dah terlambat, padahal tiga hari lagi ada masa. Saya diberitahu mereka tolak tawaran Stadium Merdeka kerana apa? Kerana mereka nak merempuh, mereka nak berbalah, mereka nak tendang terajang pihak polis. Kalau tidak ada pergeseran, tak keluarlah cerita dalam CNN, tak keluarlah dalam Al-Jazeera, tak keluarlah dalam BBC. Inilah tujuan sebenarnya. Mereka nak tunjuk kononnya kita ini kerajaan dan pihak berkuasa yang zalim. 

Mereka tidak menghormati undang-undang negara. Bagaimana perasaan anggota polis kalau dipukul? Ada anggota polis yang saya temui kena pukul menggunakan kayu lisut, baseball. Belakang kena pukul, depan kena pukul sehingga muntah darah. Inikah orang yang bertamadun? Inikah orang yang menjaga imej Malaysia? Kalau kita dalam stadium ini kita nak rempuh kita boleh tahan Dataran Merdeka. 

Tetapi UMNO tidak sedemikian. Jati diri kita ialah untuk menghormati undang-undang negara kerana negara inilah yang telah dimerdekakan oleh UMNO. Kerana negara inilah yang telah dibangunkan oleh UMNO dan kerana UMNO lah negara ini akan menjadi negara maju dan berjaya Insya Allah. Sebab itulah kita tidak reda melihat apa-apa yang berlaku pada negara kita. Biar apa yang mereka hendak lakukan UMNO tetap akan menjaga maruah dan imej negara kita ini.

Kita berkumpul pada malam ini menyambut 66 tahun usia UMNO dan dalam masa 66 tahun ini bererti hampir tujuh dekad, tujuh dasawarsa kita telah berbudi, menabur budi untuk negara kita. Dan bila kita berkumpul pada malam ini dalam suasana yang cukup meriah, kita meraikan kejayaan, kejayaan sebuah parti politik yang paling berjaya di dunia dalam sistem demokrasi berparlimen. Kita berhimpun pada malam ini, kerana kisah kejayaan Malaysia itu adalah kisah kejayaan kepimpinan UMNO selama ini dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN). 

Sebab itulah sambutan kita meriah bukan kerana kita gagal, sebaliknya kalau kita melihat bagaimana mencabarnya kita memimpin negara kita, dengan kepelbagaiannya, dengan pelbagai cabarannya, dengan keunikan yang ada pada malaysia, tak ramai yang menjangkakan bila bahawa UMNO lahir 66 tahun lalu, kita boleh membawa negara kita pada keadaan yang kita sama-sama dapat saksikan hari ini.

Ramai yang meramalkan negara kita tidak mampu kekal, tak mungkin aman, jauh sekali boleh berjaya. Tetapi pada semua ramalan-ramalan yang sinis, meleset belaka. Meleset kerana apa? Kerana kejayaan UMNO memimpin negara kita selama ini. Sebab itulah kita berhimpun pada malam ini sebagai sebuah parti yang berjaya, bukan sebaliknya. Sebab itulah kita berhimpun sebagai melambangkan parti yang telah berjaya membawa perubahan demi perubahan sejak dahulu sampai pada hari ini. Setiap pemimpin utama UMNO telah membawa kejayaan dan kita ucap terima kasih kepada semua pemimpin UMNO terdahulu. Dan kita berterimakasih Tun Dr. Mahathir Mohamad ada bersama kita pada malam ini

UMNO tidak mabuk kuasa. Kita sanggup membuat perubahan jika masa menuntut perubahan. Kalau persekitaran berubah, bak kata Timbalan Presiden tadi (Tan Sri Muhyiddin Yassin), UMNO juga perlu berubah. Dasar-dasar kita boleh berubah tapi prinsip matlamat perjuangan kekal, demi agama bangsa dan negara.

Orang di sebelah sana pembangkang, suka sangat hendak memperlekehkan UMNO, hendak menidak kejayaan kita, hendak menghina UMNO tetapi mereka sebenarnya tidak ada jasa kepada negara kita. Mereka tidak ada jasa kepada negara kita. Mereka boleh mengata, mengutuk kita macam-macam, mereka boleh menggelar diri lebih terbuka, lebih demokratik, tapi UMNO sebenarnya lebih demokratik daripada mereka. Ketua mereka tidak dipilih ikut proses demokrasi. Alih-alih menjadi ketua umum pembangkang. Cakap sikit sahaja sudah tidak boleh, tegur sikit pun tidak boleh. Bila ada pemimpin mereka (Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim) kata... `eh! kalau buat demonstrasi jalanan tidak baik untuk negara, lebih elok berhimpun dalam stadium', jawatan dia dalam senator tidak disambung semula. Ada sikit saja pandangan berbeza, parti yang namanya parti demokratik, di mana demokrasi? Ada demokrasi? Parti yang nama demokratik parti tak ada demokrasi. Lepas itu UMNO dipersalahkan segala-galanya. Bila seorang pemimpin mereka tidak peduli langsung ibu kandungnya sendiri, UMNO nak dipersalahkan. Memang hebat benar UMNO ni, dalam bilik tidur kita boleh tentukan, dalam kelambu pun boleh kita boleh tentukan. 

Banyak persoalan lain tidak berjawab. Bila suruh bela diri tidak berani bersumpah. Di mana letaknya kredibiliti sebagai pemimpin. Jangan salahkan UMNO, kitalah parti yang telah berjuang untuk negara kita.
Oleh kerana 66 tahun bererti hampir tujuh dekad UMNO telah berjasa pada negara, oleh kerana bahang-bahang pilihan raya sudah dapat kita rasai, dan ramai sudahpun kena demam pilihan raya, saya lihat malam ini hebat, rasa-rasanya esok saya nak mengadap Yang di-Pertuan Agong. Bila nak ada pilihan raya? Esok? Bulan Jun? Bila? Tahun depan? Tak boleh? 

Tuan tuan, saya nak bagi tujuh sebab, sebab tujuh dekad kita sudah berjasa pada negara. Kalau kita nak memilih nanti, bila sampai masanya, dalam minda kita kena buat perhitungan. Saya nak paparkan tujuh prinsip yang boleh membantu kita membuat penilaian dan pertimbangan.

Pertama, di antara BN dan pembangkang, mana satu kepimpinan yang boleh dipercayai dan janji ditepati? Siapa dah bagi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)? Siapa dah bagi baucar buku? Siapa dah bagi pada murid-murid sekolah? Siapa dah bagi pada peneroka Felda? Siapa dah buat Kedai Rakyat 1Malaysia? Siapa dah buat Klinik Rakyat 1Malaysia? Siapa buat prasarana luar bandar (atau) dalam bandar, perubahan? Sekolah siapa buat segala-segalanya? BN.

Prinsip yang kedua, Sebelum saya masuk prinsip kedua, siapa yang pegang kepala penghuni Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, janji kalau pakatan menang mereka boleh kekal selama-lamanya? Siapa buat 22 janji tetapi sebahagian besar tidak ditunaikan di Selangor. Siapa gagal uruskan soal air. Banyak lagi mereka gagal.
Prinsip kedua, kita mesti tentukan hari esok lebih baik daripada hari ini. Antara BN dan pembangkang, siapa boleh jamin pada rakyat Malaysia hari esok lebih baik daripada hari ini? Jawab.

Ketiga, siapa boleh memelihara keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, mempertahankan kesucian Islam, raja-raja melayu, dan hak kaum-kaum lain? Jawab.

Keempat, siapa boleh menguruskan ekonomi kita dengan baik, membawa kita pada pertumbuhan yang memberangsangkan? Jawab.

Kelima, siapa boleh jamin perpaduan dan keharmonian negara kita? Jawab.

Keenam, siapa boleh membuat perubahan dan pembaharuan secara tersusun? Siapa buat transformasi pada negara kita? Jawab!

Ketujuh dan terakhir, siapa yang boleh tentukan kemakmuran negara kita sehingga kita dengan izin Allah boleh menjadi negara maju pendapatan tinggi? 

Saudara saudari sekalian, pada malam yang bertuah dan bersejarah ini, biarlah stadium ini menjadi saksi bahawa kita semua umat melayu berkumpul, dengan penuh semangat dan penuh keyakinan. Siapa kata sokongan dan dokongan orang Melayu pada UMNO sudah menurun? Hari ini majlis ini menyaksikan sokongan kita yang semakin meningkat. Saya nak tanya kalau kedudukan perlembagaan orang Melayu, apabila Islam diasak, dan apabila institusi negara diperlekeh, maka siapa yang terkedepan mempertahankan kalau bukan UMNO. 

Tuan-tuan dan puan-puan, sesungguhnya UMNO telah berjalan begitu jauh, setiap inci tanah ini telah kita makmurkan, janganlah, janganlah sesekali biar ia dibinasakan oleh tangan pihak yang tidak bertanggungjawab. Biar putih tulang, jangan rakyat dan bangsa berputih mata. Kerana kelak, kita tidak mahu melihat anak cucu kita terbangsat hidup mereka. Maka kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menyembah alam kegagalan. Ayuhlah, ayuhlah, ayuhlah. Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redah. jangan ribut taufan pun, mesti kita harungi, jangan air bah, gelombang badai pun harus berani kita harungi. Jangankan gerhana, gelap gelita pun pasti kita harungi.

Ayuhlah semua, ayuhlah semua, ayuhlah semua! Biar berdentum guruh di langit walau kilat sambar-menyambar, berpaksikan kepada parti UMNO yang menunjangi BN! Hidup UMNO, hidup UMNO, hidup UMNO! Hidup Barisan, Hidup Barisan, Hidup Barisan! Selamat Hari Ulang Tahun UMNO! 

-Presiden UMNO Dato Seri Najib Razak

Sunday, May 6, 2012

Hari Ulang Tahun UMNO 11 Mei Ini Janjikan Kelainan, 66 Tahun Pembela Rakyat



KUALA LUMPUR 24 April – Bertemakan UMNO Pembela Rakyat, sambutan hari ulangtahun UMNO ke-66 kali ini berlainan dengan sambutan sebelumnya yang mana akan dimeriahkan dengan pelbagai acara dan program yang menarik untuk seluruh rakyat.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata rakyat pelbagai kaum dialu-alukan untuk turut sama memeriahkan pelbagai program dan aturcara yang bakal disediakan kelak.

Menurut beliau sambutan ulangtahun UMNO akan bermula dengan larian bendera UMNO, konvoi bermotosikal, majlis tahlil serta kemuncaknya karnival selama tiga hari dua malam di Stadium Bukit Jalil.

“Untuk larian bendera, ianya akan berjalan serentak di empat zon pada 1 Mei ini dan akan berakhir di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei nanti. Untuk Zon utara, larian bendera ini akan melalui empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak serta Selangor, manakala Zon Pantai Timur akan bermula di Kelantan dan akan melalui Terengganu dan Pahang.

“Untuk Zon Selatan pula ianya akan bermula di Johor dan akan menjelajah  Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dan untuk Zon Sabah akan bermula di Negeri Bawah Bayu seterusnya diterbangkan ke KLIA dan seterusnya melalui Selangor dan Wilayah Persekutuan. Larian ini akan berakhir di Stadium Bukit Jalil apda 11 Mei nanti,” katanya pada satu sidang media khas sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke 66 di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi konvoi bermotosikal pula akan bermula pada 4 hingga 11 Mei yag akan diketuai Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh.

Tengku Adnan seterusnya menambah majlis tahlil akan diadakan pada 10 Mei bertempat  di Surau Ar-Rahman, PWTC  selepas solat Maghrib yang akan dipimpin oleh Senator Mej Jeneral Datuk Jamil Khir Baharom.

Tambah beliau untuk sambutan di Bukit Jalil, terdapat ‘outdoor dan indoor activity’ yang bakal menemui pengunjung.

“Pelbagai acara menarik akan diadakan…tetapi apa yang penting pada 11 Mei, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak akan menyampaikan ucapan selain penganugerahan tokoh Melayu terbilang,” katanya.
Katanya lagi sepanjang tiga hari dua malam karnival berkenaan, pelbagai acara menarik disediakan untuk pelbagai kumpulan sasaran seperti paintball, rock climbing, street soccer, silat, pertunjukan Robotic, pancaragam dan sebagainya lagi.

“Macam-macam acara kita sediakan baik untuk golongan dewasa dan pelbagai kumpulan umur yang lain. Untuk melihat acara lebih jelas dan program yang diatur, layari www.umno-online.com,” katanya. -MediaUMNO