Sunday, May 1, 2011

Pengundi Cina diminta buat pilihan - PM

KUALA TERENGGANU 30 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kaum Cina di negara ini perlu membuat pilihan sama ada mahu menyokong MCA pada pilihan raya umum akan datang atau kehilangan wakil dalam kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, masyarakat Cina telah diberi mesej yang jelas mengenai perkara itu oleh MCA yang menyatakan parti itu tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan Pusat dan negeri sekiranya gagal meraih sokongan masyarakat berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

Jelasnya, masyarakat itu perlu memilih antara kepentingan suara dalam kerajaan atau menyokong pembangkang.

"Mereka tidak boleh menyokong pembangkang tetapi dalam masa yang sama mengharapkan penyertaan yang kuat kaum itu di dalam kerajaan. Mereka (pengundi Cina) perlu memilih antara dua, jika mahu menyokong pembangkang maknanya mereka perlu korbankan parti-parti dalam kerajaan.

"Namun, jika mahu suara mereka lebih didengari dalam kerajaan, mereka perlu menyokong parti komponen Barisan Nasional (BN). Mesej itu jelas dan mereka (pengundi Cina) tidak akan dapat apa yang dikehendaki jika mereka tidak memilih," katanya selepas merasmikan Perumahan Rakyat Mampu Milik di Pulau Duyung di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian MCA semalam yang sebulat suara tiada akan menerima sebarang jawatan dalam Kabinet mahupun negeri jika parti itu gagal di dalam pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai kesediaan MCA untuk terus berada dalam BN selepas keputusan itu dibuat, jelas Perdana Menteri, MCA tetap akan bekerjasama dengan BN kerana mereka yakin hanya parti itu dapat mewujudkan keharmonian dalam negara.

"Kita sudah ada rekod, negara aman di bawah parti ini dan apa pun yang diputuskan oleh MCA, mereka tetap akan berada di dalam BN," jelasnya.

-utusan

No comments: