Saturday, May 14, 2011

Petronas bangunkan RAPID RM60b

KUALA LUMPUR 13 Mei – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) akan membangunkan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) bernilai AS$20 bilion (RM60 bilion).

Projek yang dibangunkan di Pengerang, Johor dan dijadual siap pada 2016 itu bakal menjadikan Malaysia sebagai pusat dagangan bersepadu minyak, gas dan petrokimia bertaraf dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek tersebut membabitkan pembinaan loji penapisan minyak mentah dengan kapasiti 300,000 tong sehari untuk menghasilkan gasolin, minyak jet dan diesel serta menawarkan peluang eksport diesel spesifikasi Euro-4 dan Euro-5.

Kilang itu juga mempunyai peretak naphtha (pecahan komponen) dengan kapasiti pengeluaran tiga juta tan ethylene, propylene, selain olefin C4 dan C5.

Menurut beliau, RAPID juga membabitkan pembangunan petrokimia bersama dengan syarikat kimia bertaraf dunia.

Najib berkata, projek itu bakal menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan swasta dalam jumlah yang besar serta memperluaskan lagi akses negara kepada teknologi bertaraf dunia.

‘‘Komitmen ini merupakan satu pengembangan Petronas dalam keupayaan pengeluaran hiliran menunjukkan keupayaan syarikat ini untuk meneroka peluang dalam pasaran kimia dan tenaga yang dinamik.

‘‘Saya gembira usaha ini akan mengukuhkan dan membantu keupayaan kepelbagaian eksport negara,’’ katanya ketika membuat pengumuman projek itu di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Hadir sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman serta Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas.

Perdana Menteri berkata, pengeluaran produk minyak dan gas yang akan dihasilkan di RAPID akan mengatasi pengeluaran di Melaka dan Kerteh.

Malah, pembangunan petrokimianya pula lebih tinggi berbanding di Kompleks Petrokimia Bersepadu Gebeng dan Kerteh.

Sambil melahirkan rasa bangga terhadap projek itu, Najib berkata, pembangunan RAPID bukan sahaja mencipta satu lagi sejarah bagi Petronas tetapi pembangunan industri di Malaysia.

Najib menambah, RAPID juga akan membuka sebanyak 4,000 peluang pekerjaan bagi profesional dan pekerja berkemahiran tinggi khusus dalam bidang minyak dan gas.

‘‘Di samping itu, sebanyak 20,000 lagi peluang pekerjaan akan tersedia sepanjang proses pembinaan projek ini, tidak termasuk impak-impak ekonomi lain daripada projek berkenaan,” kata beliau.

Najib berkata, Petronas juga akan menilai kajian kebolehlaksanaan Terminal Pengasan Semula dan Penerimaan Gas Asli Cecair (LNG) bagi melengkapi keperluan tenaga bagi RAPID.

Menurut beliau, sekiranya terminal itu sesuai dibangunkan, ia akan menjadi terminal kedua seumpamanya di negara ini, selepas Melaka, sekali gus dijangka mampu meningkatkan jaminan bekalan gas di Semenanjung Malaysia.

-utusan

1 comment:

Anonymous said...

SULLIH di Kedah macam mana, tak jadi ka?. Nak buat rfineri minyak di negara ini mesti dapat kelulusan Kerajaan Pusat, kan?. Ustaz Azizan MB PR/PAS Kedah dok heboh rata kampong, malah dalam perjumpaan dengan Dato' Aziz Sheikh Fadzir baru2 ni pun dia kata, "INSYA ALLAH KILANG MINYAK KITA AKAN NAIK DI YAN, KERAJAAN NEGERI DAPAT DUIT LAH LAGI...".