KUALA LUMPUR 10 Mei — Esok adalah ulang tahun ke-65 kelahiran UMNO yang bukan saja menyaksikan ia terus menjadi tunjang pemerintahan negara tetapi terpaksa berdepan banyak cabaran yang tidak kurang getirnya berbanding waktu penubuhannya.
Antara cabaran getir itu ialah Umno harus menangani perpecahan bangsa Melayu yang kini terbahagi tiga, selain terpaksa berdepan dengan cabaran demi cabaran luaran yang walaupun sedikit tetapi semakin jelas sehingga berani mempertikaikan ketuanan Melayu, Bumiputera dan Islam.
Mengambil tema ‘Membela Rakyat’ pada sambutan kali ini, UMNO yang menjadi tunjang parti gabungan dalam Barisan Nasional dan tonggak kerajaan, juga harus menerajui negara dan rakyat berbilang kaum dalam mencapai Wawasan 2020 dan matlamat ekonomi berpendapatan tinggi.
UMNO bukannya tidak pernah dilanda masalah malah pernah diharamkan pada 1988, gejolak pemecatan Timbalan Presidennya pada tahun 1998 dan tsunami politik pada pilihan raya umum 2008, tetapi masalah itulah yang menjadikannya bangkit dengan lebih gagah.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, mencapai usia 65 tahun menjadikan UMNO sebuah parti yang amat matang, lebih progresif, berpengalaman luas dan berani membuat perubahan dari semasa ke semasa.
"Saya yakin apa yang sudah dilalui selepas ia ditubuhkan, dengan pelbagai ranjau dan masalah sehingga Presiden pertama (Datuk Onn Jaafar) tinggalkan UMNO dan sebagainya, memberikan iktibar kepada kita untuk terus bergerak bukan sahaja untuk dahulu tapi juga untuk kini dan selamanya,” katanya. — Bernama
No comments:
Post a Comment