KUALA LUMPUR 15 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyuarakan kegembiraannya terhadap komitmen dan kepercayaan atau ”nambikei” kaum India di Malaysia, dengan berkata, kepercayaan yang utuh adalah sangat penting “sambil kita bersama-sama melakukan transformasi ke atas Malaysia”.
Menerusi mesej yang dimuatkan dalam laman blog www.1Malaysia.com.my sempena sambutan pesta Ponggal hari ini, Perdana Menteri berkata, sebagai rakyat Malaysia “kita akan terus bekerja bersama-sama untuk melakukan transformasi ke atas Malaysia dan oleh itu memastikan segala-galanya cukup bagi semua kaum.”
"Sambil kita berkongsi budaya rakan-rakan kita dan tradisi mereka menanak susu dan beras sehingga mendidih sebagai melambangkan limpahan kekayaan dari bumi kita, semua rakyat Malaysia sesungguhnya boleh bersyukur kerana Malaysia sebuah negara yang subur dan menghasilkan banyak makanan,” katanya.
Najib turut menggambarkan Ponggal atau pesta menyambut musim menuai sebagai masa yang istimewa bagi kaum India memandangkan ia menandakan permulaan bulan ”Thai” yang baik dalam kalendar India dan kebetulan menjadi pesta utama yang pertama bagi masyarakat India dalam tahun baru ini.
"Sambil semua rakyat Malaysia melangkah ke tahun 2012 dengan keyakinan dan azam yang diperbaharui, kita sekali lagi diingatkan tentang kekayaan kepelbagaian negara yang kita sokong dan pupuk dengan bangga ini,” katanya.
Perdana Menteri turut mengucapkan ”Ponggal Vaalthukal” dan selamat menyambut ”Ponggal” kepada seluruh masyarakat India di Malaysia. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment